Utama Fikih Asma'ul Husna Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta...

Asma’ul Husna: Bab 3 Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta (Bahagian 1)

895
0
Iklan

Bab: Pengaruh nama Allah ‎ﷻ dalam penciptaan alam semesta

[Maknanya: tajuk ini hendak menekankan yang apabila kita belajar nama-nama Allah ‎ﷻ, kita dapat tahu dan sedar bahawa Allah‎ ﷻlah yang mencipta alam ini.]

Sesungguhnya di antara hal utama dan bermanfaat yang dapat meninggikan darjat seorang hamba dan membantunya dalam mengenal Allah ‎ﷻ, mewujudkan kecintaan serta pujian kepada-Nya adalah dengan merenungkan dan mentadabburi nama-nama Allah ‎ﷻ yang baik dan sifat-sifat-Nya yang mulia di dalam penciptaan alam semesta.

[Dengan mengetahui nama Allah ‎ﷻ yang berkait dengan penciptaan alam semesta ini, ia akan meningkatkan cinta kita kepada Allah ‎ﷻ. Maknanya kita bukanlah tengok sahaja alam ini dengna mata kasar kita, tetapi kita melihat dengan mata hati kita juga. Kemudian, kita kaitkan dengan nama-nama Allah ‎ﷻ. Kita bukannya tidak tahu yang alam ini Allah‎ ﷻ yang jadikan, tetapi dengan refleksi sebegini, akan lebih menaikkan cinta kita kepada Allah ‎ﷻ.]

🔏 Sesi Q & A:

Soalan:
Apakah maksud sebenar “merenung kejadian alam” itu? Contohnya orang yang suka menanam bunga, setiap hari disiram dan dibajanya bunga itu daripada tunas sampai berbunga kembang, maka timbul rasa kagum dan memikirkan betapa hebatnya ciptaan Allah; Al-Khaliq. Adakah begitu, Ustaz?

Jawapan:
Ya benar. Dia tengok juga macam orang lain, tetapi dia kaitkan dengan Allah.

Orang lain tengok: “Cantiknya bunga orkid ini, rajin makcik senah tanam.”

Orang yang ingat kepada Allah pula berkata: “Ma sha Allah.. cantik bunga ini Allah buat…”

Soalan:
Saya teringat, ustazah yang ajar saya suruh baca ayat ini apabila lihat alam:

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَٰطِلًا سُبْحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Jawapan:
Ya, boleh. Ayat yang sesuai untuk dibaca.

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

Selain itu, bahawasanya alam semesta ini, dari langit dan bumi, matahari dan bulan, malam dan siang, gunung-gunang, lautan, gerak dan diamnya makhluk, semua ini termasuk sebahagian daripada pengaruh nama-nama Allah ‎ﷻ dan sifat-sifat-Nya. “Semuanya mengisyaratkan kepada nama-nama Allah ‎ﷻ dan hakikatnya, menyeru dan menunjukkan kepadanya, mengabarkan dengan lisan dan keadaannya, sebagaimana yang pernah dikatakan,

Perhatikanlah fenomena alam semesta ini, sesungguhnya Dia adalah:

Dari Al-Malik (Raja) Yang Maha tinggi, (yang menyampaikan) risalah kepadamu

Dia telah menggariskan di dalamnya, seandainya engkau mahu merenungkan garisnya

(Mahu engkau tahu) bahawa segala sesuatu (sesembahan) selain Allah adalah batil

Fenomena alam tersebut mengisyaratkan untuk menetapkan sifat bagi Rabbnya

Yang diam dan yang berbicara menunjukkan akan semua itu

[Alam-alam ini menjadi tanda dan pengajaran bagi kita sebenarnya. Ia memberitahu kita bahawa yang berkuasa hanya Allah ‎ﷻ sahaja, bukan alam. Contohnya matahari tidak ada kuasa.

Alam memang tidak bercakap tetapi ia sedang memberi isyarat kepada Allah ‎ﷻ. Yang faham adalah mereka yang menggunakan akal.]

Untuk mengenal Allah ‎ﷻ ada tiga asas:

1. Sesuatu yang tidak wujud tidak dapat mencipta apa-apa. Tidak akan terjadi sesuatu tiba-tiba tanpa ada yang menjadikannya.

2. Makhluk-makhluk adalah kesan-kesan yang dapat disaksikan bagi menceritakan sifat pencipta. Mungkin kita tidak tahu siapa Allah ‎ﷻ namun kita tahu sedikit sifat Allah ‎ﷻ. Contohnya, bila kita tengok kerusi, kita tahu yang membuatnya bukanlah tukang kasut. Bukanlah semua sifat pembuat itu kita tahu kerana sebahagian sahaja.

3. Sesiapa yang tidak ada sesuatu itu tidak boleh memberi sesuatu itu. Contohnya matahari tidak ada apa-apa maka ia tidak boleh memberi kehidupan. Ia tidak ada kasih sayang maka ia tidak boleh beri kasih sayang. Ia digunakan untuk menafikan sifat Tuhan kepada selain Allah ‎ﷻ. Macam berhala mana boleh beri manusia makan sebab dia pun manusia yang memberinya makan.

Bab yang kita sedang bincangkan ini termasuk dalam perkara ke 2 di atas.

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

Pernahkah engkau melihat sesuatu yang lebih menunjukkan akan sifat-sifat Sang pencipta dan kesempurnaan sifat-Nya serta hakikah nama-nama-Nya daripada makhluk-makhluk-Nya? Ini termasuk semulia-mulia ilmu dan pengetahuan.

Semua nama Allah ‎ﷻ memiliki sifat yang khusus bagi-Nya, kerana nama-nama Allah ‎ﷻ mencakup sitat-sifat kesempurnaan dan pujian, dan setiap sifat-Nya memiliki kelaziman (pasif pada dirinya sendiri) dan perbuatan (yang kena kepada selainnya)-baik yang memerlukan objek mahupun tidak.

[Nama Allah ‎ﷻ bukan sekadar nama sahaja tetapi ia juga mengandungi Sifat-Nya. Tidak sama dengan manusia yang namanya hanya nama sahaja. Sebagai contoh, orang yang bernama Ghani, tidak semestinya kaya, bukan? Namun apabila Allah ‎ﷻ namanya al-Ghani, memang Allah Maha Kaya.

Nama dan sifat Allah ‎ﷻ ada yang bersifat ‘lazim’ dan ada yang bersifat ‘muta’addi’ (ini adalah dua istilah yang digunakan dalam pembelajaran bahasa Arab). Apakah maksud ‘lazim’ dan ‘muta’addi’?

Sebagai contoh, kita lihat sifat Rahman Allah. Ini memang sifat yang kita boleh bayangkan kehebatan Allah ‎ﷻ. Allah boleh beri rezeki yang banyak kepada makhluk, tidak kira sama ada mereka itu mukmin atau tidak.]

Lazim: sesuatu yang berdiri sendiri. Contoh apabila kita kata sesuatu itu cantik. Cantiknya itu tidak ada kaitan dengan orang lain.

Muta’addi: ada yang berkaitan dengan selain darinya. Sebagai contoh bila kita seseorang itu dikatakan penyayang, maka tentu ada yang disayanginya. Maknanya ada perbuatan yang dilakukan kepada orang lain.

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

Perbuatan Allah Ta’ala memiliki keterkaitan dengan objeknya yang merupakan kelazimannya. Hal itu terwujud dalam penciptaan, perintah, pahala, dan larangan-Nya. Semua itu termasuk pengaruh nama-nama Allah yang baik dan kelazimannya. Tidak mungkin ditiadakan objeknya dari perbuatan-Nya, atau ditiadakan perbuatan-Nya dari sifat-Nya, dan tidak mungkin ditiadakan sifat-Nya dari nama-nama-Nya, demikian pula nama dan sifat-Nya dari Dzat-Nya.

[‘Terkaitan dengan objeknya’ adalah orang yang terkesan dengan sifat Allah ‎ﷻ itu. Sebagai contoh, apabila dikatakan Allah ‎ﷻ bersifat Rahman, kita sebagai makhluk terkena atau mendapat kesan daripada sifat Rahman Allah itu dan ini kita boleh lihat di mana-mana asalkan kita mahu membuka mata hati kita.

Dalam semua perintah Allah ‎ﷻ ada sifat Rahman Allah. Walaupun kita mungkin tidak nampak. Walaupun arahan Allah‎ ﷻ itu dalam menjalankan hukuman hudud kepada manusia.

Mari kita lihat contoh Hukuman Hudud ini. Memang kita nampak macam ganas dan manusia zaman sekarang kononnya sudah meninggalkan ‘kekejaman’ ini. Memang nampak ia kejam kepada orang yang dibunuh itu tetapi mengapa kita tidak melihat dari sudut mereka yang telah dizalimi sebelum itu? Iaitu mereka yang telah menjadi mangsa orang yang hendak dihukum itu.

Kenapa kita hendak membela orang yang telah melanggar hukum tetapi tidak menghiraukan hati mangsa? Kita yang tidak terlibat, mungkin kita pun kasihan juga kepada orang yang dikenakan dengan hukum hudud (potong tangan atau hukum pancung) tetapi bagaimana pula dengan ahli keluarga mangsa?]

Bab: Pengaruh Nama Allah ‎ﷻ dalam Penciptaan Alam Semesta (Sambungan)

Oleh kerana itu, disebutkan dalam Al-Qur’an pengingkaran terhadap orang-orang yang mengabaikan dari-Nya perintah, larangan, pahala, dan sangsi-Nya, dan bahawasanya orang yang mengatakan hal tersebut kepada-Nya, tidaklah mengagungkan Allah dengan sebenarnya.

[Ini tentang orang yang menidakkan sifat-sifat Allah ‎ﷻ yang sepatutnya dinisbahkan kepada-Nya. Mereka tahu nama Allah ‎ﷻ tetapi tidak mengaitkan nama-nama itu dengan sifat-sifat Allah ‎ﷻ seperti yang sepatutnya. Mereka setakat tahu, ini nama Allah ‎ﷻ, itu nama Allah ‎ﷻ. Namun setakat itu sahaja kerana mereka tidak belajar makna-makna nama itu.

Itulah sebab kita kena kenal nama dan sifat-sifat Allah ‎ﷻ supaya kita benar-benar mengenali Dia. Disebabkan tidak kenallah yang mengakibatkan kita asyik membuat kesilapan demi kesilapan yang sama.

Mengenal itu kena mengenali terlebih dahulu, kena belajar dahulu. Katakanlah kita tidak tahu bahayanya raksa (merkuri), tentulah kita tidak mengambil kisah pun jika hendak pegang raksa itu. Namun apabila kita sudah diberitahu yang kesannya amat berbahaya untuk keselamatan kita, maka barulah kita berhati-hati dengannya, bukan?

Sebagaimana sekarang kita kenal virus Covid-19. Pada peringkat awal dahulu, ramai yang mengatakan ia hanyalah virus biasa sahaja (seperti demam biasa sahaja mereka kata). Namun, lama-kelamaan kita tahu kesannya sangat teruk, amat senang untuk dijangkiti dan susah pula untuk diubati, malah tiada penawar berkesan ditemui sehingga hari ini dan sudah terlalu ramai yang telah menemui maut akibat virus ini. Maka kita sanggup duduk di rumah berhari-hari sehingga berbulan lamanya dan memakai topeng muka kalau kita keluar. Itu kerana kita sudah kenal bahayanya virus itu. Kalau tidak kenal, kalau masih menyangka ia adalah plandemic*?

Maka manusia yang tidak mengenali Allah ‎ﷻ sebagaimana yang sepatutnya akan meninggalkan arahan Allah ‎ﷻ dan melakukan larangan-Nya dengan selamba sahaja.]

Sebagaimana Allah telah berfirman tentang para pengingkar kenabian, kerasulan dan diturunkannya kitab-kitab,

وَمَا قَدَرُوا اللّٰهَ حَقَّ قَدۡرِهٖۤ اِذۡ قَالُوۡا مَاۤ اَنۡزَلَ اللّٰهُ عَلٰى بَشَرٍ مِّنۡ شَىۡءٍ

Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan semestinya di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia.” (QS. Al-An’aam: 91)

Allah Ta’ala berfirman tentang para pengingkar hari kiamat, pahala dan azab,

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ وَالْأَرْضُ جَمِيعًا قَبْضَتُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَالسَّمَاوَاتُ مَطْوِيَّاتٌ بِيَمِينِهِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَىٰ عَمَّا يُشْرِكُونَ

Dan mereka tidak mengagungkan Allah dengan pengagungan yangsemestinya padahal bumi seluruhnya dalam genggaman-Nya pada hari kiamat dan langit digulung dengan tangan kanan-Nya. (QS. Az-Zumar: 67)

[Apabila tidak kenal Allah, maka manusia akan berkata dengan perkataan yang tidak layak dengan Allah. Ini kerana mereka tidak kenal Allah. Ada manusia yang mereka-reka pemahaman tentang Allah dari akal mereka sendiri. Maka itu adalah perkara yang amat buruk sekali.]

Allah Ta’ala berfirman tentang orang-orang yang menyamakan antara dua hal yang berbeza, antara yang baik dan yang jahat, yang kafir dan yang mukmin,

أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ

“Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, iaitu sama antara kehidupan dan kematian mereka. Amat buruklah apa yang mereka sangka itu. [Jaatsiyah: 21]

Allah menjelaskan bahawa ini adalah hukum yang jelek dan tidak layak bagi-Nya, bagi nama dan sifat-Nya. Allah berfirman:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ

Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami. Maka Maha Tinggi Allah, Raja Yang Sebenarnya; tidak ada ilah (yang berhak disembah) selain Dia, Rabb (Yang mempunyai ‘Arsy yang mulia.” (Al-Mukminun: 115-116) maksudnya, Mahasuci Allah dari prasangka dan perkiraan yang tidak layak dengan nama dan sifat-Nya.

Permisalan seperti ini sangat banyak dalam Al-Qur’an, yang intinya Allah menafikan dari diri-Nya hal-hal yang menyelisihi ketentuan nama dan sifat-Nya, kerana hal tersebut mengharuskan peniadaan Allah dari kesempurnaan-Nya dan dari kelaziman nama dan sifat-Nya.

Oleh kerana itu, di antara hal yang paling bermanfaat bagi seorang hamba dalam hal ini adalah merenungkan, memperhatikan kelaziman, dan makna nama-nama Allah yang baik atas kesempurnaan dan keagungan penciptanya dan bahawasanya Allah Ta’ala menyempurnakan dan mengukuhkan penciptaan-Nya,

Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang” (Al-Mulk: 3). Setiap nama dari nama-nama Allah yang baik mengharuskan adanya pengaruh dari penciptaan dan pengaturan alam semesta.

Komen dan Soalan