Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 2)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 2)

384
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-187 (sambungan)
فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ

Maka sekarang ini, campurilah mereka;

Maka, bermula dari hari itu, bolehlah bersetubuh pada malam hari. Jangan risau untuk bersama dengan isteri, memang tidak salah pun.

Perkataan بَاشِرُوهُنَّ itu dari kata dasar yang ب ش ر bermaksud ‘manusia’, berita gembira, kulit manusia. Kulit manusia berbeza dengan kulit binatang lain. Jadi, perkataan بَاشِرُ bermaksud kulit yang bersentuhan, yang membawa maksud bersetubuh antara lelaki dan perempuan. Ini juga adalah bahasa kiasan yang Allah ‎ﷻ gunakan kerana beradab.

وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ

dan carilah apa yang Allah telah kurniakan untuk kamu;

Carilah kurnia Allah ‎ﷻ dalam bentuk pahala yang banyak pada malam puasa. Perbuatan hubungan suami isteri adalah satu ibadah kerana Allah ‎ﷻ telah membenarkan kita melakukannya.

Apabila ini diberitahu kepada para sahabat, mereka kehairanan: Bagaimana memuaskan nafsu boleh mendapat pahala pula?

Maka, Nabi ﷺ kata, kalau seseorang itu memuaskan nafsunya dengan jalan yang salah, bukankah dia akan mendapat dosa? Lalu, bagaimana kalau dia melakukannya dengan cara yang halal? Tentulah dapat pahala pula.

Jadi, perbuatan biasa kita seharian juga boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya dengan cara yang halal. Iaitu dengan cara yang Allah ‎ﷻ telah benarkan.

Kadang-kadang dalam perkahwinan, ada suami atau isteri yang tidak ada semangat untuk ‘bersama’. Kadang-kadang tengah penat atau tidak berapa sihat. Ayat ini mengajar kita bahawa walaupun mereka tidak suka, tetapi mereka kena tahu bahawa perbuatan itu adalah halal dan boleh mendatangkan pahala kepada mereka.

Mereka kena tahu bahawa ia adalah satu ibadah juga. Perhubungan kelamin antara suami isteri adalah satu perbuatan yang amat indah. Ia dapat mengeratkan hubungan suami isteri. Kalau sudah lama tidak ‘bersama’, akan ada masalah antara suami isteri itu.

‘Cari kurnia Allah’ di sini adalah juga bermaksud cari untuk mendapatkan anak. Ini bermaksud tujuan berhubungan kelamin itu adalah untuk mendapatkan anak selain daripada mendapatkan kepuasan nafsu. Kita kena tahu bahawa keinginan untuk mendapatkan anak telah ditanam dalam diri setiap manusia.

Sekarang banyak manusia yang kata mereka tidak mahu anak. Itu bermaksud mereka telah menentang keinginan naluri semulajadi yang telah diletakkan dalam diri mereka. Maka, kita jangan jadi begitu, kita kena niat dan berkeinginan untuk mendapatkan anak.

Jangan kita berkahwin semata-mata untuk melampiaskan nafsu sahaja kerana ada yang kahwin, tetapi mereka membuat keputusan bersama untuk tidak mendapatkan anak. Ini adalah salah.

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا

Dan makanlah dan minumlah;

Iaitu boleh makan dan minum pada waktu malam kerana sebelum tu, buka puasa dan sahur sekali sahaja pada waktu yang pendek sahaja. Sekarang sepanjang malam sudah boleh makan.

Allah ‎ﷻ kena cakap kepada para sahabat kerana mereka ada yang tidak makan langsung, hendak buat ibadat sahaja. Pada mereka, kerana itu bulan yang mulia, mereka kena tumpukan pada amal ibadat sahaja. Mereka hendak beribadat berlebihan. Allah ‎ﷻ kena suruh mereka makan dan minum. Allah ‎ﷻ mengajar kita untuk seimbangkan antara akhirat dan dunia.

حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ

sehingga jelas nyata bagi kamu ‘benang putih’ dari ‘benang hitam’ daripada waktu fajar;

Kita boleh makan dan minum sehingga dapat bezakan antara malam dan siang iaitu apabila subuh sudah masuk. Dinamakan ‘benang’ kerana bentuknya panjang sepanjang ufuk. Dapat dibezakan dengan senang kerana boleh nampak dengan mata.

Cuma sekarang kita telah bergantung sangat kepada jam, sampaikan kita tidak tengok alam seperti yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Maka, seeloknya kita sekali-sekala tengok alam.

Ada sahabat yang tidak faham tentang perkara ini. Sampaikan ada yang meletakkan benang hitam dan benang putih bawah bantal. Dia tengok sampai nampak jelas perbezaan antara keduanya. Itu adalah kerana mereka tidak faham.

Nabi ﷺ kemudian telah menjelaskan apakah maksudnya iaitu ia bermaksud fajar. Ini adalah contoh bagaimana ayat Al-Qur’an menjelaskan ayat Al-Qur’an yang lain. Dalam contoh ayat ini, penjelasan itu diberikan dalam ayat itu sendiri. Kadang-kadang, penjelasan tentang sesuatu makna ayat Al-Qur’an dijelaskan dengan ayat Al-Qur’an yang lain di dalam surah yang lain. Untuk tahu, kenalah belajar tafsir di mana ia akan dijelaskan.

Ini seperti yang disebutkan di dalam hadith riwayat Imam Abu Abdullah Al-Bukhari رحمه الله:

حَدَّثَنَا ابن أبي مَرْيَمَ، حَدَّثَنَا أَبُو غَسَّان مُحَمَّدُ بْنُ مُطَرِّف، حَدَّثَنِي أَبُو حَازِمٍ، عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ، قَالَ: أُنْزِلَتْ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} وَلَمْ يُنزلْ {مِنَ الْفَجْرِ} وَكَانَ رِجَالٌ إِذَا أَرَادُوا الصَّوْمَ، رَبَطَ أحدُهم فِي رِجْلَيْهِ الْخَيْطَ الْأَبْيَضَ وَالْخَيْطَ الْأَسْوَدَ، فَلَا يَزَالُ يَأْكُلُ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُ رُؤْيَتَهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ بَعْدُ: {مِنَ الْفَجْرِ} فَعَلِمُوا أَنَّمَا يَعْنِي: اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ

Telah menceritakan kepadaku Ibnu Abu Maryam, telah menceritakan kepada kami Abu Gassan (yakni Muhammad ibnu Mutarrif), telah menceritakan kepada kami Abu Hazim, dari Sahl ibnu Sa’d yang mengatakan bahawa ketika ayat berikut ini diturunkan: Dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam. [ Al-Baqarah: 187 ] Sedangkan kelanjutannya masih belum diturunkan, iaitu firman-Nya: iaitu fajar. [ Al-Baqarah: 187 ] Maka orang-orang apabila hendak berpuasa, seseorang daripada mereka mengikatkan benang putih dan benang hitam pada kakinya; dia masih tetap makan dan minum hingga tampak jelas baginya kedua benang itu. Lalu Allah ‎ﷻ menurunkan firman-Nya: Iaitu fajar. [Al-Baqarah: 187] Maka mengertilah mereka bahawa yang dimaksudkan dengan istilah benang putih dan benang hitam ialah malam dan siang hari. (HR al-Bukhari (Sahih no.1917 dan 4511))

Ini juga menunjukkan bahawa sahabat juga memerlukan penjelasan daripada Nabi ﷺ untuk memahami Al-Qur’an. Kalau Nabi ﷺ tidak jelaskan, maka sahabat yang mahir bahasa Arab pun tidak tahu. Satu lagi hadith tentang perkara ini:

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا هُشَيم، أَخْبَرَنَا حُصَين، عَنِ الشَّعْبِيِّ، أَخْبَرَنِي عَديّ بْنُ حَاتِمٍ قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ هَذِهِ الْآيَةُ: {وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأسْوَدِ} عَمَدت إِلَى عِقَالَيْنِ، أحدُهما أَسْوَدُ وَالْآخَرُ أَبْيَضُ، قَالَ: فَجَعَلْتُهُمَا تَحْتَ وِسَادَتِي، قَالَ: فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِمَا فَلَا تَبَيَّن لِي الْأَسْوَدُ مِنَ الْأَبْيَضِ، وَلَا الْأَبْيَضُ مِنَ الْأَسْوَدِ، فَلَمَّا أَصْبَحْتُ غَدَوْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْتُهُ بِالَّذِي صَنَعْتُ. فَقَالَ: “إِنَّ وِسَادَكَ إِذًا لَعَرِيضٌ، إِنَّمَا ذَلِكَ بَيَاضُ النَّهَارِ وَسَوَادُ اللَّيْلِ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Husain, daripada Asy-Sya’bi, telah menceritakan kepadaku Addi ibnu Hatim yang mengatakan bahawa ketika ayat ini diturunkan, yakni firman-Nya: dan makan minumlah hingga jelas bagi kalian benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. (Al-Baqarah: 187) (Addi ibnu Hatim berkata), “Maka aku sengaja mencari dua buah tali, yang satu berwarna hitam, sedangkan yang lain berwarna putih; lalu aku letakkan di bawah bantalku, dan aku tinggal melihat keduanya. Dan ketika tampak jelas di mataku perbezaan antara benang putih dan benang hitam, maka aku mulai imsak (menahan diri). Pada keesokan harinya aku datang menghadap Rasulullah ﷺ, lalu aku ceritakan kepadanya apa yang telah kulakukan itu, maka baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bantalmu kalau demikian benar-benar lebar. Sesungguhnya yang dimaksudkan dengan demikian itu hanyalah terangnya siang hari dan gelapnya malam hari’.” (HR al-Bukhari (Sahih no.1916); Muslim (Sahih no.1090); Abu Daud (Sunan no.2349); at-Tirmizi (Jami’ no.2971) dengan sedikit perbezaan; an-Nasai (Sunan no.2169) secara ringkas dan Ahmad (Musnad no.19730) dengan lafaz ini).

Ayat ini menunjukkan kepada kita bahawa kita boleh makan sahur sampailah masuk waktu subuh. Tetapi di negara ini dan negara-negara lain juga, ada yang mengajar umat Islam tentang ‘Waktu Imsak’. Mereka kata kena berhenti makan dalam sepuluh minit sebelum waktu subuh.

Itu tidak berdasarkan mana-mana dalil yang sahih. Mereka telah mencipta satu hukum baru yang tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Mereka juga telah melanggar hukum yang telah ditetapkan oleh Allah ‎ﷻ yang disampaikan dalam Al-Qur’an sendiri. Maka, janganlah kita pegang pendapat yang mengatakan ada ‘waktu Imsak’ itu.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan sahur. Ramai dalam kalangan kita yang malas hendak bersahur kerana malas hendak bangun pagi. Tetapi ada keberkatan dalam sahur yang rugi kalau ditinggalkan. Seperti sabda Nabi ﷺ:

Di dalam kitab Sahihain, daripada Anas رضي الله عنه disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحور بَرَكَةٌ”

Bersahurlah kalian, kerana sesungguhnya di dalam sahur terkandung barakah. (HR al-Bukhari (Sahih no.1923); Muslim (Sahih no.1095) dan Ibnu Hibban (Sahih no.3466))

Di dalam kitab Sahih Muslim disebutkan daripada Amr ibnul As رضي الله عنه yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إن فَصْل مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَر”

Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. (HR Muslim (Sahih no.1096); Abu Daud (Sunan no.2343); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat 3/305))

Semoga kita mendapat semangat untuk bangun sahur selepas ini.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا إِسْحَاقُ بْنُ عِيسَى هُوَ ابْنُ الطَّبَّاعِ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ زَيْدٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “السَّحور أكْلُهُ بَرَكَةٌ؛ فَلَا تَدَعُوهُ، وَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ يَجْرَع جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ، فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ”

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ishaq ibnu Isa (yaitu Ibnut Tabba’), telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Zaid, daripada ayahnya, daripada Ata ibnu Yasar, daripada Abu Sa’id yang menceritakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Sahur adalah makanan yang mengandung berkah, maka janganlah kalian meninggalkannya, sekalipun seseorang di antara kalian hanya meminum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ dan para malaikat-Nya berselawat untuk orang-orang yang makan sahur. (HR Ahmad (Musnad no.11086, 11101 dan 11396) dengan lafaz ini; Ibnu Abu Syaibah (Musannaf no.9013); dan al-Tabarani (al-Mu’jam al-Ausat no.8064) secara ringkas. Sahih menurut Ahmad Syakir, al-Arnaut, al-Dimyati dan as-Suyuti)

Hendaklah diingat yang sahur itu kena dilakukan waktu sahur, iaitu dalam sepertiga akhir malam. Ramai yang ‘sahur’ malam hari dan terus tidur sampai subuh. Itu bukan ‘sahur’, tetapi itu adalah ‘supper’.

ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Kemudian kamu sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam;

Tahanlah diri daripada makan dan minum sehingga masuk waktu maghrib. Jangan jadi macam Syiah yang ikut Yahudi – sudah keluar bintang baru mereka boleh buka puasa. Itu adalah fahaman yang sesat.

Allah ‎ﷻ suruh kita ‘sempurnakan’ dengan melakukan perkara-perkara yang disuruh dan dibenarkan. Jadi kena tahu apakah yang dibenarkan dan disuruh dalam hal puasa.

وَلَا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنْتُمْ عَـٰكِفُونَ فِي ٱلمَسَـٰجِدِ‌ۗ

Dan janganlah kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu ketika kamu beriktikaf dalam masjid;

‘Iktikaf’ bermaksud berada dalam keadaan keseorangan dan sedang melakukan sesuatu tanpa gangguan. Kita tinggal di satu tempat dan tidak meninggalkannya walaupun seminit. Atau kita buat sesuatu dan tidak berhenti walaupun seminit.

Inilah yang dilakukan oleh orang Islam dengan berada di dalam masjid dengan tujuan beribadat kepada Allah ‎ﷻ. Dilakukan dalam 10 hari (siang malam) terakhir bulan Ramadhan.

Tujuan iktikaf adalah untuk beribadat. Ini bermakna iktikaf tidak boleh dilakukan di rumah. Hanya dilakukan di masjid kerana waktu itu kita hanya beribadat sahaja – antaranya salat dan salat kena buat secara berjama’ah. Itu kena dilakukan di masjid.

Ibadat semasa berada dalam iktikaf itu boleh jadi macam-macam – zikir, salat, baca Al-Qur’an dan sebagainya. Kalau penat, boleh tidur.

Waktu itu tidak boleh ada hubungan kelamin dengan isteri-isteri. Kalau kita sedang iktikaf, tidak boleh balik rumah sekejap untuk bersama dengan isteri.

Daripada ayat ini, kita dapat tahu bahawa iktikaf itu dilakukan di masjid, bukan di rumah. Kita memang tahu ada pendapat daripada Imam Abu Hanifah رحمه الله yang mengatakan perempuan boleh iktikaf di ruang rumah mereka, tetapi daripada ayat ini, dengan jelas mengatakan yang iktikaf itu di masjid. Maka pada lelaki, hendaklah iktikaf di masjid.

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ

Itulah dia batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah;

Allah ‎ﷻ yang telah tetapkan, bukan orang lain. Maka kenalah ikut. Begitulah dengan hukum dalam agama, kena dapatkan nas daripada Allah ‎ﷻ yang disampaikan melalui Rasul-Nya.

Hudud ada dua jenis: satu, yang menyekat yang luar daripada masuk. Ini adalah larangan-larangan yang Allah ‎ﷻ telah tetapkan – yang haram. Kita tidak dibenarkan langsung melakukannya.

Yang kedua adalah menyekat yang dalam daripada keluar. Itu adalah arahan-arahan Allah ‎ﷻ. Ini kena buat.

فَلَا تَقْرَبُوهَا

jangan kamu hampirinya;

Jangan fikir pun hendak buat. Jangan fikir pun langsung untuk buat perkara-perkara yang dilarang oleh Allah ‎ﷻ.

كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنَّاسِ

Demikianlah Allah telah menjelaskan tanda-tanda-Nya kepada manusia;

Allah ‎ﷻ kata ‘kepada manusia’, bukan kepada orang Islam sahaja. Hendak diberitahu kepada semua manusia bahawa beginilah cara untuk berpuasa. Termasuk kepada Ahli Kitab. Hendak diberitahu kepada mereka bahawa inilah cara berpuasa yang sepatutnya. Bukan macam yang mereka lakukan sekarang.

لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

mudah-mudahan mereka bertaqwa.

Seperti telah disebutkan di awal suruhan berpuasa, tujuannya adalah supaya kita boleh mendapat taqwa. Sekarang, di hujung ayat tentang puasa, diingatkan kembali tentang taqwa.

Sebelum ini telah disebut bahawa ayat ini untuk semua manusia. Semoga yang bukan Islam pun masuk Islam juga akhirnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan