Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-188

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-188

4897
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-188

Ayat ini dipanggil jenis ayat Umur Munazimah – berkenaan hubungan manusia sesama manusia. Ayat sebelum ini, iaitu tentang Puasa adalah jenis ayat Umur Muslihah iaitu tentang hubungan manusia dengan Tuhan.

Ayat ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga. Yang pertama adalah Qisas dan yang kedua adalah tentang wasiat. Hal tentang wasiat diajar supaya pemilikan harta itu adalah halal. Sudahlah harta itu kita dapat bukan dari usaha sendiri, maka janganlah cara untuk mendapatkannya adalah dengan cara yang salah. Ini semua adalah supaya umat Islam tidak berpecah belah disebabkan oleh harta.

Kalau kita sendiri berpecah belah lalu bagaimana kita hendak menjadi contoh teladan kepada orang bukan Islam? Jadi pembahagian harta melalui faraid ataupun wasiat adalah jenis pemilikan harta secara percuma. Pemberian wasiat itu hanya dilakukan apabila pemberi itu telah mati.

Ayat ke-188 ini adalah tentang Umur Munazimah yang ketiga, di mana usaha mencari harta itu adalah daripada kita sendiri. Ia juga ada peraturan yang Allah ‎ﷻ telah ajar kepada kita dan kita kena ikuti.

Ayat yang kita akan baca sebentar lagi ini diletakkan selepas ayat-ayat tentang Puasa. Sekali baca macam tidak nampak apa kaitan ayat ini dengan puasa namun ia memang ada kaitan. Puasa adalah latihan untuk kita bertaqwa. Selepas kita telah dilatih dengan taqwa, di manakah kita perlu mengamalkannya?

Kita kena amalkan taqwa dalam kehidupan seharian kita. Antaranya dalam pekerjaan kita dan dalam usaha kita mencari pendapatan dan rezeki. Kita kena ada taqwa dalam urusan mencari rezeki. Ini adalah ujian kepada manusia kerana senang untuk jaga taqwa semasa beribadat di masjid atau semasa berada dalam iktikaf. Tetapi apabila berada di dunia luar, apabila ada dugaan, ada peluang untuk buat duit, susah untuk kita terus mengamalkan taqwa.

Kalau kita tidak menjadikan bulan Ramadhan itu sebagai satu latihan untuk kita bertaqwa, maka kita hanya menjadikannya sebagai satu ‘adat’ sahaja, tidak lebih daripada itu. Masuk bulan Syawal sahaja, kita sudah macam orang tidak bertaqwa.

Kita tidak dibenarkan ‘makan’ semasa bulan Ramadhan. Memakan makanan tidaklah salah kalau bukan sedang puasa. Ia hanya tidak dibenarkan semasa puasa sahaja. Sekarang kita akan belajar tentang ‘makan’ juga, tetapi makan yang lain, iaitu memakan harta orang lain.

Memakan harta orang lain dengan cara yang batil adalah tidak dibenarkan ‘sepanjang masa’, bukan waktu-waktu tertentu sahaja. Sama ada berpuasa atau tidak, urusan mencari harta kena halal. Sama ada dalam bulan Ramadhan atau tidak, kita kena jaga perkara itu. Dalam semua keadaan dan dalam semua bentuk usaha mencari pendapatan.

Ada orang yang dalam hal ibadat, mereka boleh jaga, seperti salat dan puasa. Tetapi dalam kehidupan mereka, susah mereka hendak jaga daripada melakukan kesalahan termasuk dalam usaha mencari harta. Allah ‎ﷻ mengingatkan kepada manusia, bukan ‘ibadat’ sahaja kena buat, tetapi ‘adat’, iaitu hubungan sesama manusia juga kena jaga juga.

وَلا تَأكُلوا أَموالَكُم بَينَكُم بِٱلبَـٰطِلِ وَتُدلوا بِها إِلَى الحُكّامِ لِتَأكُلوا فَريقًا مِّن أَموالِ النّاسِ بِالإِثمِ وَأَنتُم تَعلَمونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِٱلبَـٰطِلِ

Dan jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu dengan cara batil;

Iaitu dengan cara tipu, curi dan sebagainya. Jangan curi wang atau harta di pejabat. Jangan masuk lambat ke pejabat sebab pengurus kita tidak ada di pejabat. Jangan buat benda lain semasa di pejabat termasuk melihat video agama. Itu semua memakan harta dengan cara yang batil.

Kita dilarang untuk memakan harta dengan cara yang tidak mengikut syari’at. Semua cara yang tidak mengikut syari’at dipanggil cara yang batil. Kita sepatutnya kena tahu bagaimana cara untuk mendapatkan harta dengan cara yang sah. Janganlah kita buat satu sistem ekonomi kemudian baru kita tanya kepada ulama’ sama ada itu adalah cara yang benar atau tidak.

Sebagai contoh, banyak sistem MLM sekarang ini. Selalunya mereka akan buat sistem itu dahulu, kemudian baru hendak periksa sama ada ia adalah sah mengikut syari’at Islam atau tidak. Padahal, sistem itu memang boleh buat duit. Kalau sudah boleh buat duit, tetapi ulama’ kata ia tidak sah, bagaimana? Adakah mereka hendak ikut dan tinggalkan sistem itu atau mereka akan terus melakukannya?

Apabila kita makan daripada sumber pendapatan yang haram maka kita telah memakan perkara yang haram. Apabila ini berlaku maka tidak ada keberkatan kepada diri kita dan akan sentiasa ada masalah dengan diri kita.

Sebagai contoh, mungkin berlaku banyak perbalahan dalam keluarga kita dan sebagainya. Walaupun banyak duit, tetapi hidup tidak tenang dalam keluarga. Mungkin tidak ada lagi rasa hormat sesama ahli keluarga, tidak ada rasa keinginan untuk menderma walaupun duit banyak, mungkin kita senang kena sihir dan sebagainya.

Mungkin juga akan timbul perpecahan di dalam masyarakat kita. Semua itu mungkin akan terjadi kepada kita di atas balasan Allah ‎ﷻ kepada kita kerana mengamalkan cara mendapat harta yang salah. Lihatlah, walaupun hanya ada satu ayat sahaja tetapi ia adalah perbincangan yang luas tentang bagaimana kita hendak mencari sumber pendapatan.

Batil adalah setiap perkara yang tidak diberi keizinan oleh syari’at. Jadi kena pastikan sesuatu sistem itu Islamik. Kena periksa dengan hukum fiqah. Sebab itu ulama’ meletakkan syarat, kalau hendak berniaga, maka kena tahu hukum fiqah dalam perniagaan dahulu. Jangan buat dahulu baru hendak belajar. Kena belajar siap-siap.

Batil adalah sesuatu yang salah, dengan cara menipu dan sebagainya. Yang tidak diperolehi dengan cara yang halal. Oleh itu, jangan dapatkan wang rezeki dengan cara yang salah dan haram. Antaranya dengan mencuri, dengan cara riba, loteri, jual barang haram, makan harta anak yatim, dengan jalan zina, rasuah dan sebagainya. Ada banyak lagi jalan-jalan salah dan haram.

Apabila kita mengambil harta dengan cara salah, bermakna kita mengambil harta orang lain. Kalau kita dalam kedudukan mereka, kita pun tidak mahu orang lain ambil harta kita dengan cara salah. Maka, kita kena letakkan diri kita dalam keadaan orang itu. Kalau kita sayangkan harta kita, orang lain pun sayang harta mereka juga.

Selalunya kita tidak kisah dengan harta orang sebab bukan harta kita. Ini kalau kita tidak meletakkan diri kita dalam keadaan mereka. Sebab itu Allah ‎ﷻ gunakan perkataan أَمْوَالَكُمْ, yang bermaksud ‘harta kamu’ – kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat harta orang lain macam kita hendak harta kita dijaga juga. Hormati harta orang lain macam kita hormati harta kita juga.

Termasuk dalam perkara ini adalah kalau kita meletakkan harga yang melampau dalam kerja-kerja kita. Contohnya, kerja kita sebagai mekanik. Katakanlah kita sahaja yang tahu pasal enjin, oleh itu kita ambil peluang itu untuk meletakkan harga yang melampau. Tuanpunya kereta tidak boleh buat apa kerana mereka bergantung kepada kita. Ini juga adalah salah satu contoh yang batil.

Termasuk juga dalam hal ini adalah meletakkan klausa yang tidak patut dalam perjanjian kita dengan pekerja kita atau dengan orang lain. Itu pun termasuk juga dalam perkara batil.

Orang yang banyak buat kesalahan ini adalah mereka yang ada pengetahuan tertentu dalam kerja mereka, yang mana orang lain terpaksa akur kepada mereka iaitu golongan-golongan profesional dalam kerja mereka. Maka kita kena berhati-hati.

وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ

dan kamu bawa harta-harta itu kepada hakim;

Kedua, ada orang yang mengambil harta orang lain dengan cara beri rasuah kepada hakim supaya hakim meluluskan dalam mahkamah yang harta itu milik dia. Mungkin dia telah ambil geran tanah orang lain dan ubah nama. Untuk merampas dengan cara kasar sudah tidak boleh kerana negara ini ada undang-undang. Jadi dia bayar semua yang terlibat – hakim, saksi, pekerja di pejabat tanah dan sebagainya.

Mereka boleh buat sampai mangsa tidak boleh buat apa. Walau pun dalam mahkamah, mereka dikira sebagai pemilik tanah yang sah, tetapi masih haram harta itu. Kalau keputusan mahkamah dilakukan berdasarkan kepada saksi palsu, tidaklah menjadikan harta itu halal.

Atau, mereka akan menipu hakim. Hakim itu mungkin tidak tahu kedudukan perkara yang sebenar maka dia hanya boleh buat keputusan berdasarkan bukti dan hujah yang ada di hadapannya. Kalau dia tidak tahu, dia tidak berdosa kalau memberikan keputusan yang salah. Mereka hanya buat keputusan berdasarkan maklumat yang di hadapan mereka sahaja.

Telah disebutkan di dalam kitab Sahihain, daripada Ummu Salamah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“أَلَا إِنَّمَا أَنَا بَشَر، وَإِنَّمَا يَأْتِينِي الْخِصْمُ فَلَعَلَّ بَعْضَكُمْ أَنْ يَكُونَ أَلْحَنَ بِحُجَّتِهِ مِنْ بَعْضٍ فَأَقْضِي لَهُ، فَمَنْ قَضَيْتُ لَهُ بِحَقِّ مُسْلِمٍ، فَإِنَّمَا هِيَ قِطْعَةٌ مِنْ نَارٍ، فَلْيَحْملْهَا، أَوْ ليذَرْها”

Ingatlah, sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, dan sesungguhnya sering datang kepadaku orang-orang yang mengadukan perkaranya. Barangkali sebahagian daripada kalian lebih pandai dalam mengemukakan alasannya daripada lawannya, kerana itu aku memutuskan perkara untuknya. Barang siapa yang telah kuputuskan buatnya menyangkut masalah hak seorang muslim, pada hakikatnya hal itu hanyalah merupakan sepotong api neraka; kerana itu, hendaklah seseorang menyanggahnya atau meninggalkannya.

Oleh itu, walaupun hakim telah memberikan keputusan yang salah, memberikan kemenangan kepada pihak yang menipu, tidaklah menjadikan harta itu halal. Ia tetap haram dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Ia juga bermaksud kita menggunakan wang untuk rapat dengan pemerintah atau orang yang berkuasa supaya mereka rapat dengan kita dan kita boleh gunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang bathil.

Perkataan دلو itu bermaksud ‘timba’. Dalam pepatah Arab, ia meletakkan makanan dalam timba, kemudian tunggu binatang datang untuk makan makanan itu. Kemudian ditarik timba itu supaya dekat dan dekat lagi, sehingga boleh tangkap binatang itu.

Maksud pepatah itu adalah menggunakan wang untuk menarik pemerintah kepada kita. Dalam dunia perniagaan sekarang, ada businessman yang memberikan wang kepada pihak yang berkuasa supaya mereka memberikan projek kerajaan kepada mereka. Ini termasuk dalam larangan pada ayat ini.

Satu lagi contoh, ada orang yang meminjam daripada orang lain, tetapi tidak ada bukti. Bila diminta balik, dia tidak mengaku. Oleh itu bila dibawa ke mahkamah dia akan menang kerana tidak ada bukti yang dia ada pinjam duit itu.

لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ

untuk dapat makan sebahagian harta manusia dengan cara dosa;

Iaitu mendapat harta itu dengan cara tipu. Sebagai contoh, menggunakan wang untuk diberikan kepada orang yang berkuasa supaya mereka dapat projek. Apabila projek itu diberikan kepada mereka kerana mereka sogokkan wang itu, maka orang yang sepatutnya layak dapat telah kehilangan rezeki mereka. Itu bermakna, mereka telah makan harta orang lain dengan batil juga.

Perkataan الْإِثْمِ bermaksud ‘dosa yang sengaja’.

Apabila kita makan dari harta yang haram, maka kita akan buat benda haram dan bila buat benda yang haram, kita akan masuk neraka. Maka harta haram akan menolak kita masuk neraka. Maka hal makanan kenalah dijaga betul.

وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

sedangkan kamu tahu;

Tentulah orang yang menipu itu tahu yang dia sedang menipu. Yang tidak tahunya adalah hakim yang membuat keputusan itu. Bukan sahaja orang yang menipu, tetapi termasuk juga saksi-saksi palsu yang mungkin digunakan untuk mendapatkan harta itu dengan cara yang salah – mereka yang menjadi saksi itu pun tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah salah. Sama ada mereka tahu ia salah dalam hukum agama atau dari segi moral.

Tetapi mereka tidak akan mengaku yang mereka itu telah menipu. Mereka akan kata mereka tidak tahu tentang apa yang terjadi dalam syarikat mereka. Mereka hanya lakukan apa yang mereka disuruh sahaja atau mereka memberikan alasan-alasan lain. Allah ‎ﷻ cakap dalam ayat ini bahawa mereka sebenarnya tahu.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan