Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-285 dan Ke-286

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-285 dan Ke-286

5012
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-285

Dalam hadith ada disebut bahawa dua ayat terakhir surah Baqarah ini telah diberikan kepada Nabi ﷺ semasa baginda mi’raj bertemu Allah ‎ﷻ. Maka ia adalah ayat yang amat penting sekali hinggakan diberikan kepada baginda semasa pertemuan dengan Allah ‎ﷻ.

Ayat ini adalah Ayat Tabshir. Ia adalah tentang golongan yang Allah ‎ﷻ beri janji kepada mereka kerana mereka beriman. Beriman yang bagaimana? Seperti dalam ayat ini:

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ وَالمُؤمِنونَ ۚ كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا ۖ غُفرانَكَ رَبَّنا وَإِلَيكَ المَصيرُ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya. (Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-Rasul-Nya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

ءآمَنَ الرَّسولُ بِما أُنزِلَ إِلَيهِ مِن رَّبِّهِ

Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya,

Nabi Muhammad ﷺ sendiri percaya kepada wahyu yang diturunkan kepadanya. Nabi ﷺ kena percaya dahulu sebelum baginda sampaikan kepada orang lain.

Kita mungkin rasa yang baginda terus sahaja percaya kepada wahyu yang diberikan kepada baginda, tetapi bayangkan keadaan Nabi ﷺ waktu itu. Apa yang baginda terima adalah amat berlawanan dengan fahaman masyarakat waktu itu sampaikan ramai yang kata baginda gila.

Baginda pun terkejut pada mulanya. Ingat kembali bagaimana terkejutnya baginda apabila pertama kali menerima wahyu, sampai baginda kena diselimuti apabila balik ke rumah dan baginda telah ditenangkan oleh Khadijah رضي الله عنها.

Kerana Nabi Muhammad ﷺ percaya kepada kerasulannyalah yang menyebabkan baginda sanggup menghadapi segala tentangan dan cabaran dalam menyampaikan agama ini. Kalau tidak yakin, tentu baginda tidak sanggup.

وَالمُؤمِنونَ

dan juga orang-orang yang beriman;

Begitu juga mukmin yang sempurna iman, beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada baginda. Iman yang kita mahu adalah ‘iman mujmal’, iaitu terima belaka wahyu yang disampaikan.

Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘Orang Mukmin’. Maknanya, kita juga disebut dalam ayat ini jikalau kita orang mukmin. Bayangkan kita disebut di Langit Ketujuh semasa Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan Allah ‎ﷻ.

كُلٌّ ءآمَنَ بِاللَّهِ وَمَلَـٰٓٮِٕكَتِهِۦ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ

semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-Rasul-Nya.

Sebelum ini disebut iman secara umum, sekarang disebut secara tafsili, disebut satu persatu perkara yang perlu diimani. Daripada susunan ayat ini, kita boleh susun – Allah ‎ﷻ beri wahyu, disampaikan melalui malaikat, dalam kitab dan kepada Rasul. Itulah proses bagaimana wahyu disampaikan kepada kita.

Disebut dalam ayat ini perkara-perkara yang penting untuk diimani. Kita telah percaya kepada Allah ‎ﷻ. Bagaimana percaya kepada malaikat? Antaranya, kita percaya yang malaikat itu hanya hamba Allah ‎ﷻ, bukan wakil Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tidak boleh puja malaikat, tidak boleh minta pertolongan kepada malaikat dan tidak boleh seru malaikat.

Kita percaya bahawa semua kitab itu daripada Allah ‎ﷻ tetapi yang kena ikut adalah Al-Qur’an sahaja. Maksudnya, bukanlah kita kena terima ajaran-ajaran yang dibawa oleh kitab-kitab lain.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga.

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-Rasulnya

Maksud ayat ini adalah semua Rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi عليهم السلام itu adalah utusan Allah ‎ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut syari’at baginda.

Oleh itu, kita kena ada hubungan dengan hadith. Kena belajar hadith-hadith Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana Rasul. Jangan jadi macam Yahudi yang tolak Nabi Isa عليه السلام dan jangan jadi macam Nasara yang tidak terima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat, tidak ikut, pun tidak berguna langsung. Berapa ramai dalam kalangan kita tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak lakukan? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Jadi kalau kita tidak taat setelah dengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu.

Ini juga mengajar kita yang kita kena dengar wahyu Allah ‎ﷻ – kena belajar. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ‎ﷻ ini. Maka hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga.

Golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Kalau susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Atheist yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunan-Mu wahai Tuhan kami,

Kita minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita banyak dosa. Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena minta ampun lagi?

Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ‎ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini.

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepada-Mu jualah tempat kembali

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kena sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik.

Tafsir Ayat Ke-286

Ini adalah huraian bahawa Allah ‎ﷻ tidak azab kerana lintasan hati yang buruk kerana lintasan hati bukan perkara mukallaf – yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Namun akidah dan sifat mazmumah tidak boleh ada walau dalam hati pun.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها ۚ لَها ما كَسَبَت وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت ۗ رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا أَو أَخطَأنا ۚ رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا ۚ رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ ۖ وَاعفُ عَنّا وَاغفِر لَنا وَارحَمنا ۚ أَنتَ مَولَٮٰنَا فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفسًا إِلّا وُسعَها

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Allah ‎ﷻ tidak bebankan manusia dengan apa yang kita tidak sanggup. Semua manusia mempunyai kapasiti menanggung beban yang berbeza. Ada orang yang boleh terima banyak beban dan ada orang yang tidak mampu.

Oleh itu, kita kena tengok kemampuan diri kita. Kita kena tanya diri kita, apakah usaha kita cukup dengan kebolehan kita? Kita kena lakukan sebaik mungkin untuk berkhidmat dalam dunia ini. Kemampuan itu kena ikut zaman dan suasana. Juga kena ikut kemampuan diri kita.

Ayat ini juga bermakna yang syari’at yang Allah ‎ﷻ berikan kepada kita adalah yang boleh ditanggung manusia. Tidaklah Allah ‎ﷻ beri syariat yang manusia tidak mampu tanggung. Allah ‎ﷻ maha tahu kemampuan diri kita. Maka, Allah ‎ﷻ beri kepada kita syari’at agama yang praktikal.

Maka ini bermakna tidak ada amalan agama yang tidak boleh dilakukan. Malah, kalau kita dalam keadaan susah untuk mengamalkan sesuatu syari’at, ia akan dimudahkan untuk kita. Sebagai contoh, kalau kita sakit, kita dibolehkan untuk salat duduk atau berbaring; zakat hanya diwajibkan kepada mereka yang mampu; haji kepada mereka yang boleh sampai sahaja; dan macam-macam lagi kemudahan dalam ibadat yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Tidak diberati kepada mereka yang tidak mampu.

Ini juga bermakna yang kita boleh menanggung segala arahan yang dimasukkan oleh Allah ‎ﷻ ke dalam Al-Qur’an ini dan hadith daripada Nabi ﷺ. Kita boleh bawa Al-Qur’an dan amalkan ajarannya dalam kehidupan kita. Jangan kita rasa ia berat sangat kerana ia adalah sesuai dengan diri kita. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang cakap kita boleh.

Yang tidak rasa berat adalah orang yang beriman. Mereka yag tidak beriman, memang semua arahan agama mereka akan rasa berat.

لَها ما كَسَبَت

Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya,

Kita akan dapat pahala daripada segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Daripada segi bahasa yang digunakan, kalimah كَسَبَت menunjukkan yang amalan kebaikan itu mudah untuk dibuat. Maknanya, Allah ‎ﷻ mudahkan untuk kita buat pahala.

وَعَلَيها مَا اكتَسَبَت

dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Manusia akan menanggung dosa daripada amalan keburukan yang dia lakukan. Daripada penggunaan bahasa, perkataan اكتَسَبَت memberi isyarat bahawa dosa itu susah untuk dibuat.

Mungkin ada yang rasa hairan. Sebenarnya, dosa itu susah untuk dilakukan sebab ia bertentangan dengan naluri diri kita sebagai manusia. Manusia memang tahu (dalam dirinya) yang perkara itu salah dan mereka yang melakukan dosa, sebenarnya melawan naluri fitrah manusia. Sebagai contoh, kalau menipu, bukankah hati kita akan berasa gundah gulana dan berdebar-debar?

Seperkara lagi, susah juga bermaksud, jika kita buat dosa, Allah ‎ﷻ akan beri peringatan kepada kita dengan diberikan musibah. Maka, kalau ada musibah yang kena kepada kita, maka fikirkanlah mungkin ada kesalahan yang kita telah lakukan.

رَبَّنا لا تُؤاخِذنا إِن نَّسينا

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar doa kepada kita. Hamba yang mendapat taufik, akan berdoa dan dia akan diberikan dengan apa yang dia minta. Doa amat penting kerana semua amalan agama dimulakan dengan doa.

Untuk buat segala amal agama dan taat dalam agama, kena ada usaha. Sudah banyak hukum kita belajar dalam Surah Baqarah ini dan sekarang kita tentunya sudah mula rasa berat. Maka Allah ‎ﷻ ajar tentang doa di hujung surah untuk beri ‘kunci’ untuk mengamalkan hukum yang telah diberikan-Nya. Untuk memudahkan segalanya adalah dengan doa.

Inilah doa yang kita selalu baca: Jangan kira lagi dosa kami kalau kami buat dengan sengaja (sebab dalam hadith, Nabi ﷺ terjemah perkataan نَسينا dengan maksud ‘sengaja’) atau ia juga boleh mengambil maksud daripada lafaz terjemah ayat ini: terlupa.

Ini kerana kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita terlupa. Iaitu yang benar-benar terlupa, bukan buat-buat lupa! Sebagai contoh, salat empat raka’at tetapi terbuat tiga raka’at sahaja.

أَو أَخطَأنا

atau kami tersalah

Begitu juga, kadang-kadang kita lakukan sesuatu dosa itu kerana kita tersalah. Tidak sengaja kita hendak menentang Allah ‎ﷻ, tetapi kerana tersalah sahaja.

Jangan jadikan ini sebagai alasan tidak berdosa kerana ‘tidak tahu’ hukum kerana kita kena belajar agama dengan sebaik-baiknya supaya kita tidak tersalah. Kalau kita tidak belajar, nanti takut kita dipersalahkan kenapa tidak belajar pula.

رَبَّنا وَلا تَحمِل عَلَينا إِصرًا كَما حَمَلتَهُ عَلَى الَّذينَ مِن قَبلِنا

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Jangan pikulkan kepada kami bebanan beragama – mudahkanlah agama kepada kami dengan beri tauhid kepada kami.

Maksud ayat ini, kita minta supaya agama tidak disusahkan untuk kita. Daripada sejarah kita dapat tahu yang syari’at yang diberikan kepada bangsa Bani Israel itu adalah amat berat dan beban sekali. Kita doa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan jadikan kita macam mereka, kerana mereka tidak mampu hendak menanggung bebanan syariat itu.

Syari’at kepada Bani Israel itu amat berat. Antaranya, mereka langsung tidak boleh bekerja pada hari Sabtu – hari kita adalah Hari Jumaat, tetapi tidaklah kita sampai langsung tidak boleh bekerja. Allah ‎ﷻ suruh berhenti kerja waktu salat Jumaat sahaja.

Kita juga telah belajar dalam surah ini bagaimana hukuman kerana mengerjakan amalan syirik menyembah sapi adalah hukuman bunuh, sedangkan syari’at Nabi Muhammad ﷺ tidaklah sampai begitu; mereka telah diharamkan daripada memakan banyak jenis makanan; dan macam-macam lagi syari’at yang berat-berat dikenakan kepada mereka.

Allah ‎ﷻ telah kabulkan doa orang Islam sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ telah sebut yang Allah ‎ﷻ tidak memberati manusia melainkan yang dia sanggup sahaja.

رَبَّنا وَلا تُحَمِّلنا ما لا طاقَةَ لَنا بِهِ

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya.

Sebelum ini tentang bebanan dalam syari’at agama. Kali ini kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya jangan bebankan ujian dalam kehidupan yang kita tidak mampu hendak tanggung. Ini dalam hal takwini seperti sakit, hutang, anak yang degil dan macam-macam lagi.

وَاعفُ عَنّا

Dan maafkanlah kesalahan kami,

Lafaz وَاعْفُ عَنَّا adalah jawapan bagi ayat لَا تُؤَاخِذْنَا. Janganlah hukum kita dalam bebanan agama. Afwun adalah memaafkan seseorang kerana rasa sayang pada seseorang itu. Kita kata kepada Allah ‎ﷻ: Kerana sayang Kau kepada kami, maafkanlah kami kalau ada syari’at agama yang kami tidak dapat penuhi.

وَاغفِر لَنا

serta ampunkanlah dosa kami,

Lafaz وَاغْفِرْ لَنَا untuk ayat وَلَا تُحَمِّلْنَا. Ampunlah kami kalau ada hukum kami tidak mampu buat dan larangan kami tidak mampu tinggal. Tutuplah kesalahan kami itu supaya orang lain tidak nampak.

وَارحَمنا

dan berilah rahmat kepada kami

Berilah rahmat kepada kami dengan beri kami taufik untuk menjalankan segala suruhan Engkau dan meninggalkan segala larangan Engkau, Ya Allah.

Kasihanilah kami, Ya Allah. Jangan beri ujian yang kami tidak mampu tanggung. Jadi ada hubungan dengan وَلَا تُحَمِّلْنَا. Dibawa kembali dalam potongan ayat ini.

أَنتَ مَولَٮٰنَا

Engkaulah Penolong kami

Kita telah pernah sebut sebelum ini yang wali beza dengan mawla. Wali adalah mereka yang mahu menolong kita dan tidak semestinya boleh menolong tetapi mawla adalah yang memang boleh menolong. Maksudnya, hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang mampu melindungi kita, membantu kita dan menyelesaikan masalah kita.

فَانصُرنا عَلَى القَومِ الكٰفِرينَ

tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir

Bantulah kami menegakkan agama Engkau, Ya Allah! kerana kadang-kadang dalam menjalankan tugas dakwah, ada orang yang tidak suka, sampaikan mungkin ke tahap kita kena lawan perang dengan orang kafir. Maka kita memerlukan nasrun daripada Allah ‎ﷻ.

Nasrun adalah pertolongan yang besar. Maka, apabila berhadapan dengan orang kafir, maka kita hanya dapat berharap kepada bantuan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita telah belajar, beginilah doa tentera Talut semasa hendak melawan tentera Jalut.

Allahu a’lam. Alhamdulillah selesai sudah tafsir Surah Baqarah. Selepas ini kita akan mula belajar tafsir Surah Ali Imran. Surah Ali Imran adalah surah yang berpasangan dengan Baqarah. Kita akan lihat ada persamaan antara keduanya. Keduanya saling lengkap melengkapi sesama sendiri.

Komen dan Soalan