Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat Ke-245
Kita boleh lihat bagaimana ayat-ayat jihad akan diselangi dengan ayat-ayat tentang infaq kerana infaq perlu untuk jihad dijalankan. Jihad memerlukan belanja yang besar untuk melaksanakannya.
Jihad dan infaq adalah seperti dua sayap pada burung. Perlu ada kedua-dua sayap untuk burung itu terbang. Oleh kerana itu, setelah Allah ﷻ sebut tentang jihad, Allah ﷻ sebut pula kelebihan infaq untuk jalan Allah ﷻ.
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik
Allah ﷻ sebut tentang pinjaman yang ikhlas. Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ dalam ayat ini kerana Allah ﷻ hendak mengingatkan kita bahawa apa yang kita berikan dalam infaq itu adalah sebagai ‘pinjaman’ sahaja. Bukannya beri terus.
Kalau kita pinjamkan barang, kita boleh ambil balik, bukan? Maknanya, Allah ﷻ akan pulangkan balik infaq kita itu berganda-ganda banyaknya. Allah ﷻ simpan dalam khazanah-Nya dan akan dikembalikan kepada kita di akhirat kelak.
Malu juga apabila Allah ﷻ menggunakan perkataan ‘pinjaman’ ini. Bayangkan, bukankah segala apa yang kita ada ini adalah rezeki daripada Allah ﷻ? Tetapi apabila Allah ﷻ hendak infaq, Allah ﷻ kata berikan ‘pinjaman’ kepada-Nya… Macam Allah ﷻ perli kita, “tidak mengapa… Aku nak ‘pinjam’ sahaja, nanti Aku pulangkan balik…”
Sekarang cuba bayangkan kalau emak kita yang sudah banyak jasa membesarkan dan memberikan pendidikan kepada kita, apabila dia kesulitan wang, datang kepada kita dan minta pinjam wang…. adakah kita sanggup beri ‘pinjam’? Adakah kita sanggup hendak tuntut balik wang yang kita beri itu?
Bukankah sepatutnya kita awal-awal lagi sudah beri pertolongan kepada emak kita? Tidak patut emak kita susah hinggakan hendak kena jumpa kita dan minta pinjam duit daripada kita. Kita patut kena peka dengan masalah emak kita dan terus beri pertolongan tanpa perlu emak kita rasa malu datang kepada kita minta bantuan.
Kita juga kena minta maaf kepada emak kita kerana dia susah tetapi kita lambat tahu hingga dia kena datang minta tolong kepada kita. Sepatutnya awal-awal lagi sudah kena tahu yang emak kita ada masalah. Tidak perlu tunggu dia datang dan beritahu kita.
Kalau emak kita minta ‘pinjam’ duit kita, maknanya emak kita tahu yang kita kedekutlah sebenarnya. Sampai dia kata dia hendak pinjam sahaja, bukannya beri terus kepada dia. Memang rasa hendak bunuh diri sahaja kalau emak kita kata hendak ‘pinjam’ duit daripada kita, bukan?
Maka, Allah ﷻ hendak perli kita juga dalam ayat ini. Allah ﷻ tahu kita ini kedekut sebenarnya. Sebab itu Allah ﷻ kata jangan takut, pemberian kita itu hanya pinjaman sahaja. Nanti akan dipulangkan.
فَيُضٰعِفَهُ لَهُ أَضعافًا كَثيرَةً
supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya
Allah ﷻ balas infaq kita dengan sangat banyak. Tidak tergambar betapa banyaknya. Maka jangan takut hendak beri infaq dalam jihad fisabilillah. Kalau Allah ﷻ yang janjikan balasan yang berganda-ganda, tentu Allah ﷻ boleh tunaikan. Maka sekarang Allah ﷻ beri motivasi kepada umat Islam untuk infaq.
وَاللَّهُ يَقبِضُ وَيَبسُطُ
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan
Mungkin ada yang takut hendak infaq banyak sebab takut habis harta mereka. Allah ﷻ beritahu yang Dia lah sahaja yang mengecilkan – menahan harta menjadi sedikit. Dia juga yang mengembangkan harta kita menjadi banyak. Maka kalau Allah ﷻ yang suruh kita infaq, tentulah Allah ﷻ akan balas dengan lebih banyak, sebab Dia mampu kembangkan rezeki kita.
Macam-macam cara Allah ﷻ kembangkan rezeki kita – kita dapat kerja yang baik dengan gaji besar, perniagaan kita maju, hutang kita selesai, duit sedikit tetapi cukup untuk seisi keluarga, dan macam-macam lagi cara Allah ﷻ balas kepada kita.
Maka jangan bimbang untuk infaq dengan banyak. Jangan takut harta kita habis. Allah ﷻ akan kembangkan rezeki kita. Tetapi kena percaya kepada Allah ﷻ lah kerana Dia juga yang berikan harta itu pada mulanya.
وَإِلَيهِ تُرجَعونَ
dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.
Allah ﷻ mengingatkan, kalau sayang sangat harta kita pun, ingatlah yang kita semua akan mati dan pulang ke akhirat juga akhirnya. Harta yang kita sayang sangat itu, bukan boleh bawa mati pun. Harta yang kita simpan banyak-banyak itu akan menjadi milik orang lain pun kerana kita akan tinggalkan.
Kalau anak-anak kita ingat kepada kita, mereka sedekah dan niatkan pahala itu untuk kita. Tetapi kalau mereka habiskan sahaja, tidak ada pulangan untuk kita dalam bahagian harta itu dan ia habis begitu sahaja. Maka baiklah kalau kita simpan harta itu dengan Allah ﷻ supaya kita boleh ambil balik di akhirat kelak.
Tafsir Ayat ke-246
Pengulangan bab jihad dan kali ini Allah ﷻ beri contoh kisah yang terjadi pada zaman dahulu sebab jihad itu ada beberapa peraturan. Pertama, kena ada pemilihan ketua dan kedua, kena ada latihan untuk jihad.
Ketua perang tidak semestinya Nabi ﷺ sendiri tetapi kena ada dua syarat untuk menjadi jeneral perang. Pertama, tubuh badannya layak untuk berperang dan kenalah berani dan kedua, akal kena mahir dalam taktik peperangan.
Tidak ada peperangan tanpa latihan kerana banyak pejuang yang datang untuk berjihad perang itu datang dari merata tempat dan mereka tidak biasa berperang dan tidak terlatih. Mungkin ada daripada golongan peniaga dan petani. Maka penting untuk beri latihan terlebih dahulu sebelum pergi berperang. Maka Allah ﷻ ajar kedua-dua perkara ini.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرَٲٓءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقَـٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا ۖ قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا ۖ فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: “Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah” Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,” Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
أَلَم تَرَ إِلَى المَلَإِ مِن بَني إِسرَٲٓءِيلَ مِن بَعدِ موسىٰ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa,
Zaman ini selepas wafatnya Nabi Musa عليه السلام yang dibimbing oleh Nabi lain. Nama Nabi pada waktu itu adalah Samuel. Pemuka-pemuka Bani Israil telah pergi berjumpa dengan Nabi mereka itu.
إِذ قالوا لِنَبِيٍّ لَّهُمُ
ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka:
Daripada penggunaan bahasa, memberi isyarat bahawa bukan Nabi ini sahaja Nabi mereka tetapi ada Nabi-nabi lain juga. Umat Bani Israel memang diberikan dengan ramai Nabi dalam kalangan mereka. Mereka adalah umat yang paling banyak dapat Nabi dan Rasul.
ابعَث لَنا مَلِكًا نُّقٰتِل في سَبيلِ اللَّهِ ۖ
“Lantiklah seorang raja untuk kami, supaya boleh kami berperang pada jalan Allah”
Para pemimpin Bani Israel itu minta kepada Nabi mereka untuk melantik ketua perang. Perkataan مَلِكًا dalam ayat ini bermaksud ‘ketua perang’. Maknanya bukan Nabi itu yang bawa tentera berperang. Mereka kononnya kata mereka akan pergi berperang bila sudah ada ketua. Cuma lantik sahajalah ketua untuk kami, kata mereka.
Ini mengajar kita bahawa jihad tidak ada tanpa ketua. Ketua itu kena dilantik dan mestilah ketua yang dikenali kerana kita kena tahu yang ketua perang itu adalah Ahlul Haq, tidak boleh lantik ambil sesiapa sahaja.
Pada waktu itu, yang boleh lantik adalah Nabi dan kalau zaman sekarang, yang layak melantik itu adalah Khalifah seluruh dunia. Nabi Muhammad ﷺ telah memberitahu bahawa Khalifah dunia mestilah daripada orang Quraisy.
قالَ هَل عَسَيتُم إِن كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ أَلّا تُقٰتِلوا
Nabi mereka menjawab: “Tidakkah, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?,
Nabi mereka sendiri sudah tahu perangai mereka. Waktu itu memang mereka sibuk hendak minta panglima perang, tetapi nanti kalau sudah ada, banyak pula alasan mereka tidak mahu berperang.
قالوا وَما لَنا أَلّا نُقٰتِلَ في سَبيلِ اللَّهِ
Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah,
Apabila ditegur sebegitu, mereka kata memang mereka akan berperang. Mereka memang pandai bercakap dan berdolak dalih. Maka mereka sekarang keluarkan hujah mereka untuk mengatakan memang mereka pasti akan berperang nanti.
وَقَد أُخرِجنا مِن دِيٰرِنا وَأَبنائِنا
sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan juga anak-anak kami?”
Mereka kata memang mereka akan berperang kerana mereka marah setelah dihalau dari kampung halaman mereka dan anak-anak mereka pun kena kalau juga. Mereka sedang marah kerana kalau mereka sahaja dihalau pun sudah berat, tetapi kalau dengan keluarga mereka juga kena halau, tentu lagi berat. Mereka bersungguh-sungguh kata mereka akan berperang.
فَلَمّا كُتِبَ عَلَيهِمُ القِتالُ تَوَلَّوا إِلّا قَليلًا مِّنهُم
Maka apabila perang itu diwajibkan ke atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil daripada mereka.
Namun apabila benar-benar sudah disuruh berperang, mereka buat alasan untuk tidak pergi berperang. Memang begitulah perangai kebanyakan daripada Bani Israel.
Hanya sedikit sahaja yang pergi. Dalam riwayat ada disebut bahawa daripada bilangan mereka sebanyak 80,000 orang, hanya 313 orang sahaja yang akhirnya pergi berjihad menentang tentera Jalut.
Ini pun masalah dan perangai orang kita juga. Pandai cakap sahaja tetapi bila masa hendak buat, sedikit sahaja yang turun buat kerja. Kalau bagi idea, memang ramai akan beri idea dan cadangan, tetapi apabila buat kerja, yang turun sedikit sahaja.
وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ sudah tahu perangai mereka dan Allah ﷻ beritahu perangai mereka kepada kita supaya kita beringat-ingat supaya jangan jadi seperti mereka.
Allahu a’lam.