Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-216

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-216

7126
0
Iklan

Tafsir ayat ke-216

Ini adalah pengulangan semula tajuk jihad selepas disebut ayat tentang infaq. Ini kerana infaq yang utama adalah kepada jihad fi sabilillah.

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم ۖ وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم ۗ وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ

Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

كُتِبَ عَلَيكُمُ القِتالُ
Kamu diwajibkan berperang

Kita diwajibkan berperang untuk menegakkan agama Allah ‎ﷻ di dunia ini. Tentunya dengan syarat-syarat yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan. Ayat ini sebagai dalil bahawa jihad perang ini adalah wajib. Kadangkala kita tidak suka sesuatu perkara itu kerana kita guna akal dan emosi kita.

Sebagai contoh, pada akal kita mungkin kita rasa tidak elok kalau berperang. Namun pencapaian akal kita terhad sahaja dan tidak dapat mengetahui dengan penuh tentang hakikat sesuatu perkara itu.

Ini adalah ujian keimanan untuk kita: adakah kita sanggup taat kepada suruhan dan percaya kepada hikmah yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita? Adakah kita faham atau tidak?

Ada beberapa hadith yang menyebut tentang jihad fi sabilillah:

أَبِي هُرَيْرَةَ رَ ضِيَ اَللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم ( مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ, وَلَمْ يُحَدِّثْ نَفْسَهُ بِهِ, مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ ) رَوَاهُ مُسْلِمٌ

“Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa mati, sedangkan dia tidak pernah berjihad dan tidak mempunyai keinginan untuk jihad, maka dia mati dalam satu cabang kemunafikan.” (Muttafaq Alaihi.)

Dalam hadith keutamaan jihad yang lain:
حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ قَالَ حَدَّثَنِي مَنْصُورٌ عَنْ مُجَاهِدٍ عَنْ طَاوُسٍ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا

Telah bercerita kepada kami ‘Ali bin ‘Abdullah telah bercerita kepada kami Yahya bin Sa’id telah bercerita kepada kami Sufyan berkata telah bercerita kepadaku Manshur daripada Mujahid daripada Thowus daripada Ibnu ‘Abbas رضي الله عنهما berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak ada lagi hijrah setelah kemenangan (Mekah) akan tetapi yang tetap ada adalah jihad dan niat. Maka jika kalian diperintahkan berangkat berjihad, berangkatlah”. (Hadith Bukhari no 2575)

Begitu pun, kenalah jihad perang itu dijalankan mengikuti syari’at. Bukannya kita terus serang orang kafir tidak tentu arah. Kenalah ada protokol yang perlu diikuti.

Antaranya, jihad perang itu hendak diarahkan oleh Khalifah. Tetapi sekarang kita tidak ada sistem khalifah maka usaha jihad terbantut sebenarnya.

Di samping itu juga, bukanlah semua rakyat kena pergi ke medan perang. Ada yang hanya diperlukan untuk memberikan sokongan; ada yang menerima bantuan kewangan; ada yang tugasnya mengajar; ada yang menjaga keluarga. Semua itu ada syarat-syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh kerana itu, jihad perang ini adalah fardhu kifayah, bukan fardhu ain. Maka kenalah ada pihak yang menjalankan jihad perang itu dan jika tidak ada, maka kewajipan itu masih jatuh kepada semua orang Islam. Kalau tidak dijalankan, maka seluruh umat Islam berdosa.

Walaupun begitu terdapat juga keadaan di mana setiap Muslim perlu mengangkat senjata untuk berperang apabila negara diserang musuh. Maka, pada waktu itu, semua diwajibkan untuk berperang.

وَهُوَ كُرهٌ لَّكُم
sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci

Peperangan ini memang perkara yang manusia biasa tidak suka. Manusia membencinya kerana ia adalah naluri biasa manusia. Sebab tidak ada sesiapa pun yang suka mati dan suka membunuh orang lain.

Ada golongan munafik yang mempersoalkan kenapa perlu jihad sedangkan Islam itu agama yang aman. Begitulah orang-orang zaman sekarang pun menggunakan alasan yang sama juga.

Ini adalah satu kata-kata dan hujah yang tidak tepat. Seperti yang kita telah bahaskan sebelum ini, memang ada keperluan untuk melakukan jihad itu.

Hujah yang melarangnya adalah daripada mereka yang tidak faham tentangnya sahaja. Ini adalah kerana mereka tidak belajar apakah yang dimaksudkan dengan jihad dan kerana itu mereka salah faham.

Mereka tidak taat 100% kepada arahan Allah ‎ﷻ. Mereka masih hendak menggunakan akal yang terhad juga lagi.

وَعَسىٰ أَن تَكرَهوا شَيئًا وَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu,

Allah ‎ﷻ beritahu yang mungkin ada perkara yang kita benci tetapi sebenarnya ia adalah baik untuk kita. Antaranya jihad.

Jihad ini penting dan diwajibkan kepada kita kerana jihad fisabilillah ini akan mendekatkan kita kepada Allah ‎ﷻ. Tidak akan ada orang yang membuat maksiat semasa sedang berjihad di jalan Allah ‎ﷻ.

Waktu itu iman kita sedang diuji dengan hebat sekali dan waktu itu tidak terfikir hendak buat maksiat.

Kalau kita dapat menjalankan jihad, maka kita telah dapat melepasi banyak sekali ujian sebelum sampai ke peringkat jihad.

Bila jihad tidak ada, maka kebanyakan manusia akan duduk dalam keadaan lalai dan leka. Jadi begitulah walaupun kita benci kepada peperangan dan pembunuhan tetapi jihad fi sabilillah adalah baik untuk kita kerana ia akan menghampirkan hati kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Selalunya suasana-suasana yang merangsang perasaan kita boleh mengubah apa yang ada dalam diri kita.

Ini kerana apabila sedang berperang maka kita dalam keadaan di mana kita tahu bahawa bila-bila masa sahaja kita boleh mati maka tentunya kita akan ingat kepada Allah ‎ﷻ dan tidak berani untuk membuat dosa disebabkan terdapat kemungkinan yang amat besar yang kita akan mati.

Memang perang itu berat tetapi ini sama seperti seorang ibu yang memaksa anaknya untuk memakan ubat kerana ubat itu baik untuk anaknya dan ibu memaksa anak makan ubat kerana ibu sayangkan anaknya.

Jadi, memang anaknya tidak suka dan meronta-ronta namun ibu itu akan melakukan apa yang perlu untuk anaknya. Ini kerana ibu itu tahu apa yang baik untuk anaknya, tetapi anaknya yang tidak faham. Begitulah Allah ‎ﷻ mewajibkan jihad bagi kita.

وَعَسىٰ أَن تُحِبّوا شَيئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُم
dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.

Namun di sebaliknya, mungkin ada perkara yang kita suka sangat, tetapi ia adalah tidak baik untuk kita. Begitulah, ada larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Nabi terhadap kita, maka hendaklah kita menahan diri kita daripada melakukannya, walaupun hati kita suka dan akal kita pun tidak nampak salahnya.

Tetapi begitulah, akal tidak akan dapat memahami mana yang baik dan tidak untuk diri kita. Allah ‎ﷻ yang Maha Tahu dan kerana itu Dia telah menetapkan hukum untuk kita patuhi. Maka patuhilah sahaja dan yakinlah yang ia baik bagi kita. Serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ.

Kedua-dua potongan ayat ini adalah berbentuk umum, bukan hanya mengenai perang sahaja. Ada benda dalam kehidupan kita yang kita mahu sangat tetapi ia tidak baik kepada kita.

Manakala ada perkara yang kita hendak elakkan tetapi terkena juga kepada kita. Namun begitu kemudiannya kita dapati yang ia baik untuk kita.

Sebagai contoh, ada yang kena buang kerja, dia amat sedih dan tidak suka. Tetapi oleh kerana dia dibuang kerja, dia akhirnya telah mendapat kerja yang lebih baik daripada kerja yang sebelumnya di mana dia tidak akan dapat kerja baru itu kalau dia tidak dibuang dari kerja asalnya.

Atau, kerana dibuang kerja, maka dia terpaksa memulakan perniagaan yang ternyata menguntungkan bagi dirinya.

وَاللَّهُ يَعلَمُ وَأَنتُم لا تَعلَمونَ
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

Allah ‎ﷻ sajalah yang tahu hakikat dan keadaan sebenar sesuatu perkara itu dan manusia biasa tidak tahu. Maka kita kenalah ikut arahan daripada Allah ‎ﷻ. Kita kena sedar kedudukan kita. Siapa kita yang hendak mempersoalkan hukum dan arahan Allah ‎ﷻ?

Ingatlah, kalau kita layan akal kita sangat, syaitan akan ambil peluang untuk membisikkan perkara-perkara yang salah dan berdosa.

Begitulah bahayanya akal yang tidak dipandu oleh wahyu. Memang kita boleh guna akal, tetapi hendaklah dipandu oleh wahyu.

Kalau kita faham perkara ini, maka kita akan senang untuk serahkan urusan hidup kita kepada Allah ‎ﷻ. Kita akan selalu doa istikharah kepada Allah ‎ﷻ untuk memberi panduan dalam membuat keputusan hidup.

Kita juga akan senang untuk bersabar kerana kita yakin bahawa apa sahaja yang Allah ‎ﷻ telah takdirkan untuk kita adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya.

Mungkin kita masih tidak nampak lagi pada asalnya. Maka kita doa kepada Allah ‎ﷻ untuk tunjukkan hikmah itu kepada kita supaya kita lebih senang untuk menerima takdir-Nya itu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan