Utama Bilik (50) Diskusi Bersama Doktor Soal Jawab Bersama Doktor: Keperluan Minum Air Yang Secukupnya

Soal Jawab Bersama Doktor: Keperluan Minum Air Yang Secukupnya

146
0
Iklan

Soalan:
Apa kepentingan air dalam badan manusia?
Jawapan:
Air memainkan peranan penting dalam hampir setiap fungsi utama badan seperti melaraskan suhu badan, menghapuskan sisa yang tidak diperlukan, membawa nutrien dan oksigen ke sel serta mengawal keseimbangan elektrolit tubuh. Kekurangan air dalam badan walaupun pada kadar sedikit boleh mengakibatkan seseorang jadi tidak bermaya. Kekurangan air akan menyebabkan sistem dalam badan berfungsi tidak seimbang yang membawa kepada pelbagai penyakit.

Soalan:
Berapa banyak air diperlukan dalam badan manusia?
Jawapan:
Secara amnya, pengambilan air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari amat penting demi memastikan tubuh kekal sihat dan cukup hidrat. Tidak perlu obses dengan berapa banyak jumlah air yang telah diminum, malah lebih merumitkan lagi, mengira setiap gelas yang telah diminum dan berbagai cara lagi. Permudahkan hidup anda. Apabila terasa dahaga, minum. Tidak perlu memaksa diri untuk melengkapkan rutin 8 gelas sehari.

Minum air secara berlebihan daripada keperluan badan boleh memudaratkan dan membahayakan kerana ia juga boleh menyebabkan berlakunya kegagalan organ. Air dalam tubuh boleh menjadi terlalu banyak melalui pengambilan berlebihan atau apabila organ tubuh gagal mengeluarkannya terutamanya bagi pesakit yang menghidap penyakit kronik yang membabitkan jantung dan buah pinggang.

Soalan:
Apakah tanda-tanda sesorang itu kekurangan atau terlebih air dalam badan?
Jawapan:
Sekiranya kekurangan air, badan akan menghantar isyarat haus dan memekatkan air kencing. Badan akan lemah dan aktiviti organ diperlahankan bagi menyimpan isi padu air yang hilang. Sekiranya berlebihan pula, badan akan cuba mengeluarkannya melalui air kencing.

Manusia akan membuang air berlebihan majoritinya melalui air kencing, tetapi boleh juga melalui perpeluhan, pernafasan dan perkumuhan. Bagi yang aktif dan sentiasa berpeluh, minumlah secukupnya sejajar dengan isyarat yang diberi oleh tubuh iaitu haus dan air kencing kita tidak terlampau pekat.

Komen dan Soalan