Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-251 hingga Ke-253

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-251 hingga Ke-253

535
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafir Ayat Ke-251

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ ۗ وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ لَّفَسَدَتِ الأَرضُ وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam.

فَهَزَموهُم بِإِذنِ اللَّهِ

mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah,

Doa mereka dimakbulkan. Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini yang mereka menang bukan kerana kekuatan tentera mereka tetapi dengan keizinan Allah ‎ﷻ.

وَقَتَلَ داوودُ جالوتَ

dan Nabi Daud telah membunuh Jalut.

Jalut adalah ketua syirik waktu itu dan dia telah dibunuh oleh Nabi Daud عليه السلام. Nabi Daud عليه السلام adalah salah seorang daripada tentera Talut kerana waktu itu baginda belum diangkat menjadi Nabi.

Ini memberitahu kita bahawa syirik kena dibasmikan oleh ketua agama. Oleh kerana itu, akhir zaman nanti, apabila tentera Imam Mahdi menentang tentera Dajjal, yang akan membunuh Dajjal adalah Nabi Isa عليه السلام. Tetapi kepemimpinan tetap ada pada Imam Mahdi. Kerana itu jugalah, Talut tetap ketua tentera tetapi yang membunuh ketua syirik (iaitu Jalut waktu itu), adalah Nabi Daud عليه السلام.

وَءَاتَٮٰهُ اللَّهُ المُلكَ وَالحِكمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمّا يَشاءُ

Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat serta diajarkannya apa yang dikehendaki-Nya.

Pada kemudian hari, Nabi Daud عليه السلام telah diberikan dengan kerajaan dan pangkat kenabian dan Allah ‎ﷻ mengajarkan ilmu wahyu. Nabi Daud عليه السلام adalah antara Nabi yang diberikan dengan pangkat kenabian dan juga kuasa kenegaraan. Seorang lagi yang mendapat perkara yang sama adalah anaknya, Nabi Sulaiman عليه السلام.

وَلَولا دَفعُ اللَّهِ النّاسَ بَعضَهُم بِبَعضٍ

Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia dengan setengahnya yang lain

Ini adalah hikmah disyariatkan perang. Ia dapat menolak keganasan manusia dengan menggunakan sebahagian manusia lain yang beriman. Kalau ada yang berkuasa dan mereka telah berbuat zalim kepada dunia, maka Allah ‎ﷻ akan datangkan kuasa yang baik untuk menentang dan mengalahkan mereka.

لَّفَسَدَتِ الأَرضُ

nescaya rosak binasalah bumi ini;

Kalau Allah ‎ﷻ tidak buat begitu, tentulah dunia ini tidak ada syariat dan ada maksiat sahaja kerana yang zalim akan terus berkuasa tanpa disekat. Maka kena ada golongan baik yang kuat supaya dapat mengalahkan kebatilan.

Manusia yang tidak ada agama, akhirnya akan sampai kepada tahap melakukan keganasan. Semasa tiada kuasa dan wang, mereka boleh duduk senyap lagi. Namun apabila sudah ada kuasa lebih, mereka akan menjadi ganas. Begitulah yang kita takut dengan golongan Syiah. Apabila mereka berkuasa, mereka akan menjadi ganas.

Apabila ada golongan besar yang menjadi ganas, Allah ‎ﷻ akan hantar golongan lain yang lebih daripada mereka yang akan memusnahkan mereka. Jadi jihad juga adalah untuk membasmi keganasan manusia. Maka kerana itu amat penting jihad dijalankan oleh umat Islam.

وَلٰكِنَّ اللَّهَ ذو فَضلٍ عَلَى العٰلَمينَ

akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.

Banyak lagi kurnia Allah ‎ﷻ ke atas manusia. Kalau tidak ada peperangan pun, Allah ‎ﷻ masih lagi mengurniakan keamanan. Itu adalah kurniaan Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-252

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ ۚ وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang daripada Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

تِلكَ ءَايَـٰتُ اللَّهِ نَتلوها عَلَيكَ بِالحَقِّ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar;

Allah ‎ﷻ berikan kisah ini kepada Nabi ﷺ dan umat Islam sebagai pengajaran. Maklumat ini hanya diberikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi ﷺ. Nabi Muhammad ﷺ sahaja yang boleh bawa cerita ini kerana baginda yang diberi wahyu.

وَإِنَّكَ لَمِنَ المُرسَلينَ

dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang daripada Rasul-Rasul (yang diutuskan oleh) Allah.

Maka tsabitlah Nabi Muhammad ﷺ itu seorang Nabi. Kalau baginda bukan Nabi, baginda tidak akan tahu kisah ini.

Tafsir Ayat Ke-253

Apabila syariat hendak ditegakkan, Rasul telah diangkat dan dakwah telah dijalankan, maka akan ada manusia yang ingkar. Mereka akan menentang dakwah Islam. Mereka ini perlu ditentang.

Maka tidak cukup dengan dakwah mulut sahaja, kena ada kekuatan ketenteraan dan kena jalankan perang juga. Kalau dibiarkan sahaja, mereka akan terus mengganas. Ini adalah satu faedah daripada jihad perang.

Yang kedua, Jihad perang juga adalah ujian kepada pendakwah Islam di mana mereka bukan sahaja berkorban harta dan masa untuk menegakkan agama Islam, tetapi mereka juga akan melepasi ujian mempertaruhkan nyawanya untuk Islam. Faedahnya, iman mereka akan meningkat ke tahap kemuncak. Ini kerana kalau berhadapan dengan mati, ia memerlukan iman yang tinggi sekali.

۞ تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ ۘ مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ ۖ وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ ۚ وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ ۗ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ وَلٰكِنِ اختَلَفوا فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ وَمِنهُم مَّن كَفَرَ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

Rasul-Rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya, dan ditinggikannya (pangkat) sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-Rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

تِلكَ الرُّسُلُ فَضَّلنا بَعضَهُم عَلىٰ بَعضٍ

Itulah Rasul-rasul Kami lebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain

Rasul adalah manusia yang dilantik khas untuk menyampaikan wahyu untuk memperkenalkan Allah ‎ﷻ dengan cara tauhid. Ini kerana ada yang kenal siapa Allah ‎ﷻ, tetapi tidak mentauhidkan-Nya. Selain daripada itu, para Nabi itu tugasnya mengajar manusia cara untuk taat kepada Allah ‎ﷻ.

Mereka adalah penyatu umat manusia sebenarnya kerana mereka membawa mesej akidah yang sama. Namun ada juga fahaman yang kata Nabi-Nabi itulah yang menyebabkan manusia berpecah. Mereka kata asalnya kita semua ‘anak Tuhan’ tetapi manusia berpecah mengikut Nabi-Nabi yang berlainan.

Ini adalah fahaman yang salah kerana para Nabi itu bukan memecahkan fahaman. Mereka bawakan mesej akidah yang sama sahaja zaman berzaman. Yang berpecahnya adalah manusia selepas mereka.

Ayat sebelum ini tsabit tentang kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Namun Nabi lain pun dihormati juga maka Allah ‎ﷻ sentuh tentang mereka dalam ayat ini. Semua mereka adalah model ikutan kita. Jangan jadi seperti umat terdahulu yang tidak terima kenabian sesetengah Nabi. Kita tidak tafriq tetapi ada tafdhil. Apa pula ini?

‘Tafriq’ maksudnya bezakan Nabi itu, ada yang terima sebagai Nabi dan ada yang tidak. ‘Tafdhil’ pula adalah membezakan kedudukan Nabi antara satu sama lain, kerana ada yang kedudukan lebih tinggi daripada sebahagian yang lain. Allah ‎ﷻ sendiri yang buat begitu. Bukan kita yang membezakan.

Allah ‎ﷻ melebihkan kedudukan sebahagian Rasul berbanding Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang lain. Ada Rasul yang digelar sebagai Rasul Ulul Azmi dan ada yang tidak. Semua Nabi itu tidak dapat menandingi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ. Walaupun umur Nabi ﷺ kita itu pendek, tetapi cabaran dan dugaan yang diberikan kepadanya dahulu adalah amat berat.

Sebagai contoh, setelah baginda menghadapi musuh di Mekah dan setelah berhijrah ke Madinah, musuh Baginda bertambah dan bukannya berkurang. Semasa di Mekah, musuhnya hanya kafir Quraish sahaja, tetapi semasa di Madinah, baginda berhadapan dengan musyrikin Mekah, Yahudi, munafik, kerajaan Rom, kerajaan Parsi dan kafir kawasan sekitar.

مِّنهُم مَّن كَلَّمَ اللَّهُ

Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata dengannya

Yang dimaksudkan adalah Nabi Musa عليه السلام. Ingat bahawa puak Yahudi sedang membaca Al-Qur’an juga dan apabila disebut ada Nabi yang bercakap terus dengan Allah ‎ﷻ, mereka terus tahu bahawa yang dimaksudkan adalah Nabi mereka yang utama, Nabi Musa عليه السلام. Maka tentu mereka suka, sebab itu adalah Nabi yang mereka sayangi.

وَرَفَعَ بَعضَهُم دَرَجٰتٍ

dan ditinggikan-Nya sebahagian daripada mereka beberapa darjat kelebihan.

Ada Nabi yang ada kedudukan Rasul Ulul Azmi. Itu adalah lima orang Nabi yang telah melalui ujian yang hebat dan mereka telah diberikan dengan kedudukan yang tinggi dibandingkan dengan Nabi-Nabi yang lain.

Kedudukan Nabi Muhammad ﷺ adalah yang paling tinggi. Nabi Muhammad ﷺ pernah bersabda bahawa baginda telah diuji dengan berat dan tidak ada Nabi lain yang diuji seperti ujian yang dikenakan kepada baginda. Bila ujian kepada Nabi Muhammad ﷺ itu lebih berat, maka darjat baginda pun lebih juga.

وَءآتَينا عيسَى ابنَ مَريَمَ البَيِّنٰتِ

Dan Kami berikan Nabi Isa ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran.

Selepas menyentuh tentang Nabi Musa عليه السلام, Nabi utama Bani Israel, Allah ‎ﷻ sebut pula Nabi Isa عليه السلام, iaitu Nabi yang Bani Israel tidak iktiraf. Ini mengingatkan kita bahawa Nabi Muhammad ﷺ bukanlah Nabi pertama yang ditolak oleh mereka. Sebelum ini pun mereka telah tolak seorang lagi Nabi, iaitu Nabi Isa عليه السلام.

Nabi Isa عليه السلام telah diberikan dengan mukjizat-mukjizat dan juga telah diberikan dengan Kitab Injil.

وَأَيَّدنٰهُ بِروحِ القُدُسِ

serta Kami kuatkan dia dengan Ruhul-Qudus (Jibril)

Sokongan tambahan telah diberikan kepada Nabi Isa عليه السلام di mana setiap kali baginda keluar berdakwah, baginda akan disokong oleh Jibril عليه السلام. Ini menunjukkan bahawa Nabi Isa عليه السلام itu bukanlah anak Tuhan sehinggakan baginda perlu diberi sokongan tambahan. Baginda diberikan sokongan dengan Jibril عليه السلام kerana baginda tidak ada ayah dan kedudukan baginda dalam masyarakatnya waktu itu adalah amat lemah.

Jibril عليه السلام juga disebut kerana bukankah Bani Israel bermusuh dengan Jibril عليه السلام? Mereka suka Malaikat Mikail tetapi mereka tidak sukakan Jibril عليه السلام seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini.

Kita kena ingat bahawa para ‘Rasul’ terdiri daripada manusia dan juga malaikat. Ini kerana malaikat juga menyampaikan ‘risalah’ daripada Allah ‎ﷻ. Rasul dalam kalangan malaikat pun kita terima juga semuanya, tidak seperti Bani Israel yang memilih-milih mana yang mereka suka sahaja.

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلَ الَّذينَ مِن بَعدِهِم

Dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan

Allah ‎ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah ‎ﷻ boleh jadikan tidak ada perang langsung sesama manusia, hidup aman damai sahaja, tetapi Allah ‎ﷻ jadikan juga perang itu kerana ia adalah untuk kebaikan hamba-Nya.

مِّن بَعدِ ما جاءَتهُمُ البَيِّنٰتُ

sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan

Mereka berpecah itu bukannya sebab tidak ada Nabi, tidak ada kitab daripada Allah ‎ﷻ tetapi selepas semua petunjuk telah datang kepada manusia. Mereka telah disampaikan dengan kebenaran, tetapi mereka yang tolak.

وَلٰكِنِ اختَلَفوا

Tetapi mereka bertelingkah,

Ada yang berhujah, kalau agama Islam itu benar, kenapa ada perpecahan dalam kalangan penganutnya? Memang kita tidak nafikan pun, kerana kita biasa lihat pun bagaimana ulama’ ini kata begitu, ulama’ ini kata begini pula dan sebagainya. Boleh dikatakan perbalahan dan perpecahan fahaman dalam Islam ini menyeluruh dan tidak dapat disangkal lagi.

Jawabnya, bukan dalam agama Islam sahaja ada pertelingkahan, perbezaan pendapat, malah peperangan. Zaman dahulu pun sudah berlaku. Masalahnya bukan pada agama, tetapi pada manusia. Memang sifat manusia itu selalu berbeza, semua ada pendapat sendiri.

Kadang-kadang mereka tidak tahu menangani perbezaan pendapat itu sampai boleh membawa kepada peperangan. Maka, jangan salahkan agama.

فَمِنهُم مَّن ءآمَنَ

di antara mereka ada yang beriman,

Ada manusia yang tetap di dalam akidah tauhid yang benar, terus mereka beriman dengan Allah‎ ﷻ dan perkara-perkara yang wajib diimani.

وَمِنهُم مَّن كَفَرَ

dan ada dalam kalangan mereka yang kafir.

Lebih ramai lagi yang terpedaya dengan bisikan syaitan dan mereka memilih jalan kekufuran. Mereka sangka mereka benar dan mereka sampai sanggup mengangkat senjata untuk menegakkannya.

وَلَو شاءَ اللَّهُ مَا اقتَتَلوا

Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan;

Kalau Allah ‎ﷻ hendak menjadikan umat manusia ini taat sahaja semuanya, Allah ‎ﷻ boleh buat. Sebagaimana Allah telah menjadikan para malaikat yang lebih ramai dan lebih kuat daripada kita itu, dan taat sahaja kepada Allah ‎ﷻ.

وَلٰكِنَّ اللَّهَ يَفعَلُ ما يُريدُ

tetapi Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya.

Tetapi bukan begitu yang Allah ‎ﷻ kehendaki kepada umat manusia. Ini semua adalah ujian kepada kita belaka. Kita tidak boleh mempersoalkan apa yang Dia hendak buat.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan