Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-101 hingga Ke-102

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-101 hingga Ke-102

1252
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah:

Tafsir Ayat Ke-101 hingga Ke-102

Tafsir Ayat Ke-101:

وَلَمّا جاءَهُم رَسولٌ مِن عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِما مَعَهُم نَبَذَ فَريقٌ مِنَ الَّذينَ أوتُوا الكِتابَ كِتابَ اللَّهِ وَراءَ ظُهورِهِم كَأَنَّهُم لا يَعلَمونَ

Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah, yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).

وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

Maka tatkala datang kepada mereka Rasul daripada sisi Allah;

Allah ‎ﷻ ingatkan kepada mereka yang Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Rasul utusan daripada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ yang utus baginda. Allah ‎ﷻ yang telah pilih baginda untuk menjadi Rasul, bukannya Jibrail عليه السلام.

مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ

yang membenarkan apa yang ada di kalangan mereka;

Nabi Muhammad ﷺ bukan membawa ajaran akidah yang lain, tetapi ia adalah ajaran akidah yang sama sahaja dalam kitab mereka, iaitu kitab Taurat.

نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ

Dibuang juga oleh sebahagian dari orang yang telah diberi Kitab Taurat.

Perhatikan cara penggunaan perkataan dalam ayat ini: Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أُوتُوا الْكِتَابَ (telah diberikan kitab). Ia adalah di dalam bentuk pasif. Selalu digunakan kalimat ini apabila merujuk kepada ahli Kitab. Ia adalah gelaran yang menunjukkan kebencian Allah ‎ﷻ kepada mereka. Ini adalah kerana mereka telah diberi dengan kitab Taurat, tetapi mereka tidak mengendahkannya.

Namun apabila apabila Allah ‎ﷻ bercakap tentang pemberian Al-Qur’an kepada Nabi, Allah ‎ﷻ menggunakan perkataan أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ (yang Kami turunkan kepada kamu) – dalam bentuk aktif. Menunjukkan nada kemesraan Allah ‎ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ. Dari segi penggunaan bahasa pun ada makna dan isyarat yang kita boleh ambil.

كِتَابَ اللَّهِ

Kitab itu adalah kitab Allah.

Yang mereka buang itu adalah Kitab daripada Allah ‎ﷻ – Kalam Allah ‎ﷻ! Amat teruk sekali apa yang mereka telah lakukan.

وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ

ke belakang mereka;

Cara mereka buang itu adalah dengan tidak mengambil peduli. Seperti membuang sampah sahaja lagaknya. Contohnya, katakanlah kita tulis surat, tetapi surat itu kita tidak suka, jadi kita akan keromok surat itu dan baling ke belakang kita.

Maksud dalam ayat ini adalah, mereka tidak mahu mempelajari isi kandung Kitab Taurat kerana mereka tidak memandangnya sebagai satu perkara yang penting. Mereka tolak ia ke belakang sahaja.

كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

seakan-akan mereka itu tidak pernah mengetahui;

Mereka buat macam mereka tidak pernah kenal Kitab Taurat itu. Mereka sebenarnya tahu, tetapi mereka buat-buat tidak tahu. Apabila Nabi ﷺ membacakan ayat-ayat Al-Qur’an dan mereka tahu ia terkandung juga di dalam Kitab Taurat mereka, mereka akan berkata yang mereka tidak tahu menahu apakah yang sedang disebutkan oleh Nabi ﷺ. Begitulah perangai mereka terhadap Nabi Muhammad ﷺ.

Malah ada sesetengah dari kita pun seperti itu juga. Al-Qur’an itu ramai yang tidak ambil peduli. Kita boleh lihat bagaimana mushaf Al-Qur’an penuh tersusun di masjid namun keadaan kebanyakan Al-Qur’an itu macam tidak pernah dibuka pun. Nampak elok sahaja Al-Qur’an itu.

Ini adalah kerana masyarakat Muslim Malaysia lebih suka membaca wirid lagi daripada membaca Al-Qur’an. Padahal, membaca Al-Qur’an lebih afdhal dari membaca wirid. Maksudnya pahala lagi banyak dari wirid. Tetapi telah diajar kepada masyarakat kita oleh guru-guru kita untuk banyak berwirid.

Sampaikan kalau pergi ke Mekah pun, orang kita hanya banyak berwirid. Mereka lebih percaya kepada guru mereka daripada percaya kepada hadith Nabi ﷺ dan perbuatan sahabat-sahabat رضي الله عنهم.

Tafsir Ayat Ke-102:

Kesamaran pertama adalah tentang Jibrail عليه السلام seperti yang telah disebut sebelum ini. Ayat ini pula adalah tentang kesamaran kedua. Kesamaran kedua adalah tentang para Rasul. Dalam wahyu yang disampaikan, wahyu mengatakan tidak boleh berbuat syirik dan mengamalkan sihir. Sihir itu adalah syirik kerana ia adalah amalan menyeru selain Allah ‎ﷻ.

Ia masih juga syirik walau semasa mengamalkannya, seseorang itu membaca ayat Al-Qur’an. Tanpa syirik tidak akan menjadi sihir itu. Mungkin ramai yang tidak tahu, sihir juga boleh dilakukan dengan menggunakan ayat Al-Qur’an.

Kefahaman golongan Yahudi menjadi samar dalam hal agama kerana pada mereka, Nabi Sulaiman ‎ﷻ ada mengamalkan syirik. Mereka keliru kerana mereka telah mendapat maklumat salah tentang Nabi Sulaiman ‎ﷻ dan sebab itu mereka tidak boleh menerima Al-Qur’an dan Islam kerana berlawanan dengan fahaman mereka.

Kesamaran ini timbul kerana mereka telah mengambil maklumat dari kitab tulisan manusia yang salah. Mereka sangka Nabi Sulaiman ‎ﷻ mengajar sihir dan baginda boleh memerintah kerajaan baginda kerana kononnya ada cincin keramat. Ini adalah cerita rekaan sahaja tetapi mereka telah mempercayainya. Oleh sebab itu, Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini untuk menjelaskan kesamaran ini.

Oleh itu, ayat ini adalah tentang sihir. Ada kesalahan dalam sesetengah kitab yang dibaca oleh masyarakat kita. Sampaikan akidah orang Islam ada yang percaya bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام dapat kuasa memerintah kerana dia memiliki sebentuk cincin hikmat. Sampaikan ada kisah apabila cincin itu jatuh, baginda telah kehilangan kerajaannya. Itu adalah kisah dusta.

Orang Yahudi pula berkata Nabi Sulaiman عليه السلام boleh bercakap dengan binatang dan terbang ke sana sini kerana belajar daripada kitab sihir. Mereka kata kitab itu bernama: “The book of Secret” (Buku Rahsia). Mereka masih lagi mencari buku itu yang asli. Pada mereka, sesiapa yang dapatkan buku ini boleh mendapatkan rahsia kehebatan Nabi Sulaiman عليه السلام bersama dengan harta karun baginda. Ini semua adalah kerana mereka hendakkan harta.

Pengenalan kepada ayat ini: Pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام, sihir banyak diamalkan oleh umat baginda yang berbangsa Bani Israil. Maka baginda diperintahkan untuk mengumpulkan semua tukang sihir. Mereka disuruh untuk meninggalkan amalan sihir mereka. Tukang sihir yang tidak mahu kembali kepada agama Islam akan dibunuh oleh baginda. Itu adalah syariat Islam tentang pengamal sihir sampailah sekarang – pengamal sihir perlu dibunuh.

Selain daripada itu, buku-buku sihir mereka itu dibakar. Walaupun begitu, ada juga buku sihir itu yang Nabi Sulaiman عليه السلام simpan dan sorok di bawah singgahsana baginda.

Kesamaran ketiga adalah tentang Malaikat. Ini kerana ada malaikat yang dikatakan mengajar sihir yang bernama Harut dan Marut. Kesamaran ini juga akan disebut dalam ayat ini.

وَاتَّبَعوا ما تَتلُو الشَّياطينُ عَلىٰ مُلكِ سُلَيمانَ ۖ وَما كَفَرَ سُلَيمانُ وَلٰكِنَّ الشَّياطينَ كَفَروا يُعَلِّمونَ النّاسَ السِّحرَ وَما أُنزِلَ عَلَى المَلَكَينِ بِبابِلَ هاروتَ وَماروتَ ۚ وَما يُعَلِّمانِ مِن أَحَدٍ حَتّىٰ يَقولا إِنَّما نَحنُ فِتنَةٌ فَلا تَكفُر ۖ فَيَتَعَلَّمونَ مِنهُما ما يُفَرِّقونَ بِهِ بَينَ المَرءِ وَزَوجِهِ ۚ وَما هُم بِضارّينَ بِهِ مِن أَحَدٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۚ وَيَتَعَلَّمونَ ما يَضُرُّهُم وَلا يَنفَعُهُم ۚ وَلَقَد عَلِموا لَمَنِ اشتَراهُ ما لَهُ فِي الآخِرَةِ مِن خَلاقٍ ۚ وَلَبِئسَ ما شَرَوا بِهِ أَنفُسَهُم ۚ لَو كانوا يَعلَمونَ

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)”. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari daripada mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telah pun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ

Dan mereka mengikuti ajaran sihir yang diajar oleh syaitan-syaitan;

Yang mengikuti ajaran itu adalah ahli-ahli sihir. Mereka belajar sihir dari syaitan.

عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ

di zaman kerajaan Sulaiman;

Kejadian dalam ayat ini terjadi semasa zaman pemerintahan Nabi Sulaiman عليه السلام. Tetapi bukanlah Nabi Sulaiman عليه السلام yang mengamalkan sihir. Tidak juga baginda ada peralatan yang mempunyai elemen-elemen sihir seperti cincin keramat dan sebagainya.

Nabi Sulaiman عليه السلام adalah salah seorang dari Rasul dari kalangan Rasul-rasul Bani Israil. Pada zaman Nabi Sulaiman عليه السلام, banyak amalan sihir diajar oleh syaitan. Zaman itu puak Yahudi banyak yang memuja syaitan dan apabila lama sangat puja syaitan, mereka sampai boleh bercakap dan melihat jin. Dari merekalah mereka dapat belajar sihir.

Maka Nabi Sulaiman عليه السلام menangkap pengamal-pengamal sihir dan merampas kitab-kitab sihir mereka. Baginda telah meletakkan kitab-kitab itu di bawah singgahsana baginda kerana itulah tempat paling selamat. Ini kerana kalau diletakkan di tempat lain mungkin ada orang jahat yang boleh mencarinya lagi dan mengamalkan sihir dalam kitab-kitab itu.

Allah ‎ﷻ memang telah memberikan kelebihan kepada baginda yang makhluk jin tidak boleh mendekati baginda untuk khianat. Maka selepas baginda melakukan tindakan itu, manusia kembali kepada ajaran tauhid dan amalan sihir telah berhenti. Cuma selepas kewafatan baginda, sihir telah diamalkan kembali.

وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ

Dan tidaklah Nabi Sulaiman itu kufur;

Allah ‎ﷻ menegaskan dalam ayat ini bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام tidak pernah kufur dan baginda tidak pernah mengamalkan sihir. Lihatlah bagaimana ‘kufur’ dikaitkan dengan ‘sihir’. Sampaikan Allah ‎ﷻ menyebut ‘kufur’ untuk merujuk kepada ‘sihir’.

Maka kita kenalah  sedar yang mengamalkan sihir memang menjadikan pengamalnya kufur. Dalam Islam, sesiapa yang ditangkap mengamalkan sihir akan dihukum pancung, tidak dimandikan dan tidak dikuburkan di dalam tanah perkuburan Islam.

Kita kenalah faham yang kuasa yang ada pada Nabi Sulaiman عليه السلام itu adalah pemberian Allah ‎ﷻ. Antaranya adalah kuasa angin yang diberikan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام. Dengannya, Nabi Sulaiman عليه السلام dapat bergerak ke mana-mana. Itu semua adalah mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Sulaiman عليه السلام.

وَلَٰكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا

Akan tetapi syaitan-syaitanlah yang kufur;

Yang kufur sebenarnya adalah syaitan kerana mereka yang mengajar sihir itu. Setelah Nabi Sulaiman عليه السلام mati, syaitan yang mengajar sihir kepada manusia itu masih hidup lagi kerana umur mereka memang panjang. Waktu itu, manusia pun sudah jauh dari ilmu agama. Jin telah mengambil kesempatan daripada kejahilan mereka dengan membuat cerita yang Nabi Sulaiman عليه السلام sebenarnya telah memerintah dengan menggunakan sihir.

Oleh kerana tidak mahukan manusia lain tahu, Nabi Sulaiman عليه السلام telah menyembunyikan kitab-kitab sihir itu bawah kerusi baginda. Syaitan telah membisikkan kepada manusia supaya menggali di bawah tempat kerusi Nabi Sulaiman عليه السلام dan memang mereka menjumpai kitab-kitab tersebut. Selepas mereka jumpa, mereka telah mengamalkan sihir. Maka, manusia telah mula kembali mengamalkan sihir.

يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

Mereka telah mengajar sihir kepada manusia;

Apabila manusia sudah tidak beriman kepada kalam Allah ‎ﷻ (ilmu wahyu) dan meninggalkan tauhid, syaitan akan memberi mereka alternatif – itulah amalan sesat seperti sihir. Apabila mereka sudah tidak percaya kepada Allah ‎ﷻ, sudah buang kitab Kalam Allah ‎ﷻ, maka syaitan telah menggoda mereka untuk percaya kepada benda-benda karut seperti tangkal, azimat dan sebagainya.

Inilah yang terjadi apabila mereka sudah meninggalkan Kitab Taurat – seperti kita telah belajar dalam ayat sebelum ini, mereka telah membuang Kitab Taurat ke belakang mereka, seperti mereka tidak kenal langsung kitab itu.

Begitu juga dengan kita, apabila masyarakat kita tidak menghiraukan lagi Al-Qur’an, maka syaitan dapat memasukkan ajaran sihir ke dalam masyarakat kita. Begitu banyak yang mengamalkan sihir sebenarnya. Selalunya mereka tidak tahu amalan itu adalah amalan sihir. Ini kerana ada pengamal sihir yang membaca ayat Al-Qur’an di dalam bacaan sihir itu, maka mereka menyangka ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Ini semua adalah kerana mereka tidak mengendahkan ajaran Al-Qur’an lagi. Mereka tidak belajar isi kandungan Al-Qur’an dan kerana itu mereka jahil tentang agama. Maka mereka telah meninggalkan ajaran tauhid.  Mereka jahil dalam hal agama, sampaikan mereka mudah ditipu oleh syaitan dan guru-guru karut dan sesat.

Oleh itu, yang mengajar sihir kepada manusia adalah jin-jin yang jahat. Itulah kerja jin-jin yang jahat. Jin-jin Islam yang baik, tidak akan rapat dengan manusia kerana manusia tidak ada perhubungan dengan jin. Nabi ﷺ sendiri pun tidak membenarkan sahabat berkawan dengan jin. Apabila Nabi ﷺ berdakwah dan mengajar kepada golongan jin, baginda jumpa bersendirian sahaja.

وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ

Dan ajaran-ajaran yang diturunkan kepada dua orang malaikat di Babylon.

Ini adalah kesamaran ketiga: mereka sangkakan yang mengajar sihir itu adalah para malaikat maka bolehlah untuk diamalkan. Nama malaikat yang dimaksudkan itu adalah Harut dan Marut. Malaikat-malaikat itu memang benar, tetapi malangnya ada juga kisah karut berkenaan dengan mereka berdua.

Kononnya, ada yang berkata yang malaikat-malaikat tersebut telah turun ke dunia kerana mereka hendak menjadi manusia. Mereka sebelum itu hairan kenapa manusia boleh kufur kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu Allah ‎ﷻ telah memberi mereka nafsu dan diturunkan mereka ke dunia untuk hidup sebagai manusia biasa. Namun selepas mereka diturunkan, mereka telah diuji dengan maksiat dan mereka telah menjadi sesat. Itulah secara ringkas kisah mereka yang banyak diceritakan kepada masyarakat. Ini adalah kisah yang karut.

Padahal, sebenarnya mereka diperintahkan turun oleh Allah ‎ﷻ untuk mengajar manusia tentang sihir iaitu mengajar manusia yang manakah amalan yang sihir dan mana yang tidak. Ini kerana pada waktu itu telah banyak manusia yang diajar sihir oleh syaitan. Maka tugas mereka adalah hendak memperbetulkan manusia.

Dua malaikat itu mengajar dengan memberitahu manusia mana yang sihir dan mana yang tidak supaya mereka tidak membuat lagi sihir itu. Ini kerana nanti akan datang Nabi yang membuat perkara yang nampak seperti sihir tetapi ia adalah bukan sihir tetapi mukjizat. Maka mereka kenalah tahu untuk membezakannya. Allah ‎ﷻ menghantar Harut dan Marut untuk mengajar manusia supaya mereka tidak keliru di antara sihir dan mukjizat.

Babylon adalah nama lain bagi Iraq sekarang. Pada zaman itu, ramai yang mengamalkan sihir kerana mereka percaya kepada benda-benda seperti itulah yang boleh membantu mereka. Mereka rasa dengan sihirlah yang dapat menyelesaikan masalah mereka. Mereka telah ditipu syaitan yang mengatakan bahawa Nabi Sulaiman عليه السلام boleh mendapat kerajaan yang besar serta pelbagai kelebihan lagi adalah kerana baginda mengamalkan sihir. Tetapi baginda tidak pernah mengamalkan sihir.

Dalam ayat ini, tidak disebut bahawa yang diturunkan kepada dua malaikat itu adalah sihir. Jadi mungkin apa yang diajar kepada mereka bukan sihir. Perkataan ‘sihir’ hanya disandarkan kepada syaitan tetapi tidak kepada dua malaikat ini. Ini adalah satu pendapat. Mereka yang datang untuk belajar dengan mereka mungkin menyangkakan bahawa dua malaikat ini telah mengajar sihir, tetapi bukan.

Oleh kerana masyarakat pada waktu itu tidak percaya dengan Allah, maka Allah telah menguji mereka dengan menurunkan Harut dan Marut.

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ

Dan tidaklah dua malaikat itu mengajar satu orang pun

Dua malaikat itu amat jujur dengan ilmu mereka. Sebelum mereka mengajar, mereka telah memberi peringatan kepada manusia yang datang belajar dengan mereka. Ini kerana mereka bukannya hendak menyesatkan mereka dengan suruh mereka mengamalkan sihir pula.

حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ

tanpa terlebih dulu mereka mengatakan: “sesungguhnya ajaran yang kami bawa ini adalah satu cubaan dari Allah.”

Lihatlah bagaimana Harut dan Marut buat. Setiap kali ada orang yang datang belajar dengan mereka, mereka akan ingatkan bahawa mereka adalah ujian daripada  Allah ‎ﷻ. Maka, kerana itu kenalah berhati-hati kalau hendak belajar.

Mereka ajar tentang sihir itu sebagai pengecaman sahaja. Bukannya hendak suruh mereka amalkan apa yang mereka belajar itu. Untuk kenal sihir senang sahaja – kalau dalam amalan itu ada seru kepada selain Allah ‎ﷻ, itu adalah sihir.

فَلَا تَكْفُرْ

“Maka jangan kamu kufur”;

Mereka nasihat kepada manusia supaya jangan menjadi kufur dengan mengamalkan sihir itu. Mereka sebenarnya tidak suruh manusia mengamalkan sihir itu. Bukan mereka ajar untuk menyuruh manusia amalkan. Tetapi untuk bandingkan mana yang sihir dan mana yang tidak. Kalau syaitan yang mengajar, tidak akan cakap seperti itu.

Kekeliruan pada Yahudi adalah: mereka berkata malaikat ajar sihir. Mereka tahu perkara ini dari dalam kitab-kitab mereka. Pada mereka, kalau malaikat yang ajar sihir, tidak mungkin ia adalah salah? Maka Allah ‎ﷻ turunkan ayat ini untuk memperjelaskan bahawa bukannya dua malaikat itu mengajar sihir untuk suruh manusia amal, tetapi sebagai pengecaman mana yang sihir dan mana yang tidak.

Ini macam qadhi (hakim) yang diharuskan untuk belajar tentang sihir supaya kenal mana satu sihir supaya senang mereka menjatuhkan hukuman kepada mereka yang mengamalkan sihir.

فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا

Maka mereka pun belajar sihir dari mereka berdua

Namun malangnya, ada juga yang belajar sihir itu dan mereka mengamalkannya walaupun telah dilarang.

مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ

yang boleh memecah belahkan antara satu orang dengan pasangannya;

Memang dengan sihir dapat memisahkan perhubungan suami dan isteri – sama ada disihir kepada isteri, ataupun kepada suami. Kalau disihir kepada isteri, isteri itu akan meminta cerai daripada suaminya. Ini adalah salah satu contoh yang sihir boleh lakukan.

Ini adalah satu perkara yang amat disukai oleh Iblis. Kita biasa dengar bagaimana syaitan-syaitan akan membuat laporan kepada Iblis tentang apakah kejayaan mereka pada hari itu. Berbagai-bagai kejayaan yang mereka laporkan bagaimana mereka telah merosakkan kehidupan manusia. Tetapi Iblis buat biasa sahaja. Namun apabila ada syaitan yang berkata yang dia telah memecahkan antara suami dan isterinya, Iblis terlalu suka. Seperti tercatat di dalam hadith berikut:

Daripada Jabir رضي الله عنه daripada Nabi ﷺ bersabda,

    إِنَّ إِبْلِيْسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُوْلُ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُوْلُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُوْلُ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ قَالَ فَيُدْنِيْهِ مِنْهُ وَيَقُوْلُ نِعْمَ أَنْتَ

    “Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) kemudian ia mengutus bala tenteranya. Maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang dari bala tenteranya dan berkata, “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis berkata, “Engkau sama sekali tidak melakukan sesuatupun”. Kemudian datang yang lain lagi dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (untuk digoda) hingga aku berhasil memisahkan antara dia dan isterinya. Maka Iblis pun mendekatinya dan berkata, “Sungguh hebat (syaitan) seperti engkau”. (HR Muslim IV/2167 no 2813)

Ada manusia zaman sekarang yang tidak percaya ada sihir. Mereka kononnya telah moden, maka mereka tidak percaya ada perkara-perkara “supernatural” (ghaib) seperti sihir. Tetapi ketahuilah yang sihir itu memang wujud. Perkara itu memang boleh terjadi dengan izin Allah ‎ﷻ. Kerana itulah Nabi Muhammad sendiri pernah terkena sihir, dan ia menjadi dalil bagi kita bahawa sesiapa sahaja boleh terkesan dengan sihir itu.

Sihir memang ada diamalkan sampai sekarang. Sememangnya ada cara untuk melawan sihir. Ini kerana sihir terjadi dengan menyeru selain daripada Allah ‎ﷻ, maka lawannya adalah dengan hanya menyeru kepada Allah ‎ﷻ. Oleh itu, tauhid sahajalah yang dapat melawan sihir. Jadi kalau hendak mengubat orang yang terkena sihir, kenalah ajar tauhid kepadanya terlebih dahulu. Kalau tidak dilakukan begitu, tidak akan selesai masalah. Ini kerana kalau kita meruqyahnya dan dia selamat daripada sihir, tetapi kalau dia tidak faham tauhid, dia akan ada masalah kembali.

Ada pula orang Islam yang mengamalkan sihir. Kalau orang bukan Islam membuat sihir, itu kita boleh terima, tetapi apabila orang Islam sendiri mengamalkannya atau suruh orang lain buat untuk mereka, itu adalah sesuatu yang amat menyedihkan. Kita tahu ada banyak bomoh-bomoh dan dukun-dukun yang hidup dengan mengamalkan sihir. Mereka inilah yang dicari oleh manusia-manusia jahil untuk menjalankan sihir untuk mereka.

Dengan menggunakan bomoh dan dukun itulah ada orang yang disantau, diganggu fikiran mereka sampai boleh menjadi gila, diganggu sampai mereka jatuh sakit dan macam-macam lagi. Buruk sekali perbuatan mereka itu. Bukan orang biasa sahaja, malah ahli-ahli politik dan para pemimpin pun ada yang memakai sihir dan menggunakan bomoh untuk mendapatkan kejayaan dalam pilihanraya dan sebagainya.

وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ

Dan tidaklah mereka itu boleh memberi mudharat dengan sihir itu satu orang pun

Kita jangan sangka ada kuasa pada sihir itu. Atau jangan kita sangka ada kuasa pada ilmu itu. Kalau Allah ‎ﷻ tidak izinkan, sihir itu tidak ada terjadi. Macam juga racun, tidak akan membunuh manusia tanpa izin Allah ‎ﷻ. Tetapi selalunya Allah ‎ﷻ benarkan. Ini adalah kerana mengikut hukum adat.

Sebagai contoh ‘hukum adat’: kalau kita makan, kita akan kenyang. Bukanlah makanan itu yang mengenyangkan kita, tetapi Allah ‎ﷻ. Tetapi, Allah ‎ﷻ telah meletakkan asbab-asbab untuk mengenyangkan manusia. Tanpa hukum adat, tentu susah manusia hendak hidup di dalam dunia ini.

إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ

melainkan dengan izin Allah;

Sihir itu hanya akan menjadi kalau Allah ‎ﷻ izinkan. Ini tidaklah bermaksud Allah ‎ﷻ suka dengan perbuatan mereka. Allah ‎ﷻ tidak redha, tetapi Allah ‎ﷻ benarkan ia terjadi kerana manusia yang hendakkan begitu. Allah ‎ﷻ memang akan benarkan kalau manusia hendak sesat sangat.

Seperti dalam semua perkara, tidak akan berlaku sesuatu apapun tanpa keizinan dari Allah ‎ﷻ.

وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ

Dan mereka pun belajarlah sihir itu yang memberi mudharat kepada mereka;

Mereka sangka mereka yang memberikan mudharat kepada orang lain kerana sihir yang mereka lakukan. Ini kerana dengan sihir itu mereka boleh menyebabkan orang berpisah dengan pasangannya, menyebabkan mangsa jatuh sakit atau gila dan sebagainya.

Tetapi yang sebenarnya yang mendapat mudharat itu adalah mereka yang mengamalkan sihir itu. Apa yang mereka akan kena adalah lebih teruk dari itu. Mereka telah mengumpul dosa dengan mengamalkan sihir itu dan mereka akan dikenakan azab di akhirat kelak. Kalau ditangkap semasa di dunia, hukuman kepada mereka adalah hukuman mati.

Bukan sahaja azab itu diterima neraka sahaja nanti. Tetapi mereka di dunia juga telah mendapat mudharat. Contohnya, orang yang mengamalkan sihir tidak boleh dapat anak kerana anak mereka pun akan diambil oleh syaitan.

وَلَا يَنْفَعُهُمْ

Dan tidak boleh memberi manfaat kepada mereka apa-apa pun;

Sihir yang mereka amalkan itu tidak memberi manfaat langsung kepada mereka, melainkan memasukkan mereka ke dalam neraka sahaja.

وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ

Sesungguhnya mereka itu tahu sesiapa yang membelinya;

Mereka tahu sebenarnya yang dengan mengamalkan sihir itu, mereka sebenarnya membeli neraka. Mereka tahu bahawa perbuatan mereka itu adalah salah, tetapi mereka masih juga melakukannya. Ini adalah kerana nafsu mereka telah mengelabui akal dan fikiran mereka. Mereka sendiri tahu bahawa apabila hendak mengamalkan sihir, mereka kena menyembah syaitan.

Begitu juga kita. Ada perbuatan kita yang kita tahu adalah adalah salah tetapi kita buat juga. Ini adalah kerana kita telah dipandu oleh nafsu kita.

مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ

bagi mereka di akhirat kelak tidak ada lagi bahagian yang baik;

Mereka tahu yang mereka hanya mendapat neraka sahaja. Tetapi oleh kerana degil, ada juga manusia yang mengamalkan sihir.

وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ

Buruk sungguh sihir yang mereka beli untuk diri mereka;

Mereka beli sihir itu dengan menjualkan diri mereka untuk masuk neraka. Ini kerana untuk menjadikan sihir itu, mereka kena melakukan perbuatan-perbuatan kotor seperti makan darah, melakukan homoseks dan sebagainya. Mereka juga kena pijak Al-Qur’an kerana syaitan hendak mereka benar-benar murtad dan meninggalkan Islam. Macam-macam kisah karut yang kita dengar tentang mereka yang hendak mendapatkan iilmu sihir itu.

لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Kalaulah mereka itu mengetahui;

Kalaulah mereka mengetahui yang jikalau mereka beriman dan bertaqwa, mereka akan mendapat kebaikan yang melimpah ruah, tentu mereka tidak berani untuk mengamalkan sihir. Ini akan diterangkan dalam ayat selepas ini.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan