Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-273 hingga Ke-275

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-273 hingga Ke-275

901
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-273

Allah ‎ﷻ ajar kita untuk memilih tempat infaq dengan terbaik. Infaq yang elok adalah kepada fakir miskin seperti yang telah disebut. Tetapi yang terbaik adalah kepada fakir miskin yang sedang menegakkan agama Allah ‎ﷻ.

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka orang kaya – oleh orang yang tidak mengetahui halnya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

لِلفُقَراءِ الَّذينَ أُحصِروا في سَبيلِ اللَّهِ

bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya pada jalan Allah

Infaq terbaik yang boleh kita berikan adalah kepada fakir miskin yang terikat mereka itu di jalan Allah ‎ﷻ.

Ini kerana fakir miskin ada juga yang tidak baik, tidak beriman dan mungkin jadi fakir sebab mereka malas bekerja sahaja. Tetapi ada fakir miskin yang mengajar agama, berdakwah dan kerja-kerja lain dalam agama.

Mereka telah ‘mengikat’ diri mereka di jalan Allah ‎ﷻ sampai tidak ada masa mencari harta. Mungkin mereka telah mewakafkan diri mereka untuk mengajar Al-Qur’an kepada masyarakat atau mengajar hadith kepada manusia. Infaq kepada mereka seperti ini adalah yang terbaik.

لا يَستَطيعونَ ضَربًا فِي الأَرضِ

yang tidak berupaya mengembara di muka bumi untuk mencari rezeki

Mereka tidak sempat ke sana sini untuk mencari rezeki kerana sibuk mengajar. Mereka perlu dibantu kerana kalau mereka sibuk cari pendapatan, mereka akan kurang kerja pada agama.

Kita kena sedar yang mereka itu bukan malas bekerja, tetapi mereka rasa tugas mereka mengajar atau berdakwah itu lebih penting lagi untuk kepentingan masyarakat.

Ada guru agama yang ada kerja dan mereka mengajar separuh masa. Maka mereka seperti ini tidak memerlukan bantuan orang lain. Mereka lebih suka tidak mengambil apa-apa daripada anak murid.

Tetapi ada guru agama yang memang sepenuh hidup mereka mengajar agama. Mereka tidak ada kerja lain. Maka kepada mereka yang sebegini, kenalah bantu mereka. Tidak perlu tunggu mereka meminta.

يَحسَبُهُمُ الجاهِلُ أَغنِياءَ مِنَ التَّعَفُّفِ

orang-orang yang jahil menyangka mereka itu kaya kerana kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta.

Orang yang jahil agama sangka mereka yang mengajar itu kaya raya sebab mereka itu tidak meminta-minta. Yang jahil menyangka, orang yang susah tentulah minta tolong, bukan? Tetapi guru-guru agama itu tidak meminta-minta tolong pun, relaks sahaja nampaknya. Jadi orang jahil sangka: Mereka tidak minta tolong, tentu mereka itu sudah cukup keperluan.

Ingatlah yang mengajar itu tidak meminta-minta dengan orang, tetapi mereka akan berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ akan bantu mereka kerana Allah ‎ﷻ sudah berjanji untuk beri jalan keluar kepada orang yang bertaqwa.

تَعرِفُهُم بِسيمٰهُم

Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat mereka

Kamu yang mengaji agama akan kenal mereka yang memerlukan pertolongan dengan melihat cara hidup mereka. Lihatlah bagaimana cara mereka pakai, bagaimana cara mereka makan dan sebagainya.

Maka kena sensitiflah sedikit dengan memerhatikan memek muka mereka, pakaian mereka, cara mereka bercakap yang mungkin mereka ada sebut keperluan mereka dengan amat berhalus. Dalam hal ini kena faham-fahamlah.

لا يَسأَلونَ النّاسَ إِلحافًا

mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak.

Mereka tidak meminta kepada manusia dengan cara bersungguh-sungguh. Mereka tidak minta dengan cara yang memalukan. Mereka tidak memalukan diri mereka dengan minta dengan cara yang kuat.

Mungkin mereka beri isyarat sahaja dan kalau dia nampak kita macam berat hendak beri, dia dengan segera kata sebenarnya dia tidak perlukan pun. Mereka yang jahil, akan rasa kalau dia tidak minta bersungguh-sungguh, tentulah dia tidak perlu mana.

Namun Allah ‎ﷻ sudah beritahu sifat mereka – mereka tidak mendesak. Mereka memang memerlukan, tetapi mereka tidak mendesak-desak seperti orang lain. Ini kerana pengharapan mereka telah letakkan pada Allah ‎ﷻ. Tambahan pula dalam kerja mengajar agama ini, takut orang salah faham. Ramai yang jahil menuduh orang yang mengajar agama kerana hendakkan duit masyarakat.

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَليمٌ

Dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan daripada harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ beri lagi motivasi kepada kita untuk infaq dan sedekah. Entah berapa kali Allah ‎ﷻ sudah beritahu. Maka, kena ingatlah perkara ini. Pahala amat banyak bagi mereka yang infaqkan harta mereka di jalan Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-274

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم بِاللَّيلِ وَالنَّهارِ

Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang,

Maksud siang dan malam itu adalah ‘sentiasa’. Ini mengajar kita bahawa infaq itu perlu dilakukan berterusan. Perlu dilakukan setiap masa dan bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Bila ada peluang sahaja, kita jalankan infaq kita. Mata kita sentiasa mencari peluang untuk menolong orang lain.

سِرًّا وَعَلانِيَةً

dengan cara sulit atau terbuka,

Kadang-kadang kita infaq secara senyap dan kadang-kadang kita terpaksa infaq di depan orang yang melihat kita. Kita bukannya sengaja hendak tunjuk tetapi waktu itu memang ada orang lain. Maknanya bila ada peluang sahaja, kita akan infaqkan harta kita sama ada secara senyap atau tidak.

فَلَهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka,

Allah ‎ﷻ menjadikan pahala dari sisi-Nya. Kalau Allah ‎ﷻ kata ia dari sisi-Nya, tentulah ia adalah amat besar sekali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana banyaknya pahala itu.

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Mereka tidak perlu ditakuti lagi nasib mereka di akhirat kerana mereka telah banyak bekal.

وَلا هُم يَحزَنونَ

serta mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak berdukacita semasa meninggalkan dunia kerana mereka akan pergi ke tempat yang lebih baik.

Tafsir Ayat Ke-275

Dalam ayat sebelum ini, Allah ‎ﷻ banyak menyebut tentang infaq iaitu suruhan untuk menghimpun harta kita di akhirat, manakala, di dalam ayat ini pula Allah ‎ﷻ menyebut tentang mereka yang menghimpun harta di dunia dengan cara haram.

Sudahlah himpun harta kemudian tidak infaq (itu pun sudah tidak molek), tetapi masih boleh lagi. Masalahnya sekarang mereka yang disebut dalam ayat ini, mereka himpun harta mereka itu dengan cara haram.

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ ۚ ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۗ وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ ۖ هُم فيها خٰلِدونَ

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba’”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba’. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu dia berhenti (dari mengambil riba’), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba’ itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

الَّذينَ يَأكُلونَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba’

‘Makan’ dalam ayat ini maksudnya ambil riba’ kerana yang memberi hutang berlandaskan riba’ itu adalah untuk mereka makan sebenarnya, untuk menjaga perut mereka supaya kenyang sentiasa. Mereka sudah tidak kira kesusahan orang lain.

Mereka ambil keuntungan atas kelemahan dan kesusahan manusia dengan cara melanggar syarak. Mereka buat duit menggunakan duit. Mereka beri pinjam kepada manusia dan minta bayaran yang lebih daripada modal yang diberi. Mereka mendapat kekayaan dengan cara yang haram sedangkan banyak lagi cara halal yang lain.

Pada Zaman Jahiliyyah, jikalau orang yang meminjam tidak dapat membayar selepas waktu yang telah dijanjikan, hutang itu akan digandakan. Kalau tidak bayar juga selepas setahun, akan digandakan sekali lagi.

Makanya, hutang yang asalnya sedikit akan menjadi berganda-ganda. Hutang itu sampaikan boleh jadi turun temurun, kena dibayar oleh anak beranak yang meminjam jika mereka mati tidak sempat bayar semua hutang.

لا يَقومونَ إِلّا كَما يَقومُ الَّذي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيطٰنُ مِنَ المَسِّ

tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.

Ini adalah keadaan mereka yang mengambil riba’. Keadaan mereka itu macam orang kena rasuk hantu. Memang tidak macam manusia biasa. Rambut kusut masai, jalan huyung hayang. Sudah tidak dapat dinasihatkan lagi kerana mereka tidak dengar nasihat.

Mereka ke sana dan ke sini sebab hendak kutip duit mereka daripada orang yang berhutang dengan mereka. Mereka menjadi bengis sebab hendak kutip hutang daripada orang yang berhutang.

Mereka sentiasa mengira-ngira duit mereka, risau siapa tidak bayar lagi, siapa akan bayar lambat lagi… ada yang sudah mati tidak dapat bayar, ada yang lari, ada yang degil tidak mahu bayar…. kepala mereka asyik pusing memikirkan duit mereka sahaja.

Ayat ini menjadi dalil bahawa memang jin ada merasuk manusia. Memang ia berlaku dan banyak terjadi dalam masyarakat kita. Malangnya ramai menggunakan cara yang salah untuk mengubati pesakit dengan amalan-amalan yang salah. Namun ia adalah perbincangan yang panjang untuk dibincangkan di sini.

Di dunia ini, kalau hendak lihat mereka yang berperangai macam dirasuk syaitan, boleh lihat mereka yang bekerja di Bursa Saham. Kalau tengok masa penutup (“closing time”) bursa, mereka sudah macam orang gila atau seperti monyet yang kepanasan.

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم قالوا إِنَّمَا البَيعُ مِثلُ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba’”.

Mereka dikenakan dengan azab itu kerana mereka kata riba’ itu halal sama macam perniagaan biasa. Ini adalah hujah mereka untuk membenarkan apa yang mereka lakukan.

Ini adalah alasan mereka sahaja. Mereka kata mereka cuma menjalankan perniagaan sahaja kerana wang yang mereka beri pinjam itu, kalau mereka laburkan ke tempat lain, mereka akan dapat pulangan juga (kata mereka). Macam-macam lagi hujah bathil mereka untuk membenarkan amalan riba’ mereka itu. Teruk sekali fahaman mereka.

Padahal, tidak sama hutang riba’ dan perniagaan. Perniagaan adalah seorang pembeli memerlukan barang yang dibekalkan oleh penjual. Penjual membekalkan barang yang diperlukan dengan harga modal dicampur dengan untung usahanya menyediakan barang itu. Maka dua-dua pihak akan dapat keperluan masing-masing. Pembeli dapat barang yang diperlukan dan penjual dapat untung.

Mereka berhujah, wang mereka itu kalau mereka niagakan atau dilaburkan, pun akan mendapat duit juga. Jadi mereka kata tidaklah salah kalau mereka beri pinjam dan kemudian dapat pulangan. Ini pun tidak benar kerana kalau niaga, belum tentu dapat untung; dan kalau laburkan, belum tentu dapat pulangan. Sedangkan dalam beri pinjaman riba’, pulangan sudah pasti.

Zaman sekarang, macam tidak boleh lagi untuk mengelak daripada terlibat dengan riba’. Di mana-mana sahaja ada riba’. Untuk beli rumah, beli kereta dan sebagainya. Yang lebih malang, anak-anak kita masuk universiti pun kena buat pinjaman yang ada riba’ juga. Bila keluar universiti, kerja belum tentu dapat lagi, tetapi sudah mula kena bayar bunga riba’.

Maka untuk menjaga daripada terlibat dengan riba’ ini memerlukan semangat juang yang amat tinggi. Kena sedar yang riba’ itu memang bahaya dan kalau sedar bahayanya riba’, barulah semangat kuat untuk melawan daripada terlibat dengan riba’.

وَأَحَلَّ اللَّهُ البَيعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ‌ۚ

Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Hujah membenarkan riba’ dengan akal itu adalah bathil kerana Allah ‎ﷻ dengan jelas telah mengharamkan riba’. Ia menyusahkan manusia dan menyebabkan masalah ekonomi dunia. Yang kaya semakin kaya dan yang miskin semakin miskin.

Bayangkan pembelian rumah. Rumah yang boleh dibeli asalnya, menjadi mahal sangat sampai tidak mampu diberi secara tunai. Rumah yang 20 tahun dahulu berharga RM20 ribu, mungkin sekarang sudah berharga sejuta kerana telah dimasukkan dengan unsur riba’.

Ini adalah kerana pembeli pertama akan pinjam wang daripada bank yang mengenakan riba’. Kemudian apabila dia hendak jual, tentu dia akan jual lebih mahal kerana hendak masukkan kos riba’ yang dia telah bayar, termasuk dengan keuntungan. Yang beli pula kena pinjam bank pakai riba’ juga. Kemudian dia pun akan jual dengan harga yang lebih mahal lagi.

Maka rumah yang menjadi keperluan asas manusia menjadi terlalu mahal sangat sampai susah untuk dibeli. Akhirnya mana orang hendak duduk? Oleh kerana terpaksa juga ada rumah, maka ramailah yang hendak tidak hendak, pakai juga sistem riba’. Itulah keburukan riba’ sampai merosakkan ekonomi dunia.

Kajian telah banyak dijalankan untuk menunjukkan bagaimana konsep riba’ itu adalah buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara malah dunia. Kalau dikaji kenapa ada orang yang hidup gelandangan, ekonomi negara runtuh sampai tidak ada pekerjaan dan matawang jadi susut sampai tiada nilai… ia adalah kerana riba’.

Kitalah umat Islam yang kena sampaikan ajaran Allah ‎ﷻ tentang keburukan riba’ ini supaya manusia yang bukan Islam pun boleh tahu. Malah, ada pakar ekonomi yang masuk Islam kerana nampak keburukan riba’ dan melihat bagaimana agama Islam sahaja agama yang menentang riba’.

فَمَن جاءَهُ مَوعِظَةٌ مِّن رَّبِّهِ فَانتَهىٰ فَلَهُ ما سَلَفَ

Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan dari Tuhannya lalu dia berhenti, maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya,

Boleh ambil modal/pokok yang telah diberikan dahulu. Ini kerana semasa ayat ini turun, ada sahabat yang mengamalkan riba’. Tidaklah terus tinggalkan transaksi itu sampai dia kerugian pula. Allah ‎ﷻ tidak menyusahkan. Masih boleh ambil balik wang dia.

Namun hanya ambil yang pokok sahaja. Maksudnya, kalau dia beri pinjam seratus riyal dan peminjam kena bayar 150 riyal, dia boleh ambil balik seratus riyal itu sahaja. Bunga dia tidak boleh ambil.

Satu lagi maksud ayat ini, ‘baginya apa yang lepas’. Maksudnya yang sudah itu, sudahlah. Berhenti sahaja daripada berbuat riba’, tetapi tidaklah perlu diganti balik kepada penghutang yang sudah banyak kamu makan harta mereka.

وَأَمرُهُ إِلَى اللَّهِ ۖ

dan perkaranya terserahlah kepada Allah.

Terpulanglah kepada Allah ‎ﷻ sama ada akan mengampunkannya atau tidak. Serahkan kepada Allah ‎ﷻ semoga Allah ‎ﷻ ampunkan. Asalkan kita mahu berubah dan bertaubat di atas kesalahan yang lama.

Sama juga macam perbuatan syirik sembah berhala yang kamu lakukan dahulu, minta ampun sahaja. Benda yang sudah dibuat jangan dikenang lagi kerana perkara yang dilakukan dahulu adalah kerana jahil. Sekarang Allah ‎ﷻ sudah beri ilmu, maka taat dan ikutlah ia.

وَمَن عادَ فَأُولٰئِكَ أَصحٰبُ النّارِ

Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba’ itu) maka itulah ahli neraka,

Ini adalah orang yang degil, liat untuk ikut syariat dan hukum daripada Allah ‎ﷻ. Kalau masih berdegil juga, syariat telah diberikan tetapi masih tidak mahu ikut juga, maka tempat yang layak baginya adalah neraka.

هُم فيها خٰلِدونَ

mereka kekal di dalamnya.

Bukan tinggal di neraka sekejap sahaja, tetapi selama-lamanya, tidak ada harapan untuk diampunkan. Ini adalah amaran yang amat berat sekali. Oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat, maka hukumannya pun berat.

Malangnya, orang kita tidak berapa ambil kisah tentang riba’ kerana ia sudah diamalkan merata-rata. Ini sama seperti amalan bid’ah yang sudah turun temurun diamalkan dalam masyarakat. Kita rasa ia biasa sahaja kerana ia sudah lama diamalkan dan ramai pula yang terlibat, maka kita anggap ia perkara biasa sahaja.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan