Utama Bilik (101) Fiqh Wanita 1 Soal Jawab: TENTANG SADAQAH PAHALA DAN DOA UNTUK ARWAH

Soal Jawab: TENTANG SADAQAH PAHALA DAN DOA UNTUK ARWAH

454
0
Iklan

🔴 Setelah kita bersadaqah, adakah sampai pahala yang diniatkan untuk mak, ayah, anak dan suami atau atas nama ramai orang sama ada untuk orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia?

🔷 Secara umumnya, pahala ini diperolehi ketika kita hidup sahaja. Dalilnya:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ

Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya. ” [An-Najm: 39]

Fiqh ayat, semasa masih hidup, seseorang perlu bersadaqah sebanyak-banyaknya. Setelah mati, hartanya akan kembali kepada ‘family’ (keluarga). Pengecualian hanya untuk anak si mati:

إِنَّ أَطْـيَبَ مَـا أَكَـلَ الرَّجُلُ مِـنْ كَـسْبِهِ ، وَإِنَّ وَلَـدَهُ مِنْ كَسْبِـهِ.

“Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang adalah daripada hasil usahanya sendiri, dan sesungguhnya anaknya adalah hasil usahanya.” (HR Tirmizi: 1358, hasan sahih)

Maka, yang ‘valid’ (sah) hanyalah pahala sadaqah si anak kepada si mati iaitu ibubapanya sahaja. Justeru itu, sadaqah pahala isteri kepada suami atau sadaqah pahala si fulan kepada orang lain yang bukan keluarganya adalah tidak sampai. Demikianlah kata Imam al Syaukani di dalam kitab Nail al-Authar.

 

🔴 Bolehkah kita berdoa supaya dimurahkan lagi rezeki selepas bersadaqah?

🔷 Tidak perlu berdoa kerana sadaqah tidak mengurangkan harta.

عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّه

“Daripada Rasulullah ﷺ bersabda: “Sadaqah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah ﷻ, melainkan Allahﷻ akan mengangkat darjatnya.” (HR Muslim: 4689)

Fiqh hadith, harta tidak berkurang selepas disadaqahkan, malah ia menjadi simpanan di akhirat, baki harta yang ada akan menjadi berkat.

 

🔴 Bagaimana pula jika kita berdoa untuk orang lain? Adakah doanya sampai?

🔷 Doanya sampai. Sila rujuk hadith yang saya selalu berikan.

“Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Apabila seorang anak Adam mati, putuslah amalnya kecuali tiga perkara; sadaqah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya.” (Hadith Sahih – Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

عن أبي الدرداء رضي الله عنه قال: قال رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم: “مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ، إِلاَّ قَالَ الْمَلَكُ: وَلَكَ بِمِثْلٍ”.

رواه مسلم

“Daripada Abu Darda’ رضي الله عنه bahawa dia mendengar Nabi Muhammad ﷺ bersabda: “Tidaklah berdoa seorang Muslim terhadap saudaranya secara ghaib (tanpa diketahui oleh saudaranya itu) melainkan akan berkatalah para malaikat, engkau juga beroleh yang seumpama dengannya.” (Riwayat Muslim)

 

🔴 Jika orang tua bersadaqah dan meniatkan pahala tersebut untuk anaknya yang sudah meninggal dunia, apakah pahalanya sampai?

🔷 Isu ini terbalik. Fiqh membincangkan anak yang bersadaqah kepada arwah ‘parents’ (ibubapa). Jika ‘parents’ usia panjang, boleh sahaja jika dia hendak bersadaqah untuk anaknya yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Perkara ini akan berkait dengan bab hibah pula.

 

🔴 Bolehkah kita mewaqafkan Al-Qur’an untuk arwah keluarga? Kita waqafkan kepada individu yang mengajar mengaji dan anak-anak yang belajar Al-Qur’an.

🔷 Bersadaqah atas nama si mati memang boleh. Dalil:

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها :

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ أُمّـِيْ افْـتُـلِـتَتْ نَـفْسُهَا (وَلَـمْ تُوْصِ) فَـأَظُنَّـهَا لَوْ تَـكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَـهَلْ لَـهَا أَجْـرٌ إِنْ تَـصَدَّقْتُ عَنْهَا (وَلِـيْ أَجْـرٌ)؟ قَالَ: «نَعَمْ» (فَـتَـصَدَّقَ عَـنْـهَا).

“Bahawasanya ada seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ, “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (dan tidak memberikan wasiat), dan aku mengira jika dia boleh berbicara maka dia akan bersadaqah, apakah dia memperoleh pahala jika aku bersadaqah atas namanya (dan aku pun mendapatkan pahala)? Baginda menjawab, “Ya, (maka bersadaqahlah untuknya).” (Bukhari Muslim)

 

 

Jawapan daripada
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

Komen dan Soalan