Utama Bilik (101) Fiqh Wanita 1 Soal Jawab: Adab Dan Akhlak Ketika Berniaga Dan Dalam Kehidupan

Soal Jawab: Adab Dan Akhlak Ketika Berniaga Dan Dalam Kehidupan

826
0
Iklan

🔴 Ada orang mengatakan bahawa berniaga itu sunnah. Benarkah?

🔷 Perlu faham kaedah usul sunnah (asas sunnah). Sunnah bermaksud apa sahaja perkara yang mempunyai kaitan dengan Nabi Muhammad ﷺ.
Sunnah ada dua jenis:
1. Sunnah Jibliyah iaitu sunnah yang selari dengan amalan manusia. Hukumnya harus sahaja.
2. Sunnah Syariah iaitu sunnah yang diberatkan kepada umat baginda. Ini hukumnya sunat.

Business (berniaga) itu amalan manusia sejak zaman Nabi Adam a.s lagi. Semua manusia sama ada melakukan aktiviti bertani, berniaga atau bekerja makan gaji adalah menjadi metode (cara) lumrah untuk mendapatkan rezeki. Business sendiri adalah cara untuk mendapatkan rezeki yang paling lumayan.

Pada suatu ketika Nabi Muhammad ﷺ pernah menggembala kambing, pernah juga mengiringi Abu Talib berniaga di Syria dan baginda sendiri pernah berniaga untuk Siti Khadijah. Maka ia cuma sunnah jibliyah. Boleh sahaja umat Nabi Muhammad ﷺ bertani, bekerja makan gaji atau memiliki business sendiri. Itu cuma metode (cara) untuk mendapatkan rezeki bukannya bermaksud orang business sendiri mendapat pahala sunnah. Ia bukan sedemikian.

Contoh sunnah jibliyah adalah seperti makanan sunnah. Nabi Muhammad ﷺ makan labu. Nabi Muhammad ﷺ makan tembikai. Ada peniaga menjaja bahawa siapa yang memakan labu dan tembikai telah mengamalkan sunnah. Ini cuma sunnah jibliyah. Perkara yang harus sahaja dan tidak mendapat pahala sunat.

Contoh sunnah syariah adalah seperti Nabi Muhammad ﷺ sangat memberatkan umat baginda untuk salat berjama’ah lima waktu di masjid. Ini sunnah yang hakiki (sebenar). Siapa yang mengamalkan sunnah ini akan mendapat pahala 27 kali ganda. Akan tetapi orang yang memakan sira labu atau tembikai tidak akan mendapat pahala sunat. Sunnah tetapi cuma sunnah jibliyah. Ia sunnah bagi orang Yahudi dan orang Cina juga. Maksud jibliyah itu yang perlu difahami.


🔴 Apakah hukum bermain kutu emas?

🔷 Bermain kutu adalah haram jika merujuk kepada bank negara. Di sisi agama ia dibenarkan tetapi daripada aspek legal (perundangan negara) ia adalah satu kesalahan. Risiko ditanggung sendiri. Jika chief (ketua) melarikan diri atau tidak bertanggungjawab maka kita akan menanggung kerugian dan tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang.


🔴 Halalkah jika kita memakan makanan yang dibuat menggunakan sumber air tanpa kebenaran? Maksudnya memasang paip air yang disambung terus daripada paip utama kerajaan. Bolehkah makanan tersebut dijual?

🔷 Ini adalah basic morality (asas akhlak). Perkara in berkait dengan fiqh akhlak dan fiqh adab. Mencuri tetap salah. Itu yang kita harus pegang sebagai ilmu asas akhlak. Tiada perbuatan mencuri yang halal.
Dalil:

لعن الله السارق يسرق البيضة فتقطع يده ويسرق الحبل فتقطع يده

Allah melaknat pencuri yang mencuri sebutir telur lalu di lain waktu ia dipotong tangannya kerana mencuri tali. ” (HR. Bukhari no: 6285).

Mencuri adalah kesalahan hudud dan termasuk dalam dosa besar. Perkara ini perlu ditanam di dalam pemikiran kita sebagai umat Islam.

Jabatan bekalan air itu adalah milik kerajaan. Kerajaan pula milik rakyat yang mengundi semasa PRU (Pilihanraya Umum). Maka perbuatan ini adalah mencuri daripada rakyat juga.


🔴 Apakah hukum menjual duit syiling lama dengan harga yang mahal?

🔷 Boleh. Ia sudah termasuk dalam kategori business (perniagaan) barang antik atau vintage.


🔴 Bolehkah kita menjual barang dengan mengambil keuntungan berlipat ganda?

🔷 Boleh. Contohnya barangan antik. Barang-barang keperluan telah pun dikawal oleh pihak kerajaan.


🔴 Apakah berdosa jika tuan tanah mengharamkan hasil tanamannya yang sering dicuri? Pada awalnya dia halalkan sahaja. Namun lama kelamaan dia hilang sabar kerana sudah sampai ke tahap dia lansung tidak dapat merasai hasil tanamannya.

🔷 Itu hak dia. Cuma,
1. Perlu memasang pagar di sekitar kawasan dusun.
2. Meletakkan notis: Pencuri akan didakwa
3. Mengupah spy (pengintip)
4. Memasang CCTV (Closed-circuit Television: Televisyen litar tertutup)


🔴 Tanaman itu berada di dalam kawasan rumah bukan dusun. Hanya pokok mangga sahaja. Sudah pernah memarahi pencuri-pencurinya namun tidak berkesan.

🔷 Jika saya, saya tebang sahaja pokok berkenaan.


🔴 Apakah hukum bagi si penjual jika menjual baju/ pakaian yang berlengan pendek untuk kegunaan di dalam rumah tetapi si pembeli/ pemakai memakainya untuk berjalan-jalan di luar rumah?

🔷 Penjual tidak memikul dosa si pemakai.


🔴 Dalam permainan/ pertandingan yang kalah kena bayar berada di dalam topik apa? Contohnya topik fiqh muamalat atau ada topik yang lain?

🔷 Fiqh sukan dan hiburan di bawah fiqh muamalat.


🔴 Adakah dikira rasuah jika terlibat dalam special test (ujian khas) bagi pelajar sekolah memandu untuk memiliki lesen memandu? Pelajar perlu menambah kos sebanyak RM250 sebagai jaminan untuk lulus ujian memandu.

🔷 Rasuah. Ini melibatkan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Ramai pegawai JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) telah dikenakan tindakan.

Rasuah bermaksud sogokan/ pemberian untuk merubah sesuatu. Apa jua yang menyalahi peraturan SPRM.


🔴 Jiran saya telah lama berniaga air ketum. Sebagai jiran tetangga apakah peranan saya dan adakah saya terbabit berdosa kerana tidak mahu campur/ tegur urusan mereka? Saya mendengar khabar bahawa pihak polis telah datang berjumpa dengan peniaga ini tetapi tiada sebarang tindakan kerana dia masih lagi meneruskan perniagaannya.

🔷 Sama dengan business (perniagaan) rokok. Ketum dan rokok ini satu jenis barang di bawah akta racun. Ada kemungkinan ketum akan legal (menjadi sah) di Malaysia dengan pindaan kepada statusnya nanti. Maka biarkanlah sebagaimana penguasa juga tidak mengambil tindakan kepada penjual rokok.


🔴 Saya hanya ingin tahu daripada segi hukum adakah ia dosa bersubahat kerana kami berjiran sebelah rumah.

🔷 Dosa orang lain kenapa kita perlu risau?
Dalil: Al-Qur’an 53:38

أَلّا تَزِرُ وازِرَةٌ وِزرَ أُخرىٰ

Sesungguhnya seseorang yang boleh memikul dosa tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (melainkankan dosa usahanya sahaja) “ [An-Najm: 38]


🔴 Adakah sebarang cara untuk kita mengesan/ mengetahui jika seseorang itu berniaga menggunakan pelaris? Ada sebuah kedai makan saya nampak banyak benda tergantung di pintu masuk seperti bulu ayam dan kepingan kulit binatang terukir ayat Al-Qur’an. Adakah itu tanda-tanda peniaga memakai/ menggunakan pelaris? Adakah sebarang kesan/ akibat kepada kita jika kita makan di kedai begini?

🔷 Jikalau kita tahu maka kena jauhilah. Perbuatan mungkar, bid’ah dan syirik ini kita perlu lebih sensitif/ peka.
Dalil: ” ..jangan tolong menolong dalam dosa dan perlanggaran syariat.. ” Al-Qur’an 5:2.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تُحِلّوا شَعائِرَ اللَّهِ وَلَا الشَّهرَ الحَرامَ وَلَا الهَديَ وَلَا القَلائِدَ وَلا آمّينَ البَيتَ الحَرامَ يَبتَغونَ فَضلًا مِن رَبِّهِم وَرِضوانًا ۚ وَإِذا حَلَلتُم فَاصطادوا ۚ وَلا يَجرِمَنَّكُم شَنَآنُ قَومٍ أَن صَدّوكُم عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ أَن تَعتَدوا ۘ وَتَعاوَنوا عَلَى البِرِّ وَالتَّقوىٰ ۖ وَلا تَعاوَنوا عَلَى الإِثمِ وَالعُدوانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu melanggar syi’ar-syi’ar Allah, dan jangan melanggar kehormatan bulan-bulan haram, jangan (mengganggu) binatang-binatang had-ya (binatang yang telah ditanda akan disembelih semasa Haji), dan binatang-binatang qalaa-id (binatang yang telah dikalung untuk disembelih), dan jangan (pula) mengganggu orang-orang yang mengunjungi Baitullah sedang mereka mencari kurnia dan keredhaan daripada Tuhannya dan apabila kamu telah menyelesaikan ibadah haji, maka bolehlah berburu. Dan janganlah sekali-kali kebencian(mu) kepada sesuatu kaum kerana mereka menghalang kamu dari Masjidilharam, mendorongmu berbuat aniaya (kepada mereka). Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya. ” [Al-Ma’idah: 2]


Jawapan daripada
Syeikh Tuan Hassan Tuan Lah (THTL)
@FiqhWanitaUito

Komen dan Soalan