Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Ujub — Iblis Biarkan Kita Rasa Pandai

Talbis Iblis: Ujub — Iblis Biarkan Kita Rasa Pandai

553
0
Iklan

Talbis Iblis: Ujub — Iblis biarkan kita rasa Pandai

Jangan kita rasa kita pandai. Jangan rasa ilmu kita sudah tinggi melangit. Jangan rasa kita tahu dan orang lain tidak pandai. Entah orang yang baru sahaja belajar, boleh faham lebih daripada kita. Jangan ada perasaan begini. Kita tidak tahu apakah ilmu yang Allah ‎ﷻ beri kepada orang lain.

Kalau rasa diri sudah lebih pandai orang lain, maka tengok [Yusuf: 76]

فَبَدَأَ بِأَوعِيَتِهِم قَبلَ وِعاءِ أَخيهِ ثُمَّ استَخرَجَها مِن وِعاءِ أَخيهِ ۚ كَذٰلِكَ كِدنا لِيوسُفَ ۖ ما كانَ لِيَأخُذَ أَخاهُ في دينِ المَلِكِ إِلّا أَن يَشاءَ اللهُ ۚ نَرفَعُ دَرَجاتٍ مَن نَشاءُ ۗ وَفَوقَ كُلِّ ذي عِلمٍ عَليمٌ

Maka mulailah Yusuf (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala raja itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf. Tiadalah boleh Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendaki-Nya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki; dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.

Kalau rasa diri pandai sangat, maka lihat pada potongan ayat:

وَفَوقَ كُلِّ ذي عِلمٍ عَليمٌ

dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui.

Ayat ini menceritakan bagaimana helah yang dibuat oleh Nabi Yusuf عليه السلام.  Ini adalah cara baginda hendak bawa ahli keluarga baginda ke Mesir. Memang helah ini hebat dan baginda bijak.

Namun Allah ‎ﷻ ingatkan yang pandai dan bijak macam mana pun, ada yang lebih pandai dan bijak daripada kita.

Ada kita pandai bab agama, tetapi ada orang pandai bab kehidupan.
Ada orang pandai bab feqah, tetapi ada orang lain lebih pandai bab tafsir.
Ada orang pandai semua bab agama, tetapi ada yang lebih pandai lagi kerana dia tahu lebih mendalam.

Ada yang lebih pandai daripada dia. Tidak boleh mendabik dada kata dia paling pandai.

Kalau dia paling pandai dalam dunia pun, ada lagi yang lebih pandai, iaitu ذي عِلمٍ عَليمٌ iaitu Allah ‎ﷻ.

Jangan rasa lebih pandai daripada Allah ‎ﷻ pula.

Jangan lupa, kepandaian yang kita ada adalah pemberian dan kurniaan Allah ‎ﷻ juga. Kalau Allah ‎ﷻ tidak bagi ilmu kepada kita, memang tidak tahu apa (macam masa lahir dahulu, apa yang kau tahu?)

Apa yang Allah ‎ﷻ beri, Allah ‎ﷻ boleh ambil balik (bila sudah nyanyuk nanti, hendak bukan zip seluar pun sudah tidak pandai).

Talbis ini kita boleh lihat banyak terjadi. Ramai yang mendabik dada kerana mereka rasa mereka lebih pandai daripada orang lain. Mungkin kerana mereka banyak hafal, mereka sudah banyak guru, mereka lebih lama belajar, mereka telah pergi negara itu dan ini.

Mereka pun merendahkan pengetahuan orang lain. Pandang lekeh kalau itu belajar di universiti lain dari mereka, lain pondok dari mereka, lain guru. Mereka kata guru mereka lebih hebat, guru mereka itu dan ini.

Kepandaian kita bukannya kita boleh periksa lebih pandai daripada orang lain atau tidak kerana ada banyak bidang dalam ilmu agama. Mana kita tahu kita lebih pandai daripada orang itu dalam segala hal? Kita mungkin pandai dalam bab ini dan dia pandai dalam bab lain.

Kita pun tidak boleh pastikan pandangan kita benar atau tidak. Rasulullah ﷺ sudah tidak ada untuk kita pastikan pemahaman kita benar ataupun tidak. Kalau Nabi ﷺ ada dengan kita, boleh kita bentangkan di hadapan baginda dan tanya: “Saya fikir macam ini, tapi sahabat saya fikir begini… siapa yang benar, wahai Nabi?” Ramai sahabat buat begitu tetapi kita tidak ada Rasul lagi di kalangan kita.

Maka dalam kita menolak pandangan orang lain, janganlah kita tolak keras sangat sebab entah pandangan dia yang benar. Entah pandangan dia yang betul.

Janganlah pandang rendah orang lain, entah dia lebih pandai lagi daripada kita.

Jangan kita taksub dengan guru kita. Tidak pasti lagi yang guru kita itulah yang paling pandai. Jangan kerana dia guru kita, apa sahaja yang dia cakap itu betul, dan guru lain itu salah. Tidaklah juga Allah ‎ﷻ beri segala ilmu kepada guru kita itu. Ada kemungkinan kebenaran berpihak pada orang lain.

Guru pun kena berlapang dada kalau anak murid pakai pendapat guru lain. Anak murid ada pilihan untuk memilih pendapat mana yang dia rasa lebih rapat dengan sunnah.

Guru dan anak murid kena berlapang dada dalam hal ini. Kalau anak murid pilih pendapat guru lain dalam mana-mana hal, maka bukanlah dia tolak guru dia.

Maka jangan halang anak murid untuk belajar dengan guru lain. Malah galakkan anak murid belajar lagi dengan guru lain juga. Memang manusia kena ramai guru.

Ulama’-ulama’ besar tidaklah menjadi ulama’ besar kerana mereka berguru dengan satu sahaja. Mereka jadi luas pandangan kerana mereka ramai guru.

Jangan marah atau berkecil hati kalau anak murid tegur kerana guru pun mungkin ada kesilapan yang dia tidak perasan. Mungkin anak murid belajar dengan kita, tetapi mungkin ada maklumat yang anak murid dapat dari tempat lain yang lebih tepat dengan sunnah. Tidak ada masalah belajar dengan anak murid.

Jangan balas: “Awak belajar ke saya belajar?”

Jangan malu hendak mengaku tidak tahu. Bukan semua ilmu kita ada. Rendahkan diri dan sedar yang bukan semua kita tahu.

Anak murid pula jangan hairan kalau guru kata dia tidak tahu kerana bukan guru dia tahu semua perkara.

Komen dan Soalan