Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 12: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Membaca Selawat Ketika Makan...

BAB 12: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Membaca Selawat Ketika Makan Ubat

782
0
Iklan

Kita sering mendengar petua yang masyhur iaitu jika hendak memakan ubat, maka kita diajar atau digalakkan untuk membaca selawat dahulu. Ini jugalah amalan dukun-dukun dan para pengamal perubatan alternatif membaca selawat terlebih dahulu sebelum berubat kepada pesakit mereka.

Amalan ini tidak sahih dan tidak pernah dianjurkan kerana bertentangan dengan apa yang telah diajarkan oleh Nabi ﷺ iaitu membaca basmallah.

ذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فَإِنْ نَسِىَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِى أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

“Apabila salah seorang di antara kalian makan, maka hendaklah dia menyebut nama Allah ﷻ. Jika dia terlupa untuk menyebut nama Allah ﷻ di awal, hendaklah dia mengucapkan: “Bismillaahi awwalahu wa aakhirohu (dengan nama Allah pada awal dan akhirnya).” (HR. Abu Daud no. 3767 dan at-Tirmidzi no. 1858. At-Tirmidzi mengatakan hadith tersebut hasan sahih. Syaikh al-Albani mengatakan bahawa hadith tersebut sahih)

كُلُّ أَمْرٍ ذِيْ بَالٍ لاَ يُبْدَأُ فِيْهِ بِـ : بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ فَهُوَ أَبْتَرُ

“Setiap perkara penting yang tidak dimulai dengan ‘bismillahirrahmanir rahiim’, amalan tersebut terputus berkatnya.” (HR. Al-Khatib dalam Al-Jami’, daripada jalur ar-Rahawai dalam al-Arba’in, as-Subki dalam Tabaqathnya)

Kenapa mereka menyarankan membaca selawat sebelum makan ubat?

Amalan ini dipercayai ada kaitan dengan amalan tawassul dengan Nabi ﷺ yang berkeyakinan bahawa Nabi ﷺ adalah juga syifa’ atau penyembuh kepada penyakit. Maka ini adalah salah satu jarum halus daripada talbis iblis untuk mensyirikkan manusia dengan Allah ﷻ.

Sebenarnya ada 13 tempat atau keadaan sahaja yang disarankan untuk berselawat:

  1. Ketika tasyahhud 
  2. Ketika menjawab azan dan selepas azan
  3. Hari Juma’at
  4. Setiap pagi dan petang
  5. Ketika dalam majlis
  6. Ketika menyebut nama Baginda ﷺ
  7. Ketika berdoa
  8. Ketika masuk dan keluar masjid
  9. Ketika salat jenazah
  10. Ketika berada di pusara Baginda ﷺ
  11. Ketika selesai membaca qunut witir
  12. Ketika salat hari raya
  13. Ketika meninggalkan majlis

Maka secara kesimpulannya, tidak ada dalil yang menjadi sandaran untuk berselawat ketika hendak memakan ubat dan ketika hendak berdukun atau berubat pesakit. 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan