Utama Bilik (01) Fiqh As Sunnah Fiqh Jual Beli dalam Islam

Fiqh Jual Beli dalam Islam

1144
0
Iklan

Fiqh membeli

1. Hukum membeli barang curian. Setelah dibeli baru mengetahui barang tersebut adalah barang curi.

Mencuri adalah jenayah. Mengikut hukum hudud dikenakan potong tangan. Tidak boleh dipandang remeh dengan harta curian.

Fatwa Islam Online (Mufti Dr Muzzamil Siddiqiey), dia hendaklah berusaha memulangkan kepada pemilik asalnya sama ada iklan dalam suratkhabar atau internet atau membuat laporan polis dan menyerahkan barangan tersebut kepada pihak polis. Dia hendaklah berusaha mengesan penjual dan menuntut ganti rugi

Pengajaran:

Beli barangan dari syarikat pengedar yang sah sahaja. Biar mahal asalkan ada jaminan dan barangan yang asli bukan curi.

Hukum membeli barang curi walaupun mengetahuinya

Terdapat dalil hadith:

من اشترى سرقة وهو يعلم أنها سرقة ؛ فقد اشترك في عارها وإثمها

الراوي: أبو هريرة المحدث: الألباني – المصدر: ضعيف الترغيب – الصفحة أو الرقم: 1074

خلاصة حكم المحدث: ضعيف

Terjemahan: “Sesiapa yang membeli barang curi sedangkan dia tahu itu barang curian, maka dia bersekutu dalam aib dan dosa”, Al-Albani kata dha`if, tetapi Dr.Yusuf al-Qardhawi mengatakan fiqhnya benar. Dalam Halal & Haram Fil Islam, fiqhnya diterima dan ia juga satu kesalahan di sisi hukum Islam dan Sivil.

2. Apakah hukum membeli ‘kotak misteri (mystery box)’ secara dalam talian?

Cara pembelian dengan membayar RM40.00 tetapi bakal mendapat barangan dalam ‘kotak misteri (mystery box)’ dalam harga RM200.00.

Syarat bermuamalat Islami tidak boleh ada gharar.

Gharar bermaksud ada unsur misteri yang boleh merugikan pembeli. Ia juga sejenis perjudian nasib.

Dalil hadith:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Terjemahan:

“Rasulullah ﷺ melarang jual beli Al-Hashah dan jual beli Gharar”

[Muslim no. 1513]

3. Apakah hukumnya membeli durian yang masih di atas pokok (belum gugur)?

Islam membenarkan bermuamalat buah-buahan yang sudah ada di atas pokok yang sudah hampir masak, yang dilarang ialah ketika pokok sedang berbunga atau berputik.

Hadith:

Ibn Umar  رضي الله عنه , dia berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ السُّنْبُلِ حَتَّى يَبْيَضَّ وَيَأْمَنَ مِنَ الْعَاهَةِ

“Bahawa Nabi ﷺ melarang menjual sesuatu yang masih bertangkai sampai ia memutih dan aman dari cacat.”

[ HR Muslim ]

Syarah:

Jual beli kurma dibolehkan bila ia sudah matang (memutih) dan sudah bebas dari kecacatan.

Kalau sudah matang dan akan gugur, maka bolehlah bermuamalat. Ketika berbunga dan berputik tidak boleh.

Fiqh menjual

1. Saya ingin menjual peralatan muzik saya iaitu gitar dan hasil dari jualan gitar tersebut akan disedekahkan kepada pihak masjid. Bolehkah saya menjual gitar tersebut?

Hukum muzik dan nyanyian.

◾️ Pendapat jumhur dan 4 mazhab muzik adalah haram.

◾️ Ulama seperti Ibn Hazm  الله‎ رحمه  , Imam al Ghazali  الله‎ رحمه  dan Dr Yusof al-Qardhawi berpendapat harus tetapi bersyarat.

Jika kita menggunakan pendapat fiqh mazhab yang 4, maka alat muzik itu adalah haram dan urusan jualbeli adalah haram.

Cara melupuskan alat muzik tersebut:

  • Jual alat muzik tersebut dan duit hasil jualan didermakan.
  • Musnahkan alat muzik tersebut kerana dikhuatiri ia akan disalahgunakan.

◾️ Sekiranya memilih pendapat Dr Yusof al-Qardhawi dan Ibn Hazm  الله‎ رحمه, maka boleh sahaja menjualnya dan memakan duit hasil jualan.

2. Apakah hukum menggunakan terma Islami dalam perniagaan?

Contoh : Jual T-shirt yang ada ayat Islami, buku dengan tema Islami, terjemahan Al Qur’an, jubah, tudung dan lain – lain. Apakah panduan supaya peniaga tidak menjadikan Islam sebagai tunggangan untuk keuntungan?

Asal dalam muamalat adalah mubah yakni harus. Maka bisnes yang dinyatakan adalah harus jika tidak ada unsur MLM, penipuan dan manipulasi agama untuk menipu dan memperdaya orang ramai.

Contoh: Menjual air yasin RM10 untuk 500 ml, air jampi tulisan Zaafaran oleh 10 orang budak pondok, RM18.00 satu liter. Kismis jampi RM5.00 satu paket.

3. Apakah hukum urus niaga seperti di bawah ini?

Situasi:
Si A ditawarkan sepasang anak lembu jantan dan betina dengan harga jualan Rm 500.00 oleh si penternak lembu di kampungnya.
Si penternak lembu itu akan membela anak lembu tersebut sehingga besar dan beranak pinak. Apabila sudah besar dan mahu dijual, hasil jualan dibahagi kepada dua, di antara si A dan penternak lembu tadi.

Boleh sahaja.

Dalil hadith:

وقالَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ : المسلمونَ على شروطِهم 

الراوي : أبو هريرة | المحدث : الألباني | المصدر :صحيح أبي داود

الصفحة أو الرقم: 3594 | خلاصة حكم المحدث :حسن صحيح

(3594)  التخريج : أخرجه أبو داود 

“Orang Islam terikat dengan butiran perjanjian sesama mereka”
[HR Abu Daud, hadith sahih. Sahih Abu Daud no. 3594]

Nota Tambahan :

1. Apakah hukum menggunakan perisian cetak rompak?

Islam mengiktiraf harta intelek (intelectual property), reka cipta (patent) dan tanda perniagaan (trademark). Islam juga memerangi cetak rompak.

Oleh kerana penguatkuasaan Akta Cetak Rompak masih lemah dan harga harta intelek terlalu mahal, maka untuk kegunaan peribadi masih dibenarkan, bukan untuk tujuan bisnes.

[Fatwa Dr Al-Qardhawi]

Sebaiknya orang beriman menghormati harta intelek. Iaitu dengan tidak membeli barangan cetak rompak, dan hanya membeli barangan yang tulen.

Komen dan Soalan