Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-270 hingga Ke-272

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-270 hingga Ke-272

312
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-270

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ ۗ وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan (dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka sesungguhnya Allah mengetahui-Nya dan (ingatlah), orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

وَما أَنفَقتُم مِّن نَّفَقَةٍ

Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan daripada infaq

Tidak disebut infaq apa dalam ayat ini. Maka ia boleh merujuk kepada infaq untuk jalan Allah ‎ﷻ atau infaq kepada maksiat.

أَو نَذَرتُم مِّن نَّذرٍ

atau apa sahaja yang kamu nazarkan

Nazar disebut dalam ayat ini kerana nazar pun adik beradik infaq juga sama ada nazar pada jalan Allah ‎ﷻ atau ke jalan maksiat.

Nazar adalah satu janji untuk melakukan sesuatu jikalau sesuatu terjadi. Sebagai contoh, kita bernazar untuk infaq kepada sekolah agama kalau anak kita dapat keputusan yang baik.

فَإِنَّ اللَّهَ يَعلَمُهُ

sesungguhnya Allah mengetahui-Nya

Allah ‎ﷻ hendak beritahu yang apa sahaja yang kita infakkan untuk kebaikan, Allah ‎ﷻ tahu, maka tidak payah sibuk beritahu kepada orang kerana kita harap pahala daripada Allah ‎ﷻ sahaja.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau kita infaq atau nazar kepada keburukan, pun Allah ‎ﷻ tahu juga.

وَما لِلظّٰلِمينَ مِن أَنصارٍ

orang-orang yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan yang kalau sesiapa infaq kepada perkara keburukan, Allah ‎ﷻ akan beri balasan azab dan tidak akan ada sesiapa yang dapat menyelamatkan dia.

Tafsir Ayat Ke-271

Kadang-kadang kerana tuntutan semasa, kita kena zahirkan sedekah kita. Terutama kalau zakat wajib. Ini pun bagus juga supaya orang kaya lain pun ikut keluarkan zakat sebab ikut kita. hinggakan ulama’ kata sunat untuk menzahirkan zakat wajib.

Tetapi jika ‘sedekah sunat’, disunatkan untuk merahsiakannya untuk menjaga keikhlasan kerana takut ada timbul suka dalam hati kita kalau ada orang nampak.

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم ۗ وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ

Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik

Ayat ini memberi hukum bahawa boleh untuk kita zahirkan sedekah kita. Kadang-kadang itu adalah sebaik-baik cara tetapi kena tengok keadaan juga.

Kadang-kadang ada suasana yang apabila kita mula keluarkan sedekah, orang lain ada ikut. Ada satu hadith bagaimana semasa Nabi ﷺ di dalam satu majlis dengan para sahabat, telah datang seorang peminta sedekah. Nabi ﷺ suruh mereka membantu peminta sedekah itu tetapi tidak ada sesiapa pun yang bangun membantu pada mulanya. Namun kemudian seorang sahabat telah bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu. Melihat perbuatan sahabat yang pertama itu, para sahabat yang lain pun mulai bangun dan memberi sedekah kepada lelaki itu.

Maka Rasulullah ﷺ memberitahu yang sahabat yang mula buat itu dapat pahala sedekah sahabat-sahabat yang lain juga.

“Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebenaran) adalah baginya pahala sebagaimana pahala bagi orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan pahala tersebut sedikitpun.” (Sahih Muslim)

وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم

Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu;

Namun kalau kita sembunyikan sedekah itu dan berikan pada tempat yang betul, itu lebih baik kerana hati kita terjaga daripada sifat riak dan ujub.

Memberi pada tempat yang betul adalah lebih baik. Ini penting kerana kadang-kadang manusia beri kepada tempat yang tidak kena. Maka, kita bukan sahaja kena sedekah, tetapi kena pandai memilih tempat pemberian yang sesuai. Dalam ayat ini disebut fakir miskin, kerana mereka antara golongan yang amat memerlukan bantuan daripada orang lain.

وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُم

dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu.

Berkat daripada amalan infak, Allah ‎ﷻ akan tutup dosa-dosa kita. Allah ‎ﷻ sebut dalam ayat ini, ‘sebahagian’ daripada dosa-dosa kita. Maknanya, bukan semua dosa akan ditutup. Kalau dosa kecil, Allah ‎ﷻ ampunkan terus.

Tetapi kalau dosa besar, Allah ‎ﷻ akan gerakkan hati kita untuk bertaubat. Ini adalah kerana perkataan من maksudnya ‘sebahagian’ dan bukan semua. Dosa-dosa yang besar hendaklah kita minta ampun secara khusus.

وَاللَّهُ بِما تَعمَلونَ خَبيرٌ

Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Sama ada kita beri secara zahir atau kita sembunyikan sedekah kita itu, Allah ‎ﷻ tahu. Maka janganlah kita risau sama ada Allah ‎ﷻ balas atau tidak. Tidak perlu kita hendak beritahu kepada orang lain, yang penting Allah ‎ﷻ sudah tahu dan yang kita pentingkan adalah Allah ‎ﷻ sedar apa yang kita lakukan, bukan?

Tafsir Ayat Ke-272

۞ لَيسَ عَلَيكَ هُدِىٰهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ ۗ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم ۚ وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ ۚ وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

لَيسَ عَلَيكَ هُدىٰهُم

Tidaklah ke atas engkau memberi hidayah kepada mereka

Tidak boleh berhenti daripada berbuat baik kalau apa yang kita hendak tidak menjadi. Contohnya, mungkin kita tolong orang supaya dia ikut kita belajar, tetapi dia tetap tidak mahu datang. Atau kita bantu dia kerana kita hendak nasihatkan dia menjadi orang yang baik, tetapi itu tidak terjadi.

Kadangkala kita mungkin rasa sia-sia sahaja kita infaq dan bantu orang dan orang itu tidak jadi seperti yang kita harapkan. Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang janganlah kita sampai berhenti daripada menolong dia.

Ingatlah yang memberikan hidayah bukan atas kuasa kita. Zaman Nabi ﷺ pun jadi macam itu. Sahabat ada yang tolong keluarga mereka yang kafir tetapi mereka tidak mahu juga masuk Islam. Mereka sampai satu ketika sudah tidak mahu hendak tolong keluarga mereka lagi. Jadi Allah ‎ﷻ tegur perbuatan mereka itu. Allah‎ ﷻ mengingatkan yang bukan kita yang beri hidayah kepada orang lain.

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَهدي مَن يَشاءُ

akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Kita hanya boleh sampaikan dakwah sahaja. Kita hanya boleh mengajak sahaja. Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh beri hidayah. Jadi jangan rasa bersalah kalau orang yang kita dakwah itu tidak mahu menerima dakwah itu kerana hidayah dan iman di dalam tangan Allah ‎ﷻ.

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ فَلِأَنفُسِكُم

Dan apa jua harta yang halal yang kamu infaqkan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri

Jangan berhenti daripada infaq termasuk kepada orang yang tidak mengikut ajakan dakwah kita. Ini kerana kalau mereka masih tidak mahu beriman, tidak mahu datang belajar agama, kita masih juga dapat pahala infaq itu. Maka tidaklah sia-sia perbuatan infaq kita itu kerana pahala sudah tertulis.

وَما تُنفِقونَ إِلَّا ابتِغاءَ وَجهِ اللَّهِ

dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredhaan Allah

Hendaklah kita infaq kerana mencari redha Allah ‎ﷻ. Inilah tujuan kita infaq sebenarnya. Maka kalau kita infaq kerana hendak mengubah seseorang, kena ingat balik yang kita infaq itu adalah kerana mencari redha Allah ‎ﷻ, bukannya kerana hendak ubah orang. Ubah orang ke arah kebaikan itu adalah bonus sahaja.

Ayat ini sebenarnya adalah ayat arahan daripada Allah ‎ﷻ walaupun ianya dalam jumlah khabar (pemberitahuan). Nampaknya macam ayat beritahu, tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan. Macam kita cakap kepada anak-anak kita: “Ingat yer… keluarga kita tidak ada kurang ajar dengan orang tua…” Ayat itu macam ayat beritahu (ayat khabar), tetapi sebenarnya ia adalah ayat suruhan dan peringatan.

وَما تُنفِقوا مِن خَيرٍ يُوَفَّ إِلَيكُم

dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu

Nescaya infaq kita itu akan dibalas dengan baik di akhirat. Pahala infaq tetap akan dapat. Ini adalah janji daripada Allah ‎ﷻ dan kalau Allah ‎ﷻ yang janji, tentu Allah ‎ﷻ akan tepati.

وَأَنتُم لا تُظلَمونَ

dan kamu tidak akan dizalimi

Maksudnya tidak kurang pahala yang Allah ‎ﷻ balas daripada infaq kita itu. Malah Allah ‎ﷻ beri berlebih-lebih kali ganda lagi.

Contoh bagaimana Allah ‎ﷻ beri lebih lagi kepada kita: Kadang-kadang kita hendak beri kepada orang lain supaya ikut kita belajar, tetapi kadang-kadang Allah ‎ﷻ beri orang lain yang ikut kita.

Maknanya Allah ‎ﷻ menggantikan dengan orang lain. Maka, yang kita infaq itu, kita dapat pahala infaq walaupun dia tidak ikut belajar dan yang ikut belajar itu pun kita dapat pahala dakwah pula.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan