Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-148 hingga Ayat Ke-150

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-148 hingga Ayat Ke-150

1927
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-148

Hikmah menghadap kiblat adalah untuk melatih kita untuk mengikut arahan tanpa soal. Allah ‎ﷻ hendak menguji manusia siapakah yang ikut arahan. Lihatlah bagaimana Muslim yang beriman sempurna akan ikut arahan – apabila disuruh menghadap ke Baitul Maqdis, mereka ikut dan apabila disuruh menghadap ke Mekah, mereka ikut juga.

Keduanya, tidak ada rugi pun kalau ikut mana-mana arah. Yang pentingnya adalah ibadat yang dikaitkan dengannya – iaitu ibadah salat. Hadap ke mana tidak penting, yang penting adalah menghadap ke arah Kiblat kerana ia adalah arahan DARIPADA ALLAH.

وَلِكُلٍّ وِجهَةٌ هُوَ مُوَلّيها ۖ فَاستَبِقُوا الخَيراتِ ۚ أَينَ ما تَكونوا يَأتِ بِكُمُ اللَّهُ جَميعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا

Dan bagi setiap umat, ada arah kiblat masing-masing dan dia menghadap ke arah kiblatnya;

Bagi setiap umat ada kiblat masing-masing. Umat Musa عليه السلام ada kiblat dia, dan Nabi Isa عليه السلام ada kiblatnya. Tetapi ayat ini bukan berkenaan kiblat dalam salat sahaja.

Kiblat itu juga boleh dimaksudkan ‘tujuan hidup’. Kerana kata ayat di atas adalah sebagai satu pepatah. Dalam Allah ‎ﷻ menyebut tentang hal kiblat, Allah ‎ﷻ tiba-tiba masuk menyebut tentang perkara yang umum tentang kehidupan.

Setiap orang daripada kita ada tujuan hidup kita yang kita luangkan masa kita setiap hari ke arahnya. Mungkin ada yang hendak jadi ahli sukan yang berjaya, jadi dia akan berlatih bersungguh berhari-hari. Mungkin orang lain tujuannya adalah untuk mendapatkan rumah idamannya, jadi mereka akan memikirkan bagaimanakah mereka boleh mendapatkannya. Soalan sekarang kepada kita: Apakah tujuan hidup kita?

Dalam zaman sekarang, malangnya ada manusia yang langsung tidak ada tujuan dalam hidup. Mereka hanya berehat dan membuang masa sahaja. Antaranya mereka akan membuang masa di hadapan tv dan menonton apa sahaja yang ada di tv. Mereka tidak mahu berfikir dan menggunakan akal mereka untuk kebaikan.

Mereka tentunya tidak melazimi majlis ilmu. Mereka tidak membuat benda yang berfaedah, seperti membaca, menolong orang lain dan sebagainya. Orang Islam sekarang pun banyak macam ini sekarang. Ini amat menyedihkan sekali. Allah ‎ﷻ tegur mereka dalam ayat ini.

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maka berlumba-lumbalah kamu kepada ketaatan;

Yang penting bukannya arah kiblat itu, tetapi amalan yang baik yang kena diamalkan. Maka berlumbalah pada melakukan sebanyak-banyak amalan kebaikan. Kalau ada orang yang buat amal kebaikan, kita kena buat lebih lagi kerana hendak menandingi dia. Inilah perlumbaan yang tidak ada orang yang akan kalah.

Tujuan hidup kita adalah untuk mentaati Allah ‎ﷻ untuk sampai ke syurga akhirnya. Maka kita kena berlumba-lumba ke arahnya. Inilah perlumbaan yang mulia. Setiap orang tidak sama pencapaian mereka. Akan sampai satu masa, perlumbaan ini akan tamat iaitu apabila kita menemui maut dan apabila telah kiamat. Waktu itu, keputusan akan diberikan. Apakah pencapaian kita? Adakah kita sudah puas dengan usaha kita setakat ini?

‘Ketaatan’ yang dimaksudkan itu boleh jadi macam-macam. Secara spesifik dalam ayat ini adalah tentang mengerjakan Haji dan Umrah kerana kita sedang membicarakan tentang Masjidil Haram. Tetapi, ia boleh juga digunakan untuk apa-apa sahaja amalan agama dan kerja-kerja kebaikan yang kita boleh lakukan. Kita lakukan semua itu atas dasar ketaatan kepada Allah ‎ﷻ.

أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا

Di mana sahaja kamu berada, Allah akan kumpul kamu semua sekali di akhirat kelak;

Allah ‎ﷻ boleh menghimpunkan kamu sekali gus. Jauh mana pun kamu berada, Allah ‎ﷻ akan himpun semua sekali. Jadi ini mengingatkan kita kepada kematian kita yang pasti datang. Kita tentunya tidak akan kekal hidup.

Sampai satu masa, perlumbaan itu akan tamat dan Allah ‎ﷻ akan menjalankan perhitungan untuk menilai di manakah tahap seseorang itu dalam pencapaian mereka. Yang penting waktu itu adalah kita telah banyak melakukan amalan yang baik.

إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu.

Ingatlah yang Allah ‎ﷻ berkuasa untuk melakukan apa-apa sahaja mengikut kehendak Dia. Salah satunya, mematikan kita. Ini hanya Allah ‎ﷻ sahaja yang tahu. Maka kena sentiasa ingat kepada mati.

Dan satu lagi, Allah ‎ﷻ sahaja yang boleh menentukan bila Kiamat akan berlaku. Itu dalam kuasa penuh Allah ‎ﷻ.

Tafsir Ayat Ke-149

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ.

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۖ وَإِنَّهُ لَلحَقُّ مِن رَبِّكَ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari mana arah sahaja kamu keluar;

Arahan ini diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ, iaitu jika dalam musafir kerana nanti baginda juga akan keluar musafir ke banyak tempat.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah Masjidil Haram;

Di mana sahaja berada, kena menghadap Masjidil Haram dalam salat. Ada sahabat yang sangka mereka kena menghadap Masjidil Haram apabila mereka berada di Masjid Nabi sahaja. Ayat ini Allah ‎ﷻ menekankan bahawa walau di mana sahaja berada, termasuk apabila keluar dari Madinah, mereka kena menghadap ke Masjidil Haram. Kena cari arah kiblat.

وَإِنَّهُ لَلْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ

Dan sesungguhnya perintah itu adalah benar daripada Tuhanmu;

Hukum menghadap ke kiblat semasa musafir itu benar daripada Allah ‎ﷻ. Maka kena taat. Jangan culas dalam hal ini. Kena tahu cara hendak mencari arah kiblat. Kita dimudahkan pada zaman moden ini untuk menggunakan kompas dan telefon pintar bagi cari arah. Tetapi kalau semua itu tidak ada, tetap kena belajar cara lain untuk mencari arah kiblat.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dengan apa sahaja yang kamu lakukan.

Allah ‎ﷻ akan mengambil kira segala perbuatan kita dan akan membalas segala perbuatan kita itu. Tidak ada yang terlepas daripada pandangan Allah ‎ﷻ.

Arahan ini memang senang kepada kita sekarang kerana kita memang dari mula salat pun sudah mula menghadap ke Baitullah. Namun bayangkan apakah yang perlu dihadapi oleh para sahabat pada waktu itu. Bukan semua dalam keluarga mereka menganut agama Islam. Ada ahli keluarga mereka yang beragama Yahudi dan ada yang Kristian. Jadi hati mereka sebenarnya hendakkan kalau satu keluarga menghadap kepada satu kiblat yang sama. Jadi amat payah untuk mereka mengubah kiblat. Tetapi mereka terpaksa juga melakukan seperti yang diarahkan oleh Allah ‎ﷻ.

Ada juga orang munafik yang menghadap juga ke Baitul Maqdis apabila tidak ada orang yang melihat. Itu sebabnya Allah ‎ﷻ kata Dia tahu apa yang mereka lakukan. Apa yang mereka lakukan itu adalah kesalahan dan mereka akan dibalas dengan kesalahan yang mereka lakukan itu.

Tafsir Ayat Ke-150

Ayat ini ditujukan untuk keseluruhan umat Islam.

وَمِن حَيثُ خَرَجتَ فَوَلِّ وَجهَكَ شَطرَ المَسجِدِ الحَرامِ ۚ وَحَيثُ ما كُنتُم فَوَلّوا وُجوهَكُم شَطرَهُ لِئَلّا يَكونَ لِلنّاسِ عَلَيكُم حُجَّةٌ إِلَّا الَّذينَ ظَلَموا مِنهُم فَلا تَخشَوهُم وَاخشَوني وَلِأُتِمَّ نِعمَتي عَلَيكُم وَلَعَلَّكُم تَهتَدونَ

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ

Dan dari arah mana sahaja kamu keluar,

Walau di mana sahaja Nabi Muhammad ﷺ berada, walaupun bukan berada di Masjid Nabi.

فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ

hadaplah wajah kamu ke arah Masjidil Haram;

Baginda kena menghadap ke arah Masjidil Haram dalam salat walau di mana sahaja berada. Kena usaha cari lokasi Kaabah.

وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ

Dan di mana sahaja kamu semua berada,

Arahan ini dalam bentuk jamak pula, iaitu diberikan kepada semua umat Islam. Maknanya, arahan menghadap kiblat ini bukanlah kepada Nabi ﷺ sahaja, tetapi kepada seluruh umat Islam, sepanjang zaman.

فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ

hadaplah wajah kamu ke arahnya;

Ini adalah arahan yang jelas, kena menghadap ke arah Kiblat. Jangan takut untuk menghadapkan wajahmu ke arah kiblat. Jangan takut dengan kata-kata daripada golongan yang ragu-ragu dengan arah kiblat itu.

لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ

Agar tidak lagi menjadi alasan lagi kepada manusia yang ramai-ramai itu,

Supaya ahli-ahli Kitab tidak ada alasan untuk menidakkan kiblat ke Masjidil Haram itu kerana ia telah ada dalam kitab-kitab mereka sendiri yang umat Islam akan menghadap ke Masjidil Haram.

Namun kalau kita tukar kiblat kita balik ke Baitul Maqdis, maka mereka tentu akan mengejek kita. Mereka akan kata kita tidak tetap pendirian. Kalau umat Islam tidak berkiblat ke arah Kaabah, memang mereka yang mengaji kitab mereka akan tertanya-tanya dan timbul persoalan pada mereka (dengan mengatakan ini bukanlah umat Islam yang sebenar).

Dengan kata lain, kita telah memberikan satu hujah yang kuat kepada mereka. Maka kita kena tetap di atas kiblat yang baru ini. Jangan ditukar-tukar lagi.

إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ

melainkan kepada orang-orang yang zalim di antara mereka;

Lafaz zalim dalam ayat ini bermakna: degil. Degil tidak mahu ikut. Maka jangan layan mereka yang sebegitu.

Mereka sudah tidak ada hujah untuk menidakkan kiblat ke Masjidil Haram itu. Kalau ada yang berhujah juga, itu adalah kerana mereka itu adalah orang yang zalim iaitu mereka yang masih lagi hendak berhujah walaupun mereka tidak ada hujah yang benar. Terbukti mereka hanya mahu berdebat sahaja.

Ada dua golongan: Sama ada yang zalim tidak pakai kitab mereka dan tidak tahu kandungan kitab mereka dan hanya suka mencari salah dengan agama Islam. Atau yang tahu tetapi mereka sembunyikan maklumat.

فَلَا تَخْشَوْهُمْ

Maka janganlah kamu takut kepada mereka;

Jangan hiraukan kepada mereka. Bukan mereka yang kena mengiktiraf agama Islam. Jadi walaupun mereka tidak mengiktiraf agama Islam, kita tidak perlu hiraukan. Mereka melihat Islam sebagai satu agama serpihan daripada agama Yahudi dan Nasrani sahaja. Allah ‎ﷻ ingin memberitahu kepada kita supaya jangan hiraukan mereka.

وَاخْشَوْنِي

Dan takutlah kamu kepada Aku sahaja.

Sebaliknya, hendaklah kita takut dan taat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Dalam soal agama jangan takut kepada manusia tetapi takut kepada Allah ‎ﷻ. Jangan hirau apa kata manusia.

وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ

agar aku sempurnakan nikmat-Ku ke atas kamu;

Iaitu nikmat syariat agama Islam kerana dapat menghadap ke arah Kiblat yang sebenarnya (Kaabah). Barulah sempurna syariat salat.

Ini juga adalah sebagai langkah pertama untuk mengambil kembali Kaabah yang pada waktu itu berada dalam tangan Musyrikin Mekah. Apabila kiblat telah ditukar kepada Kaabah, waktu itu Kaabah masih lagi dipenuhi dengan berhala-berhala. Tentulah orang Islam tidak sedap hati menghadap kepada sesuatu yang masih lagi ada berhala padanya.

Maka, orang Islam bertanggungjawab untuk membersihkan Kaabah itu. Maka ia adalah sebagai satu isyarat bahawa orang Islam akan memasuki Mekah dan membersihkan kembali Kaabah. Namun hendak bersihkan bagaimana kalau tidak dikuasai Kaabah itu? Maka setiap kali menghadap Kaabah dalam salat, orang Islam pada zaman Nabi ﷺ itu akan teringat tentang tugas mereka untuk membersihkan Mekah daripada amalan syirik. Maka di sini sudah ada bayang-bayang kepada arahan untuk jihad.

وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk.

Dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dalam hal kiblat itu, Allah ‎ﷻ akan beri lagi hidayah dan petunjuk-petunjuk yang lain. Begitulah dengan ilmu agama ini, kena taat dahulu dan kemudian ilmu akan datang.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan