Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Bagaimana Hendak Selamat dari Ghurur? (Bahagian 2)

Talbis Iblis: Bagaimana Hendak Selamat dari Ghurur? (Bahagian 2)

322
0
Iklan

Amat bahaya kalau kawan-kawan kita orang yang lebih teruk daripada kita kerana kalau begitu, kita akan rasa kita baik malah lebih baik daripada mereka, rasa selamat sahaja.

Maka kena ada kawan yang kita boleh bandingkan diri kita dengan dia dan dia lebih baik daripada kita.

Jangan risau sangat kalau ibadah kita kurang tetapi risaulah kalau kita bermaksiat dalam ibadat kita.

Iaitu kita rasa kita hebat, kita rasa kita dapat buat ibadat itu kerana diri kita. Iaitu kita lupa berterima kasih kepada Allah. Kita lupa yang kita dapat buat ibadat itu pun kerana Dia bagi kekuatan kepada kita, Dia yang gerakkan kita, Dia yang mudahkan kita.

Mungkin kerana ketaatan boleh menyebabkan seseorang jauh daripada Allah ‎ﷻ. Ini kerana dia ada ujub dalam dirinya. Memang dia taat dalam buat ibadah kepada Allah ‎ﷻ, tetapi hatinya rasa ujub atas amalannya itu. Maka amalannya itu telah menjauhkan dia dari Allah ‎ﷻ.

Mungkin juga kerana maksiat menyebabkan seseorang itu menjadi dekat kepada Allah ‎ﷻ. Bagaimana pula?

Sedang dia melakukan maksiat itu, dia sedar yang dia sedang melakukan dosa dan kerana itu dia bertaubat dan memperbaiki dirinya.

Mungkin orang yang sedang taat kepada Allah ‎ﷻ, berterusan dia hidup dalam ujub dan dia mati dalam ujub.

Mungkin pula orang yang banyak melakukan maksiat, tetapi sempat bertaubat dan dia mati dalam taubat, tanpa ujub.

Semoga kita diselamatkan daripada sifat ujub ini. Ia tidak jelas dan orang lain tidak nampak. Kita yang kena perhati dan periksa diri kita. Kalau ada, kita sendiri kena perbaiki diri kita.

Ada yang ditipu dalam bab ibadah. Mereka belajar dalam ibadah kena ikhlas. Maka ada yang ajar, jangan beramal ibadah sebelum dapat garap ikhlas itu.

Saya dahulu semasa belajar Silat Cekak memang ada penyelia yang ajar begitu. Dia ajar, kalau tidak ikhlas, baik tidak payah salat.

Dia bagi jalan, cuba buat sehari satu salat sahaja. Pilih satu dan dapatkan ikhlas betul-betul. Bila sudah dapat ikhlas, barulah sambung dengan salat-salat yang lain.

Memang ikhlas kena ada tetapi janganlah sampai hendak tunggu datang ikhlas baru hendak beribadat.

Orang yang beramal tetapi tidak ikhlas, dia telah ada ‘amal’. Amal dia sudah betul tetapi ‘ahwal’ (keadaan) ikhlas belum dapat lagi. Jadi kena didik hati supaya dapat ikhlas tu. Amal sudah ada, ahwal sahaja belum.

Maka kita kena berhati-hati dengan Ghurur.

Allah ‎ﷻ sebut dalam [Fatir: 5]

يا أَيُّهَا النّاسُ إِنَّ وَعدَ اللَّهِ حَقٌّ ۖ فَلا تَغُرَّنَّكُمُ الحَياةُ الدُّنيا ۖ وَلا يَغُرَّنَّكُم بِاللَّهِ الغَرورُ

Hai manusia, sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan sekali-kali janganlah syaitan yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah.

Sampai dua kali Allah ‎ﷻ sebut ghurur dalam ayat ini. Maknanya ada taukid (penekanan). Ghurur yang terbesar adalah Ujub.

Selagi belum mati, kita belum tentu selamat kerana yang dikira adalah detik-detik sebelum kematian kita itu. Entah kita masih selamat atas iman yang benar atau tidak. Kena tengok kisah Bal’am sebagai pengajaran.

Lihat [A’raf:176]

وَلَو شِئنا لَرَفَعناهُ بِها وَلٰكِنَّهُ أَخلَدَ إِلَى الأَرضِ وَاتَّبَعَ هَواهُ ۚ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الكَلبِ إِن تَحمِل عَلَيهِ يَلهَث أَو تَترُكهُ يَلهَث ۚ ذٰلِكَ مَثَلُ القَومِ الَّذينَ كَذَّبوا بِآياتِنا ۚ فَاقصُصِ القَصَصَ لَعَلَّهُم يَتَفَكَّرونَ

Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). Demikian itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi dan Imam Ibni Khathir, ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama’ lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita dari Nabi Musa عليه السلام ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah ‎ﷻ telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah ‎ﷻ Yang Maha Besar [ Do’a Bal’am bin Ba’ura mustajab] . Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa عليه السلام dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya [berdo’a] untuk mengalahkan Nabi Musa عليه السلام.

Pada mulanya Wali Allah ini menolak permintaan raja negeri tersebut kerana takutkan Allah ‎ﷻ. Seperti juga sejarah Nabi Adam عليه السلام yang mana iblis pernah menyuruh Nabi Adam عليه السلام memakan buah dari pohon yang dilarang oleh Allah SWT melalui Hawa. Nabi Adam عليه السلام terpengaruh dengan Hawa disebabkan bisikan iblis yang halus itu dan melanggari larangan Allah ‎ﷻ dan diusir dari syurga dan dibuang ke dunia.

Begitu juga raja negeri tersebut telah menggunakan isteri Bal’am seperti mana iblis menggunakan Hawa. Firaun telah memberi hadiah berupa barang-barang kemas dan perhiasan yang mahal kepada isteri Bal’am sebagai umpan supaya Bal’am mendoakan akan Nabi Musa عليه السلام.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa عليه السلام doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa عليه السلام tersesat di satu tempat yang bernama Tih (sekarang : semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa عليه السلام bertanya Allah ‎ﷻ , “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”

Jawab Allah ‎ﷻ, “Berpunca dari doa Bal’am”.

Nabi Musa عليه السلام berkata lagi kepada Allah ‎ﷻ, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.

Lalu, Nabi Musa عليه السلام mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa عليه السلام dimakbulkan oleh Allah ‎ﷻ, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“Minta berlindung kita dengan Allah ‎ﷻ daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”.

Kalau kita sudah berhijrah ke arah kebaikan pun jangan lagi rasa selamat. Mungkin kita sedang berada di atas jalan Sunnah. Namun ingatlah selagi kita belum mati, belum tentu selamat lagi. Kalau dalam Al-Qur’an pun, Allah ‎ﷻ banyak beri peringatan dan nasihat kepada orang-orang yang baik juga, bukan?

Komen dan Soalan