Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-153 hingga Ke-155

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-153 hingga Ke-155

2554
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah 

Tafsir Ayat Ke-153

Ayat 153 – 158 adalah Perenggan Makro berkenaan Syariat Haji dan Umrah. Mengerjakan Haji dan Umrah ada unsur-unsur infaq dan jihad iaitu menyediakan bekalan, korban masa, tenaga, harta. Lebih-lebih lagi zaman dahulu kalau pergi belum tentu akan pulang.

Latihan tazkiyah yang telah disebutkan adalah dengan berzikir kepada Allah ‎ﷻ dan yang kedua adalah bersyukur. Latihan tazkiyah yang ketiga adalah dengan sabar. Sabar ini adalah amalan hati dan sabar ini banyak peringkat dan sebab itu Allah ‎ﷻ sebut banyak kali dalam Al-Qur’an supaya dapat dijelaskan semua peringkat itu.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ mengajar tentang sabar dalam doa kerana ada hubungan yang amat rapat antara sabar dan doa. Ini kerana sabar tanpa doa tidak akan tahan lama.

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَالصَّلاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّابِرينَ

Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا

Wahai orang-orang yang beriman;

Ayat ini ditujukan kepada mereka yang ‘beriman sempurna’, iaitu mereka yang tidak berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ.

اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ

pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar;

Pemahaman daripada ayat ini adalah kita disuruh untuk minta bantuan kepada Allah ‎ﷻ dengan cara menahan diri daripada memberitahu kepada makhluk apakah masalah yang kita hadapi.

Antara perkara yang kita kena sabar adalah sabar terhadap segala ujian untuk menempuh perjalanan berpegang dengan sunnah. Contohnya, kena sabar untuk tidak pergi ke majlis sanding. Bukan senang untuk berlawan dengan kebiasaan masyarakat kita yang telah rosak.

Namun janganlah kita berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menjadikan kita seorang yang sabar jikalau waktu itu tidak ada apa-apa cubaan untuk kita. Ini kerana pernah Nabi ﷺ dengar seorang sahabat minta supaya Allah ‎ﷻ jadikan dia seorang yang penyabar, maka Nabi ﷺ tanya dia: “Kamu hendak minta balakah?”

Ini kerana untuk mendapatkan sabar, kena datang bala dahulu, barulah boleh kita jadi sabar, bukan? Maka, dalam keadaan biasa, jangan kita minta sabar kerana itu mengundang bala datang kepada kita. Elok-elok tidak ada kesusahan, kita minta kesusahan pula diturunkan kepada kita. Sebenarnya, kalau sudah kena ujian, barulah minta sabar.

وَالصَّلَاةِ

dan bersolat.

Seperti telah disebutkan, kita dituntut untuk bersabar daripada mengeluh dan menceritakan kepada orang lain masalah kita. Sebaliknya kita disuruh untuk mengadu terus kepada Allah ‎ﷻ. Dengan mengerjakan salat, kita memberitahu hal itu kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam salat itu, doalah dan mengadulah kepada Allah ‎ﷻ sebanyak-banyaknya.

Salat adalah muqaddimah kepada doa. Sembahyang itu sendiri adalah doa. Nabi ﷺ telah mengajar kita bagaimana doa makbul dalam tasyahhud. Selain dari itu, Nabi ﷺ telah ajar untuk berdoa selepas buat amalan yang baik. Sebagai contoh, kita dapat tahu yang Nabi ﷺ akan berdoa selepas baginda berdakwah dan mengajar kepada umat.

Oleh itu, kita kena jadikan ini sebagai salah satu cara untuk berdoa. Banyak sekali dalil yang mengajar kita untuk berdoa selepas mengerjakan amal soleh. Sebagai contoh, dalam surah Fatihah sendiri:

Iyyaka na’budu – isyarat kepada amalan.
Iyyaka nastain – isyarat kepada doa. Maknanya, selepas mengerjakan amalan, barulah kita berdoa.

Ada empat amalan yang kalau manusia buat dan doa selepasnya, doa itu akan makbul:
1. Mengajak manusia kepada agama tauhid
2. Ketika mengajar
3. Ketika melakukan ibadat
4. Kerja amal secara sukarela sebagaimana kisah Nabi Musa عليه السلام yang menolong anak Nabi Syuaib عليه السلام dalam [ Qasas:24m].

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ ajar kita untuk meminta pertolongan dengan sabar dan salat. Ingatlah bahawa nasihat yang sama telah diberikan kepada Ahli Kitab sebelum ini dalam surah Baqarah ini juga dalam ayat ke-45. Sekarang nasihat yang sama diberikan kepada kita orang Islam pula.

Dahulu, merekalah umat terpilih – Allah ‎ﷻ kata mereka adalah umat terpilih dalam ayat ke-47. Mereka telah diberikan tanggungjawab dan mereka tidak menunaikannya atau telah meninggalkan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sekarang, kita sebagai umat Islam pula yang telah diberikan kelebihan menjadi ‘umat pertengahan’. Kita juga telah diberi tanggungjawab oleh Allah ‎ﷻ. Masa mereka telah berlalu, masa kita sekarang pula.

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Sesungguhnya Allah akan bersama orang yang bersabar.

Allah ‎ﷻ memberitahu bahawa Dia bersama orang yang bersabar. Maka, ini adalah satu motivasi yang amat tinggi kepada kita. Walaupun kita sedang susah waktu itu, tetapi kalau kita sabar, kita cuba rasakan yang Allah ‎ﷻ bersama dengan kita. Allah ‎ﷻ beri ujian kepada kita untuk tambah pahala kita kerana apabila kita sabar, maka kita akan dapat pahala yang banyak.

Tafsir Ayat Ke-154

Ayat yang menyentuh tentang jihad fi sabilillah. Kemuncak perbincangan jihad ada dalam Surah Tawbah. Permulaan tentang jihad itu dimulakan di dalam Surah Baqarah ini.

Sebelum ini Allah ‎ﷻ telah mula menyentuh bab Sabar. Oleh kerana sabar adalah perkara yang besar dan banyak peringkatnya, maka akan diterangkan dengan banyak dalam ayat-ayat seterusnya. Pertamanya, dalam ayat ini Allah ‎ﷻ terangkan sabar peringkat tertinggi.

وَلا تَقولوا لِمَن يُقتَلُ في سَبيلِ اللَّهِ أَمواتٌ ۚ بَل أَحياءٌ وَلٰكِن لا تَشعُرونَ

Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

وَلَا تَقُولُوا

Jangan sekali-kali kamu berkata,

Janganlah kamu salah sangka dengan mengatakan perkara yang silap dalam pandangan kamu. Kena belajar untuk melihat dengan ilmu, bukan dengan pandangan sendiri sahaja.

لِمَنْ يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتٌ

kepada sesiapa yang terbunuh atau dibunuh di jalan Allah itu benar-benar mati;

Mereka tidak mati hidup sebenarnya. Cara bagaimana, kita tidak tahu. Yang kita tahu, mereka itu ada yang hendak pulang ke dunia lagi kerana hendak berjihad lagi di jalan Allah ‎ﷻ. Ini disebut dalam hadith.

Dalam ayat sebelum ini, dinasihatkan kepada umat Islam untuk bersabar. Antara sabar yang paling kuat diperlukan adalah apabila orang yang kita sayangi mati. Antaranya, mereka yang mati semasa berperang di jalan Allah ‎ﷻ.

Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang mereka yang mati semasa berjihad di jalan Allah ‎ﷻ mereka tidak mati biasa. Mereka sebenarnya hidup di alam barzakh. Ia adalah Kehidupan Khas. Mereka terus dihantar ke syurga untuk menikmati nikmat di dalam syurga itu. Sebelum Pembicaraan di Mahsyar lagi mereka telah dapat nikmat. Ini adalah kelebihan bagi orang yang Mati Syahid.

Oleh itu, sabar dalam ayat ini adalah sabar atas kematian. Lebih-lebih lagi kalau kematian itu melibatkan orang yang kita kasihi. Sebaik-baik kasih adalah kasih seorang mukmin kepada seorang mukmin yang lain. Apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini kepada seorang mukmin yang lain, maka sabar padanya adalah sabar yang paling tinggi.

Sahabat paling sedih apabila Nabi ﷺ wafat. Begitu juga, apabila ada kematian daripada kalangan sahabat, Allah ‎ﷻ mengajar mereka untuk bersabar kerana mereka amat bersedih. Ia memerlukan kesabaran yang tinggi.

بَلْ أَحْيَاءٌ

Bahkan mereka itu hidup

Pada waktu ayat ini diturunkan, orang-orang Islam belum lagi berperang dengan orang kafir. Belum Perang Badr lagi pun tetapi Allah ‎ﷻ sudah mengingatkan mereka bahawa kalau mereka mati, mereka akan dapat kelebihan yang amat banyak. Allah ‎ﷻ mengingatkan mereka untuk bersedia.

“Sesungguhnya roh-roh para syuhada’ itu ada di dalam rongga burung hijau. Baginya ada pelita-pelita yang tergantung di ‘Arash. Mereka bebas keluar dari syurga sebagaimana yang mereka mahu, kemudian mereka (roh-roh orang yang syahid) menuju ke arah pelita-pelita itu. Kemudian Rabb melihat kepada mereka dengan jelas, lalu Dia bertanya: “Apakah kalian inginkan sesuatu?”. Mereka menjawab: “Apalagi yang kami inginkan sedangkan kami bebas keluar dari syurga dengan semahu-mahu kami?” Rabb mereka mengizinkan hal itu berlaku kepada mereka sebanyak tiga kali. Tatkala mereka melihat bahawasanya mereka tidak ditinggalkan daripada meminta sesuatu. Mereka berkata, “Wahai Rabb kami! Kami ingin Engkau pulangkan semula roh-roh kami ke dalam jasad-jasad kami sehingga kami dibunuh di jalan-Mu sekali lagi. Maka tatkala Dia melihat bahawasanya mereka tidak mempunyai keinginan lagi, maka mereka ditinggalkan”. [Riwayat Muslim (1887)]

Namun pada waktu itu, telah ada orang Islam yang mati semasa mereka berada di Mekah. Ada yang diseksa dan mereka telah mati di tangan orang Musyrik. Itu pun dikira sebagai mati di jalan Allah ‎ﷻ.

Apabila dikatakan mereka itu hidup, bukanlah hidup mereka itu seperti yang kita faham. Kehidupan itu banyak jenis. Contohnya, bayi yang dalam perut ibu itu sudah hidup, tetapi adakah hidup mereka sama dengan hidup kita? Tentu tidak, bukan? Maka jangan kita sangka hidupnya mereka yang mati syahid itu seperti hidup kita sekarang.

Ada yang buat andaian salah bahawa wali-wali yang telah mati itu boleh hidup semula dan menolong mereka yang di dunia. Oleh kerana salah faham tentang ayat ini, ada yang melakukan perkara yang syirik. Seperti pengikut ajaran Arqam yang masih bergerak lagi sekarang – mereka mengatakan bahawa Abuya Asyaari masih hidup lagi dan boleh memberi bantuan kepada mereka. Mereka dikatakan sampai meminta pertolongan kepada beliau untuk memberikan rezeki kepada mereka. Ini dan banyak lagi fahaman Sufi Tarekat yang mengarut kerana mereka tafsir sendiri ayat-ayat Al-Qur’an ikut kehendak akal mereka.

وَلَٰكِنْ لَا تَشْعُرُونَ

sedangkan kamu tidak tahu bahawa mereka itu hidup.

Kita tidak sedar bahawa mereka itu hidup kerana mereka telah dibawa terus ke syurga. Kita sahaja yang tidak tahu kerana kita tidak hidup di alam barzakh.

Orang-orang yang mati syahid itu, sebelum darah mereka menitis jatuh ke tanah, dosa mereka semua sekali telah diampunkan. Mereka akan dimasukkan ke syurga terus. Mereka hanya keluar balik apabila telah kiamat dan makhluk akan dibicarakan. Mereka akan dipanggil oleh malaikat untuk keluar sekejap untuk dibacakan amalan perbuatan mereka semasa di dunia. Kemudian, mereka akan dimasukkan balik ke syurga untuk menyambung nikmat di syurga.

Daripada Ka’ab bin Malik رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

إِنَّمَا نَسَمَةُ الْمُؤْمِنِ طَائِرٌ فِي شَجَرِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَبْعَثَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ إِلَى جَسَدِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang mukmin berterbangan di pohon Syurga sehingga Allah membangkitkannya ke dalam jasadnya pada hari Kiamat”. [Riwayat al-Nasa’ie (2073)]

Semoga kita dimasukkan ke dalam golongan itu. Semasa dipanggil itu, mereka rasa mereka duduk di syurga sekadar waktu salat sunat Subuh dua rakaat sahaja. Itu adalah salat paling ringkas yang Nabi ﷺ lakukan. Maknanya, nikmat yang terlalu banyak yang mereka terima, sampaikan mereka rasa sekejap sahaja mereka nikmati. Padahal, mungkin mereka telah duduk di syurga itu selama beberapa ribu tahun. Kita pun tidak tahu. Ini adalah kerana kalau kita sedang menikmati keadaan yang menggembirakan, kita selalu rasa sekejap sahaja, bukan?

Tafsir Ayat ke-155

Ini pula adalah sabar peringkat biasa.

وَلَنَبلُوَنَّكُم بِشَيءٍ مِنَ الخَوفِ وَالجوعِ وَنَقصٍ مِنَ الأَموالِ وَالأَنفُسِ وَالثَّمَراتِ ۗ وَبَشِّرِ الصّابِرينَ

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ

Dan Kami akan menguji kamu

Pasti Allah ‎ﷻ akan beri ujian. Jangan hairan apabila ujian datang kerana ia adalah pasti. Dunia ini memang tempat ujian. Jadi tidak perlu hendak mengadu sangat kepada orang lain kalau ada banyak dugaan kerana memang dunia ini adalah tempat ujian.

بِشَيْءٍ

dengan segala sesuatu;

Allah ‎ﷻ akan uji kita dengan apa sahaja cara untuk membezakan mana hamba yang ada sifat sabar dan tidak. Begitulah, macam-macam ujian akan Allah ‎ﷻ berikan kepada manusia. Sebagai contoh, ada niat sahaja hendak mengikut sunnah, hendak dakwah kepada orang lain, maka akan terus diberikan ujian.

Macam-macam lagi cara manusia diuji. Ada yang ringan sahaja, dan ada yang agak teruk. Ini adalah rezeki masing-masing. Kalau kita bersabar dengan ujian itu, kita akan mendapat pahala.

Sebelum ini, Allah ‎ﷻ sebut tentang ujian kematian. Kali ini, ujian yang kurang sedikit. Namun masih lagi banyak. Antaranya adalah seperti di bawah ini.

مِنَ الْخَوْفِ

dari jenis ketakutan;

Antaranya dengan situasi takut. Seperti pejuang agama yang diuji bertembung dengan musuh yang boleh menyebabkan kematian. Kalau sedang jihad perang itu, mereka takut dengan musuh yang ramai.

Dalam situasi kita yang tidak berperang ini, ia boleh bermaksud takut hendak memberitahu kepada orang tentang tauhid ini. Takut orang kata kita gila, kata kita sesat, tidak mahu terima dan sebagainya.

Padahal, bukan boleh menyebabkan kematian pun. Kadangkala orang gelar kita Wahabi pun sudah kelam kabut, padahal itu kata-kata sahaja. Buat apa hendak kisahkan dengan kata-kata orang jahil? Namun begitulah, hendak cerita dan tegur amalan bid’ah orang pun susah dan berat sangat mulut. Maka rasa hendak mati pun ada.

وَالْجُوعِ

dan kelaparan;

Keduanya ujian dengan lapar. Kadang-kadang kita takut tidak cukup makan. Kalau duduk kampung tempat kita tinggal, memang jarang lapar sebab makanan sentiasa ada. Namun kalau dalam musafir akan selalu bertemu dengan kelaparan. Lebih-lebih kepada para pejuang dan penyebar dakwah.

Kita zaman sekarang takut hendak sebut tentang kesalahan yang manusia lakukan. Kalau ustaz yang mengajar, takut sungguh hendak beritahu amalan salah anak murid. Takut anak murid tidak panggil mengajar lagi, hilang punca pendapat (sampul putih). Maka kesilapan dan bid’ah anak murid masyarakat, disenyapkan sahaja.

وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ

dan kekurangan dari harta benda;

Kalau hendak berjihad zaman dahulu para sahabat kena mengeluarkan duit sendiri. Bukan kerajaan Islam bagi duit untuk mereka berjihad. Mereka bukan kena cari duit untuk pergi berjihad sahaja, tetapi mereka juga kena tinggalkan sedikit duit untuk anak isteri sebagai bekalan. Maka ini memang memerlukan pengorbanan yang tinggi.

Apabila sudah mula pergi berjihad, hendak berniaga pun sudah tidak boleh. Kalau yang bercucuk tanam, sudah tidak boleh menjaga hasil tanaman lagi sebab kena tumpukan kepada peperangan. Ingatlah betapa besarnya pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat رضي الله عنهم dahulu.

Kadang-kadang kita diuji dengan ujian infak harta. Infak harta memang dituntut dalam agama. Hendak bina masjid, berdakwah, jihad, musafir, tolong orang lain dan macam-macam lagi memerlukan infak. Tentu berlaku kekurangan harta. Namun kerana ujian ini, ramai yang gagal dan simpan duit kerana syaitan akan menakut-nakutkan kita dengan ancaman jatuh miskin kalau infak.

وَالْأَنْفُسِ

dan dari jiwa-jiwa;

Maksudnya adalah kematian. Ada sahabat yang mati terbunuh. Saudara mara ada yang mati terbunuh dan macam-macam lagi. Ini adalah biasa apabila berlaku kematian. Maknanya, para sahabat رضي الله عنهم dahulu berhadapan dengan ancaman mati dalam menegakkan agama Islam ini. Amat malu kalau kita pula takut hendak sebut kesalahan masyarakat hanya kerana takut dikata macam-macam. Padahal, bukan boleh mengancam nyawa pun.

Boleh juga merujuk kepada mereka yang lari daripada peperangan. Meninggalkan medan pertempuran. Ada yang takut semasa bertempur sampai ada yang lari daripada medan peperangan.

وَالثَّمَرَاتِ

dan buah-buahan;

Ia bermaksud penyakit. Sebagai contoh, penyakit hama kepada pokok-pokok. Mereka takut pokok yang mereka tanam itu akan sakit dan musnah apabila mereka tidak ada dalam berjihad. Madinah waktu itu adalah umat yang berasaskan pertanian.

Pernah semasa Perang Tabuk, mereka diduga dengan buah-buahan yang sudah hampir boleh dituai apabila panggilan peperangan sampai. Mereka telah menerima arahan untuk perang dan ia adalah wajib kepada mereka kecuali orang tua, anak kecil dan wanita. Ia amat menduga kepada mereka kerana kalau mereka keluar berperang, sudah tentu apabila mereka pulang nanti, buah-buahan itu sudah jadi busuk kerana tidak dipetik. Kalau diharap kepada anak isteri pun tidak boleh kerana hanya lelaki sahaja yang boleh menuainya kerana ia adalah kerja berat.

Boleh jadi juga ia bermaksud ‘anak-anak’ – kerana ada yang akan kehilangan anak. Anak-anak yang telah dibela sejak kecil dan menjadi pengarang jantung terpaksa dilepaskan untuk menyertai peperangan jihad. Ini bukan kerja yang senang.

Kalau zaman sekarang, ini bermaksud melepaskan anak-anak untuk belajar agama. Ada yang takut kalau anak belajar agama kerana tidak tahu nanti hendak kerja apa. Kalau lepas untuk belajar ilmu keduniaan, ada kemungkinan akan dapat kerja, bukan? Maka kena berkorban anak juga supaya ada kalangan kita yang pandai agama dan dapat teruskan usaha mendidik masyarakat.

Kemungkinan juga buah-buahan itu adalah isyarat kepada hasil daripada pelaburan mereka. Ini adalah dugaan dari sudut ekonomi. Ini bagi orang yang berniaga.

وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang bersabar itu.

Ucapan tahniah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka yang dapat melepasi ujian-ujian itu. Telah disebut ujian yang berat-berat di atas. Allah ‎ﷻ berikan motivasi dan ucapan tahniah kalau sanggup melepasi ujian-ujian itu. Ini adalah ucapan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Tidakkah kita suka kalau dapat pujian dari Allah ‎ﷻ?

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan