Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-124 dan Ke-125

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-124 dan Ke-125

643
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-124

Ini adalah berkenaan dengan kisah Nabi Ibrahim عليه السلام. Allah ‎ﷻ hendak menceritakan permulaan kebangkitan umat akhir zaman (umat Nabi Muhammad ﷺ). Ada keistimewaan kepada umat Nabi Muhammad ﷺ. Bukan umat Bani Israil sahaja yang ada keistimewaan.

Umat Nabi Muhammad ﷺ lahir daripada doa seorang Nabi dan yang mendoakan untuk mereka itu adalah Nabi Ibrahim عليه السلام, seorang Nabi yang hebat, yang unggul. Bani Israil juga mengenali baginda. Sebelum ini telah banyak disebut tentang kisah-kisah mereka.

Yahudi menerima Nabi Ibrahim عليه السلام juga walaupun mereka menolak Nabi Isa عليه السلام dan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka bagi nama Ibrahim kepada anak-anak mereka (Abraham). Begitu juga Nasara menerima Nabi Ibrahim عليه السلام (mereka menamakan anak mereka Abraham) walaupun mereka tolak Nabi Muhammad ﷺ. Jadi ayat-ayat ini adalah untuk memperkenalkan baginda.

Ayat ke-124 hingga ke-141 adalah peringatan kepada Bani Israil supaya kembali kepada ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Juga diingatkan tentang seruan Nabi Ya’qub عليه السلام supaya mentauhidkan Allah ‎ﷻ. Nabi Muhammad ﷺ juga merupakan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام hasil daripada doa Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri.

Ahli kitab diingatkan supaya tidak membezakan rasul-rasul, terima semuanya daripada Allah ‎ﷻ. Ahli kitab diperintahkan menerima syariat daripada rasul terakhir dan tinggalkan ajaran terdahulu yang telah banyak diselewengkan.

وَإِذِ ابتَلىٰ إِبراهيمَ رَبُّهُ بِكَلِماتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قالَ إِنّي جاعِلُكَ لِلنّاسِ إِمامًا ۖ قالَ وَمِن ذُرِّيَّتي ۖ قالَ لا يَنالُ عَهدِي الظّالِمينَ

Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ

Ketika diuji Nabi Ibrahim oleh Tuhannya

Allah ‎ﷻ memulakan dengan kisah perjuangan Nabi Ibrahim عليه السلام. Ini kerana hebatnya manusia adalah kerana perjuangan mereka. Baginda telah diuji dengan perkara-perkara keagamaan dengan ujian yang besar-besar.

Ada riwayat yang kata ujian itu adalah dengan 10 perkara amalan fitrah seperti potong kuku, simpan janggut dan sebagainya. Tetapi itu tidak tepat kerana itu bukanlah perkara-perkara yang besar. Yang besarnya adalah perjuangan baginda memperjuangkan tauhid.

Ia ada disebut dalam Al-Qur’an. Bayangkan baginda telah bertembung dengan raja dunia, Namrud. Namrud itu adalah raja yang besar, kerana dia adalah Raja Dunia, tidak macam Firaun, kerana Firaun adalah Raja Negara Mesir sahaja. Bayangkan, Nabi Ibrahim عليه السلام yang miskin diperintahkan untuk mengajak raja satu dunia untuk beriman. Ini bukan hal yang kecil.

بِكَلِمَاتٍ

dengan beberapa jenis ujian;

Baginda telah diuji dengan berbagai-bagai lagi ujian: Baginda pernah dihumban ke dalam api; baginda kena berpisah dengan ayah dan kampung halaman kerana baginda telah dihalau dari negaranya iaitu Iraq dan kena tinggal di Palestin; baginda terpaksa berpisah dengan isteri-isterinya untuk jangka masa yang lama.

Baginda harus meninggalkan isterinya Sarah, hanya empat kali sahaja jumpa isterinya dalam setahun. Isterinya yang kedua, Hajar, harus ditinggalkan di Mekah. Baginda juga harus meninggalkan anaknya Nabi Ismail عليه السلام. Hanya dapat ziarah setahun sekali. Dan kemudian diuji untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Teruk-teruk ujian yang dikenakan ke atas baginda. Selain dari waktu yang disebut di atas, baginda mesti pula menyebarkan Islam ke seluruh dunia.

فَأَتَمَّهُنَّ

Semuanya Nabi Ibrahim sempurnakan;

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang Nabi Ibrahim عليه السلام telah menyempurnakan dan melepasi segala ujian-ujian itu. Kita semua memang diuji selama kita di dunia. Tetapi kita tidak tahu sama ada kita telah melepasi ujian kita. Namun lihatlah Nabi Ibrahim عليه السلام dapat tahu semasa di dunia lagi yang baginda telah melepasi ujiannya. Alangkah beruntungnya Nabi Ibrahim عليه السلام.

Antara banyak-banyak ujiannya yang kita pernah dengar, yang paling selalu kita dengar adalah tentang bagaimana baginda telah disuruh untuk menyembelih anaknya, Nabi Ismail عليه السلام. Baginda telah bermimpi bahawa Allah ‎ﷻ telah mengarahkan baginda untuk menyembelih Nabi Ismail عليه السلام. Baginda amat sayangkan anaknya itu, namun baginda sedar bahawa itu adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ.

Sudahlah baginda sebelum itu tidak pernah ada anak walaupun isterinya ada dua. Setelah anaknya Nabi Ismail ‎ﷻ itu besar, sudah boleh menolong baginda dalam kerja-kerja dakwah, baginda disuruh pula untuk menyembelih anaknya itu. Maka baginda telah bertanya pendapat Nabi Ismail ‎ﷻ tentang perkara itu dan Nabi Ismail ‎ﷻ pun sanggup untuk menerima ujian itu.

Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ itu. Tetapi Allah ‎ﷻ telah menggantikan Nabi Ismail ‎ﷻ dengan seekor kibas. Jadi, Nabi Ismail ‎ﷻ tidak disembelih akhirnya. Maka, kita telah diarah untuk mengabadikan kisah itu ke dalam amalan berkorban. Setiap tahun kita akan berkorban dan kita mengingati peristiwa Nabi Ibrahim ‎ﷻ telah menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa bantahan.

Kalau kita fikirkan secara logik, tentulah tidak patut seorang ayah untuk menyembelih anaknya sendiri. Tetapi oleh kerana ia adalah perintah Allah ‎ﷻ, maka Nabi Ibrahim عليه السلام telah jalankan juga. Itulah satu contoh bagaimana seorang Nabi tidak melanggar arahan Allah ‎ﷻ.

Walaupun ia kedengaran tidak logik pada akal kita, namun begitulah juga, sepatutnya kita menjalankan suruhan Allah ‎ﷻ tanpa persoalan. Walaupun kita tidak tahu apakah hikmah dalam perbuatan itu. Seperti contohnya, Allah ‎ﷻ telah mengarahkan kita semua menjalankan hukum hudud. Lalu bagaimana lagi kita boleh membantahnya?

Malangnya, banyaklah alasan-alasan akal yang diberikan oleh manusia sebagai mengatakan bahawa ia tidak boleh dilakukan. Ada yang kata ia tidak sesuai dijalankan pada zaman ini. Mereka sebenarnya hendak menggunakan akal untuk menghujah hukum yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita. Padahal, hikmah sesuatu perkara itu hanya akan didapati apabila kita telah menjalankannya.

Kita selalu menyebut-nyebut kisah Nabi Ibrahim عليه السلام itu tetapi kita tidak mengambil pengajaran daripadanya. Pengajarannya adalah kita sebagai manusia hendaklah mengikut perintah Allah ‎ﷻ tanpa apa-apa alasan lagi. Bukanlah kita boleh menggunakan akal untuk membincangkan sama ada arahan Allah ‎ﷻ itu sesuai ataupun tidak. Kerana akal kita tidak akan dapat menilainya. Akal kita tidak akan sampai untuk mencapai maksudnya.

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا

Allah Taala berfirman: sesungguhnya Aku hendak menjadikan kamu bagi manusia semua sekali sebagai imam;

Maksud imam itu adalah ‘sebagai ikutan’. Ikutan bagi semua manusia kerana imam dalam salat duduk di hadapan dan menjadi ikutan makmum, bukan? Ini adalah satu penghormatan yang besar kepada Nabi Ibrahim عليه السلام. Imam maksudkan sebagai ikutan daripada segi sifat. Kerana ‘Imam’ yang menjadi ikutan ada banyak – bidang hadith, bidang feqah dan sebagainya.

Tetapi Nabi Ibrahim عليه السلام ini adalah ikutan dari segi sifat baginda. Antaranya, sifat taatnya, sifat kemanusiaan yang sempurna. Baginda telah menjadi contoh teladan.

قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي

Nabi Ibrahim jawab: dan daripada anak cucu aku juga;

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya Allah ‎ﷻ melantik juga keturunan baginda sebagai imam yang akan menjadi ikutan manusia. Baginda tidak mahu baginda seorang sahaja yang menjadi ikutan. Baginda hendakkan keturunannya yang dijadikan sebagai contoh juga. Maknanya, Nabi Ibrahim عليه السلام ini memikirkan tentang orang lain juga, bukan dirinya sahaja.

Nabi Ibrahim عليه السلام meminta supaya keturunannya menjadi imam juga kerana baginda tahu ajaran yang dibawanya akan menjadi ikutan. Maka baginda mengharap supaya akan ada yang mentadbir selepas baginda tiada nanti.

Tapi lihatlah cara Nabi Ibrahim عليه السلام meminta. Baginda bermohon kepada Allah ‎ﷻ selepas baginda telah melakukan suruhan dan ujian Allah ‎ﷻ. Begitulah juga kita, seeloknya kita berdoa selepas kita telah melakukan ibadat kepada Allah ‎ﷻ, sama ada salat, baca Al-Qur’an, tolong orang lain dan sebagainya iaitu selepas kita melakukan taat kepada Allah ‎ﷻ kerana waktu itu doa kita lebih diterima.

قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Allah jawab: tidak akan terima perjanjian ini kepada orang yang zalim;

Walaupun seseorang itu adalah anak cucu Nabi Ibrahim عليه السلام, tetapi kalau dia melakukan syirik, dia tidak akan akan diterima untuk menjadi imam, untuk jadi ikutan.

Memang ramai daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام seperti Nabi Ishak عليه السلام yang menjadi Nabi dan rasul. Memang tidak dinafikan ramai daripada keturunan baginda yang beriman. Namun ada juga yang sesat. Zalim di dalam ayat ini adalah bermaksud syirik kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ kata golongan zalim tidak akan dapat mencapai kedudukan Imam itu. Maknanya ada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang zalim juga.

Allah ‎ﷻ hendak memberitahu Nabi Ibrahim عليه السلام bahawa bukan semua dari keturunannya akan jadi baik. Ada juga yang tidak menjadi kerana iman bukan boleh diwarisi. Kalau Allah ‎ﷻ telah memberikan sesuatu kelebihan kepada seseorang, bukanlah bermakna keturunannya pun akan dapat juga.

Jadi janganlah kita mengagungkan keturunan, walaupun keturunan itu dari keturunan Rasulullah ﷺ sekalipun. Sedangkan keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام sendiri tidak diterima secara menyeluruh.

Sekarang ini sudah ada satu pemahaman di kalangan masyarakat kita yang mengagung-agungkan keturunan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu yang dipanggil golongan Habib. Ini adalah produk rekaan baru manusia kerana kalau dahulu kita tidak dengar pun golongan ini. Mereka kebanyakannya datang dari Yaman dan mereka telah mengelabui mata mereka yang jahil dalam negara kita ini.

Ramai masyarakat kita yang menerima bulat-bulat amalan dan ajaran daripada mereka itu walaupun apa yang mereka ajar itu bukanlah bawaan daripada Nabi Muhammad ﷺ. Tetapi, kerana masyarakat kita sayang kepada Nabi ﷺ, maka mereka sangka betullah anak cucu keturunan baginda juga. Ingatlah bahawa kalau benar pun mereka daripada keturunan Nabi ﷺ (ini pun belum tentu lagi sebenarnya), tetapi kalau apa yang mereka bawa itu adalah ajaran dan amalan bidaah, ia tetap tidak akan diterima.

Masyarakat kita pun kalau ada dalam kalangan mereka yang ada Sayed, atau Syed sahaja sudah layan mereka lain macam. Ketahuilah bahawa tidak ada kelebihan apa-apa kalau pun mereka memang benar daripada keturunan Nabi ﷺ. Mereka juga sama macam kita. Kalau apa yang mereka amalkan itu benar, akan diterima. Malah mereka lebih lagi daripada kita kerana mereka itu keturunan Rasulullah ﷺ.

Tetapi kalau amalan mereka itu salah, tetap tidak akan diterima walaupun mereka daripada keturunan Nabi Muhammad ﷺ yang sah pun.

Tafsir Ayat Ke-125

Kelebihan kedua yang disebut adalah kelebihan Kaabah. Ia adalah tempat asas agama Nabi Ibrahim عليه السلام dan ia juga adalah tempat asas agama Nabi Muhammad ﷺ. Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ hendak menceritakan kelebihan Mekah pula.

Di Mekah ada Kaabah, satu-satunya masjid yang orang bersalat menghadap ke tengah. Kalau masjid lain, semua mengadap ke dinding, bukan? Tetapi di Kaabah ini ada kelebihan yang tidak ada pada masjid lain.

وَإِذ جَعَلنَا البَيتَ مَثابَةً لِلنّاسِ وَأَمنًا وَاتَّخِذوا مِن مَقامِ إِبراهيمَ مُصَلًّى ۖ وَعَهِدنا إِلىٰ إِبراهيمَ وَإِسماعيلَ أَن طَهِّرا بَيتِيَ لِلطّائِفينَ وَالعاكِفينَ وَالرُّكَّعِ السُّجودِ

Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

وَإِذْ جَعَلْنَا الْبَيْتَ

Dan ingatlah ketika Kami jadikan Baitullah

Sebelum ini Nabi Ibrahim عليه السلام memohon kepada Allah ‎ﷻ supaya dijadikan daripada keturunannya juga imam-imam yang menjadi ikutan selepas baginda. Sekarang Allah ‎ﷻ terus memperkatakan tentang Kaabah selepas sentuh tentang keturunan tadi.

Kaabah adalah umpama ‘ibu’ kepada masjid-masjid yang lain di dalam dunia ini. Maka, ada kaitan masjid di dalam pembinaan akhlak anak-anak. Kena mesrakan anak-anak dengan masjid. Kena bawa mereka ke masjid supaya mereka tidak janggal dengan masjid. Yang menyedihkan adalah, masjid di Malaysia ini tidak mesra kanak-kanak. Mereka dilayan seperti warganegara kelas ketiga di masjid. Mereka selalu dimarahi apabila mereka berada di masjid.

Kalau dibenarkan salat, mereka diberikan tempat yang jauh daripada orang-orang dewasa. Mereka ada tempat khas salat. Iaitu bukan saf kanak-kanak. Tetapi ‘saf kanak-kanak bermain’.

Kemudian mereka selalu dimarahi oleh orang-orang tua di dalam masjid, seolah-olah mereka tidak patut berada di sana. Kalau mereka dapat pengalaman yang tidak bagus tentang masjid semasa umur muda, bagaimana mereka hendak mesra dengan masjid apabila mereka sudah dewasa nanti? Sebab itu orang-orang muda kita tidak rapat dengan masjid kerana pengalaman tidak menarik di sana.

مَثَابَةً لِلنَّاسِ

sebagai satu tempat tumpuan bagi manusia semua sekali

Perkataan مَثَابَةً bermaksud suatu tempat rujukan yang akan didatangi berkali-kali bagi seluruh manusia. Zaman Nabi ﷺ dahulu dan sahabat, Mekah adalah tempat rujukan. Khutbah Nabi ﷺ yang paling panjang adalah semasa di Mekah. Cuma zaman sekarang ia menjadi tempat tumpuan semasa musim haji sahaja.

Padahal pada zaman dahulu, itulah pusat pemerintahan kerajaan Islam. Itulah zaman keemasan Islam. Kalau ada masalah umat islam sedunia, kena selesaikan di sana. Pemimpin akan berkumpul dan berdiskusi di sana dan pengumuman yang penting-penting akan dilakukan di sana. Terutamanya semasa Musim Haji kerana umat Islam akan berkumpul di sana dan para pemimpin turut akan datang dan berbincang di sana. Pengumuman penting akan dilakukan di sana.

وَأَمْنًا

dan sebagai satu tempat yang aman;

Mekah adalah satu tempat yang aman sampaikan binatang dan tumbuhan pun tidak boleh dikacau, apatah lagi manusia. Di Mekah tidak boleh merompak, mencuri dan membunuh.

Jika pada zaman dahulu, kalau ada yang membunuh keluarganya sendiri, tidak akan seseorang itu membunuh orang yang bersalah itu kalau sudah memasuki ke dalam Masjidil Haram. Sesiapa yang masuk dalam Masjidil Haram tidak akan dibunuh. Tetapi malangnya Musyrikin Mekah menghalang Nabi ﷺ daripada salat di Kaabah.

Memang Mekah pada zaman itu aman kalau dibandingkan dari tempat-tempat yang lain. Kalau tempat lain, bermaharajela pembunuhan, rompakan dan serangan. Akan tetapi tidak di Mekah kerana penduduk Tanah Arab penyembah berhala waktu itu dan selalunya ada berhala mereka diletakkan di Kaabah. Maka mereka menghormati juga Kaabah dan Mekah tidak akan diserang.

Pada waktu itu kerajaan besar adalah Rom dan Parsi. Dua kerajaan ini juga tidak menyerang Mekah kerana tidak ada kepentingan bagi mereka. Mekah itu jauh daripada tamadun dan tidak ada kepentingan bagi mereka. Mereka buat tidak tahu sahaja dengan Mekah. Maka Mekah selamat daripada dijajah.

وَاتَّخِذُوا مِنْ مَقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Dan kamu jadikanlah Maqam Ibrahim sebagai tempat sembahyang;

Allah ‎ﷻ telah memberi arahan kepada kita untuk menjadikan Maqam Ibrahim itu sebagai tempat salat sunat. Selepas tawaf, dianjurkan untuk salat sunat di situ.

Maqam Ibrahim itu adalah batu yang dijadikan sebagai tempat Nabi Ibrahim عليه السلام membangunkan Kaabah. Kaki Nabi Ibrahim عليه السلام terserlum ke dalam batu itu dan bekas kaki baginda itu ada sampai sekarang.  Tetapi telah ditutup supaya mereka yang pergi ke sana, tidak nampak. Itu pun orang sudah sapu dan cium bekas yang diletakkan batu itu sebab mereka hendak mengambil berkat. Ini adalah perbuatan yang salah. Manusia kalau iman tidak kuat, mereka akan cari benda-benda seperti itu untuk diambil sebagai berkat.

Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat tentang ibadat Haji dalam ayat ini. Sedangkan ayat ini semasa umat Islam ketika itu berada di Madinah dan mereka tidak boleh ke Mekah lagi kerana masih dikuasai oleh puak Musyrikin Mekah. Maka, Allah ‎ﷻ sedang memberi isyarat kepada mereka bahawa mereka akan dapat pergi buat Haji ke Mekah nanti. Ia adalah isyarat kepada berita gembira untuk mereka.

وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ

Dan ketika Kami titahkan arahan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail

Perkataan عهد bermaksud ‘perjanjian’, tetapi apabila ditambah dengan perkataan إِلَىٰ, ia bermaksud arahan untuk melakukan sesuatu. Allah ‎ﷻ sebut juga Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini. Maknanya ada arahan titah daripada Allah ‎ﷻ kepada mereka berdua.

Dalam ayat sebelum ini, Nabi Ibrahim عليه السلام berdoa supaya keturunannya juga dijadikan sebagai imam. Allah ‎ﷻ kata janji-Nya itu tidak diberikan kepada orang yang zalim. Tetapi dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ menyebut Nabi Ismail, anaknya. Bermakna, ada daripada keturunan Nabi Ibrahim عليه السلام yang baik-baik. Antaranya yang disebut adalah Nabi Ismail عليه السلام.

Ayat ini sedang dibaca oleh orang Yahudi juga. Mereka tidak menerima Nabi Ismail ‎عليه السلام kerana Nabi Ismail عليه السلام adalah bapa bagi keturunan Arab. Orang Yahudi hanya menerima Nabi Ishak عليه السلام sahaja, anak Nabi Ibrahim عليه السلام juga. Oleh kerana Orang Yahudi tidak menerima Nabi Ismail عليه السلام, Allah ‎ﷻ memuliakan Nabi Ismail عليه السلام dalam ayat ini.

Ayat ini menceritakan Allah ‎ﷻ memberi arahan kepada Nabi Ibrahim عليه السلام dan Nabi Ismail عليه السلام. Ini juga sebagai isyarat bahawa seorang ayah kena bawa anaknya ke masjid. Bukan pergi seorang sahaja. Kita telah sebutkan sebelum ini yang seorang ayah kena mesrakan anak ke masjid. Masalah sekarang, ayah pun jarang ke masjid. Kalau ayah pun tidak ke masjid, bagaimana anaknya hendak ikut ke masjid?

أَنْ طَهِّرَا بَيْتِيَ

supaya menyucikan rumahKu ini;

Nabi Adam عليه السلام yang mula-mula sekali bangunkan Kaabah. Kemudian rosak bila banjir besar. Maka dikatakan Nabi Nuh عليه السلام telah membetulkannya balik. Kemudian manusia berbuat syirik dan letak berhala di Kaabah. Sekarang disebut yang Allah ‎ﷻ telah arahkan mereka berdua untuk menyucikan Kaabah daripada benda-benda yang pernah mengotori Kaabah.

Pada zaman Nabi Muhammad ﷺ telah ada macam-macam kemungkaran di Kaabah ketika itu. Maknanya, dari zaman Nabi Nuh عليه السلام lagi sudah ada orang buat perangai syirik di situ. Ia telah dijadikan tempat memuja selain Allah ‎ﷻ. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ mengarahkan mereka berdua untuk membersihkan Kaabah. Maka, sebelum Nabi Ibrahim عليه السلام membina semula Kaabah, kita tahu yang berhala sudah ada di Kaabah.

لِلطَّائِفِينَ

bagi orang orang yang tawaf

Diutamakan dan didahulukan Kaabah untuk orang yang tawaf di situ. Ini kerana di Kaabah sahaja tempat tawaf. Sebab itulah dibolehkan melintas mereka yang salat sunat untuk mengerjakan tawaf.

Sebab keutamaan mengerjakan tawaflah yang menyebabkan penjaga-penjaga di sekeliling Kaabah akan berusaha untuk memberikan ruang untuk mereka yang tawaf.

وَالْعَاكِفِينَ

dan orang-orang yang iktikaf;

Iktikaf bermaksud masuk masjid dan niat untuk duduk dalam masjid untuk beberapa lama. Bukan hanya masuk sahaja. Macam sekarang, orang kita faham, masuk masjid untuk salat sahaja, sudah dikira iktikaf.

Sebenarnya, iktikaf itu adalah masuk dan tidak keluar selama beberapa waktu yang lama. Maknanya, sudah lain makna iktikaf sekarang dengan yang sepatutnya. Iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid, maka kita tidak boleh iktikaf atas kubur. Yang iktikaf di kuburan itu adalah golongan quburiyyun, termasuk golongan Habib sekarang.

Dari segi bahasa, iktikaf itu adalah ‘bertapa’. Selalunya selama sehari semalam. Tetapi dalam Islam, tidak ada syariat untuk bertapa. Jadi, iktikaf kita hanya boleh dilakukan di masjid. Bukanlah itu lebih baik? Daripada bertapa di gunung, bukit, lembah atau dalam kubur?

Tetapi tarekat-tarekat sesat telah mengajar anak murid mereka untuk bertapa di tempat-tempat kotor macam itu. Kononnya boleh meningkatkan maqam/darjat ilmu. Masih banyak lagi dilakukan sekarang. Ini adalah kerana masih ramai lagi yang tertipu dengan ajaran-ajaran sesat sebegitu.

وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

dan bagi orang yang rukuk dan sujud;

Maksudnya, Kaabah adalah tempat untuk manusia mendirikan sembahyang.

Maknanya, Kaabah itu adalah tempat bagi orang tawaf, iktikaf dan melakukan salat. Daripada ayat ini, yang kita disuruh buat di Kaabah adalah banyakkan membuat tawaf, iktikaf dan salat di Masjidil Haram. Bukanlah kita disuruh buat umrah banyak-banyak kali macam yang dilakukan oleh ramai orang sekarang.

Maka tidak sepatutnya orang buat umrah sampai dua tiga kali. Sahabat tidak ada buat begitu. Kecualilah kalau mereka ada urusan lain dan keluar semula. Iaitu mereka keluar itu kerana ada urusan. Banyak yang salah faham tentang perkara ini. Sampai ada yang buat umrah banyak-banyak kali. Selalunya mereka hendak mengejar sampai cukup tujuh kali buat Umrah.

Ini adalah kerana salah faham dengan hadith Nabi ﷺ yang mengatakan kalau tujuh kali umrah, bersamaan pahala dengan buat haji sekali. Tetapi hadith itu tidak sahih maka tidak boleh dijadikan sebagai hujah. Kita kena lihat amalan Nabi dan sahabat. Adakah Nabi ﷺ buat umrah banyak kali setiap kali Nabi ﷺ pergi ke sana? Tidak, bukan? Maka sepatutnya kita buat umrah sekali, kemudian kita banyakkan buat ibadat tawaf seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini.

Jadi, tuntutan kepada kita apabila berada di Masjidil Haram adalah melakukan tawaf, iktikaf dan salat sahaja. Yang buat umrah banyak kali itu, mereka sudah tidak sempat untuk salat sunat di Masjidil Haram. Sebab tidak sempat untuk mengejar masa ke tempat miqat.

Atau, mereka sudah tidak buat salat sunat dan ibadah lain sebab mereka sudah tidak larat untuk ke sana sini. Padahal, setiap kali salat di Masjidil Haram, pahala salat itu akan digandakan sebanyak seratus ribu kali. Ini adalah dari hadith yang sahih. Adakah Nabi ﷺ menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda kalau buat umrah banyak kali? Tidak.

Manakala apabila mereka mengerjakan umrah banyak kali, mereka tidak akan melakukan tawaf sunat lagi. Maka yang sebetulnya kena banyakkan salat dan tawaf di Masjidil haram. Rugi kalau kita tidak solat di Masjidil haram banyak kali sebab satu waktu bersamaan seratus ribu pahala berbanding salat di tempat lain.

Lihatlah juga keindahan bahasa Al-Qur’an yang tepat. Allah ‎ﷻ sebut:

لِلطَّائِفِينَ Untuk orang-orang yang bertawaf

وَالْعَاكِفِينَ DAN orang-orang yang beriktikaf

وَالرُّكَّعِ DAN orang-orang yang rukuk

السُّجُودِ Sujud. Tidak ada kata DAN di antara rukuk dan sujud kerana dua-dua ada dalam salat.

Begitu juga ada susunan yang tepat ‘daripada sedikit kepada banyak’ dalam susunan ibadah-ibadah itu:

Tawaf: ibadat yang paling kurang di antara semua ibadah yang disebut. Kerana hanya boleh dilakukan di Kaabah sahaja.

Iktikaf: lagi banyak dilakukan oleh manusia. Kerana boleh dilakukan di mana-mana masjid jami’ sedangkan tawaf hanya boleh dilakukan di Kaabah sahaja. Tetapi lagi kurang daripada rukuk.

Rukuk: lagi banyak dilakukan daripada iktikaf. Tetapi lagi kurang daripda sujud.

Sujud: paling banyak dilakukan. Kita rukuk sekali sahaja dalam satu rakaat, tetapi sujud dua kali. Dan manusia juga boleh melakukan sujud sunat. Tetapi tidak ada rukuk sunat, bukan?

Lihat juga ada perubahan susunan daripada ibadat yang khas kepada ibadat yang umum.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan