Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-236 dan Ke-237

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-236 dan Ke-237

886
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-236

Ini pula adalah keadaan jikalau seorang isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan sebelum ditetapkan mahr berapa banyak yang akan dibayar.

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً ۚ وَمَتِّعوهُنَّ عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ مَتٰعًا بِالمَعروفِ ۖ حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

Tidaklah kamu bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

لّا جُناحَ عَلَيكُم إِن طَلَّقتُمُ النِّساءَ ما لَم تَمَسّوهُنَّ

Tidaklah kamu bersalah jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka

Tidaklah salah kalau seorang suami menceraikan isterinya sebelum mereka melakukan hubungan kelamin. Mungkin perkahwinan itu perkahwinan yang dirancang oleh keluarga masing-masing dan apabila seorang lelaki melihat isterinya itu, dia tidak mahu meneruskan perkahwinan itu; atau apa-apa sahaja sebab.

أَو تَفرِضوا لَهُنَّ فَريضَةً

dan (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.

Perkataan أَو (selalunya bermaksud: atau) dalam ayat ini dibaca dengan makna و (dan). Maknanya, isteri itu tidak disetubuhi DAN tidak ditetapkan kadar mahr untuknya. Kena ada kedua-dua syarat itu.

Maksudnya mahr tidak diberikan atau tidak ditetapkan pun kadar mahr dalam akad nikah. Maknanya, kalau akad nikah itu tidak sebut berapa banyak yang akan diberi, akad itu sah.

Hukum: Bayaran mahr adalah ‘wajib’, namun tidaklah ‘rukun’. Nikah itu sah tetapi hendaklah kemudiannya diberikan juga mahr itu. Selagi mahr tidak diberikan, seorang isteri boleh menahan farajnya daripada suaminya.

وَمَتِّعوهُنَّ

hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka

Mut’ah berasal daripada kalimah al-Mata’ (المتاع). Ia bermaksud sesuatu yang menyeronokkan dan dapat dimanfaati. Sementara mut’ah dalam bab ini ialah harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab penceraian atau dipisahkan.

Berikanlah hadiah kerana dia akan menjaga nama baik lelaki itu dan juga untuk menjaga hati dia. Ini bukanlah mahr tetapi pemberian saguhati kepada wanita itu.

Kiranya sebagai penghibur hati dia. Tidaklah sia-sia sahaja dia melalui proses perkahwinan itu tetapi tidak mendapat apa-apa kerana tentu dia malu juga kerana satu kampung sudah tahu dia telah berkahwin tetapi tiba-tiba kena cerai pula.

عَلَى الموسِعِ قَدَرُهُ

atas suami yang senang menurut ukuran kemampuannya;

Tidak ditetapkan berapakah kadar pemberian hadiah itu. Ikut kedudukan suami itu sama ada kaya atau miskin. Maksudnya, sekadar mana yang mampu. Kalau kaya, berilah banyak dan hadiah yang bernilai – mungkin sebiji kereta.

وَعَلَى المُقتِرِ قَدَرُهُ

dan atas suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya,

Kalau orang miskin, berilah apa sahaja yang dia mampu beri tetapi hendaklah beri sesuatu yang bernilai yang dapat menyentuh hati bekas isterinya itu.

مَتٰعًا بِالمَعروفِ

sebagai pemberian saguhati menurut yang patut,

Berikanlah mengikut apa yang selayaknya. Janganlah pula bekas isteri itu minta hadiah yang bukan-bukan.

حَقًّا عَلَى المُحسِنينَ

satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan bagi mereka yang ada hati yang baik.

Mut’ah wajib diberikan kepada perempuan yang berkeadaan berikut:

  1. Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
  2. Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa aqad nikah. Ini seperti dalam ayat ini.
  3. Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalan aqad nikah.

Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam aqad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya (belum bermalam pun lagi).

Tafsir Ayat Ke-237

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً فَنِصفُ ما فَرَضتُم إِلّا أَن يَعفونَ أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ ۚ وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ ۚ وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

وَإِن طَلَّقتُموهُنَّ مِن قَبلِ أَن تَمَسّوهُنَّ

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka,

Ini ada persamaan dengan ayat sebelum ini – pasangan itu sudah berkahwin tetapi tidak ada hubungan kelamin lagi. Diceraikan sebelum mereka jimak.

وَقَد فَرَضتُم لَهُنَّ فَريضَةً

padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka,

Cuma beza dengan ayat sebelum ini, mahr telah ditetapkan oleh pihak lelaki. Lelaki itu telah berjanji untuk memberikan sekian-sekian banyak kepada isterinya itu. Selalunya di negara ini, mahr itu disebut semasa akad nikah.

فَنِصفُ ما فَرَضتُم

maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu,

Oleh kerana mahr telah ditetapkan, syari’at menetapkan bahawa bekas suami itu hendaklah memberikan separuh daripada kadar mahr yang telah dijanjikan. Kalau sudah janji hendak beri 10 ribu, maka berilah 5 ribu kepada bekas isterinya itu.

إِلّا أَن يَعفونَ

kecuali jika mereka memaafkannya

Kecuali jikalau pihak isteri kata tidak perlulah beri walau separuh pun iaitu pihak isteri mahu menjaga nama baik. Ini memang boleh. Mungkin dia kasihan kepada lelaki itu kerana telah susah payah hendak mendapatkan wang itu, tetapi perkahwinan tidak jadi pun, maka ambillah balik kesemua daripada mahr itu kembali (kalau sudah bayar). Atau kalau tidak bayar lagi, tidak perlu bayar separuh pun.

أَو يَعفُوَ الَّذي بِيَدِهِ عُقدَةُ النِّكاحِ

atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya

Pihak yang memegang ikatan nikah itu adalah lelaki itu. Dia mungkin hendak menjaga nama baiknya, maka dia pun kata ambillah kesemua mahr yang telah dijanjikan itu. Dia boleh cari duit lagi, tetapi nama baik susah hendak jaga. Ini juga adalah bagus. Tambahan pula kerana dia yang memutuskan perkahwinan itu.

وَأَن تَعفوا أَقرَبُ لِلتَّقوىٰ

Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa.

Kedua-dua pihak tidak jadi berkahwin, tetapi janganlah ada rasa tidak selesa atau marah sesama sendiri. Maafkanlah sesama sendiri dan itu adalah tanda ketaqwaan yang ada pada kedua-dua pihak itu.

Terimalah kejadian itu sebagai takdir daripada Allah ‎ﷻ Maafkanlah apa kesalahan yang telah berlaku. Kita pun tidak pasti kenapa perkahwinan itu tidak menjadi. Namun terima sahaja takdir Allah ‎ﷻ itu.

Juga bermaksud, kalau salah satu pihak melepaskan hak untuk mendapat sebahagian daripada mahr itu, ini adalah sikap yang terpuji.

وَلا تَنسَوُا الفَضلَ بَينَكُم

Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri.

Berilah hadiah sesama sendiri sebagai tanda mereka masih lagi berbaik-baik supaya walau tidak jadi perkahwinan itu tetapi masih mesra lagi antara kedua-dua pihak.

Kalau pihak isteri kata tidak perlu bayar separuh, maka pihak lelaki itu berilah hadiah kepada pihak isteri itu.

Kalau pihak suami berikan seluruh mahr yang dijanjikan itu, maka pihak isteri balaslah budi itu dengan memberikan sesuatu sebagai hadiah.

إِنَّ اللَّهَ بِما تَعمَلونَ بَصيرٌ

Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.

Allah ‎ﷻ melihat perbuatan hamba-Nya dan Allah ‎ﷻ menilai sama ada perbuatan itu baik atau tidak.

Lihatlah keindahan Islam di dalam mengajar manusia tentang perkara-perkara sebegini. Perkara-perkara sebegini tidak ada di dalam agama lain. Maka jikalau mereka tahu tentang perkara-perkara sebegini, iaitu jikalau kita sampaikan kepada mereka, tentulah mereka akan tertarik dengan keindahan agama Islam ini.

Mungkin mereka akan tergerak hati untuk masuk Islam. Masalahnya umat Islam sendiri pun tidak tahu apa yang ada di dalam Al-Qur’an ini, lalu bagaimana mereka hendak sampaikan keindahan ini kepada manusia lain?

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan