Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Kemurungan

Soal Jawab Bersama Doktor: Kemurungan

661
0
Iklan

Soalan:
Apa itu kemurungan?
Jawapan:
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Soalan:
Apa punca kemurungan?
Jawapan:
Punca utama kemurungan adalah personaliti yang suka bersendirian dan jarang bergaul dengan orang lain, yang kedua sebab genetik, yang ketiga ‘substance abuse’. Ia juga berlaku kerana dicetuskan oleh peristiwa-peristiwa luarbiasa seperti kematian orang yang disayangi atau kehilangan sesuatu yang sangat disukai.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami kemurungan, antaranya adalah:

  • Genetik atau keturunan: Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Personaliti diri: Individu dengan personaliti yang selalu gelisah, pendiam serta kurang ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.
  • Trauma ketika kanak-kanak: Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak seperti penderaan fizikal / mental atau kehilangan ibu bapa sewaktu kecil didapati mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Penggunaan dadah atau alkohol.
  • Tekanan hidup: Sejarah hidup yang negatif atau tekanan yang berterusan.
  • Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Bahan kimia utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Selain daripada itu norepinephrine dan dopamine juga turut terlibat. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita.

Soalan:
Apakah tanda-tanda sesorang itu mengalami kemurungan?
Jawapan:
Berikut adalah tanda-tanda dan gejala kemurungan:

• Kesedihan atau “kekosongan” perasaan yang berpanjangan
• Hilang minat atau keseronokan terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti lain yang biasanya mendatangkan keseronokan.
• Cepat rasa letih dan tidak bertenaga
• Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
• Perasaan bersalah
• Rasa diri tidak berguna
• Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur
• Hilang selera makan dan penurunan berat badan
• Percubaan bunuh diri
• Rasa tidak tenteram dan mudah marah
• Kurang daya tumpuan dan ingatan
• Sukar membuat keputusan
• Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman
• Kurang nafsu seksual
• Pergerakan menjadi terhad/ kaku atau menjadi resah gelisah
• Mudah cemas atau fobia

Soalan:
Apakah rawatan kepada penyakit kemurungan?
Jawapan:
Penyakit kemurungan boleh dirawat, pesakit dapat disembuhkan sepenuhnya dengan rawatan yang teratur dan intensif. Antara rawatan yang digunakan:

• Penggunaan ubat ‘Anti-depressant’
• Terapi elektrokonvulsif (ECT)
• Psikoterapi
• Kaunseling

Selain daripada rawatan perubatan, pesakit juga digalakkan untuk melakukan perkara-perkara berikut:

• Amalkan perhubungan yang sihat. Luangkan masa dengan orang tercinta seperti isteri, anak-anak, rakan sekerja dan kawan-kawan rapat. Sentiasalah bercerita mengenai perkara yang positif bersama mereka.

• Bersenam. Melakukan senaman selama 30 minit setiap hari akan mempunyai impak yang sangat bagus buat fizikal dan mental anda. Dengan bersenam, anda akan terasa bermotivasi dan mempunyai lebih banyak tenaga untuk mengharungi hari-hari anda. Jangan lupa untuk merancang senaman dan tidak melakukannya secara membabi buta.

• Berfikir secara positif. Menjadi seorang berfikiran positif adalah salah satu cara yang sangat berkesan untuk mengatasi kemurungan. Buangkan rasa negatif, tiada harapan dan kebosanan dalam hidup anda. Cari sekurang-kurangnya 5 perkara yang membuatkan anda rasa gembira untuk hidup hari ini.

• Amalkan diet yang seimbang. Kalau terlebih makan atau terkurang makan, ia pasti memberikan impak yang negatif kepada badan dan cara pemikiran kita. Cuba cari makanan yang seimbang buat anda. Jangan terlalu gilakan badan yang kurus melengkung seperti model kerana ia akan membuatkan anda stress dan tidak bertenaga.

• Tingkatkan penampilan anda. Sekiranya anda mengambil berat mengenai cara pemakaian dan penampilan anda setiap hari, pasti anda akan merasa lebih gembira dengan diri sendiri. Sekali sekala apa salahnya berbelanja untuk kelihatan lebih tampan dan cantik. Ia pasti akan membuatkan anda lebih yakin untuk tampil di khalayak ramai.

Komen dan Soalan