Kitab : Salat
Bab : Syarat Dan Cara Salat
Bahagian :
A. Syarat-Syarat Sah Salat
Tajuk :
- Masuk waktu
- Suci daripada hadas
- Bersih pakaian, badan dan tempat salat daripada najis
- Menutup aurat
A. Syarat-Syarat Sah Salat
Kita telah mempelajari bab Taharah (kenal air, kenal najis, wudhu’, mandi dan tayamum), haid, nifas dan istihadah. Kemudian kita juga telah belajar tentang kepentingan dan waktu salat. Dan kemudian kita baru sahaja belajar tentang azan dan iqamah.
Sekarang, sebelum kita masuk ke dalam bab cara-cara mendirikan salat, kita hendaklah terlebih dahulu mengetahui syarat-syarat sah salat. Kita hendaklah memastikan semua ini dipenuhi dahulu sebelum memulakan salat.
- Masuk waktu
Semasa hendak memulakan salat, kita hendaklah memastikan waktu salat sudah masuk. Kita telah mempelajari hal ini di dalam bab waktu-waktu salat. Kalau kita salat sebelum masuk waktunya, salat itu tidak sah. Pada zaman sekarang, mudah bagi kita untuk memastikan waktu sudah masuk ke belum iaitu hanya dengan melihat jam sahaja.
- Suci daripada hadas
Sebelum memulakan salat juga, kita hendaklah memastikan yang kita bebas daripada hadas kecil dan besar. Jadi kita telah belajar bab wudhu’, mandi, tayamum, istihadah, haid dan juga nifas. Maka, kita kena pastikan semua itu telah dipenuhi.
- Membersihkan pakaian, badan dan tempat salat daripada najis
Kita juga mesti memastikan pada tubuh badan kita tidak ada najis. Bukan badan kita sahaja yang perlu dibersihkan tetapi pakaian dan tempat salat juga perlu bersih daripada najis. Kita telah mempelajari apakah yang dikatakan najis dan apakah yang tidak najis dan kita juga telah belajar cara-cara membersihkan najis.
✍️ 1. Dalil pakaian kena bersih adalah surah al-Muddathir, ayat 4:
وَثِيابَكَ فَطَهِّر
“…dan pakaianmu, bersihkanlah.”
✍️ 2. Dalil bagaimana Nabi ﷺ mengajarkan cara untuk mencuci pakaian yang terkena darah haid. Kesimpulan ini berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Khaulah binti Yasar bertanya kepada Nabi ﷺ,
َ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ
أَنَّ خَوْلَةَ بِنْتَ يَسَارٍ أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلَّا ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ قَالَ إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ ثُمَّ صَلِّي فِيهِ فَقَالَتْ فَإِنْ لَمْ يَخْرُجْ الدَّمُ قَالَ يَكْفِيكِ غَسْلُ الدَّمِ وَلَا يَضُرُّكِ أَثَرُهُ
Bahawasanya Khaulah binti Yasar pernah mendatangi Nabi ﷺ, kemudian berkata; “Wahai Rasulullah, saya hanya memiliki satu pakaian, dan saya haid dengan menggunakan pakaian tersebut.” Baginda bersabda, “Jika haidmu telah berhenti, cucilah bahagian pakaianmu yang terkena darah haid, kemudian salatlah dengan menggunakan pakaian tersebut.” Khaulah bertanya lagi, “Jika darah tersebut tidak luntur (bekas darah itu tidak hilang)?” Baginda menjawab, “Cukuplah kamu cuci dengan air, dan tidak perlu pedulikan bekasnya.”
(Sunan Abu Daud no. 310 dan dinilai sahih oleh Al-Albani)
✍️ 3. Dalil tempat salat perlu dibersihkan adalah hadith daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, beliau berkata:
بَيْنَمَا نَحْنُ فِي الْمَسْجِدِ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ فَقَامَ يَبُولُ فِي الْمَسْجِدِ فَقَالَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَهْ مَهْ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تُزْرِمُوهُ دَعُوهُ فَتَرَكُوهُ حَتَّى بَالَ ثُمَّ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ إِنَّ هَذِهِ الْمَسَاجِدَ لَا تَصْلُحُ لِشَيْءٍ مِنْ هَذَا الْبَوْلِ وَلَا الْقَذَرِ إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ أَوْ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَأَمَرَ رَجُلًا مِنْ الْقَوْمِ فَجَاءَ بِدَلْوٍ مِنْ مَاءٍ فَشَنَّهُ عَلَيْهِ
“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah ﷺ, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah ﷺ menggertaknya, tetapi Rasulullah ﷺ bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah ﷺ pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir kepada Allah ﷻ, salat dan membaca al-Quran.” Atau sebagaimana sabda Nabi ﷺ yang sesuai. Setelah itu baginda memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.”
(HR. Muslim 2/133, no. 429)
- Menutup Aurat
Semua orang sedia maklum yang kita diwajibkan untuk menutup aurat semasa salat.
✍️ Dalilnya surah al-A’raf, ayat 31:
يا بَني آدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ
“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid”
Tafsir: Salah satu tafsir ayat ini adalah kita haruslah memastikan pakaian kita menutupi aurat apabila salat. ‘Masuk masjid’ itu sama ada ketika tawaf dan juga ketika salat. Jadi kenalah menutup aurat walaupun salat bersendirian dan tidak ada orang lain kerana menutup aurat ketika salat adalah hak Allah ﷻ.
a. Apa yang wajib ditutupi oleh lelaki di dalam salat
Wajib bagi lelaki untuk menutup qubul dan duburnya. Tetapi bukan itu sahaja, malah dalam salat kena menutup lebih lagi daripada semasa di luar salat. Sebagai contoh, di luar salat boleh sahaja lelaki membuka dua bahunya, tetapi dalam salat kena tutup. Berkenaan hal ini, tidak dinafikan bahawa di sana terdapatnya riwayat yang berkaitan.
✍️ Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah رضي الله عنه bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ شَىْءٌ
Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu salat dengan pakaian yang satu, yang mana tidak ada sesuatu di atas dua bahunya.”
(HR. Bukhari no. 359)
Syarah: Berdasarkan maksud zahir hadith di atas, terdapatnya larangan ke atas perbuatan salat dalam keadaan bahagian bahu terdedah. Di dalam kaedah usul fiqh mengatakan, bahawa larangan itu membawa erti pengharaman. Justeru, sebahagian para ulama’ mengatakan bahawa perbuatan tersebut adalah haram.
Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi رحمه الله mengatakan: Wajib ke atas seseorang yang salat untuk meletakkan sesuatu daripada pakaian di atas bahunya, sekiranya dia mampu untuk melakukannya. Inilah pendapat Ibn Al-Munzir dan dihikayatkan daripada Abu Ja’far, beliau berpendapat bahawa tidak sah salat bagi sesiapa yang tidak menutup bahunya.
Manakala majoriti para fuqaha pula berpendapat: Yang demikian itu tidak wajib, dan ia bukanlah syarat sah salat. Inilah pendapat Imam Malik dan Imam Asy-Syafi’iy, kerana kedua-dua bahu tersebut bukanlah aurat maka ia menyamai baki anggota badan yang lain. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/618).
Manakala Imam al-Nawawi رحمه الله di dalam kitabnya Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim (2/274) apabila mensyarahkan hadith ini beliau berkata: “Kata para ulama’: Hikmahnya adalah, jika dia memakai baju dan tidak ada sesuatu di atas bahunya, maka tidak selamat daripada terdedah bahagian auratnya, berbeza dengan jika diletakkan pakaian di atas bahu.”
Kata beliau lagi: “Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Asy-Syafi’iy serta jumhur berpendapat: Larangan itu menunjukkan kepada makruh tanzih, bukannya kepada pengharaman. Jika seseorang itu salat hanya dengan memakai satu pakaian yang menutup auratnya, tetapi tidak menutup bahagian bahunya maka salatnya dikira sah berserta hukum makruh. Sama ada dia mampu meletakkan sesuatu di atas bahunya ataupun tidak.”
Manakala Imam Ahmad رحمه الله dan sebahagian para salaf berpendapat bahawa salatnya tidak sah sekiranya dia mampu meletakkan sesuatu (daripada pakaian) di atas bahunya. Manakala di dalam riwayat lain yang juga daripada Imam Ahmad bin Hanbal رحمه الله beliau berpendapat bahawa salatnya adalah sah, akan tetapi berdosa jika dia meninggalkan meletak sesuatu dari pakaian di atas bahunya.
Kesimpulan:
Setelah meneliti dan menilai isu ini dengan merujuk kepada nas-nas berkaitan berserta pandangan para ulama’, kita boleh simpulkan bahawa salat dengan memakai singlet atau tidak memakai baju yang mendedahkan kedua-dua bahu orang lelaki, hukumnya adalah MAKRUH dan salat tersebut sah.
Nabi ﷺ pun pernah salat dengan satu kain tetapi baginda tetap menutup bahu baginda. Ini berdasarkan hadith at-Tirmidzi رحمه الله.
Umar bin Abu Salamah رضي الله عنهما berkata bahawasanya dia melihat Rasulullah ﷺ bersembahyang di dalam rumah Ummu Salamah (isterinya) berbalut dengan sehelai kain.
✍️ Daripada ‘Umar bin Abu Salamah رضي الله عنهما:
أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ فِي بَيْتِ أُمِّ سَلَمَةَ قَدْ أَلْقَى طَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقَيْهِ
“Bahawa dia melihat Nabi ﷺ salat di rumah Ummu Salamah dengan mengenakan satu kain yang kedua sisinya digantungkan pada kedua bahunya.”
[Sahih Al-Bukhari no.355].
Nabi ﷺ pernah bersembahyang dalam keadaan berbalut menggunakan sehelai kain di mana ditarikkannya satu hujung kain dan celah ketiak kanan baginda dan dinaikkannya ke atas bahu kiri; kemudian ditarikkannya satu hujung yang sebelah lagi dan celah ketiak kiri dan dinaikkannya ke atas bahunya yang kanan; kemudian dipertemukan dua hujung kain itu lalu disimpulkannya ke dadanya. Sesudah itu baginda lalu bersembahyang dalam keadaan tersebut.
Semoga kita dapat menjaga pakaian kita semasa salat. Kita panjangkan bab ini kerana rasanya ramai juga yang salat tanpa berbaju (pakai kain pelekat sahaja) atau pakai baju singlet sahaja. Semoga kita tidak melakukannya lagi.
b. Hujah bagi golongan yang berpendapat paha tidak termasuk aurat
Sekarang kita masuk ke perbincangan yang agak kontroversi sedikit. Ada yang berpendapat pusat, paha dan lutut bukanlah aurat dan mereka juga berpegang dengan dalil. Nanti kita akan lihat pula hujah mereka yang mengatakan paha itu adalah aurat pula.
Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. Manakala mazhab Syafi’iy dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat manakala pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat. Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad رحمهم الله menyatakan bahawa paha itu bukan aurat. Wallahu a’lam.
Hujah golongan yang mengatakan paha bukan aurat:
✍️ Hadith daripada Aisyah رضي الله عنها:
– كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مُضطجِعًا في بيتِه كاشفًا عن فخِذَيْه فاستأذَن أبو بكرٍ فأذِن له وهو على تلكَ الحالِ فتحدَّث ثمَّ استأذَن عُمَرُ فأذِن له وهو على تلكَ الحالِ فتحدَّث ثمَّ استأذَن عُثمانُ فجلَس رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم وسوَّى ثيابَه
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ berbaring di rumahku sambil terdedah kedua pahanya. Apabila Abu Bakar meminta izin untuk masuk, baginda membenarkannya masuk dalam keadaan terdedah pahanya. Kemudian Umar meminta izin, baginda mengizinkannya masuk dalam keadaan pahanya tersingkap. Kemudian Usman meminta izin untuk masuk lalu Rasulullah ﷺ duduk dalam keadaan normal pakaiannya (menutup pahanya).”
(Sahih Ibnu Hibban no. 6907, sanadnya sahih di atas syarat Muslim. Sunan Al Kubra li al-Baihaqi 2/231)
Syarah: Kalau paha itu memang aurat, maka tentulah baginda telah menutupinya ketika Abu Bakar dan Umar masuk menemui baginda.
✍️ Hadith daripada Anas رضي الله عنه:
ثم حَسَرَ الإِزَارَ عن فخِذه حتى إني أَنْظُرُ إلى بَيَاضِ فَخِذِ نبي الله
“Kemudian tersingkaplah paha Nabi ﷺ sehingga aku melihat keputihan paha Nabi Allah.”
(Sahih Bukhari no. 358)
Hujah ini mengatakan kalaulah paha itu aurat, sudah tentu Allah ﷻ telah menjaganya daripada ternampak kepada khalayak. Ini kerana Allah ﷻ menjaga aurat Nabi Muhammad ﷺ.
✍️ Ini berdasarkan dalil:
351 – حَدَّثَنَا مَطَرُ بْنُ الْفَضْلِ قَالَ حَدَّثَنَا رَوْحٌ قَالَ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ بْنُ إِسْحَاقَ حَدَّثَنَا عَمْرُو بْنُ دِينَارٍ قَالَ سَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يُحَدِّثُ
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَنْقُلُ مَعَهُمْ الْحِجَارَةَ لِلْكَعْبَةِ وَعَلَيْهِ إِزَارُهُ فَقَالَ لَهُ الْعَبَّاسُ عَمُّهُ يَا ابْنَ أَخِي لَوْ حَلَلْتَ إِزَارَكَ فَجَعَلْتَ عَلَى مَنْكِبَيْكَ دُونَ الْحِجَارَةِ قَالَ فَحَلَّهُ فَجَعَلَهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ فَسَقَطَ مَغْشِيًّا عَلَيْهِ فَمَا رُئِيَ بَعْدَ ذَلِكَ عُرْيَانًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Telah menceritakan kepada kami Mathar bin al-Fadlal berkata, telah menceritakan kepada kami Rauh berkata, telah menceritakan kepada kami Zakaria bin Ishaq telah menceritakan kepada kami ‘Amru bin Dinar berkata, “Aku mendengar Jabir bin ‘Abdillah menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ memunggah batu bersama orang-orang kafir Quraisy untuk pembinaan semula Ka’bah, ketika itu baginda memakai kain.” Al-‘Abbas lalu berkata kepadanya, “Wahai anak saudaraku, alangkah baiknya jika kau membuka kainmu dan meletakkannya di atas kedua belah bahumu sebagai pelapik kepada batu-batu (yang kau pikul itu). Perawi berkata: Maka baginda membuka kainnya dan hampir meletakkannya atas kedua belah bahu, tiba-tiba baginda terjatuh pengsan. Setelah peristiwa itu tidak lagi Nabi ﷺ dilihat bertelanjang (tidak terdedah auratnya).”
(Sahih Bukhari no. 351).
Syarah: Allah ﷻ pengsankan Nabi ﷺ sebelum baginda membuka kain baginda untuk memelihara aurat baginda.
AMARAN: Di sini bukanlah saya menganjurkan salat memakai seluar pendek pula. Kita semua ada kain yang cukup, jadi tidak perlu untuk tunjuk paha pula. Kita lihat pula hujah yang mengatakan paha itu aurat.
c. Hujah bagi golongan yang mengatakan paha termasuk aurat
Ada juga pendapat yang mengatakan paha lelaki itu merupakan aurat. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’, di antara mereka adalah Abu Hanifah, Malik, Asy-Syafi’iy di dalam salah satu pendapat beliau dan Ahmad dalam suatu riwayat.
✍️ 1. Pendapat ini berdalil dengan suatu riwayat dari Zur’ah bin Abdurrahman bin Jarhad daripada bapanya (Abdurrahman bin Jarhad) beliau berkata: “Jarhad termasuk salah seorang ahlus suffah, sesungguhnya beliau berkata: “Rasulullah ﷺ duduk di samping kami dalam keadaan pahaku tersingkap. Maka baginda ﷺ bersabda:
أما علمت أن الفخذ عورة ؟
“Apakah kamu tidak tahu bahawa sesungguhnya paha itu aurat?”
(HR. Abu Daud no. 4014 dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani رحمه الله)
✍️ 2. Diriwayatkan pula, sesungguhnya Rasulullah ﷺ melewati Jarhad dalam kondisi paha Jarhad tersingkap (kainnya). Maka Rasulullah ﷺ bersabda:
إن الفخذ عورة
“Sesungguhnya paha itu aurat”.
(HR. At-Tirmidzi no. 2793 dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani رحمه الله)
Dalam dua hadith di atas, terdapat dalil yang sangat jelas sesungguhnya paha lelaki itu adalah aurat. Dan ini adalah pendapat yang benar dan kuat dalam masalah ini. Cuma bagi mereka yang mengatakan paha bukan aurat adalah kerana mereka mengkritik hadith-hadith di atas. Ini biasa sahaja dalam menilai hadith-hadith (ada yang terima sebagai sahih dan ada yang kritik).
Jadi, pendapat kedua ini mengatakan paha adalah aurat. Akan tetapi yang dimaksudkan aurat di sini adalah aurat ringan, bukan termasuk aurat besar. Ini bagi mengkompromikan dengan hadith-hadith lain yang sekilas menunjukkan bahawa paha itu bukan aurat (iaitu pendapat golongan yang mengatakan paha bukan aurat).
✍️ Al-Imam Ibnul Qayyim رحمه الله berkata:
”Jalan kompromi antara hadith-hadith di atas, apa yang telah disebutkan oleh beberapa sahabat Imam Ahmad: sesungguhnya aurat itu ada dua:
Aurat mukhaffafah (ringan) dan aurat mughalladzah (berat). Aurat berat adalah dubur dan kemaluan, sedangkan aurat ringan adalah dua paha. Tidak saling meniadakan antara perintah untuk menundukkan pandangan dari dua paha kerana keduanya adalah aurat dan antara menyingkap keduanya kerana keduanya adalah aurat ringan”.
( Tahdzibus Sunan : 11/36 )
✍️ Pendapat yang menyatakan bahawa paha adalah aurat ringan, adalah pendapat yang dikuatkan oleh Asy-Syaikh Abdul Aziz bin Baz رحمه الله beserta Lajnah Daimah ( Majmu’ Fatawa Lajnah Daimah : 6/165 )
Kesimpulan: Kalau kita mengetahui ada dua pendapat sebegini, tidaklah kita terkejut sangat kalau ada yang tidak kisah kalau pasukan bola negara Islam selamba sahaja memakai seluar pendek. Tetapi tidaklah kita sampai berjalan ke hulu ke hilir pergi ke pusat membeli-belah dengan memakai seluar pendek sahaja. Dan jauh sekali kita suruh orang salat dengan memakai seluar pendek pula.
d. Bahagian tubuh wanita yang wajib ditutupi dalam salat
Wanita wajib menutupi keseluruhan tubuhnya dalam salat kecuali wajah dan tapak tangan.
✍️ Dalilnya adalah surah Nur, ayat 31:
وَلا يُبدينَ زينَتَهُنَّ إِلّا ما ظَهَرَ مِنها
“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.”
Tafsir: Jumhur ulama’ menafsir ‘yang biasa nampak’ itu adalah wajah dan juga tapak tangan.
Masyarakat wanita kita sudah biasa memakai telekung untuk salat jadi tidak ada masalah dalam bab ini. Tetapi sekiranya tidak memakai telekung namun pakaian dia menutup auratnya, maka masih boleh salat kerana memakai telekung bukanlah wajib ketika salat.
Sekian, allahu a’lam.