Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 1)

Tafsir Surah Al- Baqarah: Tafsir Ayat Ke-187 (Bahagian 1)

707
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-187

Pada zaman Nabi ﷺ, Yahudi berpuasa bermula dari malam hari. Tidak boleh makan, sampailah esoknya. Maknanya, mereka berpuasa hampir 24 jam. Sekali sahaja makan dalam sehari semasa berpuasa.

Mereka juga tidak boleh berjimak dengan isteri mereka semasa mereka berpuasa. Tidak diketahui sama ada itu adalah syari’at mereka, atau hukum yang mereka telah ubah daripada asalnya.

Maka, sekarang Allah ‎ﷻ memberitahu kepada umat Islam bahawa ada perubahan daripada apa yang mereka amalkan dengan apa yang Allah ‎ﷻ suruh kita buat. Sebelum ini banyak yang Allah ‎ﷻ telah bezakan amalan kita dengan Ahli Kitab. Kali ini tentang ibadat puasa pula.

أُحِلَّ لَكُم لَيلَةَ الصِّيامِ الرَّفَثُ إِلىٰ نِسائِكُم ۚ هُنَّ لِباسٌ لَّكُم وَأَنتُم لِباسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُم كُنتُم تَختانونَ أَنفُسَكُم فَتابَ عَلَيكُم وَعَفا عَنكُم ۖ فَٱلـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَابتَغوا ما كَتَبَ اللَّهُ لَكُم ۚ وَكُلوا وَاشرَبوا حَتّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الخَيطُ الأَبيَضُ مِنَ الخَيطِ الأَسوَدِ مِنَ الفَجرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيامَ إِلَى اللَّيلِ ۚ وَلا تُبَـٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُم عَـٰكِفُونَ فِى ٱلمَسَـٰجِدِ‌ ۗ تِلكَ حُدودُ اللَّهِ فَلا تَقرَبوها ۗ كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ ءَايَـٰتِهِۦ لِلنّاسِ لَعَلَّهُم يَتَّقونَ

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ

Dihalalkan kepada kamu pada malam puasa itu;

Perkataan ‘halal’ daripada segi bahasa bermaksud merungkaikan sesuatu yang terikat sebelum itu. Apabila digunakan lafaz أُحِلَّ, ini menunjukkan bahawa sebelum ini ia adalah terlarang. Ini bermakna larangan sebelum itu telah dilepaskan. Sekarang sudah boleh buat.

Malam yang dimaksudkan adalah pada malam hari berpuasa iaitu sebelum esok siangnya berpuasa.

الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ

untuk kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu;

Ada sahabat Nabi ﷺ yang meminta supaya boleh bersetubuh dengan isteri pada malam bulan Ramadhan.

Perkataan الرَّفَثُ berasal daripada perkataan bermaksud ‘tidak berbaju’. Perkataan ini membawa maksud hubungan seksual antara suami isteri. Apa yang boleh dilakukan di antara suami dan isteri di dalam bilik tidur mereka. Sesuatu yang tidak dilakukan di khalayak ramai.

Ia adalah bahasa kiasan. Allah ‎ﷻ tidak sebut setubuh atau ‘seks’ di dalam Al-Qur’an kerana ini adalah adab dan kerana itu Al-Qur’an ini boleh dibaca di mana-mana sahaja kerana ia tidak memalukan. Malah kalau kanak-kanak baca pun boleh.

Hukum ini berlainan dengan semasa melakukan kerja-kerja Haji. Selama melakukan kerja Haji, tidak boleh melakukan hubungan seksual walaupun pada malam hari.

Hukum berpuasa sebelum turunnya ayat ini adalah berlainan. Ada perubahan hukum selepas masa berlalu. Hukum dahulu: selepas salat Isyak, tidak boleh makan dan minum dan tidak boleh melakukan hubungan seksual suami isteri. Mereka kena tahan sampailah ke waktu Maghrib esoknya.

Ini tentunya sesuatu yang susah. Itulah sebabnya sebelum itu, diberikan pilihan kepada mereka yang mampu, untuk tidak berpuasa – mereka boleh terus bayar fidyah kerana puasa waktu itu adalah sesuatu yang amat sukar kalau dibandingkan dengan sekarang.

Sekarang baru kita faham kenapa pilihan itu diberikan kepada umat waktu itu. Apabila puasa dimudahkan, pilihan fidyah itu tidak diberikan lagi.

Ada satu kisah dalam hadith bagaimana seorang sahabat yang bekerja sebagai petani. Apabila dia pulang untuk berbuka, makanan waktu itu tiada. Isterinya kena cari dahulu. Oleh kerana penat menunggu isterinya pulang, sahabat itu telah tertidur.

Sampailah malam hari dan waktu itu tidak boleh makan dan minum lagi (hukum pada waktu itu). Waktu itu juga tidak ada sahur. Maka, keesokannya, dia telah pengsan kerana kelaparan sangat. Perkara itu telah disampaikan kepada Nabi ﷺ.

Ada satu lagi kisah Saidina Umar رضي الله عنه. Beliau memberitahu kepada Nabi ﷺ bahawa beliau pulang ke rumah untuk menyetubuhi isterinya tetapi isterinya telah tidur dan itu menyusahkan beliau. Maka, ada lagi sahabat-sahabat lain yang menyuarakan perkara yang sama. Maka, hukum yang baru ini telah diturunkan.

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ

Isteri-isteri kamu itu pakaian bagi kamu

Lelaki dibenarkan untuk bersetubuh dengan isterinya. Apakah dimaksudkan yang isteri-isteri itu sebagai pakaian untuk suami mereka?

وَأَنْتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ

dan kamu adalah juga pakaian bagi isteri kamu;

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘pakaian’? Apa yang menjadikan kita cantik dan sampai membolehkan keluar rumah adalah pakaian kita.

Ia adalah juga satu kegunaan untuk memberikan kita keselesaan. Kalau sejuk, tentunya kita memerlukan pakaian.

Pakaian juga menutup aurat kita.

Pakaian juga rapat sangat dengan kita. Begitu juga dengan pasangan kita. Pasangan kita melengkapkan kita. Amat rapat dengan kita. Mereka menjadi sebahagian daripada kita. Oleh itu, pasangan kita sepatutnya mencantikkan akhlak kita dan memelihara kita daripada perkara yang buruk.

Kita boleh rasa ketenangan itu apabila kita sudah berkahwin. Kita sudah tidak nakal lagi. Kita akan rasa lebih tenang. Kalau kita nampak orang lain yang merangsang nafsu kita, kita boleh menyelesaikan keinginan itu dengan suami isteri kita. Banyak nikmat apabila kita sudah kahwin, bukan ini sahaja. Sebab itulah Nabi ﷺ menyuruh umatnya berkahwin segera.

Pakaian juga menutup kekurangan dan keburukan tubuh badan kita. Begitu juga suami isteri kena menjaga nama baik pasangan masing-masing. Janganlah jadi seperti orang perempuan yang apabila mereka bersama-sama dengan kawan-kawan mereka berborak, mereka menceritakan tentang keburukan suami mereka bersama rakan-rakan mereka. Ini adalah amat salah sekali.

Sepatutnya mereka menutup keburukan itu daripada dinampakkan kepada khalayak ramai, tetapi mereka pula yang menceritakan kepada orang lain. Itu sudah terbalik. Itu sudah memalukan suami mereka.

Sama juga dengan suami, tidak boleh buat begitu berkenaan isteri-isteri mereka. Bayangkan kalau ada orang yang mengata baju yang kita pakai itu buruk, tentunya kita marah dan akan terasa. Kita pun tidak suka. Sebab itulah kita keluar dengan memastikan pakaian kita kemas, kita seterika pakaian kita kerana pakaian itu adalah imej kita. Begitulah juga dengan pasangan kita, mereka membayangkan imej kita sebenarnya.

Sama juga, jangan cakap buruk tentang suami isteri kita depan anak-anak kita. Kalau kita buat begitu, maka anak-anak itu akan membesar dengan tidak suka kepada ayah atau ibu mereka. Itu sudah memburukkan keadaan keluarga mereka sendiri.

Ada ramai yang berfikiran salah begitu. Inilah keindahan Islam kerana Islam meletakkan perkahwinan sebagai satu keperluan dalam agama. Tidak seperti agama lain seperti Kristian dan Hindu yang menyuruh ahli-ahli agama mereka untuk tidak berkahwin.

Seperti juga kita menjaga pakaian kita, kita kena pandai menjaga pasangan kita. Supaya pakaian itu tahan lama, kita kena tahu cara hendak jaga pakaian itu. Sama juga dengan pasangan kita. Untuk kekal lama berpasangan, kita kena jaga perhubungan itu. Seperti juga kita kena pandai memilih pakaian kita sebelum kita pakai, kita juga kena pandai memilih pasangan yang sesuai untuk kita sebelum kita kahwini mereka.

Lihatlah bagaimana ayat ini pendek sahaja, namun banyak sekali pengajaran yang kita boleh ambil daripadanya. Itulah pentingnya belajar tafsir supaya kita mendapat pengajaran-pengajaran seperti ini.

Oleh itu, suami dan isteri itu amat rapat antara satu sama lain. Mereka tinggal bersama dan makan bersama dan macam-macam lagi. Oleh itu, amat susah kalau sepanjang bulan puasa itu mereka tidak boleh mengadakan hubungan seksual. Kalau sentiasa bersama, tiba-tiba tersentuh, susah pula nanti.

عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَخْتَانُونَ أَنْفُسَكُمْ

Allah Maha Mengetahui bahawasanya kamu telah mengkhianati diri-diri kamu;

Perkataan تَخْتَانُونَ diambil daripada kata dasar خ و ن yang bermaksud ‘khianat’, menipu. Apabila ada huruf ت yang berada di tengah perkataan تَخْتَانُونَ itu, ianya membawa maksud ‘sangat-sangat khianat’. Iaitu apabila seseorang telah memberikan amanah kepada kita, tetapi kita tidak menjaganya dengan baik iaitu apabila kita menipu dalam menjaga amanah itu.

Merujuk kepada tidak melakukan tugas yang telah diamanahkan. Sebagai contoh, seorang guru suruh kita membaca buku tujuh kali tetapi kita tidak melakukannya.

Ada sahabat yang tidak dapat menahan nafsu, mereka berpuasa pada siang hari, tetapi pada waktu malam puasa pun mereka telah melakukan hubungan kelamin dengan isteri mereka. Mereka dahulu mengamalkan puasa macam Yahudi juga – tidak boleh mencampuri isteri di malam hari. Tetapi oleh kerana tidak dapat tahan, maka mereka buat juga. Maknanya, mereka melanggar hukum (khianat).

Selalunya orang yang melakukan khianat itu akan kata perkara yang mereka lakukan itu tidak salah. Mereka memperkecilkan kesalahan yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ kata Allah ‎ﷻ tahu apa yang manusia buat walaupun mereka buat dalam senyap atau di malam hari. Apa sahaja yang kita lakukan pasti diketahui oleh Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ kata mereka mengkhianati ‘diri’ mereka sendiri. Mereka sangka mereka mengkhianati Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya mereka mengkhianati diri mereka sendiri. Mereka menipu orang lain dengan menunjukkan diri mereka baik. Depan orang lain, mereka berlakon baik tetapi sebenarnya mereka menipu diri mereka sendiri kerana mereka tidak perasan bahawa mereka yang akan menerima akibatnya, bukan orang lain.

فَتَابَ عَلَيْكُمْ

maka Allah terima taubat kamu

Allah ‎ﷻ telah menerima taubat mereka dan kemudian Allah ‎ﷻ membenarkan mereka mencampuri isteri-isteri mereka pada malam hari. Allah ‎ﷻ telah menukar hukum yang sebelum itu dengan memberi hukum yang baru.

وَعَفَا عَنْكُمْ

dan memaafkan kamu;

Allah ‎ﷻ memaafkan kesalahan mereka dahulu. Maka dengan kerana perbuatan sahabat itu, sampai sekarang kita dibenarkan untuk menggauli isteri kita pada malam hari puasa itu. Namun kita kena sedar, jangan kata teruk sangat sahabat itu kerana bukan semua sahabat buat begitu. Hanya beberapa orang sahaja.

Kita juga kena ingat bahawa apa yang mereka lalui itu adalah perkara yang susah, kalau kita pun lagi tidak tahan. Jangan kita sangka para sahabat itu adalah orang yang teruk. Jangan begitu. Kita kena sedar bahawa mereka itu adalah insan terpilih yang Allah ‎ﷻ telah pilih untuk menjadi sahabat Nabi ﷺ. Apa yang mereka lakukan menjadi contoh bagi kita. Kalau mereka tidak buat salah langsung, bagaimana kita akan tahu apakah kesalahan-kesalahan dalam Islam?

Allah ‎ﷻ telah memaafkan mereka. Ada pendapat yang mengatakan tidak ada kesalahan pun kalau bersama dengan isteri di malam hari. Ia hanya direka oleh orang Yahudi. Jadi kalau begitu, kenapa Allah ‎ﷻ memaafkan mereka yang mencampuri isteri mereka di malam hari padahal bukan buat salah pun?

Yang tidak membenarkan mencampuri isteri di malam hari adalah Yahudi dan bukan benar pun apa hukum yang mereka tetapkan itu. Tetapi Allah ‎ﷻ kata Dia telah memaafkan kerana pada mereka, mereka telah buat salah. Jadi mereka rasa bersalah. Pada diri mereka, mereka telah menipu. Perasaan mereka walaupun salah, Allah ‎ﷻ sudah maafkan.

Sudahlah Allah ‎ﷻ ampunkan, tetapi Allah ‎ﷻ maafkan lagi. عَفَا bermaksud memaafkan dalam sifat kasih sayang.

Bersambung..

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan