Tafsir Ayat Ke- 219
Ayat ke-219 hingga ke-242 adalah hukum berkaitan hidup berkeluarga dan bermasyarakat.
Kita akan belajar hak anak yatim, larangan minum arak dan judi, hukum sumpah, hukum talaq, rujuk dan iddah, haidh, larangan bersetubuh ketika haid, larangan nikah dengan orang kafir, hukum hubungan suami isteri, hukum fasakh dan khulu’, hukum wanita hamil, hukum menyusukan anak, status persamaan dan beza lelaki dan wanita.
Ada lima perkara agama yang memberi kesan kepada kita sama ada baik ataupun buruk. Ia boleh jadi baik, dan boleh jadi buruk. Perkara-perkara ini memberi kekeliruan pada manusia.
Oleh kerana kekeliruan itu menyebabkan manusia tidak dapat keluar daripada kesesatan menuju kepada kebenaran. Ini kerana perkara-perkara yang akan disebut selepas ini boleh memberi dua hala iaitu boleh membawa kepada kebaikan dan boleh kepada keburukan. Jadi kita kena dapatkan maklumat yang sahih.
Salah satu daripadanya adalah tentang arak dan judi. Arak itu dari satu sudut memang ada faedah sebab itu manusia ada yang minum arak kerana mereka nampak kebaikan padanya.
Kalau kita tanya mereka kenapa mereka minum arak, mereka akan jawab dengan memberikan berbagai-bagai faedah pada arak itu. Dengan sebab itu mereka tidak boleh meninggalkannya walaupun mereka memang tahu ada keburukan padanya kerana mereka nampak ada faedah kepada mereka.
Begitu jugalah dengan judi yang ada juga kepentingan di dalamnya. Antaranya boleh buat duit.
Oleh kerana ada potensi dua hala ini (boleh juga jadi kebaikan atau keburukan), maka seseorang itu mestilah memikirkan dengan mendalam mengenainya.
Jangan nampak yang baik kepada mereka sahaja kerana hanya apabila mereka memikirkan dalam-dalam, baru mereka akan nampak bahawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Manusia yang mempunyai akal yang waras, apabila nampak banyak keburukan daripada kebaikan, maka mereka akan meninggalkannya. Bagi kita yang tidak pernah minum arak dan berjudi ini mungkin tidak ada masalah tetapi ada orang yang telah bergelumang lama dengan perkara-perkara ini.
Jadi tidak boleh ajak mereka kepada kebenaran dan meninggalkannya dengan cara yang keras. Allah ﷻ ajar bagaimana caranya bercakap dengan mereka di dalam Al-Qur’an.
يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ ۖ قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما ۗ وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ قُلِ العَفوَ ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.
يَسأَلونَكَ عَنِ الخَمرِ وَالمَيسِرِ
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Mereka bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ tentang hukum arak dan judi kerana ia telah menjadi perkara yang sebati di dalam kehidupan masyarakat Arab pada waktu itu sebelum Islam. Mereka ingin tahu apakah pandangan Islam tentang dua perkara itu.
قُل فيهِما إِثمٌ كَبيرٌ
Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar
Allah ﷻ ajar Nabi ﷺ untuk memberitahu kepada mereka bahawa pada arak dan judi itu ada dosa besar. Pada sisi Allah ﷻ, berdosa besar kalau minum arak dan main judi dan terlibat dengannya.
Maksud terlibat, contohnya walaupun kita tidak minum tetapi kalau kita jual, ia adalah dosa besar juga.
Kalau kita menggunakan akal kita yang waras, kita akan nampak bagaimana buruknya arak dan judi itu. Ia membazir duit, merosakkan kesihatan, merosakkan akal, memecah belahkan keluarga dan masyarakat, membuang masa dan macam-macam lagi keburukan yang ada padanya.
وَمَنٰفِعُ لِلنّاسِ
dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia
Dalam masa yang sama, ia juga ada faedah kepada sesetengah orang. Ini tidak dinafikan. Bukan kepada semua orang, tetapi hanya kepada sesetengah orang sahaja iaitu ia boleh beri ketenangan, sumber rezeki, antioksidan (contoh seperti di dalam “red wine” – wain merah) dan lain-lain lagi.
Kalau judi pula, ada orang yang boleh jadi kaya raya kerana judi. Ada pemain Poker yang menjadi jutawan dan hidup senang lenang kerana beriman Poker sahaja.
Namun jangan pula kita sengaja hendak mula minum sebab kita kata ada manfaat. Jangan gunakan ayat ini sebagai dalil pula untuk minum arak selepas ini. Kena baca ayat ini sampai habis.
وَإِثمُهُما أَكبَرُ مِن نَّفعِهِما
tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya
Walaupun ada kebaikan, namun Allah ﷻ tekankan bahawa dosa arak dan judi itu lebih besar daripada faedah yang ada padanya. Oleh kerana itu dua perkara itu mesti ditinggalkan. Jangan buat lagi.
Lihatlah bagaimana Allah ﷻ membandingkan antara ‘dosa’ dan ‘faedah’ – bukannya ‘keburukan’ dan ‘faedah’. Maknanya, bukanlah kita boleh buat senarai apakah kebaikan dan keburukan arak dan judi itu. Takut nanti ada yang hendak juga minum arak maka dia senaraikan kebaikan yang lebih banyak pula. Ini tidak boleh.
Kalau ada lebih faedah pun tidak berguna kerana Allah ﷻ telah meletakkan hukum-Nya iaitu arak dan judi itu adalah dosa besar. Tidak boleh kita hendak gunakan akal kita lagi untuk mencari jalan untuk memikirkan apakah kebaikan pada arak itu.
وَيَسأَلونَكَ ماذا يُنفِقونَ
dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?
Masalah kedua yang mereka tanya adalah kadar yang mereka perlu infaqkan. Ini pun ada dua hala juga. Memang mereka tahu mereka kena infaq dan mereka hendak infaq pun, tetapi berapa banyak?
Kerana kalau infaq sampai habis, sudah kena minta sedekah pula selepas itu kerana duit dia semua sudah habis. Kalau tidak infaq langsung, Allah ﷻ murka kepada kita.
قُلِ العَفوَ
Katakanlah: “yang berlebih daripada keperluan
Allah ﷻ kata mudah sahaja, iaitu lebih daripada hajat kamu. Iaitu lebih daripada keperluan kita dalam kehidupan kita. Kita lihat kepada keperluan kita dan bila sudah cukup, maka yang selebihnya kita infaq untuk beri kepada orang lain pula.
Ini adalah hukum yang biasa dan asas. Nanti akan ada penambahan lagi tentang perkara ini di dalam ayat dan surah-surah yang lain kerana ada kelebihan lain yang akan diberikan kepada mereka yang infaq supaya mereka infaq lebih banyak lagi.
Oleh itu, ayat yang kita sedang baca ini adalah hukum biasa di mana kita akan beri yang lebih daripada keperluan kita. Kena baca keseluruhan Al-Qur’an baru akan dapat pemahaman yang menyeluruh.
كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمُ الآيٰتِ لَعَلَّكُم تَتَفَكَّرونَ
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu berfikir
Allah ﷻ mengajar kita semua hukum-hukum di dalam Al-Qur’an ini supaya kita boleh menjalani kehidupan kita dengan sempurna. Allah ﷻ suruh kita menggunakan akal kita (yang dipandu wahyu) dalam kehidupan kita. Akal yang waras adalah akal yang tidak terikat dengan emosi.
Tafsir Ayat Ke-220
فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ ۗ وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ ۖ قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ ۖ وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم ۚ وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ ۚ وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Mengenai di dunia dan di akhirat
Ayat ini adalah sambungan terus daripada ayat yang sebelumnya. Allah ﷻ menerangkan seluruh ayat-ayatnya tentang arak, judi dan infaq kepada kita semoga kita boleh memikirkan keuntungan dunia dan keuntungan di akhirat.
Apakah kerugian kalau kita terlibat dengan arak dan keuntungan jikalau kita infaq harta kita.
Semua ini kena difikirkan secara mendalam. Jangan ikut perasaan dan nafsu kita sahaja. Hidup kita bukan di dunia sahaja, tetapi kita semua akhirnya akan menuju kepada akhirat. Jangan kita untung di dunia tetapi rugi di akhirat nanti – itu adalah rugi yang serugi-ruginya.
Ayat ini juga mengingatkan kita untuk memikirkan tentang akhirat. Memang kita sudah selalu memikirkan tentang dunia.
Sebagai contoh, apabila dapat gaji sahaja, kita sudah fikirkan di manakah wang gaji itu akan dibelanjakan, berapa hendak beli makanan dan bayar tempat tinggal, hutang yang kita kena bayar, pakaian yang kita hendak beli, pelaburan yang kita boleh laburkan duit itu dan sebagainya. Itu memang selalu kita fikir.
Namun bagaimana pula dengan akhirat? Adakah dalam perkiraan penggunaan wang kita itu, kita memikirkan kepada siapakah yang kita boleh tolong?
Adakah kita beri infaq kepada mereka yang menjalankan kerja dakwah dan sebagainya? Itu semua adalah saham akhirat kita. Ia tidak akan merugikan kita.
Allah ﷻ telah beritahu yang Dia akan pulangkan balik setiap sen yang kita infaqkan itu dengan berlebihan berganda-ganda lagi. Itu adalah pelaburan yang paling menguntungkan sekali dan tidak ada lagi pelaburan yang lebih untung daripada itu.
Kalau kita simpan duit di rumah atau di bank, ia boleh hilang – tetapi kalau kita simpan dengan Allah ﷻ, ia tidak akan hilang dan akan menunggu kita di akhirat kelak. Sudahlah tidak hilang, ia akan dilipat gandakan berkali-kali ganda.
وَيَسأَلونَكَ عَنِ اليَتٰمىٰ
dan mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai anak-anak yatim.
Masalah ketiga adalah tentang anak yatim iaitu tentang masalah dalam urusan memelihara mereka. Islam memang menggalakkan umatnya menjaga anak yatim. Ini disebut dalam banyak ayat Al-Qur’an dan juga hadith-hadith sahih.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ
“Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi ﷺ mengisyaratkan dengan dua jari baginda ﷺ) di syurga”. (Riwayat Muslim, (2983))
Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ عَالَ ثَلَاثَةً مِنْ الْأَيْتَامِ كَانَ كَمَنْ قَامَ لَيْلَهُ وَصَامَ نَهَارَهُ وَغَدَا وَرَاحَ شَاهِرًا سَيْفَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَكُنْتُ أَنَا وَهُوَ فِي الْجَنَّةِ أَخَوَيْنِ كَهَاتَيْنِ أُخْتَانِ وَأَلْصَقَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةَ وَالْوُسْطَى
Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما beliau berkata, “Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mengurus tiga anak yatim maka dia ibarat orang yang melakukan qiyamul lail pada malam harinya, berpuasa pada siang harinya, berangkat pagi dan petang hari dengan pedang terhunus di jalan Allah ﷻ, aku dan dia berada di syurga seperti dua saudara sebagaimana dua ini yang bersaudara.” Dan baginda menempelkan dua jarinya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadith Ibnu Majah no 3670)
Imam At-Tirmizi رحمه الله meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda :
مَنْ قَبَضَ يَتِيمًا مِنْ بَيْنِ الْمُسْلِمِينَ إِلَى طَعَامِهِ وَشَرَابِهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ الجَنَّةَ الْبَتَّةَ إِلاَّ أَنْ يَعْمَلَ ذَنْبًا لاَ يُغْفَرُ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah ﷻ akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1917)
Hadith-hadith ini menunjukkan akan ketentuan Allah ﷻ memberikan pahala dan ganjaran kepada mereka yang secara ikhlas memelihara anak yatim.
Baginda Nabi Muhammad ﷺ malah menerangkan bahawa si penjaga akan bersama-sama bagaikan saudara dengan baginda di syurga kelak, inilah antara ganjaran yang terbesar yang diinginkan umat Islam semuanya.
Jadi, memang ada kelebihan menjaga anak yatim. Para sahabat sudah tahu. Namun dalam masa yang sama, kita dilarang daripada memakan harta anak yatim. Allah ﷻ sebut dalam ayat yang lain:
Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka). [ an-Nisa: 10 ].
Jadi, sahabat takut kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang mereka pelihara kerana sifat mereka yang amat menjaga hukum. Mereka tidak berani hendak melanggar larangan Allah ﷻ. Jadi, mereka sudah mula rasa susah kalau mereka pelihara anak yatim.
Dalam satu sudut, mereka tahu ada banyak ganjaran dan kebaikan kalau menjaga anak yatim, namun dalam masa yang sama juga, mereka takut kalau mereka membuat dosa kalau termakan harta anak yatim itu.
Sampaikan ada antara mereka yang buat dua dapur – satu untuk ahli keluarga mereka dan satu lagi untuk anak-anak yatim itu. Dan mereka tidak makan bersama, kerana takut termakan daripada bahagian anak-anak yatim itu. Itu sudah menyusahkan mereka.
Itulah yang dikatakan ada dua hala itu (ada pro dan kontra). Bukannya para sahabat tidak mahu menjaga anak yatim, tetapi mereka takut juga kalau-kalau mereka buat salah. Maka Allah ﷻ membuat undang-undang untuk menguruskan perkara ini.
قُل إِصلاحٌ لَّهُم خَيرٌ
Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baiknya”
Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, kalau tujuan mereka untuk kebaikan anak-anak yatim itu, kesannya adalah baik. ‘Islah’ itu maksudnya tujuan untuk melakukan kebaikan.
Kalau mereka berniat membantu dan menjaga anak yatim itu untuk kebaikan, ia adalah amat bagus sekali.
Kalau anak-anak yatim itu ada harta dan mereka gunakan sebagai pelaburan yang menguntungkan, itu juga adalah kebaikan iaitu cari perniagaan atau pelaburan yang ‘berkemungkinan’ menguntungkan.
Kita memang tahu yang keuntungan tidak dapat dipastikan, tetapi kita boleh agak manakah pelaburan yang selamat.
Maka jangan labur dalam saham Bursa pula sebab itu ada kemungkinan akan rugi wang mereka. Dan jangan juga melabur dalam skim Ponzi dan juga MLM. Kena nilai dengan akal yang waras. Allah ﷻ sebut dalam ayat lain:
Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai dia dewasa [ Isra’: 34 ]
Penjaga boleh ambil harta anak yatim itu dan laburkan di tempat yang bermanfaat. Sebagai contoh, boleh beli rumah dan sewakan dan lain-lain perniagaan yang selamat.
Maka, jika tidak dilaburkan pun, harta itu akan berkurangan sebab kena bayar zakat tiap-tiap tahun – lama-lama harta itu akan susut.
Jadi memang elok kalau harta itu disuburkan dengan pelaburan supaya bertambah supaya apabila anak yatim itu sudah cukup umur, harta itu boleh diberikan kepadanya dan ia telah bertambah. Bolehlah dia gunakan untuk kegunaannya melangsungkan kehidupannya. Tidaklah dia kesusahan nanti apabila dia sudah dewasa.
Semua ini memerlukan hati yang ikhlas dan keinginan kepada kebaikan anak itu. Kalau tidak ada, susah hendak buat begini. Jadi niat daripada asal kenalah benar dan suci ikhlas. Kalau tidak memang susah kerana menjaga anak yatim dan hartanya sekali memang memerlukan usaha yang banyak dan lama.
Jadi, kalau kita kena luangkan masa untuk menjaga harta anak yatim itu, maka sudah tentu kita tidak ada masa untuk buat kerja lain. Maka dalam keadaan itu, kita boleh ambil gaji atau upah daripada wang itu sekadar yang patut. Kena jujur dalam perkara ini. Kena ingat yang semua ini akan ditanya oleh Allah ﷻ.
Kalau kita memelihara anak yatim dan mereka ada harta, kita boleh ambil sedikit harta mereka kerana kita menjaga mereka. Tetapi jikalau kita orang kaya dan tidak memerlukan harta anak yatim itu, maka kita tidak perlu memakannya atau mengambilnya.
Maka dalam keadaan begitu, kita simpan sahaja dan seeloknya dilaburkan ke tempat yang menguntungkan.
Jagalah anak yatim itu dan beri pendidikan agama kepada mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh. Allah ﷻ akan membalas segala susah payah kita itu.
Memang menjaga anak-anak yatim bukan mudah kerana kita kena berhati-hati supaya kita tidak termakan harta mereka dengan cara salah atau terbuat kezaliman kepada mereka.
Jadi jikalau kita lakukan semua itu untuk kebaikan anak itu maka insyaallah, Allah ﷻ akan bantu kita untuk menjadikan kebaikan di dalamnya. Ganjaran yang dijanjikan amat-amat tinggi.
وَإِن تُخالِطوهُم فَإِخوٰنُكُم
dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu
Jikalau makanan kita bercampur aduk dengan makanan mereka maka anggaplah mereka itu adik beradik kita bukan orang lain. Janganlah sampai tidak makan bersama kerana takut termakan makanan mereka. Makan sekali, jangan takut. Tidak perlu sampai kena buat dua dapur yang berbeza.
وَاللَّهُ يَعلَمُ المُفسِدَ مِنَ المُصلِحِ
dan Allah mengetahui akan orang yang merosakkan daripada orang yang hendak memperbaikinya.
Allah ﷻ tahu isi hati dan niat mereka yang menjaga anak-anak yatim sama ada mereka mahukan kebaikan untuk anak yatim itu ataupun tidak. Maka kena ingat yang semua perbuatan kita akan ditanya oleh Allah ﷻ dan ia akan bergantung kepada niat kita semasa melakukannya.
وَلَو شاءَ اللَّهُ لَأَعنَتَكُم
Dan jika Allah menghendaki tentulah Dia memberatkan kamu
Kalaulah Allah ﷻ mahu, Allah ﷻ boleh menyusahkan kita yang menjaga anak yatim itu, iaitu kita tetap juga kena menjaga anak yatim itu dalam kesusahan dan kepayahan. Sampai tidak boleh langsung makan harta anak yatim itu, kena makan asing, kena buat dapur berbeza dan sebagainya.
Tetapi Allah ﷻ tidak buat begitu di mana Allah ﷻ telah memberikan kemudahan di dalam urusan menjaga mereka supaya kita boleh dapat pahala dan kelebihan menjaga anak yatim, tetapi tidaklah menyusahkan kita sangat.
إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ boleh balas segala dosa dan kesalahan kita sama ada di dunia atau di akhirat. Maka takutlah kepada azab Allah ﷻ kalau kita salahguna harta anak-anak yatim itu atau berlaku zalim terhadap mereka.
Kalau kita bersalah dalam hal menjaga harta anak yatim itu dan Allah ﷻ tidak balas semasa di dunia, itu adalah kerana atas hikmah kebijaksanaan Allah ﷻ, yang antaranya Allah ﷻ mahu memberi peluang kita untuk memperbaiki keadaan itu dan bertaubat.
Allahu a’lam.