Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-283 dan Ke-284

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-283 dan Ke-284

630
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-283

۞ وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ ۖ فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ ۗ وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ ۚ وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

 

وَإِن كُنتُم عَلىٰ سَفَرٍ

Dan jika kamu berada dalam musafir

Dalam musafir pun kita menjalankan kehidupan biasa juga dan kadang-kadang kita berhutang juga atau memberi hutang yang bertempoh, juga berniaga, maka Islam juga menetapkan hukum dalam situasi begini.

وَلَم تَجِدوا كاتِبًا فَرِهٰنٌ مَّقبوضَةٌ

sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang

Kalau dalam musafir mungkin payah sedikit sebab susah hendak mencari penulis dan saksi. Kena ingat yang zaman itu bukan semua boleh menulis. Maknanya, hukum asal masih berjalan, iaitu kena tulis surat perjanjian juga, dan kalau diri sendiri tidak boleh tulis, kena cari orang yang pandai menulis. Namun kalau susah hendak mencari penulis dan saksi, maka kena ada barang gadaian.

Barang itu adalah barang yang ada harga, selalunya ia lebih berharga daripada jumlah hutang itu. Sebagai contoh, mungkin hutang hanya seribu tetapi kita beri cincin yang harganya dua ribu. Diberi cagaran ini supaya mudah orang untuk beri hutang kepada kita sebab dia pegang barang yang lebih mahal daripada yang diberi. Apabila orang pegang barang yang lebih mahal, tentulah yang berhutang itu akan lebih terdesak untuk membayar hutang itu kembali.

Nota: Ayat ini bukanlah menghadkan pegangan barang hanya kalau semasa dalam perjalanan sahaja. Kalau bukan dalam musafir pun, kita boleh minta orang yang hendak berhutang itu memberikan kita memegang barang gadaian kalau kita tidak percaya sangat kepada dia.

Cuma ayat ini menyebut tentang musafir kerana kalau dalam musafir, mungkin tidak jumpa penulis maka waktu itu yang senang dilakukan adalah beri barang gadaian dan tidak dinyatakan penggunaannya di luar musafir kerana tidak mahu menyusahkan umat. Takut nanti kalau kena beri barang gadaian setiap kali berhutang, mungkin akan menyusahkan orang untuk berhutang pula.

Perlu juga diingatkan, kita memegang barang atau harta orang yang berhutang itu hanyalah untuk memastikan dia membayar hutang dia. Orang yang memegang barang gadaian itu tidak ada hak untuk mengambil kesempatan daripada harta itu.

Sebagai contoh, kalau orang yang berhutang itu mencagarkan bangunan miliknya, kita tidak boleh sewakan bangunan itu dan makan duit sewa itu tetapi kalau harta yang diberikan sebagai gadaian itu adalah binatang ternakan, boleh digunakan binatang itu untuk kenderaan dan diambil susunya, kerana semasa kita memegang binatang itu, kita kena beri makan kepada binatang itu.

فَإِن أَمِنَ بَعضُكُم بَعضًا

Kemudian kalau satu pihak memberi amanah kepada pihak yang satu lagi

Jika saling mempercayai sesama sendiri, bolehlah beri hutang tanpa barang gadaian.

فَليُؤَدِّ الَّذِي اؤتُمِنَ أَمٰنَتَهُ

maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan amanah yang diamanahkan kepadanya,

Hendaklah orang yang berhutang itu sempurnakan amanah bayar hutang. Orang telah beri kepercayaan dengan beri hutang tanpa ambil barang gadaian, janganlah ambil kesempatan pula.

Atau ia juga bermaksud kedua-dua pihak memegang amanah. Kalau diberikan gadaian kepada pemberi hutang, pemberi hutang itu sedang memegang amanah orang, kenalah simpan barang itu, jangan dijual pula sebelum tiba masa yang dijanjikan oleh penghutang untuk bayar hutang itu.

Yang berhutang pula, bayarlah hutang seperti yang dijanjikan (daripada segi jumlah dan tarikh pembayaran). Kalau sudah berjanji hendak bayar dalam masa tiga bulan, bayarlah dalam masa tiga bulan atau lebih awal.

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ

dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya.

Semua amanah ini dapat dipenuhi jikalau ada taqwa kepada Allah ‎ﷻ. Takut kepada Allah ‎ﷻ, takut kalau kita tidak memenuhi amanah dan janji itu, takut Allah ‎ﷻ akan murka kepada kita. Kalau tidak ada perasaan taqwa ini, maka susah hendak tunaikan amanah.

وَلا تَكتُمُوا الشَّهٰدَةَ

Dan janganlah kamu menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu.

Ini pula khitab kepada saksi. Jangan apabila dipanggil persaksian mereka oleh qadi, dia sembunyikan penyaksian pula. Salah kalau dia buat begitu. Bila dipanggil, kena datang.

وَمَن يَكتُمها فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلبُهُ

dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya.

Kalau sembunyikan penyaksian, berdosa hati dia. Maknanya, hati dia ada masalah.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Ingatlah bahawa Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan kita. Apa sahaja yang kita lakukan, kita pinjam, kita pegang barang gadaian orang, kita jadi saksi atau sembunyikan persaksian, Allah ‎ﷻ lihat dan Allah ‎ﷻ akan balas perbuatan kita itu.

Tafsir Ayat Ke-284

Ayat ini sehingga ke hujung adalah Perenggan Makro Keempat surah ini yang menjadi Penutup surah ini. Ia memberi janji kejayaan dan keselamatan jika ikut syari’at Nabi yang terakhir. Umat Nabi Muhammad ﷺ akan jadi bangsa yang memimpin dunia.

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ ۗ وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم أَو تُخفوهُ يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

لِّلَّهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَما فِي الأَرضِ

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah.

Ini adalah dalil aqli ke-empat kepada Dakwa Surah. Kita kena puja, taat dan ibadat hanya kepada Allah ‎ﷻ kerana langit dan bumi ini milik Allah ‎ﷻ sahaja, tidak ada entiti lain yang memiliki alam ini.

Allah ‎ﷻ memiliki langit dan bumi, dan bukankah kita juga duduk atas bumi? Maka kita pun milik Allah ‎ﷻ juga. Kalau kita milik Dia, Dia boleh berbuat apa-apa sahaja yang Dia hendak dengan kita.

وَإِن تُبدوا ما في أَنفُسِكُم

Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu

Jika kamu zahirkan dengan perbuatan apa yang ada dalam hati kamu, sama ada dizahirkan dengan lidah ataupun anggota,

أَو تُخفوهُ

atau kamu menyembunyikannya,

Atau kamu sembunyikan niat yang ada dalam hati kamu, Allah‎ ﷻ tetap tahu.

Allah ‎ﷻ hendak ingatkan kepada kita yang segala lintasan hati kita Allah ‎ﷻ tahu dan memang banyak sekali lintasan hati kita: kadang melihat orang, kita benci atau dengki; kadang kita tengok orang buat kebaikan, kita pun hendak ikut juga. Jadi perasaan kita berbolak balik antara kebaikan dan keburukan. Allah ‎ﷻ sentiasa memerhati.

يُحاسِبكُم بِهِ اللَّهُ

nescaya Allah akan menghitungnya

Kalau zahirkan atau sembunyikan, Allah ‎ﷻ tahu dan dalam dua-dua keadaan itu, Allah ‎ﷻ masih akan hisab amalan kita. Maknanya, Allah ‎ﷻ ambil kira juga apa yang di dalam hati kita.

Bila diturunkan ayat ini, para sahabat amat risau kerana mereka kata kalau lidah dan anggota mereka, bolehlah mereka jaga lagi, tetapi kalau hati, mereka susah hendak jaga kerana lintasan hati yang buruk banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kawal. Jadi mereka tanya kepada Nabi ﷺ, bagaimana hendak amalkan ayat ini? Sebab akan ada sahaja lintasan-lintasan hati kita yang tidak baik.

Nabi ﷺ menjawab bahawa yang Allah ‎ﷻ akan azab bukanlah lintasan di dalam hati tetapi apa yang telah ada ‘azam’ di dalam hati. Kalau memang telah ada kesungguhan di dalam hati untuk melakukan sesuatu, barulah diambil kira. Kalau setakat lintasan hati sahaja, tidak dikira lagi. Alhamdulillah kalau begitu, kerana kalau tidak, susah kita.

فَيَغفِرُ لِمَن يَشاءُ

Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya

Allah ‎ﷻ mampu untuk mengampunkan segala dosa kita, kalau Dia kehendaki. Maka hendaklah kita selalu meminta ampun kepada Allah ‎ﷻ.

Lafaz غفرُ daripada segi bahasa maksudnya menutup. Dari sini, kita dapat faham bahawa kalau ada perasaan tidak elok dalam diri kita, tetapi kita tidak jalankan, tidak ada azam untuk teruskan, Allah ‎ﷻ akan tutup sahaja dan tidak ada sesiapa yang tahu, hanya antara kita dan Allah ‎ﷻ sahaja.

وَيُعَذِّبُ مَن يَشاءُ

dan menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kalau Allah ‎ﷻ hendak seksa kita, kita tidak boleh buat apa untuk menghalangnya tetapi ingatlah yang Allah ‎ﷻ Maha Adil.

وَاللَّهُ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Kenapa kita tidak boleh buat sebarangan? Kerana Allah ‎ﷻ berkuasa atas segala sesuatu. Kena sedar yang kita ini hamba dan Dia adalah Tuhan. Dia boleh buat apa sahaja kepada hamba-Nya. Kita kena terima dan redha sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan