Pengenalan
Apabila berhadapan dengan situasi seseorang yang hendak berhutang dengan anda, pertamanya hendaklah anda kenali dahulu siapakah orang yang hendak berhutang dengan anda itu.
- Ciri pertama
Si fulan adalah seorang yang suka menangguh untuk membayar semula hutang. Walhal si fulan menjalani gaya hidup yang mewah dan boros. Maka, terpulanglah kepada anda, sama ada mahu menyeksa atau mahu melepaskan si fulan dari seksaan akibat tidak membayar hutang.
Hukum:
Orang yang meninggal dunia tetapi di dalam keadaan masih mempunyai hutang, rohnya akan terawang-awangan dan pahala dari amal ibadahnya menjadi milik si pemberi hutang.
Dalil hadith:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ دِينَارٌ أَوْ دِرْهَمٌ قُضِىَ مِنْ حَسَنَاتِهِ لَيْسَ ثَمَّ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَم
“Barangsiapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (di hari kiamat nanti) kerana di sana (di akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.”
[ HR. Ibnu Majah no. 2414. Menurut pendapat Syaikh al Albani rhm, status hadith ini, sahih Ibnu Majah ]
- Ciri kedua:
Si fulan terhimpit dengan kesempitan hidup.
Sekiranya si fulan meninggal dunia sedangkan di dalam keadaan masih berhutang, tidak berkemampuan dan hidup di dalam kesempitan tetapi berniat untuk membayar hutang.
Maka, yang terbaik bagi anda adalah dengan cara menghalalkan kesemua hutang tersebut.
Firman Allah ﷻ,
وَإِنْ كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَنْ تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan jika (orang yang berhutang itu) dalam kesukaran, Maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan dan menyedekahkan (sebahagian atau semua hutang) itu, lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.
[ Al-Baqarah ayat:280 ]
Ulasan:
Semuanya bergantung kepada pemiutang, sama ada hendak menambah seksa atau hendak meringankan azab orang yang berhutang dengannya di akhirat.
Solusi:
Ketika selesai pengebumian jenazah, maka tuntutlah hutang anda daripada warisnya, dengan mengemukakan bahan bukti bahawa si mati ada berhutang dengan anda. Waris akan membayarnya dengan harta si mati. Maka dengan cara itu, ia akan membantu roh si mati dari tidak terawang-awangan dan pahalanya pula tidak dipindahkan kepada anda.
Soal jawab berkaitan hutang
1. Apakah hukum bagi orang yang banyak hutang tetapi melambatkan bayar hutang sedangkan duit sudah ada dan tempoh bayar hutang yang ditetapkan sudah lama?
Apabila mati, roh dia tergantung.
Dalil hadith:
عنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْه
Abu Hurairah رضى الله عنه berkata:
“Rasulullah ﷺ bersabda: “Roh seorang beriman tergantung dengan hutangnya, sampai dibayar hutangnya.”
[ HR. at-Tirmidzi dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani di dalam kitab Sahih al-Jami’, no. 6779 ]
al-Mubarakfuri رحمه الله berkata:
قَالَ السُّيُوطِيُّ أَيْ مَحْبُوسَةٌ عَنْ مَقَامِهَا الْكَرِيمِ وَقَالَ الْعِرَاقِيُّ أَيْ أَمْرُهَا مَوْقُوفٌ لَا حُكْمَ لَهَا بِنَجَاةٍ وَلَا هَلَاكٍ حَتَّى يُنْظَرَ هَلْ يُقْضَى مَا عَلَيْهَا مِنَ الدَّيْنِ أَمْ لَا انْتَهَى . وسَوَاءٌ تَرَكَ الْمَيِّتُ وَفَاءً أَمْ لَا كَمَا صَرَّحَ بِهِ جُمْهُورُ أَصْحَابِنَا
Asy-Suyuthi berkata: “Yakni tertahan dari tempatnya yang mulia, dan al-Iraqi berkata: “Iaitu nasibnya tertahan tidak ada hukum untuknya dengan keselamatan atau kebinasaan, sampai dilihat, apakah dibayar hutang atau tidak.” Baik ia meninggalkan pembayaran atau tidak, sebagaimana yang di nyatakan dengan jelas kebanyakan para sahabat kami.”
[ Tuhfat Al-Ahwadzi, 4/164 ]
Ulasan:
Tergantung daripada disimpan bersama roh orang salih atau roh orang yang berdosa. ‘Tergantung’ maksudnya tidak dikuburkan atau ditempatkan simpanan roh.
2. Berdosakah jika melewatkan membayar hutang?
Dosa kecil. Jika tidak mahu bayar dan berniat tidak mahu bayar hutang barulah dosa besar.
3. Benarkah orang yang memberi hutang tidak boleh pergi ke rumah orang yang berhutang, makan atau mengambil manfaat daripada si penghutang kerana ia dikategorikan sebagai riba’?
Ini termasuk soalan yang akan memakan diri.
Firman Allah ﷻ:
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu dan jika kamu menanyakan di waktu Al-Qur’an itu diturunkan, nescaya akan diterangkan kepadamu, Allah memaafkan (kamu) tentang hal-hal itu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun.”
[Al-Maidah: 101]
Ini bermaksud, tidak pernah ada larangan sedemikian, tiba-tiba kita yang bertanyakan hal tersebut. Maka jika datang hukum, ia akan menyusahkan orang yang bertanya. Maka ini termasuk benda yang tidak disebut langsung dalam syariat. Dari mana datang idea sedemikian?
4. Adakah orang yang mati syahid, dosa-dosa lalunya masih dikira?
يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلَّا الدَّيْنَ
Orang yang mati syahid diampuni semua dosa kecuali hutang.”
[ HR Muslim no 1886 ]
Semua dosa diampun kecuali hutang kerana ia hak sesama manusia.
5. Sebelum salat jenazah dilakukan di masjid, pihak keluarga meminta individu yang ada memberi hutang pada si mati untuk membuat tuntutan pada warisnya.
Itu memang suatu yang wajar dimaklumkan, kerana roh si mati akan tergantung kerana hutang.
Dalil hadith:
نَفْسُ الْـمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّىٰ يُقْضَى عَنْهٌ
“Jiwa seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya sampai hutangnya dilunasi.”
[ Sahih, Syaikh al-Albani رحمه الله, Sahihul Jaami’ no. 6779 ]
6. Bagaimana jika orang ingin meminjam duit, tetapi dia sendiri yang menawarkan bayar balik lebih 20%. Adakah itu dikira riba? Ada dalil?
روى البخاري (443) ومسلم (715) عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : ” أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فقَالَ : صَلِّ رَكْعَتَيْنِ . وَكَانَ لِي عَلَيْهِ دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي
Daripada Jabir bin ‘Abdillah رضي الله عنه berkata: “Aku datang menemui Nabi ﷺ yang berada di dalam masjid, lalu baginda bersabda: “Tunaikan solat dua rakaat.” Baginda ketika itu ada berhutang kepadaku, lalu baginda membayarnya dan melebihkan bayaran.”
[ Bukhari, no 443. Muslim no 715 ]
Fatwa Saudi Arabia, al-Lajnah al-Daimah 14/134:
ليس للمقرض أن يأخذ من المقترض إلا ما أقرضه إياه، إلا أن تطيب نفس المقترض بشيء من الزيادة في الكيفية أو الكمية، فلا بأس إذا لم يسبقه شرط أو تواطؤ على ذلك ، وهكذا إن جرى بذلك عرف ؛ لأن الشرط العرفي كاللفظي
“Orang yang memberi hutang tidak boleh mengambil daripada orang yang berhutang melainkan jumlah hutang yang diberi sahaja, melainkan tambahan yang berbentuk pemberian sukarela daripada orang yang berhutang sama ada tambahan itu pada kaifiat atau nilai, maka tidak mengapa jika tambahan itu diberi tanpa syarat atau persetujuan terdahulu.”
Pemberi hutang meninggal dunia dan dituntut oleh anak-anaknya
Seseorang telah berhutang sebanyak RM 2,500 dan berjanji membayar semula hutang pada hari yang telah dijanjikan. Orang yang memberi hutang pula meninggal dunia sebelum hari si penghutang berjanji membayar hutangnya semula. Setelah kematian orang yang memberi hutang, anak-anak si mati pula menuntut hutang tersebut tetapi tidak berjaya. Si penghutang mengatakan ia urusan dengan si mati. Oleh kerana itu dua orang daripada anak si mati menghalalkan sahaja hutang tersebut, sementara seorang lagi tidak mahu ambil tahu.
Hutang ini sepatutnya ada perjanjian bertulis dan ada saksi yang tandatangan. Dalam surat itu perlu ada tempoh, bila akan dipulangkan dan sebaiknya ada cagaran barang berharga.
Firman Allah ﷻ:
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَٱكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌۢ بِٱلْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ ٱللَّهُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya…”
[ Al-Baqarah: 282 ]
Maka jika tiada surat menyurat, luputkan sahaja. Jika dihalalkan, ia melepaskan roh orang yang berhutang itu dari tergantung setelah kematiannya nanti. Jika hutang dituntut, orang yang berhutang itu akan terseksa selepas kematiannya. Orang yang menuntut hutang dan keluarga tiada apa-apa dosa jika terus menuntut hutang kerana itu haknya.