Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-151 dan Ke-152

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-151 dan Ke-152

2483
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-151

Ini ayat panduan bagi mereka yang mengajar. Kena faham dan huraikan balik kepada manusia tentang agama.

كَما أَرسَلنا فيكُم رَسولًا مِنكُم يَتلو عَلَيكُم آياتِنا وَيُزَكّيكُم وَيُعَلِّمُكُمُ الكِتابَ وَالحِكمَةَ وَيُعَلِّمُكُم ما لَم تَكونوا تَعلَمونَ

(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dalam kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Qur’an) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ

Sebagaimana Kami utuskan kepada kamu

Sepertimana Nabi ﷺ diutuskan untuk menyempurnakan ajaran agama kepada umat Islam, begitu jugalah penukaran arah kiblat itu juga untuk menyempurnakan agama Islam. Atau, sepertimana arahan menghadap kiblat ke Mekah adalah penyempurnaan nikmat kepada umat Islam, begitu juga Allah ‎ﷻ memilih Rasul akhir zaman daripada kalangan kamu.

رَسُولًا مِنْكُمْ

Rasul dalam kalangan kamu juga;

Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul akhir zaman daripada bangsa Arab. Allah ‎ﷻ mengangkat Rasul untuk mereka daripada bangsa yang sama supaya mereka senang terima apa yang disampaikan oleh baginda. Kalau diberikan Rasul daripada bangsa yang lain, tentu mereka ada hujah untuk tidak terima kerana mereka boleh kata Rasul itu tidak faham apakah yang mereka lalui sebagai bangsa Arab.

Ayat-ayat ini adalah hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام yang kita telah belajar sebelum ini [ayat Baqarah: 129]. Nabi Ibrahim عليه السلام telah berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan Rasul kepada mereka, membacakan ayat-ayat Allah ‎ﷻ, mengajar mereka kitab dan hikmah dan membersihkan hati mereka.

Ayat ini hampir sama dengan ayat itu, tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ telah menyempurnakan susunan doa itu kerana semasa Nabi Ibrahim ‎ عليه السلام berdoa itu, anak baginda adalah Nabi Ismail عليه السلام ‎- seorang yang sudah berakhlak mulia. Namun begitu bagi umat-umat yang lain, belum tentu lagi. Jadi ada keperluan lain yang diperlukan oleh manusia lain.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut ‘pembersihan’ dahulu sebelum mengajar kitab dan hikmah. Ini adalah kerana Allah ‎ﷻ tahu bahawa pembersihan jiwa daripada kefahaman syirik perlu dilakukan dahulu sebelum diberi pengajaran Al-Qur’an dan hikmah. Ini adalah kerana kalau anak murid itu tidak dibersihkan daripada fahaman syirik, mereka tidak dapat menerima pengajaran Al-Qur’an dan Hadith. Jiwa mereka tidak dapat terima. Bukan sahaja tidak dapat terima, mereka pun tidak ada keinginan dalam hati mereka untuk belajar.

يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا

Yang membacakan ke atas kamu ayat-ayat Kami;

Allah ‎ﷻ menjelaskan kerja Rasul dalam ayat ini. Ini adalah susunan yang berbeza daripada apa yang Nabi Ibrahim عليه السلام minta dahulu.

Ayat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ayat-ayat Al-Qur’an. Maknanya guru mesti bacakan ayat Al-Qur’an kepada manusia. Begitu juga jika hendak berdakwah kepada mereka. Kita bacakan ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka untuk ajak mereka beriman.

وَيُزَكِّيكُمْ

dan menyucikan kamu;

Kemudian baca lagi ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, bagi menyucikan hati mereka daripara syirik. Selagi hati tidak suci daripada syirik, syariat tidak akan dapat dijalankan dengan sempurna. Ini dinamakan Tazkiyah.

Selepas itu, barulah ajar kitab kepada mereka – iaitu asas-asas syariat, dan hikmah sebagai cara mengerjakan amalan iaitu mengikut sunnah. ‘Hikmah’ maksudnya ‘sunnah’. Inilah sahaja bahagian tasawuf yang ada dalam ayat ini. Makna ‘menyucikan’ itu, ada tiga perkara:

1- Menyucikan manusia daripada syirik kepada Allah ‎ﷻ. Ada banyak jenis syirik sebenarnya.

Pertama, dari segi perbuatan, seperti menyembah berhala dan lain-lain makhluk.

Kedua, ada syirik yang berkenaan hati. Seperti percaya kalau burung hantu berbunyi, bermakna ada orang hendak mati. Kalau kita percaya seperti itu, walaupun kita tidak buat lagi sebab tidak ada burung hantu di bandar, itu sudah menunjukkan akidah kita ada masalah.

Atau ada yang minta izin kepada penunggu pokok sebelum hendak kencing. Ada ulama’ yang kata sudah syirik kalau kata begitu dan ada yang kata hanya berdosa besar. Namun berdosa besar itu pun sudah besar.

2- Kena beritahu manusia tentang ‘syirik khafi‘ – ‘syirik kecil’. Mengajar manusia untuk menjauhkan diri daripada mempunyai sifat-sifat buruk seperti: riak, ujub, takabbur dan sebagainya iaitu sifat-sifat mazmumah.

3- Membersihkan manusia daripada sifat-sifat nifak iaitu sifat munafik. Guru kena beritahu supaya tidak ada sifat munafik dalam diri anak murid. Ini kita amat takut kerana kita pun tidak pasti entah-entah kita ada sifat nifak dalam diri kita tanpa kita sedari. Maka kena belajar apakah sifat-sifat nifak itu dan bandingkan dengan diri kita.

Dalam bahasa Al-Qur’an, semua ini dinamakan tazkiyah, iaitu menyucikan jiwa manusia. Selagi ada syirik dalam hati, manusia itu bukan seorang yang beragama Islam lagi. Walaupun dia tidak pernah tinggal salat atau puasa dan selalu melakukan segala perbuatan baik.

Orang tasawuf mengambil berat bahagian syirik khafi dan mereka hurai dengan panjang lebar mengenai syirik kecil sampai tidak diberitahu tentang syirik yang besar. Tertipu juga mereka dengan syaitan yang menyebabkan mereka hanya lihat satu perkara sahaja. Bukan kita hendak mengatakan bahawa tasawuf itu salah, tetapi mereka tidak menceritakan tentang syirik yang sepatutnya mereka cerita juga. Padahal syirik yang besar itu lebih penting daripada syirik khafi yang mereka selalu sentuh itu.

Selain daripada membersihkan jiwa daripada segala sifat di atas, kita juga perlu membersihkan akal kita daripada perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Zaman sekarang, banyak sangat media-media yang telah direka oleh manusia untuk mengisi masa lapang kita dengan perkara yang tidak berfaedah. Kita sudah ada Twitter, Facebook, YouTube dan sebagainya yang memenuhi akal fikiran kita dengan maklumat yang tidak berfaedah dan membuang masa.

Ia juga merosakkan fikiran kita kerana di dalamnya ada berbagai-bagai tohmah dan perkara-perkara yang tidak sesuai dengan agama. Sebaliknya, kita perlu isikan masa lapang kita dengan perkara yang berfaedah supaya kita boleh memikirkan perkara yang bermanfaat tentang agama. Kalau kita memasukkan akal kita dengan perkara yang baik, tetapi dalam masa yang sama kita juga memasukkan perkara yang tidak elok, itu pun tidak baik juga.

Apabila otak kita telah bersih daripada kekotoran, maka barulah kita dapat berfikir dengan jelas dan senang untuk ilmu agama masuk ke dalam akal kita. Barulah kita akan dapat maklumat yang benar tentang agama.

وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ

dan ajar kepada kamu tentang Kitab Al-Qur’an;

Yang dimaksudkan adalah belajar tafsir Al-Qur’an. Bukan hanya setakat ‘baca’ sahaja, tetapi kena diajarkan tafsir Al-Qur’an itu kepada manusia, kerana kalau tidak, manusia tidak akan faham apa yang hendak disampaikan. Kerana setakat baca sahaja, kita tidak akan faham bagaimana hendak mengamalkan Al-Qur’an ini kerana itulah kita kena belajar sunnah Nabi ﷺ.

وَالْحِكْمَةَ

dan hikmah;

Yang dimaksudkan adalah hadith Nabi ﷺ tetapi kena pastikan hadith itu adalah sahih.

وَيُعَلِّمُكُمْ مَا لَمْ تَكُونُوا تَعْلَمُونَ

dan mengajar kamu apa yang sebelum ini kamu tidak tahu;

Banyak perkara yang kita tidak tahu tentang agama lebih-lebih lagi tentang perkara-perkara seperti tentang syurga dan neraka, tentang halal dan haram dan macam-macam lagi. Sebelum kita belajar, kita tidak tahu tentang semua itu. Kalau tidak diberitahu kepada kita, kita tidak akan dapat tahu kerana ia adalah perkara-perkara ghaib yang hanya boleh diketahui melalui wahyu, sama ada disampaikan dalam Al-Qur’an atau daripada Hadith Nabi ﷺ.

Perkara-perkara tentang agama itu, manusia tidak akan langsung dapat tahu kalau tidak disampaikan oleh Allah ‎ﷻ melalui Nabi-Nya. Bagaimana pandai pun otak dan akal manusia, kita tidak akan dapat mencapainya sendiri kerana itulah kita perlukan ilmu yang diberikan oleh Allah ‎ﷻ.

Jadi, kita kenalah berhati-hati dengan maklumat agama yang disampaikan yang tidak didasari daripada wahyu kerana kalau bukan daripada wahyu, bagaimana lagi ilmu itu boleh disampaikan kepada kita?

Tafsir Ayat Ke-152

Sebelum ini ayat tentang tugas Rasul dan umat baginda kerana Nabi Muhammad ﷺ adalah Nabi akhir zaman, maka tugas Nabi ﷺ terbeban di atas bahu umat baginda. Jadi ada tiga tugas yang disebut dalam ayat sebelum ini:

1. Baca ayat Allah ‎ﷻ kepada hamba Allah ‎ﷻ untuk mengajak hamba Allah ‎ﷻ kenal Allah ‎ﷻ dan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini melibatkan interaksi dengan orang lain.

2. Menyucikan hati manusia. Nabi ﷺ telah ajar cara untuk melakukannya dan masing-masing kena ikhtiar sebab Nabi ﷺ tidak boleh menyucikan hati orang lain. Nabi ﷺ cuma boleh ajar dan beritahu kelebihan melakukannya. Inilah amalan yang dinamakan ‘tazkiyah’. Ini jenis amalan berseorangan.

3. Mengajar kitab Al-Qur’an dan Sunnah. Sunnah adalah cara pelaksanaan. Ini juga amalan yang kena berhubung dengan orang lain. Nabi ﷺ kena ‘ajar’ dan maksud ‘ajar’ itu adalah sehingga orang itu pandai. Namun berkenaan tazkiyah, oleh kerana kena buat sendiri, maka Nabi ﷺ tidak dapat memastikan orang itu pandai, maka Allah ‎ﷻ terangkan lagi dalam ayat seterusnya ini.

Secara ringkas, menyucikan hati dan akhlak ada lima (5) cabang. Apabila cukup lima cabang ini, barulah dikira hati manusia itu bersih dan jiwanya telah terdidik. Barulah boleh hati itu menerima hukum dan amalkan sunnah dengan mudah. Kalau tidak, memang payah sebab hati liar, tidak jinak. Lima cabang itu adalah:

1. Zikir kepada Allah ‎ﷻ.
2. Syukur
3. Sabar
4. Doa
5. Ta’zim

فَاذكُروني أَذكُركُم وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).

فَاذْكُرُونِي

Maka kamu ingatlah Aku banyak-banyak;

Latihlah diri kita supaya sentiasa mengingati Allah ‎ﷻ. Zikir di sini bukanlah zikir lidah biasa tetapi zikir orang yang ada akidah tauhid. Apabila seseorang itu sudah ada akidah tauhid yang kemas dalam diri, barulah zikir itu memberi kesan kepada diri dia sebab semua ayat zikir dalam Al-Qur’an bermaksud ‘zikir tauhid’.

Kalau seseorang itu ada fahaman syirik, zikir itu tidak memberi kesan kepada dirinya. Sebab itu kita boleh tengok bagaimana ada orang yang banyak lafaz zikir dia, tetapi dia ada juga akidah tauhid kerana zikirnya itu tidak memberi kesan kepada jiwanya.

Zikir ada jenisnya. Yang pertama adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ seperti membaca Al-Qur’an.

Yang kedua adalah zikir yang diajar Nabi ﷺ pada waktu-waktu tertentu atau tempat-tempat tertentu. Ini dinamakan ‘Zikir Masnun’. Sebagai contoh, telah diajar apakah doa yang perlu dibaca sebelum masuk tandas, keluar rumah dan sebagainya. Nabi ﷺ sudah ajar supaya umat setiap waktu akan ingat Allah ‎ﷻ dan dalam masa yang sama, ingat tauhid.

Ini adalah latihan tazkiyah kepada Allah ‎ﷻ. Iaitu supaya apabila hamba berada dalam keadaan dan suasana yang boleh merosakkan akidah, dia diajar untuk ingat kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, setiap waktu kena serah diri kita kepada Allah ‎ﷻ. Ini akan menjalinkan hubungan rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kita lakukan zikir ini di waktu manusia lain lalai dengan Allah ‎ﷻ.

Ketiga, ada juga zikir yang tidak ditetapkan masa, terpulang kepada hamba itu bila-bila masa sahaja dia hendak buat. Allah ‎ﷻ akan beri ganjaran mengikut betapa banyak amalannya.

Kena jelaskan lagi tentang hal zikir ini. Inilah sahaja yang puak tasawuf banyak buat. Iaitu, mereka banyak mengajar dan menyarankan kepada anak murid mereka untuk berzikir sahaja. Maka, amalan berzikir itulah sahaja yang banyak diamalkan oleh pengikut tarekat. Sampai beribu malah berjuta kali mereka akan buat.

Sedangkan membaca Al-Qur’an lagi banyak pahala. Imam Syafi’iy khatam Al-Qur’an sehari semalam dalam salat. Kalau dalam Ramadhan, beliau khatam dua kali Al-Qur’an sehari semalam. Namun malangnya, orang kita tidak banyak membaca Al-Qur’an, tetapi banyak baca wirid.

Ayat ini digunakan sebagai dalil bagi mereka yang kata bahawa ayat ini menyuruh manusia berzikir kepada Allah ‎ﷻ beramai-ramai kerana mereka melihat perkataan فَاذْكُرُونِي dalam bentuk jamak (plural). Bukan itu maksud ayat ini. Itu adalah tafsiran pemahaman yang salah. Ia hendak memberitahu bahawa kita semua kena berzikir, tetapi bukanlah berzikir beramai-ramai. Berzikir beramai-ramai adalah satu perbuatan bid’ah. Kita digalakkan berzikir, tetapi buat sendiri-sendiri.

Huruf فَ dalam perkataan فَاذْكُرُونِي ini bersambung daripada ayat sebelum itu. Ayat sebelum ini Allah ‎ﷻ telah memberikan Rasul kepada kita, mengajar kita tentang Al-Qur’an dan Hikmah dan telah membersihkan kita. Bermakna, selepas kita tahu bahawa Allah ‎ﷻ telah banyak melakukan kebaikan untuk kita, maka kita sepatutnya senang untuk mengingati Allah ‎ﷻ.

Mengingati Allah ‎ﷻ bukan hanya dengan berzikir meratib sahaja. Kalau kita membaca Al-Qur’an, itu pun sudah dikira mengingati Allah ‎ﷻ. Begitu juga kalau kita pergi ke majlis ilmu. Atau kita bercakap kepada manusia tentang Allah ‎ﷻ dalam percakapan kita, itu juga berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Jangan sempitkan maksud zikir itu. Kekeliruan tentang perkara inilah yang menyebabkan banyak yang keliru sampaikan mereka melebihkan majlis zikir meratib sehingga mereka telah melakukannya ke tahap bid’ah.

Begitu penting untuk kita ingat kepada Allah ‎ﷻ sampaikan kalau kita lupa kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan menyebabkan kita lupa kepada diri kita.

أَذْكُرْكُمْ

Maka Aku akan ingat kepada kamu;

Kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan balas dengan ingat kepada kita. Bandingkan kalau kita ingat kepada manusia – sebanyak mana pun kita ingat kepada mereka, belum tentu mereka akan ingat kepada kita. Namun dalam ayat ini menyebutkan bahawa Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita kalau kita ingat kepada Dia.

Dalam sebuah hadith qudsi diketengahkan firman Allah ‎ﷻ, “Barangsiapa yang mengingat-Ku dalam dirinya nescaya Aku akan ingat dia dalam diri-Ku dan barang siapa mengingat-Ku di hadapan khalayak ramai, maka Aku akan mengingatnya di hadapan khalayak yang lebih baik!”

Ada ketikanya, kita sentiasa ingat kepada orang-orang yang penting, sama ada pemimpin atau guru agama yang kita sayang – kita ingat mereka sentiasa, namun mereka tidak ingat kepada kita langsung. Itu adalah orang-orang yang penting dan besar daripada kita, tetapi siapakah lagi yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ? Tentulah lebih penting lagi kepada kita kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Kalau orang yang kita sayang ingat kepada kita pun kita sudah suka. Tambahan pula kalau Allah ‎ﷻ yang ingat kepada kita. Tentulah itu adalah satu nikmat yang amat besar.

Masa sedang berzikir itu, kita kena yakin yang Allah ‎ﷻ sedang ingat kepada kita. Inilah kelebihan utama dari perlakuan zikir kita itu. Inilah yang kita hendak dan rasa puas dengannya. Kita rasa puas sebab Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Apabila hubungan kita dengan Allah ‎ﷻ kuat, ia memberi kekuatan kepada kita untuk buat kerja Allah ‎ﷻ.

Jadi kena luangkan masa untuk zikir. Inilah yang banyak dilakukan oleh ulama Salafussoleh. Mereka akan meluangkan masa dalam sehari suntuk mereka untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Bukanlah mereka hanya meluangkan masa dengan mengajar dan menulis kitab sahaja, tetapi mereka akan meluangkan masa tertentu untuk berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Mereka kuatkan tautan antara hati mereka dengan Allah ‎ﷻ.

وَاشْكُرُوا لِي

dan bersyukurlah kamu kepadaKu;

Jadi, cabang tazkiyah yang pertama adalah berzikir kepada Allah ‎ﷻ. Yang kedua, berterima kasih kepada Allah ‎ﷻ di atas segala pemberian-Nya. Pertama, dengan ucap lafaz syukur. Kedua, dengan menggunakan nikmat yang telah diberikan itu seperti kehendak Allah ‎ﷻ.

Kalau kita buat begitu, Allah ‎ﷻ akan tambah nikmat itu. Nikmat yang telah diberikan itu tidak akan berkurangan. Jadi kalau mahu nikmat ditambah, maka kena bersyukur di atas nikmat yang kita telah dapat. Kalau ada berlaku keadaan di mana ada nikmat yang berkurangan, itu adalah tanda hamba itu lupa bersyukur.

Satu lagi perkara yang kita perlu lakukan untuk memenuhi syarat syukur kepada Allah ‎ﷻ adalah dengan taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini memerlukan pedoman daripada Allah ‎ﷻ juga, kerana kalau Allah ‎ﷻ tidak mengajar kepada kita, kita pun tidak akan tahu bagaimanakah cara untuk bersyukur kepada-Nya. Taat kepada Allah ‎ﷻ boleh dilakukan dengan melakukan ibadat kepada-Nya dan ibadat yang paling penting untuk menunjukkan kesyukuran kita kepada-Nya adalah dengan mengerjakan salat.

Dalam ayat sebelum ini telah disebut, kalau kita ingat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ akan ingat kepada kita. Oleh itu, salah satu perkara yang kita kena bersyukur adalah Allah ‎ﷻ ingat kepada kita. Itu pun sudah satu nikmat yang besar.

وَلَا تَكْفُرُونِ

dan jangan kamu kufur;

Apabila ayat dalam Al-Qur’an hanya menyebut ‘jangan kufur’, itu bermaksud jangan kufur nikmat Allah ‎ﷻ. Iaitu tidak menghargai segala nikmat yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita dengan tidak mensyukuri-Nya. Kalau kufur kepada Allah ‎ﷻ, ayat Al-Qur’an akan menambah perkataan ‘dengan-Ku’ dalam ayat itu – la takfuruu bi.

Apabila Allah ‎ﷻ menyuruh kita bersyukur dan kemudian ditambah lagi dengan perkataan jangan jadi kufur (tidak mensyukuri-Nya), maka itu adalah satu penekanan kepada kita supaya berterusan mensyukuri kepada Allah ‎ﷻ sebab kalau Al-Qur’an hanya suruh bersyukur kepada-Nya sahaja, mungkin itu boleh dikatakan hanya sementara atau beberapa kali sahaja. Namun apabila sudah ada penekanan sebegini, maka ia adalah supaya kita berterusan mensyukuri Allah ‎ﷻ.

Alhamdulillah Allah ‎ﷻ telah memberikan kepada kita amalan salat untuk memenuhi tuntutan mensyukuri-Nya. Jadi kita kena jaga salat. Maka, cubalah berusaha untuk salat dengan khusyuk dan kita kena tambah dengan amalan-amalan ibadat yang lain.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan