Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 3)

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 3)

181
0
Iklan

4. Redha dengan Allah ‎ﷻ sedikit atau banyak; senang atau susah.

Redha ini maksudnya terima apa sahaja ketentuan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada dia.

Senang atau susah, dia tetap terima. Redha maksudnya: senang hati dengan pahitnya qadha.

Kalau terima sesuatu senang, orang senang redha… namun bagaimana kalau susah? Maka sufi yang benar akan tetap terima apa sahaja ketentuan yang Allah ‎ﷻ telah berikan kerana dia sedar yang dia hanya hamba dan Allah ‎ﷻ itu Tuhan. Allah ‎ﷻ boleh kenakan apa sahaja kepada dia dan dia tidak merungut.

Maka, walaupun Allah ‎ﷻ berikan kesusahan kepadanya, dia tetap sayang kepada Allah ‎ﷻ. Tidaklah dia merungut, marah kepada Tuhan. Tidaklah dia marah kepada Allah ‎ﷻ. Kita selalu dengar ramai yang mempersoalkan ketentuan Allah ‎ﷻ. Mereka berkata: “Kenapa Allah buat macam ini?” Paling kurang pun mereka kata: “Aiseh, kenapalah hujan pulak hari ni? Aku nak jogging ni!” Ini pun sudah menunjukkan tanda tidak redha.

Sufi yang benar tetap rasa Allah ‎ﷻ sayang kepadanya, walaupun dia ditimpa dengan kesusahan dan musibah. Ini kerana dia tahu Allah ‎ﷻ Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia juga percaya yang Allah ‎ﷻ Maha Bijaksana. Jadi ketentuan yang Allah ‎ﷻ berikan kepadanya itu mesti ada kebaikan di sebaliknya. Dia mungkin tidak nampak lagi, tetapi dia terus sudah percaya dengan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ.

Ramai yang terkesan kalau kena musibah. Dia mula rasa Allah ‎ﷻ sudah tidak sayang kepadanya. Namun kita pun sudah tahu Allah ‎ﷻ sayang kepada para Rasul-Nya, tetapi mereka itu banyak kena musibah dan ujian, bukan? Maka kena musibah dan ujian bukanlah tanda Allah ‎ﷻ benci. Jangan ada salah faham ini.

Sufi yang benar sentiasa memandang kepada kebaikan dalam setiap qadar Allah ‎ﷻ. Walaupun dia mungkin tidak nampak kebaikan dalam musibah yang diterimanya itu, tetapi dia redha. Dia yakin yang tentu apa yang terjadi itu adalah kebaikan untuknya.

Kita boleh lihat kisah ini di dalam Surah Kahfi tentang kisah Nabi Khidr عليه السلام dan Nabi Musa عليه السلام. Ada tiga kisah di dalamnya:

1. Kisah perahu
2. Kisah anak yang dibunuh
3. Kisah dinding yang didirikan semula

Nabi Musa عليه السلام tidak faham kenapa Nabi Khidr عليه السلام memusnahkan perahu itu, tetapi sebenarnya kerana Allah ‎ﷻ hendak membantu tuanpunya perahu.

Nabi Musa عليه السلام tidak faham kenapa Nabi Khidr عليه السلام membunuh budak kecil itu; tetapi rupa-rupanya Allah ‎ﷻ hendak menjaga iman ibubapanya dan memberikan anak yang lebih baik.

Nabi Musa عليه السلام hairan kenapa Nabi Khidr عليه السلام membangunkan dinding di kampung itu. Rupa-rupanya Allah ‎ﷻ hendak menjaga harta anak yatim yang tersimpan di bawah dinding itu supaya tidak diambil orang.

Ayat-ayat itu mengajar kita untuk percaya dengan urusan Qada’ dan Qadar Allah ‎ﷻ. Kita yakin sahaja yang Allah ‎ﷻ ada perancangan-Nya. Akal kita mungkin tidak sampai untuk memahaminya, tetapi iman yang tinggi akan menenangkan hati kita untuk menerima ketentuan Allah ‎ﷻ. Walau betapa berat pun ujian yang Allah ‎ﷻ kenakan kepada kita.

Kita beriman dengan Firman Allah ‎ﷻ dalam [Zukhruf:32]

أَهُم يَقسِمونَ رَحمَتَ رَبِّكَ ۚ نَحنُ قَسَمنا بَينَهُم مَّعيشَتَهُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۚ وَرَفَعنا بَعضَهُم فَوقَ بَعضٍ دَرَجٰتٍ لِّيَتَّخِذَ بَعضُهُم بَعضًا سُخرِيًّا ۗ وَرَحمَتُ رَبِّكَ خَيرٌ مِّمّا يَجمَعونَ

Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhanmu? Kami yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

Allah ‎ﷻ yang menentukan rezeki kita. Tidak kira dari segi harta, kesihatan, kedudukan, ilmu, dan lain-lain lagi. Jangan kita persoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah berikan, dan ‘tidak’ berikan. Itu semua adalah dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Siapa kita untuk mempersoalkan apa yang Allah ‎ﷻ telah beri atau tidak beri kepada kita?

Redha dengan Allah ‎ﷻ adalah penyebab untuk masuk syurga. Kalau tidak redha dengan Allah ‎ﷻ, tentu ada masalah. Allah ‎ﷻ telah berfirman dalam [Maidah:119]

قالَ اللَّهُ هٰذا يَومُ يَنفَعُ الصّٰدِقينَ صِدقُهُم ۚ لَهُم جَنّٰتٌ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۚ رَّضِيَ اللَّهُ عَنهُم وَرَضوا عَنهُ ۚ ذٰلِكَ الفَوزُ العَظيمُ

Allah ‎berfirman: “Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. Bagi mereka syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya. Itulah keberuntungan yang paling besar”.

Kita kena redha dengan ketentuan Allah ‎ﷻ terhadap diri kita. Kita kena bersangka baik dengan Allah ‎ﷻ. Jangan ada rasa tidak puas hati dengan apa yang Allah ‎ﷻ telah lakukan terhadap kita.

Allah ‎ﷻ memiliki kuasa mutlak untuk membuat apa sahaja. Kalau Allah ‎ﷻ buat apa-apa pun, memang kita tidak ada hak untuk mempersoalkan Allah ‎ﷻ.

Memang kita kadangkala susah hendak terima dengan musibah yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Namun dalam masa yang sama, kenalah ingat yang Allah ‎ﷻ itu Maha bijaksana. Maka kerana itu Allah ‎ﷻ tidak buat sesuatu yang salah dan tersilap. Allah ‎ﷻ tidak pernah buat perkara yang sia-sia.

Komen dan Soalan