Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 1)

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-185 (Bahagian 1)

1022
0
Iklan

Tafsir Ayat Ke-185

Ayat berkenaan Puasa dalam bulan Ramadhan. Kita sudah masuk ke dalam bahagian hukum-hakam yang ada dalam Surah Baqarah.

شَهرُ رَمَضانَ الَّذي أُنزِلَ فيهِ ٱلقُرءَانُ هُدًى لِّلنّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الهُدىٰ وَالفُرقانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهرَ فَليَصُمهُ ۖ وَمَن كانَ مَريضًا أَو عَلىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّن أَيّامٍ أُخَرَ ۗ يُريدُ اللَّهُ بِكُمُ اليُسرَ وَلا يُريدُ بِكُمُ العُسرَ وَلِتُكمِلُوا العِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلىٰ ما هَدَٮٰكُم وَلَعَلَّكُم تَشكُرونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, Kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.
شَهْرُ رَمَضَانَ
Bulan Ramadhan itu

Ini adalah penjelasan tentang lafaz أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ (beberapa hari yang ditentukan) dalam ayat sebelum ini. Jadi, hari-hari yang dimaksudkan adalah sebulan Ramadhan.

Bulan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah bulan Qamariah – yang orang kita selalu sebut ‘bulan Islam’.

Dari perkataan syahru itu datangnya perkataan isytihar, iaitu isytihar masuk bulan yang baru. Masuk bulan yang baru akan dapat diketahui dengan melihat kepada ‘anak bulan’ – dinamakan Hilal.

Itulah sebabnya setiap kali hendak memulakan bulan puasa dan hari raya, akan ada petugas yang akan meneropong melihat anak bulan dan di negara ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan/isytihar bilakah masuk Ramadhan dan bilakah Hari Raya.

Ramadhan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Qamariah. Ia adalah satu-satunya nama bulan yang disebut dalam Al-Qur’an. Bulan-bulan lain tidak disebut. Itulah satu keistimewaan bulan Ramadhan ini.

Daripada segi makna, Ramadhan bermaksud ‘cuaca yang panas’, ‘panggang’, ‘tanah yang panas’. Semasa bangsa Arab memberi nama kepada nama-nama bulan, waktu nama bulan Ramadhan diberi, waktu itu adalah waktu yang amat panas.

Daripada segi hikmahnya, dikatakan apabila bulan Ramadhan, dosa orang yang berpuasa ‘dipanggang’ – atau dibakar hingga tiada lagi dosanya.

الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ ٱلقُرءَانُ
adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Qur’an;

Iaitu dikatakan pada 17 Ramadhan. Namun ini pun tidaklah ulama’ sepakat tentang tarikhnya.

Allah ‎ﷻ mengingatkan kita tentang Al-Qur’an dalam Ramadhan. Kita kena ingat bahawa Ramadhan adalah ‘bulan Al-Qur’an’. Sebab itu Allah ‎ﷻ banyak menceritakan tentang Al-Qur’an dalam ayat-ayat tentang Ramadhan ini.

Al-Qur’an diturunkan dalam bulan Ramadhan. Oleh sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan untuk meraikannya. Ini menunjukkan kepentingan Al-Qur’an itu.

Apakah yang dimaksudkan ‘diturunkan Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan’? Satu pendapat mengatakan, ia adalah hari diturunkan Al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah.

Pendapat kedua mengatakan, bulan Ramadhan itu adalah permulaan proses diturunkan Al-Qur’an yang berperingkat-peringkat itu.

Proses penurunan Al-Qur’an itu mengambil masa hampir 23 tahun. Bermula pada hari Nabi ﷺ berada di Gua Hira’ dan waktu itu adalah bulan Ramadhan.

Waktu itu tidak ada syariat berpuasa dalam bulan Ramadhan lagi. Oleh kerana ia bermula dari bulan Ramadhan, maka sebab itulah kita berpuasa dalam bulan Ramadhan.

Oleh kerana itu, bulan Ramadhan adalah bulan untuk kita melipatgandakan usaha untuk membaca dan mempelajari Al-Qur’an. Hendaklah kita banyak baca Al-Qur’an dan belajar tafsir. Hendaklah kita mentadabbur ayat-ayat Al-Qur’an.

Kalau luar Ramadhan pun memang sudah kena belajar, malah dalam bulan Ramadhan kena banyak lagi membaca dan mentadabbur Al-Qur’an.

Sebab itu kita boleh lihat banyak umat Islam akan baca Al-Qur’an bulan Ramadhan ini. Memang lagi senang hendak baca Al-Qur’an dalam bulan Ramadhan kerana syaitan pun tidak ada. Rasa macam senang sahaja hendak baca Al-Qur’an dalam bulan puasa, bukan?

Selalunya, masyarakat Islam akan mengambil peluang bulan Ramadhan ini untuk khatam satu Al-Qur’an. Mereka akan baca satu juz Al-Qur’an sehari.

Namun kita hendak sampaikan di sini, bukan hanya baca sahaja Al-Qur’an, tetapi hendaklah kita memahami apa yang hendak disampaikan Allah ‎ﷻ dalam Al-Qur’an itu. Maka, hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an juga. Jangan kita baca-baca kosong sahaja.

هُدًى لِّلنَّاسِ
Ia adalah petunjuk bagi semua manusia;

Al-Qur’an itu adalah petunjuk kepada semua manusia, tidak kira sama ada orang kafir atau orang Islam. Namun orang Islam sahaja yang hendak mengambil pengajaran.

Ini adalah satu tempelak lagi kepada bangsa Yahudi. Pada mereka, kalam Allah ‎ﷻ (Taurat) hanya untuk mereka tetapi kita lihat dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ memberikan Al-Qur’an kepada seluruh manusia.

Apabila dikatakan bahawa Al-Qur’an itu adalah untuk ‘semua manusia’, maka ia menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan Al-Qur’an kepada mereka. Hendaklah kita berdakwah kepada orang bukan Islam juga. Hendaklah kita menyampaikan ayat-ayat Allah ‎ﷻ ini kepada mereka.

Inilah wadah dakwah yang patut digunakan. Namun, malangnya kita tidak melakukan begitu. Macam-macam dakwah kita lakukan, tetapi bukan dengan menggunakan Al-Qur’an. Macam kita malu pula hendak sampaikan Al-Qur’an kepada orang bukan Islam.

Al-Qur’an itu bermanfaat kepada orang kafir sekalipun. Contohnya, ada yang belajar Al-Qur’an walaupun mereka orang kafir. Contohnya pelajar universiti yang belajar Pengajian Islam tetapi mereka tidak mendapat manfaat keseluruhannya. Mereka belajar hanya untuk mendapatkan sijil sahaja.

Ada juga manusia yang sudah mendapat هُدًى – petunjuk, tetapi mereka tidak mendapat ‘taufiq’. Taufiq ialah kekuatan yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ untuk menjalankan atau mengamalkan hidayah yang mereka telah terima. Berapa ramai yang telah mendapat hidayah, tetapi mereka tidak beramal dengannya?

Sebab itulah kita selalu mendengar orang yang berdoa: ‘semoga kita mendapat taufiq dan hidayah’. Ini kerana tidak cukup sebenarnya dengan mendapat hidayah sahaja. Kita kena juga mendapat dan mengharap taufiq daripada Allah ‎ﷻ juga.

وَبَيِّنَـٰتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ

dan berbagai-bagai contoh petunjuk di dalamnya yang jelas;

Al-Qur’an ini adalah kitab yang ada hidayah bagi sesiapa yang mengamalkannya.

Perkataan بَيِّنَاتٍ juga bermaksud ‘bukti’. Banyak pengajaran dan ilmu yang disampaikan dalam Al-Qur’an itu. Itu semua adalah hidayah daripada Allah ‎ﷻ. Selain daripada itu, Al-Qur’an juga memberikan bukti-bukti kebenaran.

Seperti juga kalau kita menyampaikan sesuatu, orang akan minta bukti kepada kita. Maka, begitu juga Al-Qur’an. Tidak hanya Al-Qur’an menyampaikan ilmu, tetapi diberikan juga bukti di dalamnya. Untuk menjelaskan lagi kebenaran itu.
وَالْفُرْقَانِ
dan pembeza;

Al-Qur’an membezakan yang haq dan batil. Kalau ustaz yang mengajar tidak tahu membezakan yang haq dan batil, maka itu adalah satu kerugian dalam agama.

Seorang yang mengajar agama itu sepatutnya kena tahu apa yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat. Dia kena beritahu yang boleh dibuat dan yang tidak boleh dibuat kepada masyarakat dan anak muridnya.

Namun malangnya, banyak guru agama hanya ceritakan tentang apa yang elok dibuat sahaja. Apabila cerita tentang syirik, mereka beri contoh sembah berhala sahaja.

Kalau macam itu, ramai dalam kalangan umat Islam tidak terasa pun kena batang hidung mereka sendiri. Mereka akan rasa bahawa mereka terselamat daripada mengamalkan syirik.

Namun pada hakikatnya, banyak orang kita yang mengamalkan syirik tanpa disedari. Itu adalah kerana mereka tidak diberitahu bahawa perbuatan yang mereka buat itu ada yang syirik. Mereka tidak tahu kerana tidak disampaikan oleh guru agama mereka.

Apabila kita tidak memberitahu kepada anak murid tentang apakah yang salah, ia tidak cukup. Ia seperti mengajar seseorang bagaimana memandu kereta tetapi tidak mengajar apa perkara yang tidak boleh dibuat.

Tidak diajar kepada mereka tentang jalan sehala, “no entry”, lampu kuning, lampu merah dan sebagainya. Oleh sebab itu, mereka tahu bawa kereta tetapi mereka akan kemalangan sebab tidak diajar lengkap kepada mereka.

Tetapi, ustaz-ustaz, pendakwah-pendakwah, ulama’-ulama’ takut hendak beritahu kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat. Sebab mereka takut anak murid dan pendengar ceramah mereka marah dengan mereka.

Apabila mereka marah, mereka sudah tidak datang kuliah mereka. Mereka sudah tidak mempunyai ramai pengikut. Bila sudah tidak ramai pengikut, mereka tidak dapat habuan sumbangan anak-anak murid itu.

Itu sebenarnya yang mereka takut. Maka, berterusanlah anak-anak murid dan masyarakat dalam membuat kesalahan-kesalahan setiap hari.

Dalam negara ini, senang sangat ajaran sesat hendak masuk. Sebab ajaran sesat tidak halang, tidak tegur perbuatan salah masyarakat. Mereka cuma ‘tambah’ sahaja amalan yang baru.

Namun, apabila puak sunnah tegur kesalahan yang dilakukan masyarakat, maka melentinglah mereka. Sebab pada mereka, cakaplah apa sahaja, tetapi jangan tegur kesalahan mereka.

Maka, kalau cakap Majlis Tahlil itu salah, talqin itu tidak ada dalam Islam, Salat Hajat berjama’ah itu pun tidak ada, dan macam-macam lagi, maka akan marahlah masyarakat.

Perkataan الْفُرْقَانِ itu bermaksud membezakan yang hak dan yang batil. Yang benar dan yang salah. Apabila belajar tafsir Al-Qur’an dan faham Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat membezakan mana yang salah dan mana yang benar.

Lihatlah bagaimana perkataan الْفُرْقَانِ ini disebut selepas disebut ‘hidayah’. Oleh itu, kita dapat tahu, untuk mendapat الْفُرْقَانِ , kita kena mendapat hidayah terlebih dahulu.

Tidak perlu Al-Qur’an beritahu semua sekali kerana tidak cukup satu naskah Al-Qur’an kalau hendak cerita semua kesalahan yang manusia lakukan.

Maka, Al-Qur’an memberikan ‘formula’ mana yang salah dan mana yang benar. Supaya mereka yang faham, dapat menggunakan formula itu untuk menilai sama ada amalan atau sesuatu fahaman itu betul atau salah.

Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an, disuruh kita berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak berkata buruk kepada mereka, walau dengan kata: “uff”. Namun tidak disebut jangan pukul mereka, jangan tengking mereka.

Itu semua walaupun tidak disebut, tetapi daripada apa yang sedikit yang telah diberitahu dalam Al-Qur’an, kita sudah dapat membezakan mana yang elok dibuat dan mana yang elok ditinggalkan. Semua ini akan dapat diketahui kalau belajar tafsir Al-Qur’an dan belajar Sunnah dengan cara yang betul.

Sebagai contoh lagi, kalau sudah mula belajar tafsir Al-Qur’an, seseorang itu sudah dapat menilai apakah yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar sekarang. Mereka sudah mula dapat rasa ada yang tidak kena dengan apa yang disampaikan itu.

Tetapi oleh kerana baru belajar, mungkin mereka tidak pasti manakah yang salah. Namun mereka sudah dapat rasa ada yang tidak kena. Maka, mereka akan senang untuk mencari jawapan kepada apa yang dimusykilkan itu.

Mendekatkan diri dengan Al-Qur’an:

Ayat tentang Al-Qur’an ini disampaikan kepada umat Islam. Tentulah mereka sudah tahu bahawa Al-Qur’an itu:

– penyampai hidayah
– bukti yang nyata
– pembeza antara hak dan batil.

Tetapi Allah ‎ﷻ sebut juga dalam Al-Qur’an ini sebagai peringatan kepada umat Islam kerana Allah ‎ﷻ hendak kita melihat Al-Qur’an itu sebagai satu yang baru. Setiap tahun, apabila datang bulan Ramadhan, kita memperbaharui pemahaman kita tentang Al-Qur’an. Kita lihat Al-Qur’an dengan kaca mata yang lain. Yang lebih lagi daripada tahun-tahun yang lepas. In Sha Allah.

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ

Maka sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan

Sebelum ini hanya diwajibkan tiga hari sahaja berpuasa dalam sebulan. Kali ini, bilangan hari yang diwajibkan adalah sebulan. Bulan Ramadhan itu dimulakan dengan melihat anak bulan. Apabila nampak anak bulan itu, maka itu adalah tanda bahawa bulan Ramadhan sudah bermula.

Nampak anak bulan itu pun kepada sesiapa yang berada di mukimnya. Kita tidak boleh ikut negara lain yang jauh daripada kita kerana seperti juga waktu salat tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain, begitu juga dengan permulaan bulan Ramadhan.

Sebagai contoh, kalau di negara Jepun sudah nampak anak bulan, belum tentu satu dunia sudah boleh mula puasa. Kena lihat sama ada anak bulan nampak di kawasannya juga. Kerana perbezaan inilah yang menyebabkan kadangkala kita puasa tidak sama dengan Arab Saudi, contohnya.
فَلْيَصُمْهُ

maka hendaklah dia berpuasa (pada bulan itu);

Nampak anak bulan adalah tanda untuk memulakan puasa pada bulan Ramadhan. Ada satu hadith di mana sahabat-sahabat tidak nampak anak bulan. Kemudian datang seorang lelaki yang kata dia nampak anak bulan. Nabi ﷺ tidak mengenal lelaki itu tetapi Nabi ﷺ tanya sama ada dia Muslim atau tidak. Apabila lelaki itu telah bersyahadah sebagai tanda dia seorang Muslim, maka Nabi ﷺ menyuruh semua sahabat berpuasa.

Tetapi kita sekarang, tidak dapat mencapai kata sepakat untuk berpuasa pada hari yang sama. Satu negara dengan negara lain yang berdekatan pun kadang-kadang memulakan puasa pada hari yang berlainan. Ini terjadi kerana kekufuran yang menyeluruh sampaikan Allah ‎ﷻ tidak menjalinkan hati-hati kita semua.

Kalau negara lain berdekatan sudah nampak, kadang-kadang kita masih tidak berpuasa juga. Padahal anak bulan itu adalah anak bulan yang sama juga. Maknanya, tiada ukhuwah antara negara-negara kita.

Ini bergantung kepada ilmu falak dan memerlukan keputusan dari kerajaan.

(Bersambung)

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan