Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-281 dan Ke-282

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-281 dan Ke-282

793
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-281

Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.

وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ

Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.

Allah ‎ﷻ sentiasa menyuruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah ‎ﷻ akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.

ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت

Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya,

Apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat.

وَهُم لا يُظلَمونَ

sedang mereka tidak dizalimi

Allah ‎ﷻ tidak akan menzalimi hamba-Nya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda daripada amal perbuatan baik kita itu.

Kita tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Namun Allah ‎ﷻ tidak akan tersalah buat keputusan.

Dosa hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah ‎ﷻ berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu.

Tafsir Ayat Ke-282

Ini adalah ayat terpanjang dalam Al-Qur’an. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ berikan penerangan yang panjang lebar tentang perkara ini. Sebelum ini telah banyak disebut ayat tentang Infaq iaitu ayat anjuran daripada Allah ‎ﷻ.

Kemudian diterangkan pula ayat tentang Riba’, iaitu larangan daripada Allah ‎ﷻ. Pertengahan antara infaq dan riba’, suruhan dan larangan adalah perniagaan, pinjam meminjam sesama manusia. Itu adalah perkara yang halal tetapi perlulah ditangani dengan baik.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ ۚ وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ ۚ وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا ۚ فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ ۚ وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم ۖ فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ ۚ وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا ۚ وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ ۚ ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا ۖ إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها ۗ وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم ۚ وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ ۚ وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Orang yang beriman, kena pandang penting perkara ini. Ia mungkin nampak tidak penting atau tidak biasa diamalkan oleh kita selama ini, tetapi orang beriman akan jaga perkara yang akan disebut sebentar lagi.

إِذا تَدايَنتُم بِدَينٍ إِلىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكتُبوهُ

Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis

Ini adalah ayat Umur Munazimah tentang hutang. Ia mengajar kita untuk menulis maklumat hutang sesama kita. Walaupun ia adalah sunat, tetapi kalau tidak ditulis, boleh terjadi pecah belah dalam masyarakat dan itu yang hendak dielakkan oleh agama.

Kalau tidak ditulis, takut lupa (dan ada yang buat-buat lupa) dan jadi perbalahan apabila masa telah berlalu atau yang berhutang telah mati sebelum sempat hutang dibayar dan waris patut kena bayar, tetapi kalau tidak ada maklumat, tentu waris pun berat hati hendak bayar. Allah ‎ﷻ bantu orang yang memang ada niat hendak membayar hutang itu.

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah ﷻ akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah ‎ﷻ akan membinasakan dirinya. (Hadith Riwayat al-Bukhari: (2387))

Di sebaliknya pula, kalau memang tidak ada niat hendak membayarnya, maka amat bahaya bagi orang itu. Rasulullah ﷺ juga bersabda:

أيُّما رجلٍ يَدَّينُ دَينًا وهو مجمعٌ أن لا يوفِّيه إيَّاه لقي اللهَ سارِقًا

Sesiapa sahaja yang berhutang lalu berniat untuk tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari Kiamat) sebagai seorang pencuri.

(Hadith riwayat Ibn Majah: (1969))

Maka bab hutang bukanlah perkara kecil yang boleh diremehkan. Kalau seseorang mati syahid tetapi ada hutang yang tidak dilangsaikan, dia tidak dapat masuk syurga terus, kena tunggu orang yang dia hutang itu di Mahsyar supaya dapat diselesaikan di situ. Ini berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.

(Hadith Riwayat Tirmidzi: (1079))

Nabi ﷺ sampai tidak salatkan jenazah orang yang mati tetapi ada hutang sehingga diselesaikan hutang itu sebab orang itu ada masalah dengan Tuhan. Oleh itu, tolonglah tulis hutang piutang sesama kita. Ini berdasarkan daripada Salamah bin Akwa` رضي الله عنه bahawa beliau berkata:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا فَقَالَ هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قَالُوا لاَ قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ فَصَلَّى عَلَيْهِ ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟ قِيلَ نَعَمْ، قَالَ فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟، قَالُوا لاَ، قَالَ فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟، قَالُوا ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

“Pernah suatu ketika kami duduk-duduk bersama Rasulullah ﷺ, kemudian kami dibawakan sekujur jenazah. Mereka yang membawa jenazah itu memohon kepada Rasulullah ﷺ: “Mohon disalatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tidak”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan (mewariskan) sesuatu?” Mereka menjawab, “Tidak”. Lalu Baginda mensalatkan jenazah itu. Kemudian dibawakan jenazah lain dan mereka memohon, “Wahai Pesuruh Allah! Salatkan jenazah ini”. Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Ya”. Rasulullah ﷺ bersabda, “Apakah dia meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda mensalatkan jenazah itu. Kemudian datang jenazah ketiga. Mereka memohon: “Mohon disalatkan jenazah ini.” Sabda Rasulullah ﷺ, “Apakah dia ada hutang?” Mereka menjawab, “Tiga dinar”. Lalu Baginda ﷺ bersabda: “Biar kalianlah yang bersalat atas jenazah sahabat kalian ini.” Lalu Abu Qatadah رضي الله عنه merespon: “Mohon salat ke atas jenazah ini wahai Pesuruh Allah, aku akan menanggung hutangnya.” Lalu Baginda mensalatkan jenazah itu.” (Hadith Riwayat al-Bukhari (2286))

وَليَكتُب بَّينَكُم كاتِبٌ بِالعَدلِ

dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil

Kalau kamu tidak boleh tulis, biar ditulis oleh penulis yang adil iaitu orang yang boleh dipercayai. Diletakkan keperluan ini kerana zaman dahulu ramai tidak tahu membaca dan menulis, jadi kena pergi minta tolong kepada orang lain.

Namun di zaman sekarang pula, walaupun semua orang boleh dikatakan pandai menulis, tetapi perjanjian seperti ini kita boleh juga menggunakan khidmat peguam. Jadi, sama sahaja, masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang itu.

وَلا يَأبَ كاتِبٌ أَن يَكتُبَ كَما عَلَّمَهُ اللَّهُ

dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

Jangan penulis yang boleh menulis itu enggan untuk menulis. Jangan dia rasa buang masa dia sahaja hendak kena tulis. Bila diminta untuk jadi penulis, hendaklah dia dengan rela hati, memenuhi hajat orang.

Sebagaimana Allah ‎ﷻ telah ajar mereka boleh menulis, maka gunakanlah kebolehan menulis itu. Allah‎ ﷻ sudah beri satu nikmat boleh menulis kepada mereka, kenalah gunakan untuk kebaikan.

Ini juga mengajar kita, kalau kita ada kelebihan yang Allah ‎ﷻ telah berikan, maka kita kena gunakan untuk kebaikan umum. Bukan dalam hal menulis sahaja. Mungkin ada yang pandai mengajar, bertukang, mengubat dan sebagainya, mereka kena jalankan apa yang mereka boleh buat. Ada sebab kenapa Allah ‎ﷻ beri kelebihan dan kepandaian kepada kita itu, maka gunakanlah untuk kebaikan.

Lagi satu maksud yang kita boleh ambil daripada potongan ayat ini, hendaklah penulis itu menulis menurut hukum Allah ‎ﷻ. Bukan pakai tulis sahaja. Sebagai contoh, tidak boleh ada riba’ dalam peminjaman itu atau kalau ada unsur-unsur gharar atau zalim dalam perjanjian itu, kenalah penulis itu tegur. Maka, yang menulis itu pun kenalah orang yang tahu hukum agama juga.

فَليَكتُب وَليُملِلِ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ

Oleh itu, hendaklah dia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu membacakan/menyebut

Imla’ bermaksud baca supaya boleh ditulis. Yang kena tulis adalah orang yang berhutang, bukan yang beri hutang supaya dia tahu tanggungjawab dia. Kalau dia tulis atau dia yang sebut kepada penulis, dia tahu tanggungjawab dia. Tidak boleh hendak mengubah kata-katanya selepas itu. Yang beri pinjam pula kena ada supaya dia dengar apa yang dibacakan adalah betul.

Kena dituliskan sekali bila boleh bayar. Baru mudah untuk dikira dan agak bila pemberi pinjam boleh mendapatkan semula duitnya itu. Kalau tidak ditetapkan tarikh, nanti penerima hutang boleh ambil kesempatan pula sedangkan mungkin yang beri hutang itu boleh beri pakai sekejap sahaja kerana dia pun hendak pakai duit juga nanti.

وَليَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلا يَبخَس مِنهُ شَيئًا

Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah dia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu.

Takutlah kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah peringatan kepada yang berhutang termasuk penulis itu kerana penulis itu kena tulis dengan tepat, jangan tulis lebih atau kurang pula.

Jangan tulis kurang atau lebih walau sedikit pun kerana kalau tulis sedikit, ia merupakan satu penganiyaan terhadap pemberi hutang dan kalau tulis lebih, penganiyaan kepada penerima hutang pula.

فَإِن كانَ الَّذي عَلَيهِ الحَقُّ سَفيهًا أَو ضَعيفًا أَو لا يَستَطيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَليُملِل وَلِيُّهُ بِالعَدلِ

jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau dia sendiri tidak dapat hendak menyebut, maka hendaklah disebut oleh walinya dengan adil benar)

Kalau ada antara tiga sebab di atas, kenalah ditulis oleh walinya, atau walinya yang membacakan kepada penulis. Sebagai contoh, mungkin penerima hutang itu adalah seorang anak yatim, maka penjaganyalah yang kena mengambil tanggungjawab.

‘Safih’ adalah orang yang tidak pandai mengurus hartanya sendiri, mungkin kerana akalnya kurang. Dalam hal orang seperti ini, mahkamah boleh memegang hartanya dan hanya beri belanja bila perlu sahaja. Ini adalah untuk menjaga maslahah dia juga, kerana kalau dibiarkan, akan ada yang ambil kesempatan atau dia sendiri akan belanja sampai habis hartanya itu.

Dha’if pula adalah anak kecil yang belum mumayyiz atau orang tua yang telah lemah ingatannya.

Yang tidak mampu adalah seperti mereka yang bisu, gagap dan sebagainya.

وَاستَشهِدوا شَهيدَينِ مِن رِّجالِكُم

dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua saksi lelaki kerana kalau kes itu terpaksa dihadapkan ke hadapan qadi, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Maka, kenalah ada saksi semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri.

Walaupun tidak disebut saksi kena adil, tetapi kerana telah disebut penulis dan wali kena adil, maka saksi pun begitulah juga sepatutnya.

Daripada segi Fiqh, kalau saksi diambil dalam kalangan bukan Muslim pun boleh juga, asalkan boleh dipercayai.

فَإِن لَّم يَكونا رَجُلَينِ فَرَجُلٌ وَامرَأَتانِ مِمَّن تَرضَونَ مِنَ الشُّهَداءِ

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi,

Kalau cari punya cari, tidak dapat dua orang saksi lelaki, maka bolehlah pakai seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi. Maknanya, kena ada lelaki juga (sekurang-kurangnya seorang) dan saksi itu hendaklah yang boleh dipercayai oleh kedua belah pihak.

Ini adalah salah satu daripada ayat kontroversi. Ada yang menggunakan ayat ini sebagai hujah bahawa ini menunjukkan yang Islam itu tidak adil terhadap wanita. Mereka kata ayat ini kata dua wanita baru sama dengan satu lelaki dan ini merendahkan martabat wanita.

Ini adalah kata-kata mereka yang tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ. Kita kena ingat yang ini adalah hukum daripada Allah ‎ﷻ, jadi kena taat. Kalau Allah ‎ﷻ sudah kata kena pakai dua orang wanita sebagai ganti seorang lelaki, ikut sahaja kerana tentu ada kebaikan di dalamnya.

Kalau kita cuba hendak jelaskan, ia diberikan sebegini rupa kerana keadaan sosiologi masa itu. Perempuan selalunya tidak keluar rumah dan tidak menjalankan transaksi perniagaan atau hutang, jadi mereka mungkin tidak mahir dengan proses ini. Jadi, elok kalau ada dua orang.

Ayat ini tentang urusan berhutang dan transaksi perniagaan sahaja, bukannya hendak mengatakan yang wanita itu lebih rendah kedudukan daripada lelaki pula. Kena baca dan faham ayat dengan konteks ayat itu.

Ada juga yang mengatakan ayat ini hanyalah sebagai irsyadi sahaja – iaitu sebagai panduan sahaja. Pendapat ini mengatakan kena tengok keadaan semasa. Kalau zaman sekarang, sudah tidak sama dengan zaman dahulu. Mungkin ada perempuan yang lebih mahir daripada lelaki pun dalam hal transaksi perniagaan, maka tidaklah perlu digunakan hukum ini dengan ketat. Allahu a’lam.

أَن تَضِلَّ إِحدَٮٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحدَٮٰهُمَا الأُخرىٰ

supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi.

Kalau seorang saksi lupa, seorang boleh ingatkan kerana manusia itu sifatnya pelupa terutama kalau wanita. Kajian psikologi wanita juga semakin maju. Kita semakin tahu perbezaan antara wanita dan lelaki.

Kalau wanita, mereka ada banyak perkara dalam fikiran mereka dan kerana itu tidak dapat hendak fokus. Kalau jadi saksi, banyak perkara lain yang tidak terlibat pun mereka akan sebut sekali.

وَلا يَأبَ الشُّهَداءُ إِذا ما دُعوا

Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.

Janganlah enggan menjadi saksi apabila dipanggil. Janganlah menyusahkan mereka pula kalau kena jadi saksi. Susahlah hendak menegakkan suruhan Allah ‎ﷻ kalau ada yang tidak mahu beri kerjasama. Tolonglah orang lain, kali ini mungkin kita tolong orang, nanti ada masa kita memerlukan pertolongan orang juga.

وَلا تَسأَموا أَن تَكتُبوهُ صَغيرًا أَو كَبيرًا إِلىٰ أَجَلِهِ

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya.

Jangan penulis jemu hendak menulis. Kadang-kadang mungkin sudah banyak kali kena tolong orang untuk tulis, si penulis mungkin sudah rasa malas hendak tulis. Maka, Allah ‎ﷻ beri peringatan dalam ayat ini.

Tulis surat hutang itu tidak kira sama ada tulis itu untuk jumlah yang sedikit atau banyak kerana mungkin sedikit pada kita, tetapi banyak nilainya kepada orang lain atau nampak sedikit sahaja sekarang, tetapi di kemudian hari, entah jadi perkara yang besar.

ذٰلِكُم أَقسَطُ عِندَ اللَّهِ وَأَقوَمُ لِلشَّهٰدَةِ وَأَدنىٰ أَلّا تَرتابوا

Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah ‎ﷻ lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu.

Yang disebut tadi adalah cara paling adil di sisi Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan sesama manusia dalam hal hutang piutang. Jangan ada perbalahan nanti kerana semuanya telah tertulis.

Ia boleh memastikan penyaksian yang lebih tepat apabila dibawa saksi. Kalau ada perbalahan, tentunya qadi memerlukan saksi yang boleh memberitahu kedudukan perkara yang sebenar dan kalau ada dalam bentuk bertulis, lagilah mudah untuk diadili.

Lebih dekat untuk tidak ada keraguan dalam kalangan kita supaya tidak ada keraguan dalam urusan hutang dan tidak ada perbalahan. Ini kerana Islam mahu umatnya hidup dalam harmoni. Bab duit ini, orang sanggup bertumbuk malah berbunuhan kalau tidak puas hati. Bagaimana hendak dakwah kepada orang lain kalau hubungan sesama kita sendiri tidak selesai dan tidak boleh menjadi contoh?

إِلّا أَن تَكونَ تِجٰرَةً حاضِرَةً تُديرونَها بَينَكُم فَلَيسَ عَلَيكُم جُناحٌ أَلّا تَكتُبوها

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya.

Molek sekali dan dianjurkan sangat untuk tulis transaksi hutang melainkan pembelian tunai. Ini adalah keadaan apabila seseorang beri duit dan seorang beri barang, terus dapat barang itu.

Dalam transaksi seperti ini, tidak payah tulis kerana transaksi telah selesai, kedua-dua pihak telah dapat apa yang mereka kehendaki. Kalau zaman sekarang, tidak payahlah hendak minta resit setiap kali selepas beri barang. Takkan beli air secawan pun hendak kena beri resit pula.

وَأَشهِدوا إِذا تَبايَعتُم

Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli

Kena ada saksi kalau pembelian itu jenis jangka panjang. Ini adalah pembelian yang bayar sekarang dan barang akan hantar lambat lagi. Ini kerana penjual sudah dapat duit dia, tetapi pembeli belum lagi. Kalau tidak ada saksi, entah dia akan hantar barang atau tidak.

Kalau zaman sekarang, sudah ada resit bayaran, maka boleh pakai yang itu. Memang zaman sekarang sudah ada sistem untuk memastikan transaksi sebegini terjaga. Namun bayangkan, 1,400 tahun dahulu pun Islam sudah mengajar tentang perkara ini.

وَلا يُضارَّ كاتِبٌ وَلا شَهيدٌ

Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan.

Jangan bahayakan penulis, jangan pula marah mereka dan jangan susahkan juga bermaksud kena beri upah kepada mereka.

Jangan bahayakan saksi, jangan marah mereka beritahu kebenaran dan juga dianjurkan untuk beri upah kepada mereka.

Kenalah ada persetujuan dan tawar menawar dengan dengan penulis dan saksi sebelum transaksi dijalankan. Kena bincangkan berapa bayaran yang sesuai untuk mereka.

وَإِن تَفعَلوا فَإِنَّهُ فُسوقٌ بِكُم

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu.

Kalau tidak buat apa yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ, maka dia dikira telah melanggar arahan Allah ‎ﷻ. Contohnya, kalau menyusahkan penulis dan saksi seperti mengugut mereka, maka kena jawab dengan Allah ‎ﷻ nanti.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah;

Asas yang paling penting adalah ada taqwa dalam hati kita kerana kalau ada taqwa, senanglah hendak menjalankan hukum-hukum dan arahan Allah ‎ﷻ. Semua hukum dan cara telah diberi, tetapi kalau tidak ada taqwa, ia tidak akan dapat dijalankan pun.

وَيُعَلِّمُكُمُ اللَّهُ

dan (ingatlah), Allah mengajar kamu;

Allah ‎ﷻ ajar kita cara-cara Umur Munazimah ini supaya kita boleh hidup dengan aman harmoni dalam masyarakat. Tidak menyebabkan kerugian mana-mana pihak. Malangnya, kalau tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak tahu pun ada saranan dan cara berhubungan yang hebat sebegini dalam agama Islam.

وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ

dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Allah ‎ﷻ tahu apa sahaja yang kita lakukan. Allah ‎ﷻ juga tahu ada yang akan menipu dalam transaksi mereka sesama manusia. Maka mereka kena ingat bahawa Allah ‎ﷻ sudah pesan bahawa Dia Maha Tahu dan Dia akan membalas kesalahan mereka itu. Dalam dunia mereka mungkin selamat dan dapat untung, tetapi di akhirat mereka akan kerugian yang amat sangat.

Allahu’alam.

Komen dan Soalan