Bagaimana hendak selamat dari Ghurur?
Untuk selamat dari ghurur, kita kena lihat ibadat kita sebagai kecil dan sedikit. Kita juga kena lihat amalan kebaikan kita sedikit.
Sebanyak mana pun kita buat, ketahuilah yang ia adalah kecil dan sedikit sahaja kalau dibandingkan dengan nikmat yang kita dapat.
Kerana itulah Rasulullah ﷺ ajar istighfar terus selepas salat. Kenapa kena istighfar, padahal kita baru sahaja buat amal ibadat, bukan?
Ini kerana kita kena sedar yang amal kita itu sedikit sahaja. Entahkan cukup entahkan tidak. Ada banyak kesalahan agaknya dalam salat itu, kurang khusyuk, cara yang malas, tersilap di mana-mana. Maka selepas salat sahaja terus istighfar. Ini mengajar kita untuk memandang amal kita sedikit sahaja dan tentu ada cacatnya. Bukannya sesuatu yang boleh dibanggakan.
Lihat [Muzammil:20]
۞ إِنَّ رَبَّكَ يَعلَمُ أَنَّكَ تَقومُ أَدنىٰ مِن ثُلُثَيِ اللَّيلِ وَنِصفَهُ وَثُلُثَهُ وَطائِفَةٌ مِنَ الَّذينَ مَعَكَ ۚ وَاللَّهُ يُقَدِّرُ اللَّيلَ وَالنَّهارَ ۚ عَلِمَ أَن لَن تُحصوهُ فَتابَ عَلَيكُم ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنَ القُرآنِ ۚ عَلِمَ أَن سَيَكونُ مِنكُم مَرضىٰ ۙ وَآخَرونَ يَضرِبونَ فِي الأَرضِ يَبتَغونَ مِن فَضلِ اللَّهِ ۙ وَآخَرونَ يُقاتِلونَ في سَبيلِ اللَّهِ ۖ فَاقرَءوا ما تَيَسَّرَ مِنهُ ۚ وَأَقيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكاةَ وَأَقرِضُوا اللَّهَ قَرضًا حَسَنًا ۚ وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Sesungguhnya Tuhanmu mengetahui bahwasanya kamu berdiri (sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, atau seperdua malam atau sepertiganya dan (demikian pula) segolongan dari orang-orang yang bersama kamu. Dan Allah menetapkan ukuran malam dan siang. Allah mengetahui bahawa kamu sekali-kali tidak dapat menentukan batas-batas waktu-waktu itu, maka Dia memberi keringanan kepadamu, kerana itu bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Qur’an. Dia mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit dan orang-orang yang berjalan di muka bumi mencari sebahagian kurnia Allah; dan orang-orang yang lain lagi berperang di jalan Allah, maka bacalah apa yang mudah (bagimu) dari Al Qur’an dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berikanlah pinjaman kepada Allah pinjaman yang baik. Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah ampunan kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Ayat yang panjang tentang ibadat. Di hujungnya Allah ﷻ tambah وَاستَغفِرُوا. Mengajar kita untuk istighfar selepas melakukan amal ibadat. Banyak mana pun, tentu ada kurangnya, tentu ada cacatnya. Maka teruslah istighfar kepada Allah ﷻ.
Maka kalau kita pandang ibadah kita hebat dan banyak, maka itu adalah ghurur dan sudah terkena bisikan syaitan. Syaitan memang akan bisikkan kepada manusia untuk nampak hebat sahaja ibadah mereka.
Lihat [Mukminoon:60]
وَالَّذينَ يُؤتونَ ما آتَوا وَّقُلوبُهُم وَجِلَةٌ أَنَّهُم إِلىٰ رَبِّهِم رٰجِعونَ
Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan, dengan hati yang takut, (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka,
Ini adalah orang yang sudah melakukan ibadat, tetapi mereka takut. Ini agak menghairankan, bukan? Namun begitulah sikap yang kita kena ada. Kena takut kalau-kalau Allah ﷻ tidak terima ibadah kita.
Saidatina Aisyah رضي الله عنها turut hairan dengan ayat ini.
Seperti yang dikatakan oleh Imam Ahmad رحمه الله:
حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ آدَمَ، حَدَّثَنَا مَالِكُ بْنُ مِغْوَل، حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَعِيدِ بْنِ وَهْبٍ، عَنْ عَائِشَةَ؛ أَنَّهَا قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، {وَالَّذِينَ يُؤْتُونَ مَا آتَوْا وَقُلُوبُهُمْ وَجِلَةٌ} ، هُوَ الَّذِي يَسْرِقُ وَيَزْنِي وَيَشْرَبُ الْخَمْرَ، وَهُوَ يَخَافُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ؟ قَالَ: “لَا يَا بِنْتَ أَبِي بَكْرٍ، يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ، وَلَكِنَّهُ الَّذِي يُصَلِّي وَيَصُومُ وَيَتَصَدَّقُ، وَهُوَ يَخَافُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ”.
Telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Adam, telah menceritakan kepada kami Malik ibnu Mighwal, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Sa’id ibnu Wahb, dari Aisyah yang mengatakan bahawa beliau pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan “orang-orang yang mengerjakan perbuatan mereka, sedangkan hati mereka takut” Adakah itu orang yang mencuri, berzina, dan minum khamar dalam keadaan takut kepada Allah?” Rasulullah ﷺ menjawab: “Tidak, hai anak perempuan As-Siddiq. Tetapi dia adalah orang yang salat, puasa, dan bersedekah, sedangkan dia takut kepada Allah عَزَّ وَجَلَّ .”
Hal yang sama telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Ibnu Abu Hatim melalui hadis Malik ibnu Mighwal, dengan sanad yang sama dan lafaz yang semisal. Disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“لَا يَا بِنْتَ الصِّدِّيقِ، وَلَكِنَّهُمُ الَّذِينَ يُصَلُّونَ وَيَصُومُونَ وَيَتَصَدَّقُونَ، وَهُمْ يَخَافُونَ أَلَّا يُقْبَلَ مِنْهُمْ، {أُولَئِكَ يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ}
Tidak, hai anak perempuan As-Siddiq. Tetapi mereka adalah orang-orang yang salat, puasa, dan bersedekah, sedangkan hati mereka merasa takut tidak diterima amalnya. Mereka itu bersegera mendapat kebaikan-kebaikan.
Jangan kata ibadah, usaha kita pun kita tidak boleh pandang hebat. Kita mungkin pendakwah, kita mungkin pengajar, kita mungkin terlibat dalam organisasi yang mengembangkan agama Islam. Mungkin ada perasaan dalam hati kita yang kita sudah berkhidmat kepada agama, sudah banyak sumbangan kita, sudah ramai orang masuk Islam, sudah ramai dapat ilmu. Seolah-olah kalau bukan kerana kita, mereka tidak berjaya. Seolah-olah kalau kita tidak ada, apalah hendak jadi dengan agama ini, siapa yang akan kembangkan?
Ini juga ghurur apabila memandang sumbangan kita hebat dan besar.
Apakah lagi hebat dan besar daripada membina balik Kaabah? Kita tidak akan mampu untuk mencapai tahap membina Kaabah, bukan? Yang dapat kelebihan ini adalah Nabi Ibrahim عليه السلام sahaja. Namun lihat apa yang baginda sebut selepas baginda membina Kaabah.
Lihat [Baqarah:127]
وَإِذ يَرفَعُ إِبراهيمُ القَواعِدَ مِنَ البَيتِ وَإِسماعيلُ رَبَّنا تَقَبَّل مِنّا
Dan (ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami)
Selepas bina Kaabah pun, Nabi Ibrahim عليه السلام dengan rendah diri minta supaya Allah ﷻ terima amalan dan usaha baginda kerana baginda tidak pasti sama ada Allah ﷻ terima atau tidak. Baginda Nabi pun tidak yakin amalan dan usaha baginda diterima, maka apatah lagi kita?
Kita tidak tahu sama ada usaha kita cukup ataupun tidak, benar ataupun tidak, ikhlas ataupun tidak, bukan? Maka kerana itu kita kena sentiasa merendah diri dan jangan terus yakin pahala kita sudah banyak.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah رحمه الله mengatakan, “Diterimanya suatu amalan berkaitan dengan melakukan sesuatu sesuai dengan yang diperintahkan. Setiap orang yang bertakwa pada Allah ﷻ ketika ia beramal, maka dia akan melakukan sebagaimana yang diperintahkan. Akan tetapi dia tidak bisa memastikan sendiri bahawa amalan yang dia lakukan diterima di sisi Allah ﷻ kerana dia tidak bisa memastikan bahawa amalan yang dia lakukan sudah sempurna.”
Itulah yang membuat para salaf begitu khuatir dengan tidak diterimanya amalan mereka kerana mereka sendiri tidak dapat memastikan sempurnanya amalan mereka.
Dari Fudholah bin ‘Ubaid, beliau mengatakan, “Seandainya aku mengetahui bahwa Allah ﷻ menerima dariku satu amalan kebaikan sebesar biji benih saja, maka itu lebih kusukai daripada dunia dan seisinya, kerana Allah ﷻ berfirman,
إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertakwa.” (QS. Al Ma-idah: 27)”
Abdul Aziz bin Abi Rowwad berkata, “Saya menemukan para salaf begitu semangat untuk melakukan amalan soleh. Apabila telah melakukannya, mereka merasa khuatir apakah amalan mereka diterima ataupun tidak.”
Lihat pula perkataan ‘Umar bin ‘Abdul Aziz berikut tatkala beliau berkhutbah pada hari raya Idul Fitri, “Wahai sekalian manusia, kalian telah berpuasa selama 30 hari. Kalian pun telah melaksanakan salat tarawih setiap malamnya. Kalian pun keluar dan memohon pada Allah ﷻ agar amalan kalian diterima. Namun sebahagian salaf malah bersedih ketika hari raya Idul Fithri. Dikatakan kepada mereka, “Sesungguhnya hari ini adalah hari penuh kebahagiaan.” Mereka malah mengatakan, “Kalian benar. Akan tetapi aku adalah seorang hamba. Aku telah diperintahkan oleh Rabbku untuk beramal, namun aku tidak mengetahui apakah amalan tersebut diterima ataukah tidak.”
Talbis Iblis adalah bila syaitan membisikkan pujian di telinga kita: “Wah hebat kau dah buat ini dan itu… kau tengok berapa ramai pelajar kau? Berapa ramai baca tulisan kau? Berapa ramai puji kau? Kalau kau takde, tak tahulah apa jadi kat diorang…..”
Jangan sangka usaha kita bawa orang kenal agama itu sudah hebat sangat. Kena sedar yang Allah ﷻ yang beri mereka hidayah, kita cuma sampaikan sahaja.
Lihat Surah [Nasr: 3]
فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya.
Bayangkan Nabi Muhammad ﷺ yang sudah Islamkan tanah Arab, berbondong-bondong masuk Islam pun Allah ﷻ masih suruh baginda istighfar.
Maka kalau ada orang kenal sunnah kerana kita, itu adalah rahmat daripada Allah ﷻ sahaja. Bukannya kerana kita. Maka jangan berbangga sangat. Jangan lupa yang Allah ﷻ telah bantu kita. Bukanlah mereka kenal agama kerana kita.
Dengan pemahaman yang telah disebut ini, maka kita akan melihat amal kita kecil sahaja. Jangan kita rasa amal kita sudah banyak, kerana itu adalah Talbis Iblis.
Jangan kita sangka Allah ﷻ terus terima ibadah kita. Memang halus betul Talbis Iblis kerana dia kenal kita. Maka dia tahu untuk tekan butang yang mana.
Kadangkala kita rasa sesal kerana tertinggal buat kebaikan.
Mungkin tertinggal salat malam.
Mungkin tertinggal kelas.
Mungkin tertinggal salat Subuh.
Apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan kita sesal.
Memang patut kena sesal kalau kita tertinggal buat kebaikan. Kalau tidak rasa sesal langsung, ada masalah dengan hati.
Namun Talbis Iblis ini, dia bagi kita rasa senang dengan rasa sesal sahaja. Rasa sudah bagus kalau menyesal.
Jadi setakat menyesal sahaja.
Tidak bangkit untuk perbetulkan kerugian itu.
Tidak kuatkan azam untuk bangun salat malam.
Tidak kuatkan untuk hadirkan diri ke kelas seterusnya.
Tidak perbaiki diri supaya boleh salat Subuh.
Berapa ramai yang asyik mengeluh sahaja: “Aduh.. ruginya.. aku tak attend kelas semalam….”. Namun setakat itu sahaja. Tidak bersedia untuk ke kelas seterusnya dan seterusnya… akhirnya terus terkena Talbis Iblis.