Tafsir Surah Al-Baqarah
Tafsir Ayat ke-242
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya supaya kamu memahaminya.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُم ءَايَـٰتِهِۦ
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumNya
Begitulah Allah ﷻ mengajar kepada kita cara-cara untuk menjalani kehidupan kita supaya semuanya dapat hidup aman dan damai dan dapat menjaga hukum Allah ﷻ di atas muka bumi ini. Segala hukum yang Allah ﷻ ajar kita ini adalah untuk kebaikan kita sebenarnya. Maka amatlah rugi kalau kita tidak melakukannya.
Atau kita ambil ringan mengenainya. Mungkin ada yang ambil ringan dengan mencari pendapat-pendapat yang ringan seperti tidak mewajibkannya. Maka akan ada yang kata: “Alahh, ia anjuran sahaja, bukannya wajib…”.
لَعَلَّكُم تَعقِلونَ
mudah-mudahan kamu dapat memikirkannya
Kena guna akal kita yang waras untuk memahami segala perkara ini. Akal yang sihat dan belajar dengan saksama, akan nampak kepentingan segala hukum yang Allah ﷻ telah berikan. Apabila kita dapat faham hikmah sesuatu hukum itu, maka kita akan senang untuk melakukannya.
Tafsir Ayat ke-243
Ini adalah pengulangan semula bab jihad. Banyak ayat-ayat jihad dan infaq diselit antara ayat-ayat Umur Munazimah. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara-perkara Umur Munazimah itu penting supaya jihad dan infaq dapat dilakukan.
Ini kerana apabila umat Islam baik dan bersatu, barulah jihad dan infaq dapat dilakukan. Maknanya, tujuan utama adalah untuk jihad dijalankan. Kalau kehidupan kita sendiri tidak harmoni (tidak mengikut hukum Allah ﷻ) mana mungkin kita mampu hendak menjalankan jihad yang tentunya lebih berat?
Tujuan jihad dilakukan pula adalah untuk memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia. Jadi kalau orang yang melakukan jihad itu sendiri tidak kenal Allah ﷻ, tidak tahu apa tauhid dan syirik, maka jihadnya itu adalah sia-sia sahaja. Hendak ajak orang kenal Allah ﷻ, tetapi dia sendiri tidak kenal Allah ﷻ dan tidak taat kepada hukum Allah ﷻ. Kalau dia sendiri mati semasa berjihad itu, dia akan terus masuk neraka kerana dia sendiri mungkin ada mengamalkan syirik.
Kalau seseorang itu mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik, barulah Allah ﷻ akan tolong dia dalam jihad. Apabila kita kata ‘kenal Allah ﷻ’, kenalah kenal Allah ﷻ sebagaimana yang Dia ajar kita dalam Al-Qur’an. Bukanlah mengenali Allah ﷻ itu macam cara tarekat dan tasawuf yang banyak zikir untuk kenal Allah ﷻ.
Itu bukan caranya. Untuk kenal Allah ﷻ adalah melalui ilmu dan untuk dapat ilmu, kena belajar. Yang penting adalah kena belajar tafsir Al-Qur’an kerana Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Maka kerana itu, kenalah belajar tafsir dan belajar Asma’ul Husna.
Apabila disebut tentang jihad, salah satu perkara yang menghalang jihad dijalankan adalah takut mati. Maka Allah ﷻ membuka cerita dalam ayat ini tentang golongan terdahulu yang takut mati sampai tidak menjalankan jihad. Kisah ini dibawa semasa umat Islam akan berperang dengan Musyrikin Mekah (Perang Badr).
Allah ﷻ membawakan kisah Bani Israil sekali lagi dalam ayat ini. Ada kisah yang bagus dan ada kisah yang tidak baik tentang mereka. Kita sudah banyak baca tentang kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini. Namun ada juga dalam kalangan mereka yang Allah ﷻ suruh kita jadikan sebagai contoh.
۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya
Ini tentang golongan Bani Israil dahulu yang lari keluar dari kampung halaman mereka kerana takut jihad. Mereka lari daripada berjihad mempertahankan tanah air mereka kerana mereka takut mati. Oleh kerana itu, mereka menjadi lemah dan telah dihalau dari Jerusalem dan telah dibawa ke Babylon dan dijadikan hamba abdi.
وَهُم أُلوفٌ
sedang mereka beribu-ribu ramainya
Sedangkan bilangan mereka waktu itu beribu-ribu dan lebih ramai daripada musuh mereka pada waktu itu tetapi mereka masih juga takut dan mereka tetap lari. Kalau musuh itu ramai, masuk akal juga, tetapi tidak. Ini adalah kerana mereka takut mati sangat sampaikan mereka tidak mempertahankan kampung halaman mereka sendiri.
Kita manusia biasa memang takut mati pun, jangan kata tidak takut pula. Namun kalau kita dijanjikan syurga kalau kita mati, siapa yang tidak mahu? Ingatlah bahawa Roh orang yang mati syahid akan terus dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama dengan roh orang lain.
Roh mereka yang mati bukan semasa jihad, kena tunggu dibicarakan di Mahsyar barulah boleh masuk syurga. Oleh kerana telah dijanjikan dengan syurga sebegitu rupa, jadi tidak patut kalau kita takut mati dalam jihad.
حَذَرَ المَوتِ
kerana takutkan mati
Inilah bahayanya apabila cintakan dunia sangat sampaikan tidak mahu meninggalkan dunia walaupun dengan cara yang mulia. Sedangkan kita semua akan tetap mati akhirnya, tidak ada yang hidup selama-lamanya. Maka lebih baik kalau mati dalam jihad, bukan?
فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم
Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka.
Maka oleh kerana mereka takutkan mati sangat, Allah ﷻ mengarahkan mereka mati terus. Dalam tafsir ada disebut bahawa mereka dimatikan selama lapan hari dan memang mereka mati betul, bukan pengsan. Ini kerana mereka takut mati sangat, Allah ﷻ matikan mereka terus.
Kemudian Allah ﷻ menghidupkan kembali setelah seminggu mereka mati. Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka takut mati sangat itu kenapa? Sedangkan mati itu adalah hak Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh hidupkan dan Allah ﷻ boleh matikan.
Ada juga yang mengatakan bukan mereka dimatikan daripada segi fizikal, tetapi hati mereka yang dimatikan sampai tidak mempunyai daya untuk melawan dan berjihad. Hanya keturunan selepas mereka sahaja yang kemudian berjihad.
إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ
Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia
Allah ﷻ ada banyak kurniaan besar kepada manusia iaitu Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada manusia walaupun manusia sudah banyak berbuat salah. Sebagai contoh, boleh sahaja kalau Allah ﷻ mematikan mereka dan kemudian terus masukkan mereka ke neraka. namun Allah ﷻ masih beri peluang lagi kepada mereka dan hidupkan kembali mereka.
Begitulah juga kita, entah berapa banyak peluang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Kita masih bernafas ini pun adalah kurniaan daripada Allah ﷻ. Masih lagi Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk beribadat dan bertaubat.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur
Namun ramai manusia yang tidak bersyukur di atas peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka tidak ambil peluang dengan kehidupan yang mereka ada sekarang. Mereka ambil ringan sahaja.
Tafsir Ayat ke-244:
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah
Sekarang Allah ﷻ beri arahan berjihad. Ini adalah berperang dalam jihad kemuncak, iaitu jihad perang yang ada kemungkinan boleh mati. Kita gunakan terma ‘jihad kemuncak’ untuk membezakan antara beberapa jenis jihad.
Jihad kemuncak adalah jihad yang paling tinggi iaitu iaitu jihad perang yang ada kemungkinan mencabut nyawa kita. Jihad yang berhadapan dengan mati. Ini hendak membezakan sebab jihad itu ada lain – jihad melawan nafsu, jihad lisan dalam dakwah dan sebagainya. Kemuncak segala jihad itu adalah jihad perang.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ tahu laungan hamba yang menyeru dan mengajak kepada jihad. Allah ﷻ juga tahu laungan hamba yang hendak menghentikan jihad. Ada yang sanggup mengatakan jihad perang tidak ada dalam Islam. Itu adalah pendapat yang salah kerana itu sudah menidakkan satu perkara yang penting dalam agama Islam.
Allah ﷻ tahu hati manusia sama ada mereka ikhlas dalam jihad atau tidak kerana itu ada kisah sahabat yang mati dalam jihad tetapi dia tidak mendapat syahid. Ini kerana dia jihad bukan kerana agama.
Allahu a’lam.