Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 14: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Sapu Muka Selepas Berdoa

BAB 14: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Sapu Muka Selepas Berdoa

540
0
Iklan

Seperti yang semua sedia maklum, ada dua amalan yang telah menjadi tabiat umat Islam awam ialah mereka menyapu muka ketika dua tempat. Yang pertama adalah seperti yang telah dibincangkan dalam siri ke-13 iaitu menyapu muka seusai memberi salam (salat). Yang kedua ialah ketika seusai berdoa. Ini adalah salah satu amalan yang mutawatir (popular dan amalan semua orang) dan kebiasaan dalam masyarakat kita iaitu dengan mengusap (menyapu) muka setiap kali seusai berdoa sebagai penutup doa dan mungkin untuk mendapat berkat daripada doa tersebut. 

Antara dalil-dalil yang menjadi hujah amalan ini:

Dalil pertama:

رقم الحديث: 1171

(حديث مرفوع) حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ الصَّبَّاحِ ، قَالَا : حَدَّثَنَا عَائِذُ بْنُ حَبِيبٍ ، عَنْ صَالِحِ بْنِ حَسَّانَ الْأَنْصَارِيِّ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ كَعْبٍ الْقُرَظِيِّ ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” إِذَا دَعَوْتَ اللَّهَ فَادْعُ بِبَاطِنِ كَفَّيْكَ ، وَلَا تَدْعُ بِظُهُورِهِمَا ، فَإِذَا فَرَغْتَ ، فَامْسَحْ بِهِمَا وَجْهَكَ 

Daripada Soleh bin Hassan al-Ansari, daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qardzi, daripada Ibn Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata: Bersabda Rasulullah ﷺ: “Jika engkau berdoa kepada Allah ‎ﷻ, maka berdoalah dengan telapak tanganmu, janganlah berdoa dengan kedua-dua belakangnya. Maka setelah selesai, sapulah wajahmu dengan kedua-dua tanganmu”. (Hadith Riwayat Ibnu Majah dalam Sunan no. 1171)

 الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف ابن ماجه

الصفحة أو الرقم: 778 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف 

Ulasan Mutaqaddimin:

Menurut Imam Bukhari رحمه الله: Hadith daripada Soleh bin Hassan al-Ansari daripada Muhammad bin Ka’ab al-Qurdzi adalah hadith munkar.

 

Dalil kedua:

3386 حدثنا أبو موسى محمد بن المثنى وإبراهيم بن يعقوب وغير واحد قالوا حدثنا حماد بن عيسى الجهني عن حنظلة بن أبي سفيان الجمحي عن سالم بن عبد الله عن أبيه عن عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رفع يديه في الدعاء لم يحطهما حتى يمسح بهما وجهه قال محمد بن المثنى في حديثه لم يردهما حتى يمسح بهما وجهه قال أبو عيسى هذا حديث غريب لا نعرفه إلا من حديث حماد بن عيسى

Berkata Hammad bin Isa al-Juhani daripada Handhalah bin Abi Sufyan al-Jumahi daripada Salim bin Abdullah daripada bapanya daripada Umar bin al-Khattab رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ mengangkat tangannya dalam berdoa. Baginda tidak mengembalikan kedua-dua tangannya sehingga mengusap wajahnya. Berkata Muhammad bin al-Muthannah dalam hadithnya: Baginda tidak mengembalikan keduanya sehingga mengusap dengan kedua-dua tangannya ke wajahnya”. (HR Tirmidzi no. 3386, komentar Abu Isa, hadith ini gharib (indikasi dhaif)).

Tahqiq hadith:

 الراوي : عمر بن الخطاب | المحدث : الضياء المقدسي | المصدر : السنن والأحكام

الصفحة أو الرقم: 2/282 | خلاصة حكم المحدث : [ فيه ] حماد بن عيسى الجهني ضعفه غير واحد من الأئمة

التخريج : أخرجه الترمذي (3386) واللفظ له، والبزار (129)، والطبراني في ((المعجم الأوسط)) (7053) 

Imam al-Dhiya’ al-Maqdisi al-Hanbali رحمه الله di dalam Al-Sunan Wal Ahkam, dhaif kerana perawi Hamaad bin Isa al-Juhani yang dilemahkan oleh semua ulama’ hadith.

 

 الراوي : عمر بن الخطاب | المحدث : الألباني | المصدر : ضعيف الترمذي

الصفحة أو الرقم: 3386 | خلاصة حكم المحدث : ضعيف 

(Ta’aliq al-Albani, dhaif Tirmidzi no.3386)

 

Dalil ketiga:

ا تستروا الجدر من نظر في كتاب أخيه بغير إذنه فإنما ينظر في النار سلوا الله ببطون أكفكم ولا تسألوه بظهورها فإذا فرغتم فامسحوا بها وجوهكم

الراوي : عبدالله بن عباس | المحدث : أبو داود | المصدر : سنن أبي داود

الصفحة أو الرقم: 1485 | خلاصة حكم المحدث : روي من غير وجه كلها واهية وهذا الطريق أمثلها وهو ضعيف 

Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما, sesungguhnya Rasulullah ﷺ bersabda: Janganlah kamu menutupi dinding-dinding (dengan kain), sesiapa melihat kitab saudaranya tanpa izinnya, maka sesungguhnya dia telah melihat dalam neraka. Mintalah kepada Allah ﷻ dengan telapak-telapak tangan kamu dan janganlah meminta dengan belakangnya. Jika kamu telah selesai berdoa, maka usaplah wajah kamu dengan telapak tangan kamu.” (HR Abu Daud no. 1485)

Berkata Imam Abu Daud رحمه الله,

روي هذا الحديث من غير وجه عن محمد بن كعب كلها واهية وهذا الطريق امثلها وهو ضعيف ايضا

“Hadith ini telah diriwayatkan daripada pelbagai jalan daripada Muhammad bin Ka’ab yang semuanya sangat lemah. Walaupun sanad ini adalah yang terbaik, namun hadith ini juga adalah lemah.” (Lihat: مختصر سنن ابي داود 2/1432)

Komentar Al-Hafiz Ibn Hajar رحمه الله:

“Perawi hadith ini (Abdul Malik bin Muhammad bin Aiman al-Hijazi) هو مجهول “Dia tidak diketahui atau tidak dikenali.” (Lihat: تقريب التهذيب – Ibnu Hajar)

 

Dalil keempat:

17335 – حديث (حم عم) : أن النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كان إذا دعا فرفع يديه، مسح وجهه بيديه.أحمد: ثنا قتيبة بن سعيد، ثنا ابن لهيعة، عن حفص بن هاشم بن عتبة بن أبي وقاص، عن السائب بن يزيد، عن أبيه، بهذا

Diceritakan daripada al-Saib bin Yazid daripada bapanya bahawa Nabi ﷺ adanya baginda ketika berdoa mengangkat kedua belah tangannya lalu mengusap wajahnya dengan kedua-dua belah tangan.” (HR Ahmad, no.17335 dan Zawaid, Abu Daud dalam Sunan, no.1492)

Sanad Imam Ahmad رحمه الله,

أحمد: ثنا قتيبة بن سعيد، ثنا ابن لهيعة، عن حفص بن هاشم بن عتبة بن أبي وقاص، عن السائب بن يزيد، عن أبيه، بهذا

أَنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ كان إذا دعا فرفع يدَيهِ مسح وجهَه بيدَيهِ

 

الراوي : يزيد بن عبدالله والد السائب | المحدث : الزيلعي | المصدر : نصب الراية

الصفحة أو الرقم: 3/51 | خلاصة حكم المحدث : معلول بابن لهيعة , 

Komentar al-Zaila’ii dalam kitab Nashbu al-Raayah, hadith ini cacat (ma’lul) kerana perawi Ibn Lahi’ah.

 أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ كان إذا دعا فرفعَ يديْهِ مسحَ وجهَهُ بيديْهِ

الراوي : يزيد بن عبدالله والد السائب | المحدث : الألباني | المصدر : إرواء الغليل

الصفحة أو الرقم: 2/178 | خلاصة حكم المحدث : إسناده ضعيف 

Komentar daripada Syeikh al-Albani رحمه الله, isnadnya dhaif.

Apakah status muktamad hukum menyapu muka selepas doa?

Daripada sudut hadith, terdapat tujuh hadith kesemuanya, dan Syaikh Bakar Abdullah Abu Zayd (Tashih ad-Du’ah, Riyadh) telah menilai kesemua tujuh hadith itu sebagai dha’if. Walau bagaimanapun al-hafidz Ibn Hajar al-Asqalani رحمه الله telah menghimpun ketujuh-tujuh hadith itu dan mengangkat darjatnya ke taraf hasan. Mazhab Syafi’iy memilih pendapat ini, iaitu hasannya darjat hadith mengusap wajah selepas berdoa. Pendapat ini didokong oleh Imam al-Ghazali, Imam Nawawi di dalam al-Azkar dan Imam Syun’ani (Subulus Salam, 4/428).

Manakala muhaqqiqin yang lain seperti Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu’ Fatawa jilid 22/519), Ibn Qayyim dan Imam al-Albani (Silsilah al-Sahihah, 2/146) berpendapat hadith tersebut itu tidak dapat dinaiktaraf ke darjat hasan kerana kecacatan setiap hadith itu dan inilah yang lebih rajih.

Secara kesimpulannya, ini adalah termasuk salah satu amalan bid’ah kerana para muhaqqiqin dan majoriti ahli hadith telah mendhaifkan semua hadith-hadith tersebut. Akan tetapi kerana ia sudah mutawatir diamalkan di nusantara, maka tidak ada faedah untuk memerangi bid’ah yang masih ada sedikit perselisihan akan status hadithnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan