Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-223 hingga Ayat Ke-225

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-223 hingga Ayat Ke-225

3673
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-223

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat sebelum ini yang kita boleh mendatangi isteri kita mengikut jalan yang telah diperintahkan oleh Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ menyambung dalam ayat ini mengenainya.

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم ۖ وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ ۗ وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

نِساؤُكُم حَرثٌ لَّكُم

Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu,

Allah ‎ﷻ beritahu kita bahawa isteri-isteri itu seolah-olah ladang untuk suaminya iaitu tempat yang suami itu boleh usaha untuk mendapatkan hasil. Kalau ladang dapat tanaman, maka dengan isteri, boleh dapat anak.

فَأتوا حَرثَكُم أَنّىٰ شِئتُم

oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai

Oleh kerana ladang itu kepunyaan kita, maka kita boleh datangi ladang itu mengikut cara yang kita suka. Lafaz أنّى boleh menjadi dua makna daripada segi bahasa: كيف (bagaimana) atau أين (dari mana). Tetapi dalam ayat ini hanya boleh diterjemahkan sebagai كيف sahaja kerana terdapat larangan daripada Nabi ﷺ untuk mendatangi isteri dari lubang dubur.

Ini kerana kalau kita pakai juga maksud أين, maksudnya suami boleh bersetubuh pula dengan isteri melalui laluan dubur. Itu adalah dilarang kerana menurut hadith:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ جَاءَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ قَالَ وَمَا الَّذِي أَهْلَكَكَ قَالَ حَوَّلْتُ رَحْلِيَ الْبَارِحَةَ قَالَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ شَيْئًا قَالَ فَأَوْحَى اللَّهُ إِلَى رَسُولِهِ هَذِهِ الْآيَةَ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ } أَقْبِلْ وَأَدْبِرْ وَاتَّقِ الدُّبُرَ وَالْحَيْضَةَ

Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata; Umar bin Khathab رضي الله عنه datang kepada Rasulullah ﷺ lalu berkata; “Wahai Rasulullah, aku telah binasa.” Baginda bertanya: “Apa yang membinasakanmu?” Umar رضي الله عنه menjawab; “Aku membalik tungganganku (yakni isteriku) tadi malam.” Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata; Baginda tidak mengatakan apa-apa mengenai itu. Ibnu Abbas رضي الله عنهما melanjutkan; Lalu Allah ‎ﷻ mewahyukan kepada Rasul-Nya ayat ini: (Isteri-isterimu adalah (seperti) tanah tempat kamu bercucuk tanam, maka datangilah tanah tempat bercucuk tanammu itu apa sahaja cara kamu kehendaki) (lalu baginda mengatakan): “Bagaimana sahaja kamu kehendaki, dari hadapan atau belakang tetapi hindarilah Dubur dan haid.” (Musnad Ahmad hadith no 2569)

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ ابْنِ الْمُنْكَدِرِ سَمِعْتُ جَابِرًا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَتْ الْيَهُودُ تَقُولُ إِذَا جَامَعَهَا مِنْ وَرَائِهَا جَاءَ الْوَلَدُ أَحْوَلَ فَنَزَلَتْ { نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّى شِئْتُمْ }

Daripada Ibnu Al Munkadir aku mendengar Jabir رضي الله عنه berkata; “Orang-orang Yahudi berkata; ‘Apabila menggauli wanita melalui belakang maka mata anaknya akan menjadi juling’. Lalu Allah ﷻ menurunkan ayat; Isteri-isteri kalian adalah ladang kalian, maka datangilah ladang kalian dari mana engkau kehendaki.” [Al-Baqarah: 223] (Hadith Bukhari no 4164)

Maknanya, buatlah macam mana pun cara untuk memuaskan nafsu dengan isteri, asalkan bukan masuk ikut dubur. Atas, bawah, depan dan belakang, semua boleh.

وَقَدِّموا لِأَنفُسِكُم

dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu;

Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita dalam ayat ini, walau sibuk dengan ladang, tetapi kena juga utamakan amalan akhirat untuk diri. Allah ‎ﷻ hendak mengingatkan kita, walaupun kita berada di dalam kemuncak kehidupan dunia, kena ingat kepada Allah ‎ﷻ juga.

Kemuncak kehidupan adalah ketika bersama dengan isteri semasa jimak. Tidak ada yang lebih hebat daripada kenikmatan itu. Jadi kena pastikan ada amalan baik yang kita buat sebagai bekalan akhirat. Jangan sampai leka dengan isteri sampai lupa untuk membuat amalan kebaikan.

Atau maksud ayat ini, kita kena ada keinginan untuk mendapatkan anak dan membina keluarga. Bukannya semata-mata hanya kerana seks sahaja.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

dan bertaqwalah kepada Allah

Kena ada taqwa dalam perhubungan suami isteri. Taqwa itu maksudnya menjaga hukum, maka hendaklah kita menjaga hukum tentang perhubungan suami isteri. Nanti akan datang banyak lagi ayat-ayat yang menyentuh tentang perhubungan suami isteri – nikah dan cerai.

Amalkanlah yang sunnah di dalam hubungan persetubuhan suami dan isteri. Jangan buat perkara yang dilarang dan bacalah doa seperti yang diajar oleh Nabi ﷺ. Telah disebutkan di dalam kitab Sahih Bukhari, daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

«لو أن أحدكم إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْتِيَ أَهْلَهُ، قَالَ:بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا، فَإِنَّهُ إِنْ يُقَدَّرْ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ فِي ذلك، لن يضره الشيطان أبدا» .

Seandainya seseorang daripada kalian di saat hendak mendatangi isterinya mengucapkan, “Dengan menyebut nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah daripada kami syaitan dan jauhkanlah pula daripada syaitan apa (anak) yang Engkau rezekikan kepada kami”, maka sesungguhnya jika ditakdirkan bagi kedua-duanya memperolehi anak daripada hubungannya tersebut, nescaya syaitan tidak dapat menimpakan mudarat terhadap si anak selama-lamanya. (HR Bukhari no 6388 dan Muslim no 1434)

وَاعلَموا أَنَّكُم مُّلٰقوهُ

serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya

Kena ingat yang kita tidak hidup selamanya di dunia ini. Sampai masa kita akan mati dan menemui-Nya dan kita akan ditanya tentang bagaimana kita menjalani kehidupan kita semasa di dunia dan sama ada kita menjaga hukum-hukum-Nya.

وَبَشِّرِ المُؤمِنينَ

dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

Orang-orang yang beriman dan menjaga hukum daripada Allah ‎ﷻ, akan diberikan dengan balasan syurga yang mereka akan kekal di dalamnya.

Tafsir Ayat Ke-224

Ayat ini adalah jenis umur munazimah (hukum berkaitan hubungan dengan makhluk). Kena jaga perkara-perkara umur munazimah supaya hubungan dalam masyarakat jadi baik dan apabila baik, barulah boleh hendak berdakwah kepada manusia. Kalau kehidupan kita pun kucar kacir, bagaimana hendak berdakwah kepada orang lain?

Ayat ini adalah tentang sumpah yang dilafazkan oleh manusia.

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم أَن تَبَرّوا وَتَتَّقوا وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

(Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

وَلا تَجعَلُوا اللَّهَ عُرضَةً لِّأَيمَـٰنِڪُم

Dan janganlah kamu jadikan nama Allah sebagai penghalang dalam sumpah kamu

Orang Arab selalu bersumpah. Sikit-sikit mereka akan kata: “wallahi (demi Allah)… aku nak makan…” dan macam-macam lagi. Kadang-kadang ada yang sumpah dengan cara salah dan bodoh.

Untuk bersumpah tidaklah salah (apabila perlu), tetapi jangan gunakan sumpah sebagai alasan.

أَن تَبَرّوا

daripada berbuat baik

Ayat ini adalah teguran kepada manusia kerana ada yang menggunakan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak membuat ibadat atau kebaikan. Sebagai contoh, ada yang bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ untuk tidak datang ke masjid. Kalau kita ajak mereka ke masjid, mereka kata kalau pergi juga, mereka sudah langgar sumpah kepada Allah ‎ﷻ.

Arab Jahiliyyah yang selalu buat begini kerana mereka dibisikkan oleh syaitan untuk bersumpah begitu. Sebagai contoh, mereka ada yang bersumpah atas nama Allah ‎ﷻ untuk kekal atas agama tok nenek mereka. Jadi mereka tidak masuk Islam sebab takut melanggar sumpah.

Orang Arab dahulu bila sebut nama Allah ‎ﷻ, mereka akan jaga betul-betul. Tidak seperti orang kita sekarang, senang sahaja hendak sumpah pakai nama Allah ‎ﷻ. Tetapi itu adalah cara sumpah yang salah dan hendak diperbetulkan oleh Allah ‎ﷻ dalam ayat ini.

Maka Allah ‎ﷻ hendak kata, jangan jadikan nama Dia sebagai penghalang untuk membuat kebaikan dan pahala.

وَتَتَّقوا

dan bertaqwa,

Jangan jadikan sumpah sebagai penghalang daripada menjaga hukum yang lain. Taqwa adalah menjaga hukum, tetapi ada di antara mereka yang menggunakan sumpah sebagai alasan untuk tidak menjaga hukum.

وَتُصلِحوا بَينَ النّاسِ

serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia

Ada yang menggunakan sumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak berbuat baik dengan manusia. Mungkin ada yang apabila dinasihati untuk berbaik dengan musuh dia, dia jawab dia sudah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ yang tidak akan berbaik dengan orang itu; atau ada yang kata dia telah bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ untuk tidak bercakap dengan orang itu sampai bila-bila. Ini adalah cara sumpah yang salah.

Mereka sebut nama Allah ‎ﷻ itu dengan cara yang salah kerana tidak mahu buat kebaikan. Jangan buat macam itu. Ia adalah salah dan tidak menepati syari’at.

Lalu apakah yang harus dilakukan kalau sudah buat begitu? Jawapannya: kena batalkan sumpah itu. Permasalahan ini banyak dibincangkan dalam hadith. Salah satu hadith seperti berikut:

عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى شَيْخًا يُهَادَى بَيْنَ ابْنَيْهِ فَقَالَ مَا بَالُ هَذَا قَالُوا نَذَرَ أَنْ يَمْشِيَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَنْ تَعْذِيبِ هَذَا نَفْسَهُ لَغَنِيٌّ وَأَمَرَهُ أَنْ يَرْكَبَ

Daripada Anas رضي الله عنه bahawa Nabi ﷺ melihat seorang lelaki tua berjalan dengan dipapah oleh dua orang anaknya, lantas baginda bersabda: “Kenapa orang tua ini?” Mereka menjawab, “Dia bernazar (bersumpah untuk beribadah haji) dengan berjalan kaki.” Baginda lalu bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak berkehendakan penyeksaan orang ini ke atas dirinya (sendiri).’ Kemudian baginda memerintahkannya supaya menaiki kenderaan.” (Sahih Muslim no 3100)

وَاللَّهُ سَميعٌ عَليمٌ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Allah ‎ﷻ Maha Mendengar sumpah yang kita lakukan. Allah‎ ﷻ tahu apa yang dalam hati kita semasa mengucapkan sumpah itu. Allah‎ ﷻ juga tahu sama ada kita betul-betul bersumpah atau cakap-cakap kosong sahaja.

Tafisr Ayat Ke-225

Sambungan tentang hukum bersumpah.

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم ۗ وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia mengira kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

لّا يُؤاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغوِ في أَيمٰنِكُم

Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu yang tidak dimaksudkan

Ada orang yang tersasul dalam bersumpah. Kalau seseorang itu tersasul dalam bersumpah dengan tidak ada niat, tidak ada apa-apa. Maknanya, di akhirat nanti tidak ada hukuman ke atas orang itu.

Bangsa kita mungkin jarang kita dengar. Tetapi kalau bangsa Arab, mereka memang senang sahaja melafazkan sumpah.

Sebagai contoh, mereka ada yang berkata: “Wallahi, kalau aku jumpa dia, aku akan bunuh dia”, “wallahi, laparnya aku, kalau aku dapat makanan nanti, aku nak makan lima pinggan terus!”

Semua sumpah itu adalah menggunakan nama Allah ‎ﷻ, tetapi bukanlah dia sebenarnya bermaksud berbuat seperti yang dikatakannya itu. Ia cuma kata-kata kosong sahaja. Allah ‎ﷻ tahu isi hati manusia.

وَلٰكِن يُؤاخِذُكُم بِما كَسَبَت قُلوبُكُم

tetapi Dia mengira kamu bersalah dengan sebab sumpah yang disengajakan oleh hati kamu

Tetapi, kalau seseorang itu bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ dengan niat dan kemudian dia melanggar sumpah itu, dia berdosa dan akan dihukum kerana dosanya itu. Kalau dia tidak langgar sampai dia mati, tidak mengapa. Yang menjadi kesalahan adalah kalau dia melanggar sumpah itu.

وَاللَّهُ غَفورٌ حَليمٌ

Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar

Allah ‎ﷻ Maha Pengampun kesalahan hamba-Nya yang tidak berniat dalam sumpah mereka.

Allah ‎ﷻ juga adalah seorang yang penyabar, tidak cepat dalam bertindak menghukum. Allah ‎ﷻ tidak terus menghukum. Sifat حَليمٌ itu adalah seperti kasih seorang ibu kepada anak. Walaupun dia marah tetapi masih sayang.

Sabar dia dengan kerenah anak dia. Walaupun ibu itu marah kepada perangai anaknya tetapi dalam masa yang sama dia masih nampak anaknya itu comel lagi.

Begitulah sedikit penerangan tentang maksud sifat ini dan tentunya sifat Allah ‎ﷻ itu berkali-kali ganda lagi yang kita tidak tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan