Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ayat Ke-141

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-138 hingga Ayat Ke-141

1145
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-138

Celupan Allah ‎ﷻ – Agama Allah ‎ﷻ. Dalam Kristian, mereka guna baptis – rendam dalam air.

صِبغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَن أَحسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبغَةً ۖ وَنَحنُ لَهُ عابِدونَ

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat”.

صِبْغَةَ اللَّهِ

Celupan Allah.

Allah ‎ﷻ mengkehendaki kita untuk ‘mencelupkan’ diri kita dengan ‘celupan Allah ‎ﷻ’. Bayangkan kalau kita memasukkan kain yang putih ke dalam celupan nila berwarna biru. Selepas beberapa lama, kain itu akan bertukar kepada warna biru keseluruhannya. Itulah imej yang boleh kita bayangkan. Allah ‎ﷻ mahukan kita memasukkan keseluruhan diri kita ke dalam beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan sedikit-sedikit. Kita kena ikut Allah ‎ﷻ secara keseluruhan.

Bagaimana cara masuk Islam? Cara pengislaman adalah dengan syahadah pada lidah dan tasdiq (pengakuan) pada hati serta lakukan amalan Islam – inilah cara yang diajar apabila masuk Islam. Tetapi Yahudi dan Nasara ada cara mereka – mereka mandi dengan air kuning. Jadi mereka tanya kepada orang Islam: masuk Islam cap macam mana yang kamu pakai?

Mereka kata hendak masuk agama ada cara tradisi macam mereka celup itu. Allah ‎ﷻ beritahu yang itu adalah rekaan mereka sahaja, tidak ada perkara sebegitu yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan Nabi mereka. Mereka yang reka bidaah itu. Allah ‎ﷻ tidak terima cara mereka, tetapi Allah ‎ﷻ terima cara Dia sahaja.

Allah ‎ﷻ suruh kita katakan bahawa itu hanyalah cara rekaan mereka. Kita tidak ikut cara mereka itu. Kita terima cara celupan Allah ‎ﷻ sahaja iaitu dengan mengucap syahadah itu. Dengannya, Allah ‎ﷻ ubah akidah kita daripada syirik kepada tauhid; daripada khurafat kepada syariat. Yang kita perlu lakukan: Betulkan akidah dan betulkan amalan, betulkan adat supaya menepati kehendak syariat, itu sudah masuk agama Islam. Tidak perlu kepada proses seperti yang mereka lakukan itu.

وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً

Dan siapakah yang lebih baik daripada Allah daripada Celupan (Agama)?

Kalau mereka kata kena juga ikut cara mereka, atau kena ada cara yang khusus, tanya kepada mereka; ada lagikah celupan lain yang mereka rasa lebih baik daripada Celupan Allah ‎ﷻ? Tidak akan ada cara lain.

وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Dan sesungguhnya terhadap Allah sahaja kami beribadat;

Maknanya, kita kena kata dan mengaku yang kita berserah menghambakan diri dan berdoa hanya kepada Allah ‎ﷻ.

Kita menegaskan bahawa kita hanya beribadat kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita cakap begitu kerana Ahli Kitab itu walaupun mereka kata mereka beribadat kepada Allah ‎ﷻ, namun hakikatnya, mereka tidak hanya beribadat kepada Allah. Mereka ada juga menghambakan diri kepada entiti-entiti yang lain. Ahli Kitab sangka mereka telah menyembah Allah ,‎ﷻ tetapi sebenarnya mereka tidak menyembah Allah ‎ﷻ. Jangan kita jadi macam mereka pula.

Tafsir Ayat Ke-139

Ini adalah ayat zajrun. Ahli Kitab dan puak Musyrikin Mekah sangka yang amalan ibadat mereka mirip kepada syariat Nabi Ibrahim عليه السلام. Tetapi tidak sebenarnya. Itu hanya sangkaan mereka sahaja.

قُل أَتُحاجّونَنا فِي اللَّهِ وَهُوَ رَبُّنا وَرَبُّكُم وَلَنا أَعمالُنا وَلَكُم أَعمالُكُم وَنَحنُ لَهُ مُخلِصونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu (hai kaum Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai pilihan Allah dan pengurniaan-Nya? Padahal Dialah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah (mengerjakan amal dengan) ikhlas kepada-Nya;

قُلْ أَتُحَاجُّونَنَا فِي اللَّهِ

Tanya kepada mereka: adakah kamu hendak berhujah tentang Allah?

Tanya mereka, adakah mereka hendak berhujah dengan kita tentang Allah ‎ﷻ? Mereka kata kita orang Islam bukannya sembah Allah ‎ﷻ, tuhan sekalian alam, tetapi mereka kata kita sembah Tuhan Bulan. Itu antara kata-kata mereka yang kata orang Islamlah yang sesat.

Ataupun, Allah ‎ﷻ suruh kita tanya mereka, adakah kamu hendak berhujah dalam hal mentauhidkan Allah ‎ﷻ? Ini adalah kerana Ahli Kitab dan Musyrikin Mekah telah menerima yang Allah ‎ﷻ adalah Tuhan utama. Cuma masalahnya, mereka ada juga sembah entiti lain selain daripada Allah ‎ﷻ.

Atau, adakah mereka hendak membantah Allah ‎ﷻ kerana memilih Nabi Akhir Zaman daripada kalangan bangsa Arab?

وَهُوَ رَبُّنَا وَرَبُّكُمْ

sedangkan Allah taala itu Tuhan kami dan juga Tuhan kamu

Mereka kata kita yang sesat, padahal kitalah yang menyembah Allah ‎ﷻ Tuhan sekalian alam. Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini yang membawa makna: mencipta, memelihara dan menjaga sekalian alam. Allah ‎ﷻ bukan hanya mencipta alam ini, tetapi Allah akan terus menjaga dan memeliharanya. Tidak ada yang terlepas langsung daripada pandangan dan kawalan Allah ‎ﷻ.

Bagaimana hendak membantah Allah ‎ﷻ yang memilih Nabi Muhammad ﷺ, sedangkan itu adalah pilihan-Nya sendiri dan Dia adalah Rabb kita? Siapa kita yang hendak mempersoalkan keputusan Allah ‎ﷻ?

وَلَنَا أَعْمَالُنَا

Dan bagi kami hasil dari amalan-amalan kami;

Iaitu kita akan dapat hasil daripada amalan-amalan kita yang kita belajar asasnya daripada ajaran Nabi ﷺ. Kalau amalan itu tidak ada asas daripada Nabi ﷺ dan sahabat, maka tidak akan dapat hasilnya.

Ada yang salah faham dengan ayat ini. Ramai yang faham bahawa ayat ini adalah untuk dikatakan kepada orang lain yang amalan mereka tidak sama dengan amalan kita. Contohnya, seseorang itu akan kata kepada orang lain: “Buatlah apa kamu nak buat, amalan aku, amalan aku dan amalan kamu adalah amalan kamu.” Itu tidak tepat.

Ini kerana kalau kita kata begitu, ia seperti memberi peluang kepada mereka untuk berbuat apa sahaja amalan mereka. Takut ada pula yang akan buat amalan bid’ah dan kita mengiyakan cara mereka pula. Yang lebih tepat adalah ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap amalan itu akan ada hasilnya. Kita akan dapat imbuhan daripada amalan itu. Kalau ia adalah amalan yang soleh, kita akan mendapat pahala.

Namun sebaliknya, kita lihat kepada bahagian ayat yang seterusnya:

وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Dan bagi kamu hasil dari amalan-amalan kamu;

Iaitu amalan-amalan bid’ah yang kamu belajar daripada guru-guru kamu yang tidak ada asasnya. Kebanyakan ajaran mereka datang daripada guru, bukan daripada wahyu. Tidak kira agama mana. Termasuk kepada mereka yang mengaku Islam pun, ramai yang mengamalkan ibadah yang bukan daripada wahyu, mereka ambil daripada ajaran datuk nenek sahaja.

Jika amalan itu bukan daripada wahyu, maka ia adalah amalan bid’ah. Amalan-amalan sebegitu pun akan ada hasilnya, tetapi bukanlah hasil yang baik. Mereka akan mendapat juga hasil daripada amalan mereka itu, tetapi balasan yang buruk. Maka kita ingatkan mereka supaya jangan membuatnya kerana mereka akan mendapat hasil yang buruk. Amal bid’ah tidak ada pahala melainkan mendatangkan dosa sahaja. Jangan ubah-ubah agama ini kerana nanti ia akan jadi seperti agama Yahudi dan Nasrani.

Sebagai contoh, tidak ada nyanyian dalam agama Islam. Yang ada nyanyian adalah agama Kristian yang terpaksa tambah nyanyian dalam agama mereka untuk menarik minat penganut mereka. Tetapi sekarang kita sudah ada nasyid, qasidah dan sebagainya. Itu semua bukan daripada agama. Namun sudah mengikut cara agama Kristian pula. Kalau Kristian menyanyi dahulu dalam gereja mereka sebelum khutbah mereka, kita sekarang pun sudah mula bawa masuk qasidah ke dalam masjid.

وَنَحْنُ لَهُ مُخْلِصُونَ

Dan kami, kepada Allah sahaja kami tulus ikhlas;

Maksudnya, hanya kepada Allah ‎ﷻ sahaja kita panjatkan harapan kita dalam ibadat, doa dan pemujaan kita. Jangan kita campur adukkan amalan ibadat kita kepada selain daripada Allah ‎ﷻ. Jangan kita puja Nabi Muhammad ﷺ sampai kita buat majlis Maulid Nabi.

Jangan kita doa meminta pertolongan kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh berbuat apa-apa lagi kerana baginda telah wafat. Jangan kita kirim salam kepada Nabi ﷺ, Malaikat dan Wali. Apa sahaja bentuk ibadat, kita hanya lakukan kepada Allah ‎ﷻ sahaja. Melainkan kalau ada dalil daripada Al-Qur’an dan hadith yang membenarkannya.

Ayat ini juga menunjukkan kepentingan ikhlas dalam ibadat kita. Ikhlas itu bermaksud kita hanya mengharap pahala dan balasan daripada Allah ‎ﷻ sahaja. Kita lakukan ibadat itu kerana Allah ‎ﷻ sahaja. Bukan kerana kita takut orang pandang serong kepada kita, bukan sebab kita malu dengan orang atau kerana ada orang paksa kita – itu semua tidak ikhlas maknanya.

Kita kena buat sesuatu amalan itu hanya untuk mengharapkan redha Allah ‎ﷻ semata-mata. Maka janganlah kita menyebut-nyebut ibadat-ibadat kita yang sunat kepada orang ramai kerana ditakuti kita riak dan mengharap supaya orang memuji kita. Kita hanya mengharapkan pujian daripada Allah ‎ﷻ, bukan daripada makhluk.

Tafsir Ayat Ke-140

Rungutan Allah ‎ﷻ terhadap golongan ahli kitab. Yahudi kata agama asal adalah Yahudi. Mereka kata Nabi Ibrahim عليه السلام, Nabi Ismail عليه السلام dan semua Nabi-Nabi lain adalah beragama Yahudi. Kerana tohmahan mereka itulah, maka Allah ‎ﷻ jawab dalam ayat ini. Mereka tuduh Islam adalah agama baru. Padahal Yahudi itulah agama yang baru, bukannya Islam.

أَم تَقولونَ إِنَّ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ وَإِسحاقَ وَيَعقوبَ وَالأَسباطَ كانوا هودًا أَو نَصارىٰ ۗ قُل أَأَنتُم أَعلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَن أَظلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغافِلٍ عَمّا تَعمَلونَ

“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub berserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani, (padahal ugama mereka telah pun ada sebelum adanya ugama Yahudi atau ugama Kristian itu)?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.

أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ

Apakah kamu mengatakan Nabi Ibrahim,

Ini adalah soalan lagi kepada mereka. Tanya mereka tentang Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana mereka memperkatakan sesuatu yang tidak benar tentang baginda. Maka kena persoal kepada mereka.

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ

dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak dan Nabi Ya’kub

Bukan sahaja Nabi Ibrahim عليه السلام mereka tohmah, keturunan baginda pun mereka tohmah juga iaitu anaknya Nabi Ismail عليه السلام dan Nabi Ishak عليه السلام dan cucunya Nabi Ya’qub عليه السلام.

وَالْأَسْبَاطَ

dan anak cucunya,

Dan keturunan Nabi Ishak عليه السلام dan Nabi Ya’qub عليه السلام pun mereka tohmah juga. Apakah tohmahan mereka?

كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ

yang mereka itu beragama Yahudi atau Nasara?

Macam mana boleh mereka kata Nabi-nabi itu beragama Yahudi atau Nasrani sedangkan agama itu datang selepas mereka? Ia samalah dengan kebodohan Nasrani yang kata untuk masuk syurga, kena mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام adalah anak Tuhan atau Tuhan satu dalam tiga.

Maka bagaimana dengan umat-umat yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام? Mereka langsung tidak ada peluang untuk mengaku bahawa Nabi Isa عليه السلام itu Tuhan sedangkan mereka tidak pernah tahu tentang Nabi Isa عليه السلام. Kasihanlah kepada mereka.

Jadi apabila dikatakan begini, penganut Kristian telah datang dengan hujah baru: semua yang lahir sebelum Nabi Isa عليه السلام tidak terus masuk syurga, mereka akan diletakkan di satu tempat yang mereka panggil “Purgatory”. Di situ manusia akan ditanya apa pendapat mereka tentang Nabi Isa عليه السلام.

Hanya selepas mereka mengaku Nabi Isa عليه السلام adalah tuhan, barulah mereka akan dilepaskan oleh Nabi Isa عليه السلام dan baginda akan memasukkan mereka ke dalam syurga. Itu semua adalah angan-angan kosong mereka sahaja.

قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ

Katakanlah: adakah kamu lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui?

Allah ‎ﷻ menempelak mereka: Takkan kamu lebih tahu daripada Allah ‎ﷻ? Maka senyap sahajalah dan ikutlah apa yang Allah ‎ﷻ suruh.

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ

Dan siapakah yang lebih zalim lebih dari seorang yang menyembunyikan penyaksiannya di sisi Allah?;

Apakah yang mereka sembunyikan? Dalam Taurat, Injil, Zabur atau Al-Qur’an sekalipun ada perjanjian tentang mereka mesti mengesakan Allah ‎ﷻ. Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu syirik tetapi mereka menyembunyikan kebenaran itu. Mereka ini adalah orang yang paling zalim sekali.

Begitulah kita umat Islam kalau menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an. Selalu ada ahli agama menyembunyikan apa yang ada di dalam Al-Qur’an itu kerana tidak kena dengan agenda mereka. Mereka takut kalau mereka beritahu, akan ada yang tidak dapat terima, dan seterusnya tidak menerima mereka dan memanggil mereka mengajar lagi. Mereka ini nanti akan ditanya tentang apakah yang mereka telah lakukan ini.

Atau, mereka menyembunyikan apa yang tertulis dalam kitab mereka – yang Nabi akhir zaman akan datang. Nabi yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad ﷺ dan apabila Nabi Muhammad ﷺ telah hadir di kalangan mereka, mereka sedar yang baginda itulah Nabi yang dimaksudkan sebagai Nabi akhir zaman. Tetapi mereka sembunyikan fakta tersebut.

وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

Dan tidaklah Allah lalai dari apa yang mereka lakukan;

Maksud ‘Allah ‎ﷻ tidak lalai’ maknanya Tuhan akan balas perbuatan mereka itu. Allah ‎ﷻ tidak akan membiarkannya sahaja.

Kalau kita lihat daripada bahasa ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap dengan Ahli Kitab secara terus. Akan ada dalam ayat seterusnya selepas ini di mana Allah ‎ﷻ tidak mahu bercakap dengan mereka lagi. Allah ‎ﷻ akan suruh Nabi Muhammad ﷺ sahaja beritahu kepada mereka.

Tafsir Ayat Ke-141

تِلكَ أُمَّةٌ قَد خَلَت ۖ لَها ما كَسَبَت وَلَكُم ما كَسَبتُم ۖ وَلا تُسأَلونَ عَمّا كانوا يَعمَلونَ

Mereka itu adalah satu umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ

Itulah dia umat yang sudah berlalu

Mereka itu sudah berada di zaman yang lepas. Mereka telah mati dan usaha mereka telah habis.

لَهَا مَا كَسَبَتْ

bagi mereka apa hasil dari apa yang telah mereka lakukan

Mereka yang telah berlalu itu akan mendapat hasil daripada perbuatan mereka. Sama ada perbuatan baik atau perbuatan buruk. Apa yang mereka usahakan semasa kehidupan mereka, mereka kena tanggung atau terima balasan baik atau buruknya.

وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ

dan bagi kamu hasil dari apa yang telah kamu lakukan

Dan kita juga akan mendapat hasil daripada perbuatan yang kita lakukan. Kita kena berusaha dengan amalan-amalan baik kita sendiri. Kita tidak ada kena mengena dengan datuk nenek kita yang telah lepas.

Janganlah jadi seperti Bani Israil yang mengagung-agungkan perbuatan nenek moyang mereka dahulu tetapi mereka tidak ikut dengan amalan baik mereka sendiri. Kalau kita melihat perbuatan datuk nenek kita dahulu baik, maka kita kenalah ikut perbuatan baik itu. Jangan cakap sahaja dan menyanjung apa yang mereka lakukan. Janganlah mengaku keturunan ulama’ ini dan itu, wali itu dan ini.

وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

dan kamu tidak akan ditanya terhadap apa yang dulu mereka lakukan

Kita tidak akan ditanya tentang orang lain yang datang sebelum kita. Yang kita akan ditanya adalah perbuatan kita sendiri. Mereka yang sudah lepas akan mendapat balasan daripada perbuatan mereka. Yang perlu kita risaukan adalah amalan-amalan dan iman kita. Bagaimana nanti kita akan berhadapan dengan Allah ‎ﷻ apabila kita dihadapkan dengan Buku Amalan kita nanti.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan