Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 10 & 11: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Majlis Tahlil...

BAB 10 & 11: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Majlis Tahlil & Kenduri Arwah

987
0
Iklan

Majlis Tahlil

Tahlil berasal daripada kalimah Arab هَلَّلَ يُهَلِّلُ تَهْلِيْلًا bermaksud mengucap kalimah لاإله إلا الله.

Menurut istilah seperti yang disebut di dalam kitab Tahlilan Dalam Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah oleh KH. Mahyudin Abdus-Shomad ialah bersama-sama mengucapkan kalimah toyyibah dan berdoa bagi orang yang sudah meninggal dunia.

Menurut pemahaman masyarakat Melayu kita pula ialah himpunan zikir yang terkandung di antaranya surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan, selawat ke atas Nabi ﷺ, bacaan tahlil ( لا إله إلا الله ) serta bacaan lain lagi dan diakhiri dengan doa selamat kepada si mati.

Dalam huraian di atas dapat kita fahami dan simpulkan bahawa tahlil bukan sahaja mengucap kalimah لا إله إلا الله, tetapi juga membaca surah-surah pilihan, ayat-ayat pilihan dan lain-lain lagi daripada kalimah toyyibah. Seterusnya didoakan kepada Allah untuk si mati agar dirahmati dan diberi segala kebaikan.

 

Kenduri Arwah

Menurut Kamus Dewan, kenduri arwah diertikan kenduri untuk memperingati (mendoakan) orang yang telah meninggal dunia. Majlis kenduri arwah dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dan mengadakan jamuan di rumah si mati.

Seperti yang kita sedia maklum, apabila berlaku kematian di dalam masyarakat Melayu kita, keluarga si mati akan mengadakan kenduri (kenduri arwah) yang mana sebelum jamuan dihidangkan, bacaan tahlil akan dibacakan oleh jemaah yang hadir secara beramai-ramai.

Kebiasaannya majlis ini diadakan sama ada pada hari kematian, di hari ke-2, ke-3, ke-7, ke-40 dan ke-100. Bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau terlalu mengagungkan si mati malah mengadakannya setahun sekali (Hauliah atau Hol), khususnya menjelang bulan Ramadhan atau hari perayaan tertentu.

 

Pendapat asal dalam Mazhab Syafi’iy

Antara petikan daripada kitab-kitab syafi’iyyah:

Di dalam kitab I’anat at-Talibin (juzuk 2, halaman 146) tercatit: 

Imam Syafi’iy رحمه الله berfatwa:

ويكره اتخاذ الطعام فى اليوم الأول والثالث وبعد الأسبوع ونقل الطعام الى القبر فى المواسم

“Dan dilarang menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnya selepas seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kubur”

Kitab I’anat at-Talibin adalah kitab karya Asy-Syeikh Al-Imam Abi Bakr Ibnu As-Sayyid Muhammad Syatha Ad-Dimyathiy Asy-Syafi’iy. Kitab ini adalah syarah kepada kitab yang besar juga iaitu Fathul Mu’in karya al-‘Allamah Zaynuddin al-Malibari. Kedua-dua kitab di atas adalah antara kitab utama yang menjadi rujukan pengajian di pondok dan pesantren di nusantara.

Di dalam kitab yang sama iaitu pada jilid 2 halaman 146 dan 147, Imam Syafi’iy رحمه الله juga berfatwa:

وقال ايضا : ويكره الضيافة من الطعام من أهل الميت لأنه شرع فىاسرور وهي بدعة

“Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli keluarga si mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Dan fatwanya lagi:

ومن البدع المنكرة المكرو فعلها ما يفعلها الناس من الوحشة والجمع والأربعين بل كل ذلك حرام

“Antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari ke empat puluh (empat puluh harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Persoalannya, bagaimana para ustaz dan penuntut ilmu di pondok-pondok di nusantara boleh menyembunyikan fakta ini sekian lama yang terdapat di dalam kitab rujukan utama mereka!

 

Asal usul Kenduri Arwah

Perkataan kenduri menurut Kamus Besar Indonesia bererti membuat jamuan makan untuk memperingati sesuatu peristiwa, meminta berkat dan sebagainya. Kenduri atau yang lebih dikenali dengan sebutan selamatan atau kenduren (sebutan kenduri bagi masyarakat Jawa) telah ada sejak dahulu sebelum masuknya agama Islam ke Nusantara.

Para sejarawan berkhilaf tentang sejarah amalan atau budaya kenduri dan ianya ada beberapa versi:

Versi 1: Kenduri berasal daripada selatan India, iaitu Kerala. 

Versi 2: Menurut orientalis Belanda, Snouck Hurgronje, budaya kenduri berasal daripada Syiah kerana mereka banyak mengadakan kenduri kepada Saidina Ali, Fatimah, Husin dan Imam 12 mereka.

Versi 3: Daripada budaya Islam Champa (Indochina) (Muhammad Sholikhin, Ritual dan Tradisi Islam Jawa)

Versi 4: Kenduri atau genduri adalah daripada tradisi agama Hindu menurut kajian “Nilai-nilai Hindu dalam budaya Jawa, serpihan yang tertinggal” karya Ida Bedande Adi Suripto

Versi 5: Kenduri khususnya selamatan arwah adalah ajaran agama Animisma iaitu agama asal di nusantara. Asasnya adalah daripada prinsip roh aktif iaitu kefahaman animisma yang mengajarkan bahawa roh-roh orang yang telah mati tetap hidup bahkan menjadi sakti seperti dewa (Abu Ahmadi, Perbandingan Agama, Jakarta: PT. Rineka Cipta, 1991, halaman 42-46)

قال الإمام أحمد رحمه الله في مسنده

حَدَّثَنَا نَصْرُ بْنُ بَابٍ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ، عَنْ قَيْسٍ، عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ الْبَجَلِيِّ، قَالَ: ” كُنَّا نَعُدُّ الِاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ “

قال المشرف العام على تحقيق المسند الشيخ شعيب الأرنؤوط :حديث صحيح 

Terjemahan:

Daripada Jarir bin Abdullah Al Bajaliy, beliau berkata: “Kami (yakni para sahabat semuanya) memandang atau menganggap (yakni menurut kami para sahabat) bahawa berkumpul-kumpul di tempat ahli mayat dan membuatkan makanan sesudah ditanamnya mayat termasuk sebahagian daripada meratap (niyaahah).” (HR Ibnu Majah no.1612 dan Ahmad dalam al-Musnad, disahihkan oleh Syeikh Syuaib al-Arnaout, Muhaqqiq al-Musnad).

Syarah:

Syeikh Ahmad Abdurrahman al-Banna, di dalam kitabnya Fathurrabbani iaitu tartib musnad Imam Ahmad bin Hambal (8/95-96) :

“Telah sepakat Imam yang empat (Abu Hanifah, Malik, Syafi’i dan Ahmad) atas tidak disukainya ahli mayat membuat makanan untuk orang ramai yang mana mereka berkumpul berdalilkan dengan hadith Jarir bin Abdullah. Dan zahirnya adalah haram kerana meratapi mayat hukumnya haram, sedangkan para sahabat telah memasukkannya (yakni berkumpul-kumpul di rumah ahli mayat) sebahagian daripada meratap dan itu (jelas) haram. 

Maka, apa yang biasa dilakukankan oleh kebanyakan orang sekarang ini iaitu berkumpul-kumpul (di tempat ahli mayat) dengan alasan takziah dan mengadakan penyembelihan, menyediakan makanan, memasang tenda dan permaidani dan lain-lain adalah termasuk dalam pembaziran harta yang banyak dalam seluruh urusan yang bid’ah ini. Mereka tidak maksudkan kecuali untuk bermegah-megah supaya orang-orang memujinya bahawa si fulan telah mengerjakan ini dan itu dan menginfakkan hartanya untuk tahlilan bapanya. Semuanya itu adalah HARAM menyalahi petunjuk Nabi ﷺ dan salafus salih daripada para sahabat dan tabi’in dan tidak pernah diucapkan oleh seorang pun juga daripada Imam-imam Agama (kita).”

Berkata Imam Syafi’iy رحمه الله : “Aku menyukai bagi para jiran tetangga mayat dan sanak saudaranya membuat makanan untuk ahli keluarga mayat pada hari kematiannya dan malam harinya yang sekiranya dapat mengenyangkan mereka, kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah (mengikuti) sunnah (Nabi ﷺ)…. “ (Al-Um I/317).

Maka apa yang dilakukan oleh orang Melayu iaitu berkumpul di rumah kematian pada hari pertama hingga tujuh, kemudian setiap minggu hingga hari ke-40 dan menutup dengan hari ke-100 dengan mengadakan jamuan adalah sesuatu yang menyalahi ijmak sahabat, menyalahi ittifaq 4 mazhab utama ahli sunnah wal jamaah dan menyalahi mazhab Syafi’iy, yakni Imam Syafi’iy رحمه الله sendiri.

Seperti kata Imam Syafi’iy, amalan selamatan arwah atau kenduri arwah adalah bid’ah yang buruk yakni melakukan keterbalikan atau reverse engineering. Maksudnya, kaum salaf membantu ahli keluarga si mati, meringankan beban mereka, menghantar makanan kepada mereka, akan tetapi kaum akhir zaman menukarnya. Mereka yang dilanda kesedihan pula yang terpaksa menjamu masyarakat sekeliling. Maka ia adalah satu pembaziran kewangan, tenaga dan berakhir dengan kemegahan dan riak kerana telah berjaya menjamu orang ramai atas nama si mati.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan