Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-190 (Bahagian 2)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-190 (Bahagian 2)

409
0
Iklan

الَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُم

orang-orang yang memerangi kamu;

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu bahawa orang-orang Musyrikin Mekahlah yang memulakan peperangan ini. Bukanlah orang Islam. Ini penting untuk dijelaskan kerana dalam sejarah dunia, dikatakan bahawa orang Islam yang memulakan perang ini. Ahli sejarah dunia mengatakan yang orang Islam di Madinahlah yang memulakan Perang Badr dan seterusnya mengambil alih Mekah daripada penduduknya.

Ini adalah tidak tepat kerana semua itu bermula dari sebelum Hijrah Nabi ﷺ dan para sahabat ke Madinah lagi. Ingatlah, apabila Nabi Muhammad ﷺ dan orang Islam menyebarkan agama Islam di Mekah, mereka telah ditindas, sampai ada yang dibunuh hanya kerana mereka cuba menyebarkan hidayah kepada manusia. Mereka terpaksa meninggalkan Mekah menuju ke Madinah untuk menjaga agama mereka (dan nyawa mereka).

Apabila Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat berhijrah ke Madinah, mereka telah membina satu negara Islam. Pusat pentadbiran pada waktu itu adalah di Masjid Nabawi. Dalam masa enam bulan, pembinaan negara Islam telah berjalan. Dalam masa yang sama, Nabi ﷺ telah menghantar pengintip ke Mekah untuk melihat apakah yang dilakukan oleh puak Musyrikin.

Orang Musyrik telah menjumpai pengintip Nabi ﷺ dan pertelingkahan telah berlaku. Maka terbunuhlah semua sekali orang musyrik yang berada dalam rombongan perniagaan itu. Kejadian ini tidak disangka dan apabila Nabi ﷺ diberitahu tentangnya, Nabi ﷺ tidak suka tetapi ia telah terjadi. Maka Nabi ﷺ menyuruh para sahabat untuk bersiap sedia untuk menerima tindak balas dari kejadian ini.

Sebelum itu, puak Musyrikin Mekah terbahagi kepada dua bahagian. Ada yang boleh menerima kalau pengaruh Nabi Muhammad ﷺ semakin besar kerana baginda pun bukan orang lain, tetapi bangsa Quraish juga. Mereka tidak ada masalah kalau Nabi Muhammad ﷺ memerintah di satu tempat yang jauh dari Mekah.

Abu Sufyan adalah antara orang yang berada di pihak ini. Namun begitu ada juga yang tidak setuju kerana mereka melihat Nabi Muhammad ﷺ membawa ajaran sesat, menentang apa yang mereka sudah biasa amalkan, maka Nabi ﷺ dan orang Islam perlu diserang sebelum fahaman mereka merebak. Yang berpandangan sebegitu adalah Abu Jahal.

Disebabkan oleh kejadian rombongan perniagaan yang terbunuh itu, Abu Jahal telah mendapat sokongan yang kuat dari Musyrikin Mekah. Ini kerana sudah ada satu sebab yang kukuh untuk mereka menyerang Madinah. Abu Jahal telah berjaya mengumpulkan kekuatan tentera untuk bersedia menyerang orang Islam di Madinah.

Dari sejarah ringkas ini, kita kena ingat kembali bahawa peperangan ini bermula dengan orang Musyrik yang memulakannya dengan menindas orang Islam sampai mereka terpaksa meninggalkan Mekah. Sejarah hanya melihat orang Islam Madinah yang memulakan perang dengan menyerang rombongan dari Mekah.

Tetapi sebenarnya, ingatlah yang mereka bukan berniat hendak menyerang. Mereka hendak mengintip sahaja. Tetapi telah ditakdirkan, mereka telah dilihat dan pergelutan telah berlaku. Sebab itulah dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberi arahan untuk berperang dengan mereka ‘yang memerangi kamu’.

Maka, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberitahu siapakah yang boleh diperangi itu iaitu mereka yang memerangi kita. Tidak boleh memerangi mereka yang tidak memerangi kita.

وَلَا تَعْتَدُوا

dan jangan kamu melampaui batas;

Walaupun Islam membenarkan peperangan, tetapi Islam telah meletakkan beberapa syarat perang. Antaranya, jangan mulakan perang. Kalau sudah berperang, jangan melampaui batas. Dalam peperangan, ada undang-undang perang, iaitu jangan seksa orang yang berperang dengan kita.

Sebagai contoh, jangan lepas kita tawan musuh kita, kita kerat tangan mereka. Jangan kita ganggu orang perempuan, budak-budak dan orang tua-tua. Jangan kita berbuat khianat terhadap manusia. Jangan ganggu orang-orang yang berlindung dalam rumah ibadat mereka. Orang yang tidak melawan jangan bunuh mereka. Tidak boleh bunuh seseorang di hadapan anak beranaknya.

Ini semua adalah undang-undang perang yang telah diletakkan dalam Islam. Tidaklah macam zaman sekarang, ada orang yang bunuh siap letak dalam video semasa seksa atau bunuh orang yang lemah. Yang menyedihkan, dikatakan orang yang membunuh itu adalah pejuang Islam, di mana kita pun tidak dapat pastikan sama ada ia benar atau tidak. Kalau kita tengok video-video itu, semuanya tutup muka, bukan?

Ini tidak patut berlaku. Maknanya peperangan yang dibenarkan adalah peperangan antara askar dan askar sahaja. Kecualilah jikalau perempuan itu ada dilatih untuk memerangi kita maka bolehlah kita memerangi mereka dan bunuh mereka di medan peperangan.

Ini adalah satu peringatan yang amat sukar kepada para sahabat. Sebab mereka dahulu telah ditindas, diseksa sampai ada kenalan dan ahli keluarga mereka yang mati di tangan Musyrikin Mekah. Tentulah mereka ada perasaan hendak membalas dendam. Tetapi Allah ‎ﷻ telah memperingatkan para sahabat supaya jangan melampau.

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan sebuah hadith:

عَنْ بُرَيدة أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: “اغْزُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ، قَاتِلُوا مَنْ كَفَرَ بِالْلَّهِ، اغْزُوا وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ”.

Daripada Buraidah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Pergilah di jalan Allah dan perangilah orang yang kafir kepada Allah. Berperanglah kalian, tetapi janganlah kalian curang, jangan khianat, jangan mencincang, dan jangan membunuh anak-anak serta jangan membunuh orang-orang yang ada di dalam gereja-gerejanya.”

إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampau;

Para sahabat amat menjaga arahan ini sampaikan mereka takut kalau-kalau mereka melampaui batas sampaikan mereka memberi makanan yang lebih baik daripada makanan mereka sendiri untuk diberikan kepada para tawanan perang dalam Perang Badr. Ini adalah kerana memang banyak pesan Rasulullah ﷺ tentang perang seperti dua hadith di bawah:

Hadith riwayat Abdullah bin Umar رضي الله عنهما: Bahawa seorang wanita didapati terbunuh dalam suatu peperangan yang diikuti Rasulullah ﷺ lalu baginda mengecam pembunuhan kaum wanita dan anak-anak kecil. (Sahih Muslim No.3279)

Rasulullah ﷺ bersabda: “Bunuhlah orang-orang musyrik yang tua dan biarkanlah anak-anak muda di antara mereka.” (Riwayat Abu Dawud. Hadith sahih menurut Tirmidzi).

Maka dalam ayat ini Allah ‎ﷻ memberitahu tujuan berperang yang dibenarkan dan siapakah yang dibenarkan untuk diperangi. Inilah undang-undang peperangan yang perlu kita ikuti.

Sistem peperangan ini sebenarnya diperkenalkan oleh Islam tetapi pada zaman sekarang ia juga telah dipakai oleh orang kafir kerana mereka nampak bagaimana sistem inilah sistem yang adil. Tetapi mungkin orang kita yang tidak belajar agama tidak tahu bahawa ia berasal daripada Islam. Mereka mungkin sangka yang ia adalah dari pemikiran Barat sahaja.

Jangan ‘melampaui batas’ juga bermaksud jikalau mereka sudah tidak memerangi kita maka kita pun hendaklah berhenti daripada memerangi mereka kerana tuntutan perang sudah tiada. Maknanya perang ini adalah keperluan darurat sahaja iaitu apabila ia perlu. Kalau tidak perlu lagi, maka kena berhenti.

Maka apabila kita sedang berperang, dan jikalau mereka mengaku untuk masuk Islam, maka kita kena hentikan memerangi mereka serta merta. Walaupun jikalau pedang kita sudah berada di tengkuk mereka.

Sebagaimana yang terjadi kepada seorang sahabat. Beliau hampir hendak membunuh seorang kafir, dan tiba-tiba lelaki itu mengucap kalimah syahadah. Sahabat itu tetap membunuh lelaki itu kerana tidak mempercayainya. Sahabat itu sangka yang itu hanyalah helah lelaki itu sahaja.

Apabila Nabi ﷺ diberitahu, Nabi ﷺ telah memarahi sahabat itu. Sebab kita tidak tahu apakah yang ada dalam hati manusia. Kita hanya boleh menilai dari zahir sahaja.

Hadith riwayat Usamah bin Zaid رضي الله عنه, beliau berkata: Rasulullah ﷺ mengirim kami dalam suatu pasukan. Kami sampai di Huruqat, suatu tempat di daerah Juhainah di pagi hari. Lalu aku menjumpai seorang kafir. Dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah, tetapi aku tetap menikamnya. Ternyata kejadian itu membekas dalam jiwaku, maka aku menuturkannya kepada Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bertanya: Apakah dia mengucapkan: Laa ilaaha illallah dan engkau tetap membunuhnya? Aku menjawab: Wahai Rasulullah, dia mengucapkan itu hanya kerana takut pedang. Rasulullah ﷺ bersabda: Apakah engkau sudah membelah dadanya sehingga engkau tahu apakah hatinya berucap demikian atau tidak? Beliau terus mengulangi perkataan itu kepadaku, hingga aku berharap kalau saja aku baru masuk Islam pada hari itu. Saad berkata: Demi Allah ‎ﷻ, aku tidak membunuh seorang muslim, hingga dibunuh Dzul Buthain, Usamah. Seseorang berkata: Bukankah Allah ‎ﷻ telah berfirman: Dan perangilah mereka, agar tidak ada fitnah dan agar agama itu semata-mata untuk Allah ‎ﷻ. Saad berkata: Kami telah berperang, agar tidak ada fitnah. Sedangkan engkau dan pengikut-pengikutmu ingin berperang, agar timbul fitnah. (Sahih Muslim No.140)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan