Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-238 hingga Ke-241

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-238 hingga Ke-241

1861
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-238

Dalam ayat-ayat sebelum ini kita telah banyak belajar tentang ayat-ayat Umur Munazimah iaitu tentang hubungan sesama manusia. Sekarang kita diingatkan di sini bahawa hubungan dengan manusia itu hanya boleh menjadi baik jikalau kita menjaga hal-hal Umur Muslihah iaitu hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

Tidak mungkin hubungan dengan manusia ini akan menjadi baik jikalau tidak dijaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ. Sebab itulah di antara ayat-ayat yang mengajar menjaga hubungan dengan manusia itu, diselitkan dengan ayat-ayat tentang menjaga hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

حٰفِظوا عَلَى ٱلصَّلَوٰتِ

Peliharalah kamu segala sembahyang fardhu

Hal-hal perkahwinan dan perceraian yang telah banyak disebut sebelum ini hanya boleh dijaga oleh mereka yang menjaga salat sahaja. Kalaulah mereka itu bukan jenis yang menjaga salat, mereka tidak akan ikut pun hukum dan saranan Allah ‎ﷻ itu sebab mereka tidak berasa pentingnya arahan yang telah diberikan oleh Allah ‎ﷻ. Sedangkan hukum tentang ibadat pun mereka langgar, apatah lagi hukum tentang ‘adat’.

Sebagai manusia, tentulah perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan di mana satu perhubungan rapat telah terputus. Namun Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan, kalau perkara itu terjadi, masih kita kena jaga satu lagi hubungan: hubungan dengan Allah ‎ﷻ.

Semasa dalam salat itulah kita adukan segala kesedihan kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita minta petunjuk daripada Allah ‎ﷻ bagaimanakah cara untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi dan beri kita kekuatan untuk menghadapinya.

Jagalah hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dan lebih-lebih lagi hendaklah kita menjaga Salat Fardu. Salat lima waktu itu telah dipilih khas oleh Allah ‎ﷻ untuk menjaga hubungan yang rapat dengan Allah ‎ﷻ. Memang telah disusun sebegitu dalam waktu-waktu tertentu supaya walaupun kita dalam keadaan sibuk dengan kehidupan di dunia, masih kita luangkan masa untuk bersama dengan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ telah susun waktu-waktu salat itu supaya ia merangkumi sepanjang hari. Oleh itu, walaupun kita salat sebanyak 17 raka’at, tidaklah boleh kita buat semua sekali dalam satu waktu. Kita ikut waktu salat yang telah ditetapkan. Ini agar susunannya menjadi seolah-olah kita sentiasa dekat dengan Allah ‎ﷻ, di mana kita menjalani kehidupan seharian kita, dan tidak lama kemudian kita akan salat kembali.

Sebagai contoh, apabila kita telah salat subuh, kita telah menjaga hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ dari waktu subuh membawa ke Zuhur keberkatan itu dan apabila waktu Zuhur tiba dan kita salat, kita berhubung kembali dengan Allah ‎ﷻ. Keberkatan salat Zuhur itu dibawa sampai ke Asar dan sampai waktu Asar, kita salat kembali. Kemudian seterusnya dengan salat-salat yang lain. Lepas Isyak, tidur dan bila bangun, salat Subuh pula.

وَٱلصَّلَوٰةِ الوُسطىٰ

khasnya sembahyang Pertengahan

Dalam salat Fardhu yang lima waktu itu, salat yang paling utama perlu dijaga adalah ‘salat pertengahan’. Apakah pula salat pertengahan ini?

Jumhur ulama’ mengatakan salat pertengahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah salat Asar. Ini adalah kerana salat Asar duduknya di tengah-tengah antara siang dan malam. Salat Subuh dan Zuhur dikira salat dalam waktu siang dan waktu Maghrib dan Isyak dikira salat waktu malam dan Asar duduknya di tengah-tengah.

Walau bagaimana pun ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Salat Pertengahan ini adalah salat Subuh dan ini juga adalah salah satu pendapat Mazhab Syafi’iy.

وَقوموا لِلَّهِ قٰنِتينَ

dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Dalam salat hendaklah khusyuk. Jadi dalam ayat ini, ada dua perkara yang Allah ‎ﷻ suruh jaga – jaga waktu salat dan jaga khusyuk dalam salat.

Bukan itu sahaja, hendaklah kamu berdiri salat semata-mata kerana Allah ‎ﷻ – maksudnya ikhlas. Dalam salat itu, jaga rukun, jaga syarat yang wajib, jaga adab dan jaga hati. Maknanya kena jaga semua. Kena jaga zahir dan batin.

Kalau hendak dikirakan, sepatutnya boleh dijaga semua perkara ini kerana bukan lama pun salat itu. Selalunya orang salat dalam masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Kalau pendek macam itu, sepatutnya memang boleh jaga. Namun realitinya menjaga salat itu memang payah sedikit sebab semasa hendak salatlah syaitan akan hebat menyerang dan kacau kita. Ini adalah kerana syaitan tidak mahu kita ingat kepada Allah ‎ﷻ.

Oleh itu, segala perkara ini perlu dilatih dalam salat-salat sunat. Semua zikir dalam salat perlu dilakukan di luar salat juga supaya kita biasa melakukannya.

Tafsir Ayat ke-239

Suruhan menjaga salat ini bukan sahaja semasa aman, tetapi semasa perang juga. Semasa kita berperang dengan musuh yang zahir, jangan kita lupa untuk berperang dengan musuh yang batin juga, iaitu syaitan.

Maka dalam keadaan perang pun kita masih disyari’atkan untuk salat. Kena jaga juga hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ iaitu dengan menjaga salat kita. Kalau perang pun kena jaga salat, apatah lagi kalau dalam keadaan aman. Maka, tidak ada alasan untuk meninggalkan salat.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا ۖ فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

فَإِن خِفتُم فَرِجالًا أَو رُكبانًا

Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan,

Kalau kamu bimbang disebabkan oleh peperangan yang berlaku, maka ada keringanan yang diberikan kepada manusia dalam mengerjakan salat.

Salat masih tetap wajib dilakukan tetapi diringankan iaitu boleh dilakukan semasa berjalan dan juga di atas kenderaan.

Salat yang dimaksudkan adalah Salat Khauf. Salat ini boleh dilakukan sambil pegang senjata, malah tanpa mengadap ke arah kiblat pun kalau perlu. Cara untuk melakukannya, hendaklah dirujuk dalam bab Fiqah.

فَإِذا أَمِنتُم فَاذكُرُوا اللَّهَ كَما عَلَّمَكُم

kemudian apabila kamu telah aman, maka hendaklah kamu mengingati Allah, sebagaimana Allah telah ajar kamu

Dalam ayat ini disebutkan bahawa kita kena ingat Allah ‎ﷻ, maknanya ayat ini hendak memberitahu yang dalam salat itu, perkara yang paling penting kita kena lakukan adalah ingat kepada Allah ‎ﷻ.

Apabila dalam keadaan aman, kena ikut cara salat sebagaimana yang Allah ‎ﷻ ajar kita untuk salat dalam keadaan biasa. Ingatlah bahawa salatlah ibadat terbaik. Maka jangan kita lepaskan peluang ini.

مّا لَم تَكونوا تَعلَمونَ

apa yang kamu dulu tidak mengetahuinya.

Sebelum ini kita tidak tahu pun cara-cara untuk salat tetapi Allah ‎ﷻ telah ajarkan kita melalui Nabi-Nya.

Kedua-dua ayat di atas adalah ayat Umur Muslihah. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ selang selikan antara ayat-ayat hubungan dengan masyarakat (Umur Munazimah) dengan ayat-ayat tentang hubungan dengan Allah ‎ﷻ (Umur Muslihah). Allah ‎ﷻ selang selikan kerana kedua-dua jenis ayat ini adalah amat berkaitan sekali.

Tafsir Ayat ke-240

Kembali kepada ayat-ayat Umur Munazimah tentang hal-hal perkahwinan.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ ۚ فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

وَالَّذينَ يُتَوَفَّونَ مِنكُم وَيَذَرونَ أَزوٰجًا

Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri,

Ayat ini adalah kepada suami yang mati dan ada meninggalkan isteri. Tentulah perkara ini biasa sangat terjadi maka Islam telah meletakkan saranan tentang apa yang perlu dilakukan dalam keadaan seperti itu. Islam tidak meninggalkan keadaan balu wanita itu dalam keadaan tergantung dan terkontang kanting.

وَصِيَّةً لِّأَزوٰجِهِم

hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka

Suami itu hendaklah berwasiat iaitu meninggalkan pesan kepada walinya supaya menjaga isterinya itu. Tidak patut isterinya itu dibiarkan begitu sahaja. Maka seorang suami hendaklah memikirkan perkara ini: “Apa yang akan jadi dengan anak isteri aku kalau aku tiba-tiba tidak ada?”

مَّتٰعًا إِلَى الحَولِ غَيرَ إِخراجٍ

iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.

Kena sediakan nafkah daripada harta yang ditinggalkannya sampai cukup setahun jikalau isterinya itu tidak kahwin lain. Diwasiatkan atas dasar jasa baik. Isterinya itu memang boleh kahwin lain tetapi jikalau mereka tidak kahwin lain, maka perlu diwasiatkan untuk penjagaan mereka.

Isterinya itu kena dibiarkan tinggal di rumah yang dia tinggal dengan suaminya sebelum itu selama cukup setahun. Janganlah dihalau isteri itu keluar walaupun suaminya sudah tidak ada lagi. Oleh kerana suaminya tidak ada lagi, maka waris kena jalankan tanggungjawab ini.

فَإِن خَرَجنَ فَلا جُناحَ عَلَيكُم في ما فَعَلنَ في أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعروفٍ

Kemudian jika mereka keluar maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut

Isteri itu boleh tinggal selama setahun di rumah itu, tetapi kalau isterinya itu keluar juga, maka tidaklah ada kesalahan kepada wali-wali arwah suaminya itu.

Namun kenalah pastikan yang apa yang dilakukan oleh wanita itu adalah perkara yang makruf (yang baik). Sebagai contoh, dia kahwin lain, atau kerja tempat yang jauh. Tidaklah boleh dibenarkan kalau ikut lelaki lain pula.

وَاللَّهُ عَزيزٌ حَكيمٌ

dan ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah ‎ﷻ Maha Berkuasa untuk menghukum sesiapa sahaja yang buat kesalahan dengan serta merta. Namun Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana, maka Allah ‎ﷻ tangguh hukuman itu dan ini memberi peluang kepada mereka yang berbuat salah untuk bertaubat dan membaiki kesalahan mereka.

Maknanya, kalau ada yang menghalau balu waris sendiri, maka perbetulkan balik dengan membenarkan dia duduk di rumah itu. Kalau ada ambil hak dia, maka kena kembalikan.

Tafsir Ayat ke-241

وَلِلمُطَلَّقٰتِ مَتٰعٌ بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

وَلِلمُطَلَّقاتِ مَتاعٌ بِالمَعروفِ

Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah pemberian saguhati) dengan cara yang patut,

Kepada wanita yang diceraikan wajib diberikan sedikit sebanyak hadiah kepada mereka. ‘Makruf’ itu bermaksud hadiah yang boleh mengurangkan sedikit kesedihan dan kemarahan kepada mereka. Ini kerana kalau seorang wanita diceraikan setelah sekian lama berkahwin, tentulah ada kesedihan dan serba sedikit rasa marah kerana ditinggalkan.

Maksud ‘makruf’ itu juga, hendaklah mut’ah itu diberikan dengan cara yang baik. Oleh itu, waktu kita beri hadiah itu, kita berilah dengan cara baik dan tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyebabkan kesedihan dan kemarahan kepada wanita itu. Ini kerana ada orang yang beri tetapi mereka tunjukkan yang mereka tidak suka semasa memberi hadiah itu.

Jadi kita kena tahu tujuan kita memberi hadiah itu iaitu untuk mengurangkan kesedihannya. Jadi kalau kita memberi itu tetapi dalam masa yang sama menyebabkan dia sakit hati maka itu tidak mendapati syari’at.

حَقًّا عَلَى المُتَّقينَ

satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

Ini adalah tanggungjawab kepada orang yang menjaga akidah dan taqwanya. Maka ulama’ berpendapat yang mut’ah ini adalah wajib. Akan tetapi, ramai dalam kalangan para suami yang menceraikan isterinya tidak menjalankan kewajipan ini mungkin kerana jahil tentang hukum ini.

Allahu alam.

Komen dan Soalan