Golongan Toba’iyyun
Mereka ini adalah subset kepada Atheis juga. Seperti yang telah diberitahu, golongan Atheis ada banyak jenis dan spektrum. Macam-macam fahaman mereka tetapi terdapat satu dasar yang sama iaitu mereka tidak percaya kepada kewujudan Tuhan.
Golongan Toba’iyyun ini adalah golongan Naturalist. Toba’iyyun itu bunyinya seperti ‘Tabiaat’. Yang kita selalu katakan sebagai: semulajadi. Jadi golongan ini percaya semua yang terjadi dalam alam ini adalah daripada unsur alam seperti air, api, angin dan lain-lain.
Ada juga eleman mereka ini dalam masyarakat kita kerana ada fahaman-fahaman unsur alam ini juga, bukan? Kita selalu dengar bomoh sebut unsur-unsur ini juga. Contohnya kata orang ini ada unsur air, orang itu ada unsur tanah. Tidaklah kita kata mereka ini Atheis pula, tetapi bahaya bila ada fahaman-fahaman sebegini. Maknanya, ada terkesan juga dengan fahaman sesat ini.
Oleh kerana itu ada ajaran-ajaran yang menyebut 4 unsur alam ini. Antaranya yang kata:
Unsur Tanah: orang yang ada unsur ini bersifat istiqamah
Unsur Angin: orang yang jujur
Unsur Api: kuat perjuangan.
Unsur Air: orang yang tawadhu’ kerana air akan cari tempat rendah.
Maka terngangalah mulut kita bila dengar orang berhujah begitu. Dalam hati kita: [“Eh-eh, betul juga tok bomoh ni cakap…..”].
⚠️ Bahaya kalau begitu.
Kita kata ia bahaya kerana elemen-elemen ini tidak disebut dalam Al-Qur’an. Allah ﷻ tidak sebut manusia terjadi daripada unsur-unsur itu secara tepat. Yang dijadikan dalil hanyalah anggapan-anggapan kosong sahaja.
Allah ﷻ yang menjadikan kita semua, bukannya unsur-unsur itu. Maka kerana itu bahaya kalau ada fahaman ini kerana kita meletakkan kuasa pada alam pula (yang dipanggil alam semulajadi, padahal bukan mereka terjadi ‘semula jadi’, tetapi Allah ﷻ yang jadikan.)
Maka, kalau kita tidak boleh kata sesuatu itu terjadi secara ‘semulajadi’, maka kita kena katakan bagaimana? Kita kata: sunnatullah.
Maksudnya, sesuatu itu terjadi kerana kehendak Allah ﷻ. Bukannya alam terjadi dengan sendirinya, bukannya alam membuat alam yang lain, bukannya makhluk boleh mencipta makhluk yang lain pula. Semua yang terjadi adalah sunnatullah, atas kehendak Allah ﷻ.
Maka kita kena jaga kata-kata kita. Kadangkala kita pakai cakap sahaja, tetapi sebenarnya ia membawa konotasi yang tidak baik. Kadang-kadang selamba sahaja kita cakap: “Tasik ini terjadi secara semulajadi”. Bagaimana pula ia terjadi secara semulajadi kerana semua yang terjadi adalah atas kehendak Allah ﷻ maka jangan kata ia terjadi semulajadi.
⚠️ Allah ﷻ tegur salah faham manusia tentang hal ini dalam [Tur: 35]
أَمْ خُلِقُوا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُونَ
Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?
Adakah manusia sangka mereka terjadi sendiri tanpa ada yang menciptakan? Takkan tiba-tiba manusia melalui proses evolusi daripada berudu, kemudian evolusi menjadi monyet, kemudian evolusi pula menjadi manusia? Tidak mungkin kerana itu mustahil sama sekali. Tidaklah manusia tiba-tiba wujud sendiri.
Takkan di rumah kita tengah tengok TV, tiba-tiba terjadi satu kereta Proton Saga secara ‘semulajadi’. Tidak ada yang terjadi dengan sendirinya tetapi Allah ﷻ yang menjadikan sesuatu kejadian dan makhluk.