Utama Bilik (28) Bidaah Nusantara BAB 1: Siri Pemurnian 60 Bid’ah di Nusantara – Talaffudz Niat

BAB 1: Siri Pemurnian 60 Bid’ah di Nusantara – Talaffudz Niat

540
0
Iklan

Siri Pemurnian 60 Bid’ah yang diamalkan di Nusantara

BAB 1: Talaffudz Niat

1.1. Talaffudz niat ialah lafaz usolli yang dilakukan semasa hendak memulakan salat sama ada secara jahar (kuat) atau sir (senyap) semasa mengangkat takbir. Lafaz ini diucapkan dengan niat untuk membantu hati semasa hendak memulakan salat.

Di Malaysia, Majlis Fatwa Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Johor telah menetapkan hukum melafazkan usolli semasa salat adalah khilaf. (Khilaf = tiada nas yang muktamad dalam sesuatu hukum)

Penjelasan:

Difatwakan khilaf di nusantara kerana wujud dalam kitab-kitab genre baru mazhab, misalnya di dalam kitab Mughni Muhtaj karya Khatib Syarbini dan al-Bahooti kedua-duanya ulama’ Syafi’iyyah yang mengatakan sunat. Juga dikatakan harus dalam mazhab Maliki oleh al-Dardir.

Isu menjadi panas apabila golongan Muhaqqiqin dan aliran Salafiyyah atau ahli hadith dan gerakan sunnah seperti Ibn Taymiyah رحمه الله, muridnya Ibn Qayyim رحمه الله dan buku Talbis Iblis karya Ibn Jauzi رحمه الله yang membid’ahkan talaffudz niat kerana ini adalah hukum asal di sisi mazhab Syafi’iy sendiri dan Imam Nawawi.

Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله berkata,

الوسوسة في النية الصلاة و الطهارة من جهل بالشرع أو خبل بالعقل

Waswas dalam niat salat dan taharah itu adalah kebodohan terhadap syariat atau kurang kewarasan dalam akal” (Al-Amru Bil Ittiba’ Wan Nahyu ‘Anil Ibtida’, 28)

Kata Imam al-Suyuti رحمه الله :

ومن البدع أيضاً: الوسوسة في نيّة الصّلاة، ولم يكن ذلك من فعل النبي – صلى الله عليه وسلم – ولا أصحابة، كانوا لا ينطقون بشيء

من نية الصلاة بسوى التكبير. وقد قال تعالى: لقد كان لكم في رسول الله أُسوة حسنة

Termasuk bid’ah adalah waswas dalam niat salat. Nabi ﷺ dan para sahabat beliau tidak pernah berbuat begitu. Mereka tidak pernah sedikit pun mengucapkan lafaz niat salat selain takbir

Hukum mutakhir, lafaz niat adalah bid’ah kerana ini yang asal dalam mazhab Syafi’iy dan kajian para muhaqqiqin kerana banyaknya terjadi masalah akibat talaffudz niat yakni menjadinya wabak waswas ketika hendak berniat.

Siapa yang menjadikan talaffudz niat daripada bid’ah kepada khilaf?



1.2. Daripada mana asalnya talaffudz niat ini muncul? 

Ianya berasal daripada Syaikh Abu Abdillah al-Zubairi (ابوعبد الله الزبير بن أحمد بن سليمان بن عبد الله بن عاصم بن المنذر بن الزبير بن العوام الأسدي. wafat 317, Basrah, Iraqi).

Abu Abdillah al-Zubair رحمه الله daripada keturunan az-Zubair bin Awwam رضي الله عنه, telah salah dalam memahami perkataan Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله iaitu ketika menyimpulkan bahawa wajib melafazkan niat dalam salat daripada perkataan beliau. Ini disebabkan oleh salah faham beliau terhadap ungkapan Imam Asy-Syafi’iy رحمه الله berikut:

إذا نوى حجّاً وعمرة أجزأ، وإنْ لم يتلفّظ وليس كالصّلاة لا تصح إلا بالنّطق

Jika seseorang berniat haji atau umrah maka itu sah walaupun tidak diucapkan. Berbeza dengan salat, salat tidak sah kecuali dengan an-Nutq (lafaz)

Imam An Nawawi  رحمه الله berkata:

قال أصحابنا: غلط هذا القائل، وليس مراد الشافعي بالنّطق في الصّلاة هذا، بل مراده التكبير

Para ulama’ mazhab kami berkata, yang berkata demikian telah salah. Bukanlah maksud Imam Asy-Syafi’iy itu melafazkan niat dalam salat, namun maksud an-Nutq adalah takbir” (Al Majmu’, 3/243)

Syarah:

Imam Syafi’iy رحمه الله di dalam al-Umm, ketika membicarakan ibadah Umrah dan Haji, dalam bab Niat di Miqat, kita disunatkan melafazkan niat haji dan umrah dengan kuat, Labbaika Umratan wa Hajjan. Imam Syafi’iy رحمه الله berkata, ungkapan lafaz itu cuma sunat akan tetapi untuk salat kena dilafazkan. Lafaz yang dimaksudkan dengan salat ialah bukan lafaz niat tetapi lafaz takbiratul ihram.

Syaikh Abu Abdillah al-Zubairi memahami kata Imam Syafi’iy رحمه الله dengan mewajibkan lafaz niat ketika salat.

Akan tetapi, kesilapan az-Zubairi telah berkembang menjadi suatu fenomena talaffudz dan usolli di nusantara. Ini kerana tidak sampainya kalam Imam Nawawi رحمه الله kepada umat nusantara.

Maka yang sahih adalah Nabi ﷺ  tidak memulakan salat dengan lafaz niat salat.

Di antaranya riwayat daripada ‘Aisyah رضي الله عنها, dia berkata:

كان رسول الله – صلى الله عليه وسلم – يستفتح الصَّلاة بالتّكبير

Adapun Rasulullah ﷺ memulai salatnya dengan takbir” (HR. Muslim, no.498) 

Secara kesimpulannya, talaffudz niat adalah bid’ah kerana menyalahi sifat salat Nabi ﷺ dan merupakan silap faham kepada matan kenyataan Imam Syafi’iy رحمه الله. Ini adalah kesilapan Imam Abu Abdillah az-Zubairi رحمه الله dari Basrah.

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan