Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 1)

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan (Bahagian 1)

284
0
Iklan

Talbis Iblis: Tazkiyatun Nafs dan Ihsan

Secara dasarnya, kalau kita lihat falfasah asal tasawuf, tidaklah ia sesuatu yang buruk. Malah, tujuannya baik. Ini kerana falsafah asal tasawuf adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ.

Tujuan tasawuf adalah untuk mendidik hati supaya buat apa-apa sahaja kerana Allah ‎ﷻ. Ini adalah perkara yang halus yang perlu didikan hati kerana memang susah untuk ikhlas dalam amalan kita. Maka kerana itu ada istilah tazkiyatun nafs (pembersihan nafsu) dan juga ‘ihsan‘ dalam agama.

Tazkiyatun Nafs dan juga ‘ihsan‘ adalah istilah yang digunakan oleh golongan salaf. Jadi nama ‘sufi’ dan tasawuf itu datang kemudian. Yang jadi masalah apabila nama baru, amalan-amalan pun baru. Kalau amalan diambil daripada ajaran sunnah, memang tidak ada masalah.

Jadi ini adalah masalah terminologi sahaja. Sama ada dipanggil sufi, tazkiyatun nafs, atau ihsan, kalau ia benar, maka kita boleh pegang dan pakai.

Imam Nawawi رحمه الله pun ada memberi komentar tentang sufi. Beliau juga telah menyenaraikan beberapa usul sufi yang dapat menyelamatkan diri daripada Talbis Iblis. Ada 5 usul yang disenaraikan.

1. Taqwa kepada Allah ‎ﷻ dalam sembunyi atau terbuka.

Taqwa bermaksud sedar Allah ‎ﷻ sedang melihat kita di mana sahaja kita berada. Tidak kira di Malaysia, di Thailand atau di mana sahaja. Tuhan yang sama sahaja di mana-mana pun.

Tidak kira sama ada kita bersama dengan orang lain atau bersendirian. Ini penting kerana ada orang baik kalau di hadapan orang, tetapi jadi hantu bila tidak ada orang lain. Begitu juga, di Malaysia baik, tetapi sampai Siam sahaja sudah jadi orang lain.

Inilah maksud Ihsan. Sebagaimana di dalam sebuah hadith yang panjang dari Abu Hurairah رضي الله عنه, di mana Malaikat Jibril عليه السلام bersoal jawab dengan Nabi ﷺ dan di sana ada menyebut mengenai maksud ihsan :-

مَا الْإِحْسَانُ ؟ قَالَ : أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Apakah itu Ihsan? Baginda menjawab : Sesungguhnya kamu beribadat kepada Allah ‎ﷻ seolah-olah kamu melihatnya, walaupun kamu tidak melihatnya, akan tetapi Allah ‎ﷻ melihat kamu” [Hadith Riwayat Bukhari #50, Muslim #9].

Kalau dapat terapkan dalam diri kita yang Allah ‎ﷻ sentiasa melihat kita, tentu kehidupan kita akan berbeza. Kita akan taqwa di mana-mana sahaja kerana Allah ‎ﷻ sentiasa sahaja melihat kita.

Namun tentulah susah untuk mendapatkan perasaan ini. Jadi memang kena ada latihan. Di mana latihan kita?

Latihan kita di dalam salat. Iaitu kita kena ingat yang kita sedang menghadap Allah ‎ﷻ. Kita sedang bermunajat kepada Allah ‎ﷻ, Allah ‎ﷻ sedang memerhatikan apa sahaja yang kita sedang lakukan dalam salat.

Namun ini pun susah. Ramai dari kita sedang salat, tetapi fikiran sampai ke Amerika. Macam-macam teringat. Waktu salat itu lah teringat barang yang tersilap letak, apa yang baru anak kita cakap pagi tadi, kerja yang tidak siap. Waktu lain tidak teringat pula.

Jadi entah berapa peratus sahaja dalam salat itu kita sedar yang kita berhadapan dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kena latih diri kita untuk tarik balik perhatian kita kepada salat. Fikiran lari sahaja, panggil balik, panggil balik.

Ini dapat dicapai dengan kita memahami apa yang kita sedang lafazkan di dalam salat. Maka kerana itulah penting kita faham kalimah-kalimah dalam salat. Ini dipanggil tafhim. Kita tahu apa yang kita sebut dalam salat kita. Dari mula takbir sampailah bagi salam. Ini kerana apabila kita sebut di mulut sahaja tanpa kalimah itu ada makna, maka fikiran kita akan menerawang ke tempat lain.

Kalau kita faham maksud Allahu Akbar pun sudah hebat kerana ia bermaksud ‘Allah ‎ﷻ lebih besar’. Allah ‎ﷻ lebih besar daripada keluarga kita, kerja kita, makanan kita, masalah kita dan apa-apa sahaja.

Malah merata-rata ada takbir ini dalam salat kita. Jadi kalimah takbir ini boleh menjadi “trigger” (pemicu) kita untuk kembalikan ingatan kita kepada salat. Kalau sedang salat dan fikiran kita teringat kerja, tiba-tiba kita takbir. Ingatkan kita: “Allah lebih besar dari kerja aku yang tertangguh itu”.

 

2. Ittiba’ Sunnah dalam perkataan dan perbuatan.

Amalan agama dan kehidupan mesti selari dengan Sunnah yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ. Jadi kena tahu apakah Sunnah bawaan Nabi Muhammad ﷺ. Ini memerlukan usaha untuk belajar. Maka kena belajar tafsir dan hadith-hadith Nabi ﷺ.

Juga kena selari amalan dengan perkataan. Melakukan apa yang dikatakan. Bukan hanya setakat cakap sahaja.

Malangnya, amalan sufi tarekat yang berada di dunia sekarang kebanyakannya tidak mementingkan sunnah yang sahih. Mereka reka amalan-amalan dan fahaman yang baru yang bukan datang daripada ajaran Nabi Muhammad ﷺ dan amalan para sahabat.

Salah satu perkara yang ditekankan dalam sufi adalah akhlak. Maka kena belajar apakah akhlak Nabi ﷺ.

Komen dan Soalan