Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-260 hingga Ke-262

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-260 hingga Ke-262

692
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafisr Ayat Ke-260

Sebelum ini telah disebut ayat-ayat tentang Tauhid. Bagi mereka yang sudah ada akidah tauhid, Allah ‎ﷻ akan ajar mereka untuk menguatkan akidah dengan berbagai-bagai cara supaya mereka semakin beriman dan semakin kukuh iman.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ ۖ قالَ أَوَلَم تُؤمِن ۖ قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي ۖ قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ فَصُرهُنَّ إِلَيكَ ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا ۚ وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”. Allah berfirman: “(Jika demikian), ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَإِذ قالَ إِبرٰهِـۧمُ رَبِّ أَرِني كَيفَ تُحيِي المَوتىٰ

Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?”

Permintaan Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah kerana baginda hendak melihat bagaimana cara Allah ‎ﷻ menghidupkan makhluk yang telah mati. Baginda hanya hendak tahu cara sahaja, kerana Nabi Ibrahim عليه السلام tentunya sudah yakin.

قالَ أَوَلَم تُؤمِن

Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya?

Allah ‎ﷻ tanya itu sebagai pengukuhan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام yakin, cuma hendak tahu sahaja. Dengan pertanyaan Allah ‎ﷻ ini, dan jawapan yang diberikan oleh baginda, tahulah kita yang baginda hendak tahu sahaja dan supaya mengukuhkan iman baginda.

قالَ بَلىٰ وَلٰكِن لِّيَطمَئِنَّ قَلبي

Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi supaya tenteram hatiku

Tujuan Nabi Ibrahim عليه السلام tanya itu adalah supaya tenang dan teguh hati baginda dengan melihat cara dihidupkan makhluk yang telah mati.

Oleh itu, dari sini kita dapat tahu yang ‘yakin’ dan ‘teguh hati’ adalah dua perkara berbeza. Kita boleh dapat keteguhan itu dengan bermacam-macam cara. Kadang-kadang kita dapat sesuatu maklumat dalam mimpi. Kadang-kadang dengan kejadian yang terjadi kepada orang lain.

Atau kadang-kadang selepas kita mendengar ceramah atau buku yang menyentuh hati kita. Ada yang mendapatnya setelah belajar tafsir Al-Qur’an kerana dengan faham lebih mendalam, dapat meneguhkan iman seseorang juga.

Macam-macam cara Allah ‎ﷻ boleh berikan keteguhan hati kepada manusia. Akan tetapi kepada para Nabi, mereka ditunjukkan dengan perkara-perkara ajaib seperti yang kita akan baca sebentar lagi. Ini kerana kedudukan mereka lain daripads kita dan mereka memerlukan keteguhan hati yang lebih lagi kerana mereka berhadapan dengan tentangan yang amat besar daripada kaum mereka.

قالَ فَخُذ أَربَعَةً مِّنَ الطَّيرِ

Allah berfirman: “Ambillah empat ekor burung,

Ini boleh jadi apa-apa jenis burung sahaja. Jenis burung itu tidak penting. Tidak perlu dicari apakah jenis-jenis burung itu. Walaupun memang ada disebut dalam kitab-kitab tafsir, tetapi kita tidak ulangkan di sini kerana ia maklumat yang tidak penting.

فَصُرهُنَّ إِلَيكَ

kemudian jinakkanlah kepada kamu

Ada dua terjemah kepada potongan ayat ini:

  1. Pelihara burung-burung itu sampai mereka jinak. Maka Nabi Ibrahim عليه السلام kena beri makan sampai jinak. Ini kerana apabila kita beri binatang seperti burung makan, burung-burung itu akan jinak dengan kita. Kemudian selepas itu kalau dipanggil mereka akan datang. Maka Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عليه السلام jinakkan burung-burung itu kepada baginda.
  2. Ia boleh bermaksud cincang. Iaitu Allah ‎ﷻ suruh Nabi Ibrahim عليه السلام cincang burung-burung itu, gaulkan sekali.

ثُمَّ اجعَل عَلىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنهُنَّ جُزءًا

Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya.

Setelah digaul sekali, pecahkan kepada empat bahagian dan letak setiap satu di empat-empat bukit itu.

ثُمَّ ادعُهُنَّ يَأتينَكَ سَعيًا

Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera

Burung-burung itu akan dihidupkan semula oleh Allah ‎ﷻ dan akan datang kepada Nabi Ibrahim عليه السلام setelah dipanggil oleh baginda. Nabi Ibrahim عليه السلام sudah menjinakkan burung-burung itu kepada baginda, maka apabila dipanggil, mereka akan datang.

وَاعلَم أَنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja. Maka sekarang Nabi Ibrahim عليه السلام boleh nampak sendiri dengan mata baginda bagaimana Allah ‎ﷻ memang mampu untuk menghidupkan makhluk yang telah mati. Walaupun telah dihancurkan, namun mudah sahaja bagi Allah ‎ﷻ hendak menghidupkan kembali makhluk itu kembali seperti asal.

Tafsir Ayat Ke-261

Kembali membicarakan mengenai infaq. Ini adalah perkara yang paling baik kita boleh lakukan dengan harta kita. Nanti kita akan belajar perkara paling buruk dengan harta kita, iaitu riba’.

Di antara infaq dan riba itu ada perkara yang diharuskan, iaitu perniagaan dan pinjaman sesama manusia. Jadi Allah ‎ﷻ cerita tentang yang bagus, yang dilarang dan yang harus dilakukan dengan wang dan harta kita.

Apakah kaitan ayat ini dengan ayat-ayat sebelum ini? Sebelum ini adalah ayat-ayat tentang mereka yang percaya kepada Allah ‎ﷻ dan Hari Akhirat dengan sebenar-benarnya. Sekarang Allah ‎ﷻ beri isyarat bahawa mereka yang percaya sungguh, akan melabur untuk akhirat. Itulah sekarang disebutkan tentang infaq, pelaburan jangka panjang yang paling menguntungkan.

Ayat yang kita akan belajar sebentar lagi ini mengenai kelebihan infaq. Dalam ayat-ayat seterusnya nanti akan diberikan syarat diterima infaq itu. Ada lapan syarat semua sekali.

Allah ‎ﷻ hendak hamba-Nya mengumpulkan sebanyak mungkin amal kebaikan untuk dihantar ke akhirat sebagai simpanan kita. Ini kerana kita hidup di dunia sekali sahaja dan waktu inilah sahaja peluang untuk berbuat kebaikan. Tidak ada peluang kedua. Kalau tanpa Al-Qur’an yang beritahu kepada kita kelebihan ini, kita tidak akan dapat tahu.

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ ۗ وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

مَثَلُ الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,

Perkara yang paling baik dalam infaq adalah keluarkan harta kita untuk mengembangkan dakwah tentang tauhid kepada manusia. Kalau kita keluarkan duit untuk kebaikan pun memang sudah dapat pahala. Lebih-lebih lagi yang melibatkan semua urusan yang melibatkan agama Islam.

Hatta beri makan kepada binatang, pun akan dapat pahala tetapi yang paling baik adalah dalam infaq atas ‘jalan Allah ‎ﷻ’, iaitu untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Termasuk dalam perkara itu adalah infaq kepada jihad perang.

كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَت سَبعَ سَنابِلَ

ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai;

Allah ‎ﷻ memberi perumpamaan infaq kita itu seperti pohon supaya kita dapat bayangkan. Bayangkan sekarang satu pohon yang membuahkan hasil seumpama satu biji yang menumbuhkan tujuh tangkai.

Allah ‎ﷻ menggunakan contoh tanaman sebab apabila kita bercucuk tanam, kita tidak melihat hasilnya dengan segera, bukan? Begitu juga dengan infaq itu. Kita hanya boleh lihat di akhirat kelak. Ada juga yang kita dapat di dunia, tetapi selalunya kita tidak perasan balasan yang Allah ‎ﷻ telah berikan.

في كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ

tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji.

Pada setiap satu tangkai daripada pohon itu pula mengeluarkan seratus biji. Maka 1 x 7 x 100 = 700. Bayangkan kalau satu jadi 700! Maknanya kalau kita beri seringgit, Allah‎ ﷻ gandakan infak kita itu dengan pahala seumpama kita beri 700 ringgit!

Perniagaan Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh untung sebegini dan untung pula yang berkekalan. Tidak macam untung di dunia sebab di dunia tidak berkekalan.

وَاللَّهُ يُضٰعِفُ لِمَن يَشاءُ

Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya,

Allah ‎ﷻ boleh melipatgandakan lagi pahala infaq kita itu, mengikut keikhlasan dan susah payah (musyaqqah) dalam infaq kita itu. Ini kerana ada orang yang ikhlasnya tidak sama. Ada orang susah hendak beri infaq tetapi dia keluarkan juga wang untuk jalan Allah ‎ﷻ. Tidak sama infaq seorang kerani yang tidak berduit sangat dengan infaq seorang jutawan.

Allah ‎ﷻ boleh gandakan infaq kita itu sampai menjadi sejuta pahala atau tidak ada had. Itulah kelebihan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada mereka yang infaq mengikut kadar masing-masing. Kalau dalam dunia, tidak akan dapat gandaan seperti ini. Kalau kita kerja makan gaji, buat kerja dalam susah pun akan sama sahaja, majikan tidak tambah gaji pun.

وَاللَّهُ وٰسِعٌ عَليمٌ

Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.

Maha luas maksudnya Allah ‎ﷻ boleh bagi gandaan banyak mana pun kerana tidak ada had kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ boleh beri apa sahaja yang Dia hendak.

Allah ‎ﷻ Maha Tahu keikhlasan hamba-Nya dalam infaq itu. Orang yang menerima tidak tahu ikhlas atau tidak pemberi itu. Orang yang beri itu pun mungkin tidak tahu dia ikhlas atau tidak tetapi Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang ada dalam hati orang.

Tafsir Ayat 262

Dalam kita menjalankan suruhan infaq ini, kena juga ikut syarat yang Allah ‎ﷻ tetapkan. Ada 8 syarat yang Allah ‎ﷻ tetapkan. Daripada 8 syarat itu, 4 kena ada, dan 4 kena tiada:

Pertama, tidak boleh ada syirik. Kalau kita infaq banyak mana pun, tetapi ada syirik dalam diri kita, sia-sia sahaja kerana pahala tidak diberikan langsung.

Kedua, dalam kita infaq itu, jangan riak.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا وَلا أَذًى ۙ لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم وَلا خَوفٌ عَلَيهِم وَلا هُم يَحزَنونَ

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

الَّذينَ يُنفِقونَ أَموٰلَهُم في سَبيلِ اللَّهِ

Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah,

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberitahu apakah syarat-syarat yang perlu dipenuhi supaya infaq kita kepada jalan Allah ‎ﷻ itu berkekalan. Ini supaya infaq kita itu tidak jadi sia-sia.

ثُمَّ لا يُتبِعونَ ما أَنفَقوا مَنًّا

kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan mengungkit

Syarat yang ketiga dalam infak ini adalah jangan ungkit pemberian kita itu untuk hina dan rendahkan orang. Sebab boleh kalau hendak sebut untuk beri galakan kepada orang lain tetapi jangan kita ungkit sebab hendak hina atau jatuhkan martabat orang lain.

Kita jangan ungkit supaya pahala infaq itu berkekalan. مَنًّا adalah perbuatan ungkit pemberian untuk hina dan rendahkan orang lain. Sebagai contoh, kita ada tolong seseorang yang dalam kesusahan, sampai dia boleh bangkit balik. Tetapi katakanlah sampai suatu masa, kita berbalah dengan dia.

Bila sudah berbalah, macam-macam boleh keluar. Sampai keluar lafaz daripada mulut kita: “Kamu ni, kalau aku tak tolong dulu entah jadi apa pun aku tak tau.” Bila kita sebut macam itu, terus musnah pahala Infaq itu. Maksudnya, batal pahala itu. Masa kita beri infak itu, kita dapat pahala tetapi apabila kita ungkit sahaja untuk menghina dia, terus batal pahala infaq itu.

وَلا أَذًى

dan tidak pula menyakiti

Syarat keempat yang tidak boleh ada semasa dan selepas kita infaq adalah: tidak boleh menyakiti hati orang yang diberi infaq itu. Jangan kita sebut sesuatu perkataan untuk menyakiti hati dia. Atau, kita buat sesuatu yang boleh sakitkan hati d

Contohnya, selepas kita beri, kita arah dia, paksa dia buat benda yang dia tidak suka. Mungkin dia buat juga sebab kita sudah beri duit kepada dia, tetapi dalam hati dia tidak suka dan redha, dan dia lakukan apa yang kita suruh itu dengan rasa sakit hati.

لَّهُم أَجرُهُم عِندَ رَبِّهِم

bagi mereka pahala di sisi Tuhan mereka,

Kalau mereka memenuhi semua syarat-syarat itu, barulah akan dapat pahala dan kekal pahala itu sampai ke akhir hayat mereka.

وَلا خَوفٌ عَلَيهِم

dan tidak ada kebimbangan terhadap mereka,

Mereka tidak akan takut untuk menghadapi akhirat kerana mereka ada bekal. Allah ‎ﷻ akan beri kesenangan kepada mereka di akhirat kelak.

وَلا هُم يَحزَنونَ

dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka tidak akan berdukacita untuk meninggalkan dunia kerana mereka tahu bahawa apa yang mereka tuju itu lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Kita telah sebut 4 syarat yang tidak boleh ada dalam infaq. Empat syarat yang perlu ada pula:

  1. Pertama: Barang pemberian itu mesti halal. Jangan hina hukum Allah ‎ﷻ dengan Infaq pakai benda yang haram. Benda haram tidak boleh digunakan untuk kebaikan. Contohnya, jangan kita beri duit hasil riba’.
  2. Kedua, barang itu mesti baik. Sebagai contoh, jangan beri nasi basi tetapi berilah nasi yang boleh dimakan. Maksudnya, beri benda yang boleh digunakan lagi dan barang yang sesuai digunakan oleh yang hendak menerimanya. Contohnya, jangan beri baju perempuan kepada lelaki.

Barang yang diberi itu tidak semestinya benda yang baru, tetapi pastikan ia boleh dipakai. Senang sahaja untuk kita kenal pasti sama ada ia boleh dipakai atau tidak: kalau barang itu diberikan kepada kita, kita pun senang hati untuk terima.

  1. Ketiga: kita Infaq itu kerana mencari redha ilahi.
  • Keempat: kena ada perasaan gembira semasa memberi infaq. Ada orang yang beri infaq, tetapi dia rasa macam rugi sebab terpaksa beri. Atau dia mungkin terkilan pula selepas dia beri infaq itu.

  • Maknanya dia tidak yakin dengan janji Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ akan balas infaq itu dengan berganda-ganda di akhirat kelak dan di dunia, sebab itu dia tidak suka dan menyesal. Perasaan suka ini akan datang kalau kita percaya dengan balasan yang kita akan dapat dengan infaq itu.

    Allahu a’lam.

     

     

    Ustz Azlizan, [11.05.20 14:54]
    Maka kita kena usaha supaya kita dapat jadi suka semasa memberi itu. Kena didik hati kita. Perasaan ini tidaklah datang sendiri tetapi harus dididik. Kena selalu baca ayat-ayat kelebihan infak supaya hati kita terdidik untuk suka infak.

    Komen dan Soalan