Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 6: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Sambutan Maulid Rasul

BAB 6: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Sambutan Maulid Rasul

277
0
Iklan

BAB 6: Siri Pemurnian 60 Bid’ah Nusantara – Sambutan Maulid Rasul

Maulid bermaksud hari kelahiran Nabi ﷺ. Di nusantara seperti yang kita semua sedia maklum, maulid disambut agak meriah iaitu pada tanggal 12 Rabiul Awal setiap tahun. Di Malaysia, telah ditetapkan sebagai cuti umum pada hari tersebut. Malah, kita akan dapat melihat di beberapa tempat akan ada acara perayaan tahunan seperti perarakan, majlis selawat perdana, majlis zikir dan lain-lain yang diadakan secara besar-besaran. Majlis-majlis seperti ini akan dihadiri oleh ramai orang. 

Menurut kitab Raheeq al-Makhtum karya Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri رحمه الله‎ iaitu seorang ulama’ di India, dinyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi ﷺ ialah pada tanggal 9 Rabiul Awal. 

Jika kita merujuk kepada sirah-sirah daripada sumber yang sahih, kita akan dapati acara sambutan atau perayaan seperti ini sememangnya tidak pernah berlaku pada zaman Nabi ﷺ, zaman 4 khulafa’ al-Rasyidin dan juga pada zaman Umayyah. Bahkan pada zaman 4 mazhab yang paling masyhur juga tiada acara perayaan maulid ini. Golongan inilah yang paling faham mengenai sunnah Nabi ﷺ dan paling bersemangat dalam mengikuti ajaran baginda.

Jadi, bilakah perayaan sebegini mula muncul? 

Perayaan maulid ini mula muncul pada zaman pemerintahan Salahudin al-Ayyubi kerana melihat perayaan maulid Nabi Isa yang dilakukan pada zaman Dinasti Syiah Fatimiyyah dan Raja Iraq iaitu Malik Muzaffar pada tahun 604H.

Apabila perayaan maulid menjadi fenomena, para ulama’ mula berselisih pendapat tentang perayaan tersebut. Ahli hadith dan ulama’ yang bermanhaj salafiyyah seperti Imam Ibn Taymiyah, Imam Ibn Katsir dan Imam Ibn Qayyim menolaknya, manakala sebahagian ulama’ mazhab Syafi’iy seperti Imam Jalaludin as-Suyuti dan Imam Ibnu Hajar al-Asqalani membenarkannya.

Di Arab Saudi iaitu tempat kelahiran Nabi ﷺ itu sendiri, tidak pernah menyambutnya sehingga sekarang dan kerajaan Arab Saudi tidak menjadikan hari maulid sebagai cuti umum. Menurut fatwa Syeikh Ibn Uthaimin رحمه الله, ulama’ besar Arab Saudi dan mufti Unaizah di dalam kitabnya Majmu’ Fatawa wa Rasa-il Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin (II/298), maulid adalah bid’ah.

Syaikh Hamud bin ‘Abdillah at-Tuwaijiri رحمه الله berkata:

…Dan hendaklah juga diketahui bahawa memperingati malam maulid Nabi dan menjadikannya sebagai peringatan tidak termasuk petunjuk Rasulullah . Tetapi ia adalah perbuatan yang diada-adakan yang dibuat setelah zaman baginda setelah berlalu sekitar enam ratus tahun. Oleh kerana itu, memperingati perayaan yang diada-adakan ini termasuk dalam larangan keras yang Allah sebutkan dalam firman-Nya.

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“…Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul-Nya takut akan mendapat cubaan atau ditimpa adzab yang pedih.” [an-Nûr/24:63]

Jika dalam acara maulid yang diada-adakan ini ada sedikit sahaja kebaikan, maka para sahabat baginda telah bergegas melakukannya (Rasâ-il fii Hukmil Ihtifâl bi Maulidin Nabiy (I/70).

Kesimpulannya, perayaan maulid jelas bid’ah kerana menepati definisi bid’ah. Namun, oleh kerana negara kita telah menjadikannya sebagai cuti umum dan terdapat kepelbagaian acara dan program dalam sambutan maulid, maka yang terbaik ialah kita memandunya kepada program yang berbentuk ilmiah seperti menganjurkan minggu sunnah, kampung sunnah atau sebagainya yang diisi dengan program yang berlainan dengan cara kebiasaan yang masyarakat lakukan seperti konsert selawat 1 malaysia, membaca qasidah dan berzanji serta lain-lainnya.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan