Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-276 hingga Ke-280

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-276 hingga Ke-280

368
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-276

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ وَيُربِي الصَّدَقٰتِ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba’ dan Dia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

يَمحَقُ اللَّهُ ٱلرِّبَوٰاْ

Allah musnahkan riba’

Riba’ mesti dimusnahkan habis-habisan kerana keburukan yang amat sangat. Ia amat menyusahkan manusia dan menyebabkan kemunduran ekonomi.

Ia juga bermaksud yang Allah‎ ﷻ tidak memberi berkat kepada harta yang diperoleh melalui cara riba’. Memang kalau lihat, perniagaan berunsurkan riba’ amat menguntungkan, tetapi ia tidak ada keberkatan. Apabila tidak ada keberkatan, maka ia tidak berguna langsung. Ia tidak memberi kebaikan malah akan menyusahkan kita.

وَيُربِي الصَّدَقٰتِ

dan Dia pula mengembangkan sedekah-sedekah

Allah ‎ﷻ menyuburkan sedekah. Ada banyak kebaikan sedekah dan kita telah sebutkan balasan Allah‎ ﷻ kepada mereka yang infaq pada jalan Allah ‎ﷻ. Sedekah mendekatkan hubungan antara yang memberi dengan yang diberi; dan yang diberi sedekah itu tentunya mendoakan si pemberi sedekah itu. Balasan daripada Allah ‎ﷻ dapat, hubungan dengan manusia pun juga baik.

وَاللَّهُ لا يُحِبُّ كُلَّ كَفّارٍ أَثيمٍ

Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Allah‎ ﷻ tidak suka kepada mereka yang melanggar hukum yang telah ditetapkan. Riba adalah sesuatu yang berat dan kalau ada yang tidak mahu ikut perintah maka, Allah ‎ﷻ amat marah. Kita pun sudah lihat hukuman Allah ‎ﷻ akan mengekalkan pelakunya kekal dalam neraka.

Tafsir Ayat Ke-277

Ini adalah ayat Tabshir (beri berita gembira).

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

إِنَّ الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,

Beriman itu maksudnya beriman dengan sempurna dan tidak melakukan syirik.

Beramal soleh itu pula adalah melakukan amal ibadah yang ada contoh daripada Nabi ﷺ. Maka ini menolak amal ibadah rekaan seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat kita. Amalan yang bukan daripada contoh Nabi ﷺ dan para sahabatnya dinamakan bid’ah.

وَأَقامُوا ٱلصَّلَوٰةَ وَءآتَوُا ٱلزَّڪَوٰةَ

dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,

Allah ‎ﷻ menyebut dua jenis hubungan iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ (ibadat) dan hubungan dengan makhluk (adat). Salat adalah ibadat terbaik dan zakat adalah contoh terbaik daripada adat.

Masyarakat Islam yang mengamalkan salat berjama’ah dan mengeluarkan zakat adalah masyarakat yang tidak mengamalkan riba’. Sepatutnya dalam masyarakat Islam, yang kaya menolong yang miskin supaya tidak perlu sangat meminjam.

Yang kaya sepatutnya suka untuk infaq dan yang miskin tidak meminta-minta yang tidak perlu kerana mereka tahu yang Islam tidak suka umatnya meminta-minta kecuali kalau terdesak. Maka, mereka akan belajar redha dengan keadaan mereka.

لَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,

Allah ‎ﷻ janjikan pahala kepada mereka yang sebegitu. Allah ‎ﷻ Maha Pemurah dan sanggup untuk beri balasan yang berganda-ganda asalkan mahu taat kepada-Nya.

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak ada ketakutan untuk menghadapi akhirat.

Mereka tidak berdukacita untuk meninggalkan dunia ini kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Tafsir Ayat Ke-278

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba’ (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman!

Dengarlah wahai orang yang beriman. Allah ‎ﷻ ulang pengajaran tentang riba. Orang yang hendak beriman, kenalah mengikutnya.

اتَّقُوا اللَّهَ

Bertaqwalah kamu kepada Allah

Ikutlah dan jagalah segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ. Tanda orang bertaqwa adalah mereka akan memikirkan apakah hukum dalam sesuatu perkara itu dan akan taat kepada hukum itu.

وَذَروا ما بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ

dan tinggalkanlah saki baki riba’

Jangan buat langsung riba’ itu. Kalau dulu ada mengamalkan riba’, jangan buat lagi. Tinggalkan 100%. Jangan terlibat langsung.

Ayat-ayat tentang riba’ ini diturunkan di hujung-hujung hayat Nabi ﷺ, maka perincian dalam hadith tidak banyak. Maka peganglah nasihat daripada Saidina Umar رضي الله عنه ini:

“Sesungguhnya ayat Al-Qur’an yang akhir sekali turunnya adalah ayat Riba. Dan Rasulullah ﷺ telah wafat, padahal belum seluruhnya baginda terangkan kepada kita. Oleh kerana itu, tinggalkanlah mana yang menimbulkan keraguan di dalam hati kamu dan pilihlah apa-apa yang tidak menimbulkan keraguan.”

إِن كُنتُم مُّؤمِنينَ

jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Kalau kamu beriman, maka kamu akan ikut. Jangan hanya melihat kepada keuntungan harta sahaja. Kena fikirkan baik buruk di akhirat kelak. Harta kita boleh sahaja cari dengan cara yang halal.

Tafsir Ayat Ke-279

فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba’ itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasu-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

فَإِن لَّم تَفعَلوا

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan

Kalau sudah tahu hukum haram riba, tetapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat dari Allah ‎ﷻ!

فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ

maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya,

Allah ‎ﷻ isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba’. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba’ ini.

وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم

Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.

Walaupun sudah diharamkan riba’, tetapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba’ sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal.

لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ

kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak daripada yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang.

Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus lupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba’.

Tafsir Ayat Ke-280

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup

Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba’). Ini pun dikira bantu juga kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia jadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik daripada beri sedekah.

Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba’ atau tidak. Kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dia sudah usaha hendak bayar, cuma tidak boleh sahaja.

Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah ‎ﷻ akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tidak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia hendak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu.

فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ

maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya

Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Wajib bagi masa hingga dia boleh bayar. Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini.

وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم

dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu

Apabila kita beri pinjam, tanpa ambil riba’, kita sudah dapat pahala kerana kita telah membantu orang dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam.

Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya.

Masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Dia yakin balasan daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang infaq.

Orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, bagaimana hendak tahu?

إِن كُنتُم تَعلَمونَ

kalau kamu mengetahui

Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan melepaskan peluang untuk sedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tetapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak.

Allahu’ alam.

Komen dan Soalan