Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-191

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-191

1489
0
Iklan

Tafsir ayat ke-191

Sekarang Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa ‘perang’ dan ‘bunuh’ itu adalah dua perkara yang berlainan. Dalam perang tidak semestinya ada pembunuhan.

Perang itu apabila kita datang dengan kekuatan tentera untuk memberhentikan orang degil yang tidak membenarkan dakwah Islam. Kalau mereka sudah terima, tidak boleh bunuh mereka.

وَاقتُلوهُم حَيثُ ثَقِفتُموهُم وَأَخرِجوهُم مِّن حَيثُ أَخرَجوكُم ۚ وَالفِتنَةُ أَشَدُّ مِنَ القَتلِ ۚ وَلا تُقَـٰتِلُوهُم عِندَ المَسجِدِ الحَرامِ حَتّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فيهِ ۖ فَإِن قَـٰتَلُوكُم فَاقتُلوهُم ۗ كَذٰلِكَ جَزاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ

Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.

وَاقْتُلُوهُمْ
Dan bunuhlah mereka

Kalau mereka degil juga, maka bolehlah bunuh mereka. Bunuhlah mereka sahaja di mana mereka dijumpa.

حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ
di mana sahaja kamu jumpa mereka

Makna ‘di mana sahaja jumpa mereka’ adalah jumpa di medan peperangan. Bukanlah dengan tidak semena-mena diserang sahaja orang kafir di dunia ini pula.

Tetapi apabila berjumpa mereka di medan perang, maka bunuhlah mereka di mana sahaja jumpa mereka. Jangan baca secara literal pula (memang ada yang baca secara literal kerana tidak belajar).

Bahasa yang digunakan dalam ayat ini menghairankan sedikit. Kalau ditujukan kepada orang yang kuat dan ramai, maka ia mungkin lebih sesuai.

Baru boleh kata: “Cari mereka dan bunuh mereka”. Tetapi realitinya, orang Islam sedikit sahaja sewaktu ayat ini diturunkan. Yang ramai adalah puak Musyrikin.

Mereka yang lebih ramai dan lebih kuat serta kelengkapan perang mereka lebih hebat daripada tentera Islam. Nabi ﷺ baru sahaja hijrah di Madinah selama enam bulan.

Para sahabat tidak ramai, banyak antara mereka tidak pernah berperang pun. Ini adalah kerana orang asal Madinah adalah kalangan petani. Tentunya mereka tidak biasa berperang.

Apabila diketahui bahawa tentera Musyrikin Mekah sudah dalam perjalanan, Nabi ﷺ bertanya kepada para sahabat sama ada mereka patut keluar berperang atau tidak?

Sahabat-sahabat dari Muhajirun bangkit seperti Abu Bakr, Umar dan Uthman رضي الله عنهم. Nabi ﷺ nampak suka dengan reaksi mereka tetapi baginda senyap sahaja tanpa berkata apa-apa.

Barulah Puak Ansar tahu bahawa Nabi ﷺ tidak boleh menyuruh mereka berperang, tetapi mereka yang kena menawarkan diri mereka sendiri.

Maka mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjadi seperti Bangsa Yahudi dan Nabi Musa عليه السلام yang tidak mahu berperang dengan baginda. Mereka pun menawarkan diri untuk berperang bersama Nabi Muhammad ﷺ. Barulah peperangan Badr dilancarkan.

وَأَخْرِجُوهُمْ
dan kamu halaulah mereka

Keluarkan mereka dari daerah mereka. Halau mereka ke hutan dan ambil alih tempat mereka. Jangan bagi mereka duduk di kawasan tempat tinggal biasa. Biar mereka susah kerana mereka terus duduk dalam kufur. Mereka tidak layak hidup dengan selesa di dunia.

مِّنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ
dari tempat mereka halau kamu dulu;

Dahulu kaum Muslim kena halau dari Mekah, sekarang orang kafir Mekah pula yang kena halau dari Mekah.

Allah ‎ﷻ menyebut ayat ini dalam bentuk yang nampak puak Muslim itu kuat sampai boleh menghalau orang Musyrik dari Mekah itu kerana Allah ‎ﷻ hendak memberi semangat kepada mereka bahawa mereka akan memenangi peperangan itu.

Apabila mereka baca ayat-ayat ini, orang Islam dapat tahu bahawa Allah ‎ﷻ akan membantu mereka memenangi perang itu kerana itu adalah janji Allah ‎ﷻ.

Jadi, walaupun mereka lemah pada waktu itu, tetapi akhirnya mereka akan menjadi kuat dan akan berjaya kerana dalam ayat ini, ia menunjukkan bagaimana mereka akan menjadi kuat.

Dan merekalah nanti yang akan membunuh puak-puak Musyrik itu dan akan mengeluarkan mereka dari Mekah.

Hukum Perang: Kalau mereka tidak mahu memeluk Islam juga selepas mereka kalah, mereka layak menjadi hamba abdi. Panglima perang yang boleh membuat keputusan sama ada hendak bunuh semua lelaki yang berperang itu atau tidak.

Yang perempuan dan kanak-kanak tidak boleh dibunuh. Mereka hendaklah diambil sebagai hamba abdi.

Kita boleh bunuh mereka kerana mereka duduk di dunia Allah‎ ﷻ tetapi tidak mahu sembah Allah ‎ﷻ. Ini kerana tidak menyembah Allah ‎ﷻ dan menyembah tuhan yang lain adalah satu kesalahan yang amat besar. Mereka tidak layak hidup di dunia Allah ‎ﷻ ini.

Bayangkan kalau di sesuatu negara, kita menentang raja negara itu, itu adalah kesalahan paling besar di negara itu, boleh dihukum bunuh. Sekarang, orang kafir tidak menyembah Tuhan sekalian alam, adakah itu boleh dibenarkan?

Kita kena lihat situasi itu begini, baru kita boleh faham kenapa kita kena bunuh puak-puak musyrik itu.

Walau bagaimana pun, sekarang kita tidak boleh pergi bunuh orang kafir sesuka hati kita kerana telah ada perjanjian antara kita dan mereka untuk hidup aman.

Nabi ﷺ dahulu pun ada juga membuat perjanjian damai dengan orang-orang kafir. Kaum kafir yang duduk di Malaysia, kita telah bersetuju untuk mereka duduk di negara ini.

Tidak boleh kita menyerang mereka selagi mereka duduk dengan aman di negara ini. Tidak boleh juga kita hendak menyerang puak-puak kafir di negara lain.

Jadi, apabila ada usaha untuk panggil mereka sebagai ‘Kafir Harbi’, itu tidak benar kerana mereka bukan kafir yang diperangi. Salah faham begini amat-amat bahaya.

Tujuan jihad adalah untuk menghilangkan kesyirikan dalam hati manusia. Orang yang melakukan syirik kepada Allah ‎ﷻ, tidak layak untuk mereka berperang pada jalan Allah ‎ﷻ kerana merekalah yang sepatutnya diperangi.

Ini termasuklah orang-orang yang mengamalkan ilmu kebal, pedang terbang, keris azimat dan sebagainya. Mereka pun mengamalkan syirik, lalu bagaimana hendak memerangi orang kafir?

Banyak dari golongan datuk nenek kita dahulu mengamalkan ilmu-ilmu sebegitu dalam peperangan. Banyak dijumpai baju, pedang, perisai yang ada tulisan-tulisan yang pelbagai. Itu adalah amalan syirik, maka mereka adalah musyrikun sebenarnya.

Mereka tidak layak menjadi tentera Islam. Padahal, Nabi ﷺ sendiri dan sahabat-sahabat tidak ada ilmu kebal. Nabi ﷺ hendak berperang pun pakai baju besi. Nabi ﷺ sendiri pernah cedera dalam peperangan.

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

dan ‘fitnah’ itu lebih dahsyat dari pembunuhan;

Apakah makna ‘fitnah’ dalam ayat ini? Fitnah yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah ia bermakna menuduh orang seperti yang kita selalu faham itu. Fitnah yang kita faham itu adalah dalam bahasa Melayu sahaja, bukan bahasa Arab.

Yang dimaksudkan dengan ‘syirik itu lebih dahsyat’ adalah kerana orang yang syirik itu akan kekal duduk dalam neraka tidak keluar-keluar sampai bila-bila. Kalau kita bunuh orang, orang itu mati sahaja dan mungkin dia masuk syurga. Tetapi kalau orang yang mengamalkan syirik, mereka akan terus masuk neraka apabila mereka mati.

Kalimah الْفِتْنَةُ itu dari segi bahasa adalah ‘dugaan’ atau ‘ujian’. Ini adalah keadaan di mana mempersekutukan Allah ‎ﷻ lebih mudah daripada mengikuti perintah-Nya. Itulah ujian bagi manusia. Kalau zaman dahulu, puak Musyrikin Mekah telah menjadikan Kaabah sebagai tempat sembahan berhala, memudahkan orang melakukan syirik. Ini tidak patut dibenarkan.

Jadi Allah ‎ﷻ hendak memberitahu kepada orang Islam bahawa memang membunuh itu tidak elok, tetapi menyebabkan syirik tersebar lebih teruk lagi daripada itu. Kalau tidak memerangi mereka, fitnah/syirik akan terus berleluasa. Maka kita kena wujudkan suasana dunia di mana ajaran tauhid yang berleluasa, bukannya ajaran syirik.

Cuma, sekarang umat Islam sedang lemah, maka jihad yang ada adalah jihad lisan sahaja, iaitu kita menyampaikan dakwah dengan cara penyampaian ilmu dan penerangan kepada manusia. Ini seperti usaha Ahmad Deedat, Dr. Zakir Naik dan ramai lagi yang berusaha menyampaikan ajaran yang benar.

وَلَا تُقَـٰتِلُوهُم عِنْدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

Dan jangan kamu perangi mereka di Masjidil Haram

Jangan memerangi musuh di Tanah Haram kerana Allah ‎ﷻ telah jadikan Tanah Haram itu sebagai tempat yang aman dan mulia. Maka jangan kita cemari tempat itu yang Allah ‎ﷻ telah muliakan.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan:

“إِنَّ هَذَا الْبَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضَ، فَهُوَ حَرَامٌ بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَلَمْ يَحِلَّ لِي إِلَّا سَاعَةً مِنْ نَهَارٍ، وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ، حَرَام بِحُرْمَةِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، لَا يُعْضَد شَجَرُهُ، وَلَا يُخْتَلى خَلاه. فَإِنْ أَحَدٌ تَرَخَّصَ بِقِتَالِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُولُوا: إِنَّ اللَّهَ أَذِنَ لِرَسُولِهِ وَلَمْ يَأْذَنْ لَكُمْ”

Sesungguhnya kota ini telah disucikan Allah ‎ﷻ sejak Dia menciptakan langit dan bumi, maka ia tetap suci kerana disucikan Allah ‎ﷻ sampai hari kiamat dan tidak pernah dihalalkan kecuali sesaat untukku di waktu siang hari, ia tetap suci kerana disucikan Allah ‎ﷻ sampai hari kiamat; pepohonannya tidak boleh ditebang, rerumputannya tidak boleh dicabut. Jika ada seseorang membolehkan kerana alasan Rasulullah ﷺ pernah melakukan perang padanya, maka katakanlah oleh kalian bahawa sesungguhnya Allah ‎ﷻ hanya mengizinkan bagi Rasul-Nya dan Dia tidak mengizinkan bagi kalian.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi isyarat bahawa orang Islam akan menyerang Musyrikin Mekah sampai mereka terpaksa lari kepada Kaabah. Begitulah, kalau sesuatu negara itu diserang, apabila mereka telah kalah, mereka mulanya akan lari ke ibu negara. Akhir sekali mereka akan berkumpul di istana Raja atau Presiden mereka.

Bagi Musyrikin Mekah, mereka akan lari berlindung di Kaabah. Ini menunjukkan bahawa orang musyrik akan kalah sampai mereka terpaksa buat begitu. Ini memberi semangat kepada orang Islam. Mereka nampak janji Allah ‎ﷻ yang mereka akan menang.

حَتَّىٰ يُقَـٰتِلُوكُم فِيهِ

sehinggalah mereka perangi kamu di dalamnya;

Kecuali kalau mereka yang ceroboh dahulu. Barulah kita boleh memerangi mereka di situ. Kalau mereka masuk serang kita dalam Masjidil Haram, barulah boleh kita lawan mereka balik.

فَإِنْ قَـٰتَلُوكُم

Dan jika mereka memerangi kamu

Kalau mereka menyerah diri, tidak melawan tidak mengapa. Namun kalau mereka menyerang kita, maka:

فَاقْتُلُوهُمْ

maka bunuhlah mereka;

Namun kita kena ingat, dalam kita bunuh mereka itu, tidak boleh seksa mereka. Ini seperti telah banyak disebut syarat-syarat sebelum ini. Kita kena terus bunuh mereka tanpa seksa mereka. Kalau hukum gantung pun sudah dikira menyeksa mereka kerana apabila kita gantung seseorang, dia tidak terus mati. Sebaliknya dia akan terseksa dalam masa yang lama.

Sebaik-baik hukuman bunuh adalah pancung kepala, kerana mereka akan terus mati dan tidak menyeksakan orang yang dibunuh itu. Itu adalah cara bunuh yang paling baik sekali. Kita sangkakan bahawa itu adalah pembunuhan yang paling dahsyat sebab darah menyembur dan badan akan menggeletar selepas bercerai dengan badan, tetapi itu adalah tindak balas badan sahaja.

Sebenarnya, yang kena pancung itu akan terus mati dengan cepat dan tidak merasa sakit yang berpanjangan. Kemudian, setelah dibunuh, tidak boleh dikelar mayat orang kafir yang telah dibunuh itu.

كَذَٰلِكَ جَزَاءُ ٱلكَـٰفِرِينَ

Demikianlah balasan bagi orang kafir;

Begitulah balasan yang sepatutnya diberikan kepada orang kafir. Tidak boleh dibiarkan mereka berleluasa kerana mereka menentang Islam, maka mereka layak diperlakukan sedemikian.

Begitu pun, Rasulullah ﷺ memasuki Kota Mekah dengan aman dan telah memberikan peluang untuk penduduknya untuk menyelamatkan diri. Sabda Nabi ﷺ yang mengatakan:

مَنْ أَغْلَقَ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ، وَمَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِي سُفْيَانَ فَهُوَ آمِنٌ

Barang siapa yang menutup pintunya, maka dia aman; dan barang siapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, maka dia aman; dan barang siapa yang memasuki rumah Abu Sufyan, maka dia aman.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan