Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-203 hingga Ke-205

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-203 hingga Ke-205

744
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-203

Ini adalah kisah di Mina semasa buat Haji.

۞ وَاذكُرُوا اللَّهَ في أَيّامٍ مَّعدُودٰتٍ ۚ فَمَن تَعَجَّلَ في يَومَينِ فَلا إِثمَ عَلَيهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلا إِثمَ عَلَيهِ ۚ لِمَنِ اتَّقىٰ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعلَموا أَنَّكُم إِلَيهِ تُحشَرونَ

Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka dia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka dia juga tidaklah berdosa; (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

وَاذْكُرُوا اللَّهَ فِي أَيَّامٍ مَّعدُودٰتٍ‌

Dan ingatlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditentukan bilangannya;

Iaitu pada 11, 12 & 13 Dzulhijjah – dinamakan juga Hari-hari Tasyrik. Kenapa Allah‎ ﷻ suruh ingat kepada Dia pada waktu itu? Kerana waktu itu sedang sibuk melihat orang lain. Macam-macam jenis manusia ada di situ. Orang-orang yang tidak biasa kita lihat. Boleh mengganggu fokus kita.

Sebab itu Allah ‎ﷻ suruh ingat kepada-Nya. Dekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Kenalah buat perkara-perkara yang mengingatkan kepada Allah ‎ﷻ – baca Al-Qur’an, zikir dan sebagainya.

فَمَنْ تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ

Maka sesiapa yang hendak balik segera dalam dua hari itu;

Iaitu bergerak awal dari Mina. Selepas melontar Jamrah Aqabah, dia hendaklah balik awal.

فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

dia tidak berdosa;

Boleh kalau hendak balik awal, cuma kena bayar dam sahaja. Orang Arab selalunya buat begitu.

Maka ia dibenarkan untuk dilakukan oleh Allah ‎ﷻ, maka jangan marah kepada mereka yang hendak balik awal.

وَمَنْ تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Dan sesiapa yang hendak melewatkan, juga tidak berdosa.

Kalau hendak tinggal lama juga, tidak ada masalah juga.

لِمَنِ اتَّقَىٰ

kepada orang yang takut kepada Allah;

Takut kepada Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menjaga hukum yang telah disampaikan oleh-Nya. Maknanya, sesiapa yang hendak tinggal selama tiga hari di sana, maka mereka hendaklah menjaga taqwa mereka. Jangan mereka tinggal lama di sana tetapi kerana mereka bosan, mereka buat pula perkara-perkara yang lagha. Padahal, waktu itu perlulah digunakan untuk beribadat kepada Allah ‎ﷻ.

وَاتَّقُوا اللَّهَ

hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah

Taqwalah kepada Allah ‎ﷻ dengan menjaga hukum-hukum yang Allah ‎ﷻ telah sampaikan. Ayat ini disampaikan di hujung-hujung pengajaran tentang Haji dalam surah Baqarah ini. Ini mengingatkan kita bahawa kita kena terus jaga taqwa kita kepada Allah ‎ﷻ, walaupun telah selesai menunaikan ibadah Haji. Janganlah masa buat ibadat sahaja kita sedar dan taqwa, tetapi di luar ibadat, tinggalkan taqwa pula.

وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Dan yakinlah bahawasanya kamu akan dihimpunkan untuk bertemu dengan-Nya;

Ingatlah bahawa, dalam kita meninggalkan Arafah itu, kita semua akan dikembalikan juga kepada perkumpulan sebegitu juga nanti di Mahsyar. Kita semua akan dihimpunkan untuk ditanya, adakah kita gunakan harta yang telah Allah ‎ﷻ beri kepada kita untuk pergi Haji? Kerana ada yang ada harta, tetapi tidak pergi Haji lagi. Sibuk pergi ke tempat-tempat lain dahulu.

Ada pula yang kata tiada wang, tetapi mereka sebenarnya ada tanah, tetapi tidak mahu hendak jual tanah untuk buat belanja pergi menunaikan Haji. Ada yang harta banyak, tetapi dibahagikan awal-awal lagi kepada anak-anak kerana takut anak tidak ada harta apabila mereka sudah mati nanti.

Selalunya, apabila sudah diberi tanah kepada anak-anak, mereka sudah tiada duit untuk pergi Haji. Tetapi anak-anak nanti bukannya hendak derma untuk ibu bapanya nanti. Janganlah begitu, biarlah anak-anak cari harta sendiri. Kerana nanti di hadapan Allah ‎ﷻ, kita tidak boleh jawab kenapa kita tidak tunaikan Haji nanti.

Perkataan حَشَرُ tidak sama dengan perkataan جمع – juga digunakan untuk bermaksud dikumpulkan. Kalimah حَشَرُ digunakan dalam bahasa Arab untuk mengumpulkan binatang, seperti penggembala lembu mengumpulkan lembu belaannya. Ini memberi isyarat kepada kita yang kita nanti akan dikumpulkan oleh Allah ‎ﷻ macam penggembala mengumpulkan binatang ternakannya.

Tafsir Ayat Ke-204

Ada empat golongan yang Allah ‎ﷻ hendak sebut yang dimulai dengan ayat ke-200. Ayat ke-200 itu adalah tentang golongan manusia yang celaka kerana hanya nampak kepentingan dunia sahaja dan tidak hiraukan pun tentang akhirat.

Golongan yang kedua telah disebut dalam ayat yang seterusnya iaitu ayat ke-201 di mana mereka yang beruntung akan berdoa supaya mereka diberikan kebaikan dunia dan juga akhirat sekali dan supaya diselamatkan dari neraka.

Lihatlah bagaimana mereka bukan hanya minta ‘dunia’ sahaja tetapi ‘kebaikan dunia’. Begitulah orang yang beriman, cara meminta doa kepada Allah ‎ﷻ pun mereka pandai.

Golongan yang ketiga adalah mereka yang bukan sahaja tidak mahu kepada agama untuk diri mereka tetapi mereka usahakan supaya orang lain pun cintakan dunia. Bukan dunia itu untuk mereka pun tetapi untuk orang lain. Inilah orang yang paling celaka sekali kerana bukan sahaja mereka rugi tetapi merugikan orang lain sekali.

Sepatutnya kita kena menjadi golongan yang ke-empat iaitu jenis manusia yang sanggup mengorbankan dunia untuk agama Islam.

وَمِنَ النّاسِ مَن يُعجِبُكَ قَولُهُ فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنيا وَيُشهِدُ اللَّهَ عَلىٰ ما في قَلبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الخِصامِ

Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan dia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal dia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

وَمِنَ النَّاسِ

Dan ada di antara manusia itu

Ini adalah golongan ketiga. Sekarang kita akan belajar sifat orang-orang munafik. Lihatlah apa yang mereka lakukan.

مَنْ يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ

yang mempersonakan kamu kerana percakapannya;

Perkataan mereka tentang dunia sampai boleh memikat manusia kepada sukakan dunia hingga boleh lupa kepada akhirat. Cakap mereka manis belaka tetapi hatinya busuk. Oleh itu kita kenalah berhati-hati dengan sesetengah perkataan manusia. Jangan kita terpesona dengan kata-kata mereka.

فِي ٱلحَيَوٰةِ الدُّنْيَا

dalam kehidupan di dunia;

Mereka cerita tentang dunia macam dunia itu ada di depan dan mudah sahaja hendak dapat. Mereka memang pandai berkata-kata dan pandai berhujah. Begitulah juga sifat orang Munafik kerana orang Munafik zaman Nabi ﷺ dahulu yang pandai memuji-muji Nabi Muhammad ﷺ ‎dan begitulah mereka yang ada sifat-sifat munafik.

وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ

dan dia bersaksi kepada Allah atas apa yang ada dalam hatinya;

Dia akan kata bahawa apa yang dia cakapkan itu adalah benar belaka. Dia bersumpah dengan nama Allah ‎ﷻ. Dia menggunakan nama Allah ‎ﷻ sebagai saksi yang dia ikhlas dalam apa dikatakannya. Dia buat begitu supaya orang yang mendengar di depannya itu tidak syak kepadanya. Dia hendakkan orang percaya dengan kata-katanya tentang dunia sampai dia sanggup menggunakan nama Allah ‎ﷻ.

Ayat ini mengajar kita yang sedang belajar tafsir Al-Qur’an ini untuk menjaga hati dan perbuatan kita. Jangan kita cakap perkara kebaikan di mulut kita, tetapi perbuatan kita lain pula. Jangan kita jadi macam orang dalam ayat ini.

Ia juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan kata-kata manusia. Ada manusia yang pandai berkata-kata sampai kita boleh jadi terpesona. Boleh dengar tetapi jangan terus percaya. Kita kena tengok apakah tindak tanduk dia.

Kerana cakap sahaja, semua orang boleh; tetapi kena lihat apakah amalan dan perbuatannya dalam kehidupan juga. Kalau berlainan daripada apa yang dia kata, tahulah kita yang dia hanya pandai bercakap sahaja.

وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

padahal dia sebenarnya adalah paling kuat sekali menentang;

Iaitu paling kuat melawan Nabi ﷺ. Kalau bercakap hal dunia dan agama dia memang hebat tetapi sebenarnya dia adalah orang yang paling kuat menentang kehidupan di akhirat dan paling kuat menentang agama.

Perkataan أَلَدُّ itu lebih berat lagi dari perkataan عَدُوٌّ yang selalu digunakan kepada Syaitan. Mereka yang berperangai begini, akan mereka-reka perkataan mereka tidak berdasarkan dalil, asalkan mereka boleh menang dan orang lain percaya kepada kata-kata mereka. Mereka tidak kisah apakah yang benar.

Lafaz الْخَصِمُ bermaksud ‘berdebat’ dan ini dibenci oleh Allah‎ ﷻ seperti sabda Nabi ﷺ dalam Sahih Bukhari, riwayat Aisyah رضي الله عنها:

حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ عَنْ ابْنِ جُرَيْجٍ سَمِعْتُ ابْنَ أَبِي مُلَيْكَةَ يُحَدِّثُ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Telah menceritakan kepada kami Musaddad telah menceritakan kepada kami Yahya bin Sa’id daripada Ibnu Juraij, aku mendengar Ibnu Abu Mulaikah menceritakan daripada Aisyah رضي الله عنها, beliau mengatakan; Rasulullah ﷺ bersabda: “Manusia yang paling dibenci Allah ‎ﷻ adalah yang keras kepala dan suka membantah.” (Hadith Sahih Bukhari no. 6651)

Tafsir Ayat Ke-205

وَإِذا تَوَلّىٰ سَعىٰ فِي الأَرضِ لِيُفسِدَ فيها وَيُهلِكَ الحَرثَ وَالنَّسلَ ۗ وَاللَّهُ لا يُحِبُّ الفَسادَ

Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

وَإِذَا تَوَلَّىٰ
Dan apabila dia berpaling;

1. Iaitu apabila dia pergi dari majlis tempat dia bercakap dan mempersonakan manusia itu.

2. Ada juga yang menafsirkan ayat ini sebagai bermaksud apabila dia berkuasa. Dia pandai cakap sampaikan dia dapat memerintah.

سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ
dia terus berusaha di muka bumi;

Mereka bukan berusaha dalam kebaikan tetapi untuk keburukan kerana yang dicarinya adalah kepentingan dirinya sahaja. Kerosakanlah yang akan terjadi.

لِيُفْسِدَ فِيهَا
untuk berbuat kerosakan padanya;

1. Iaitu bermaksud kerosakan pada agama, iaitu melakukan syirik. Keluar sahaja dari majlis Nabi ﷺ, terus berbuat syirik.

Dia melakukan perkara yang melanggar syariat dan berbuat dosa. Hukum-hukum Allah ‎ﷻ hanya dipakai apabila dapat menguntungkan dirinya sahaja, mana yang dia boleh terima dan mana yang dia tidak suka, dia akan tinggalkan.

2. Atau ia boleh juga bermaksud, apabila mereka dapat kuasa, mereka akan berbuat kerosakan di mukabumi.

وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ
dan dia membinasakan tanaman;

1. Oleh kerana orang itu hanya mementingkan diri sendiri, dia sudah tidak memikirkan kepentingan rakyat. Maka tanaman akan punah ranah dan tidak subur. Tanaman adalah isyarat kepada kemakmuran. Negeri itu sudah tidak makmur lagi kalau mereka memerintah.

2. Iaitu boleh juga bermaksud ‘berzina’. Mereka jenis yang suka berzina.

3. Orang-orang munafik zaman Nabi ﷺ sungguh jahat sampaikan mereka merosakkan tanaman kepada sahabat yang beriman.

4. Tafsir lain mengatakan mereka mengganggu isteri para sahabat lain.

وَالنَّسْلَ
dan (merosakkan) binatang ternak;

1. Apabila mereka mementingkan dunia dan mereka merosakkan flora dan fauna negara, maka binatang ternak pun sudah tidak hidup dengan sihat lagi.

Rakyat sibuk hendak mendengar apa yang mereka kata sampai tidak menjaga binatang ternak mereka lagi.

Hutan-hutan dan tanaman ditebas dan digondolkan sampai makanan untuk binatang sudah tidak ada lagi. Hutan sudah gondol, maka mudah erosi berlaku. Maka tanah runtuh selalu terjadi. Banjir pun selalu terjadi.

2. Orang Munafik zaman Nabi ﷺ yang merosakkan binatang ternak orang beriman.

Dalam dunia sekarang, kita boleh lihat bagaimana banyak manusia yang melakukan apa sahaja untuk mencapai keuntungan. Antaranya, pengeluar makanan ada mengeluarkan makanan yang tidak baik untuk kesihatan.

Mereka telah mengubah komposisi makanan itu (Genetically Modified Food) yang membahayakan kesihatan. Tetapi mereka tetap melakukannya kerana ia boleh meningkatkan keuntungan kepada mereka.

وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ
Dan Allah tidak suka orang-orang yang berbuat kerosakan;

Berapa banyak manusia yang di depan kita, nampak baik sahaja. Kalau bercakap, mereka bercakap baik-baik sahaja, tetapi di belakang kita, macam-macam dosa yang mereka buat. Allah ‎ﷻ amat tidak suka orang yang sebegini. Mereka tidak akan selamat di akhirat kelak.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan