Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-95 hingga Ke-97

Tafsir Surah al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-95 hingga Ke-97

753
0
Iklan

Tafsir Surah al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-95 hingga Ke-97

Tafsir Ayat Ke-95

Agak-agaknya adakah mereka akan meminta untuk dimatikan terus?

وَلَن يَتَمَنَّوهُ أَبَدًا بِما قَدَّمَت أَيديهِم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّالِمينَ

Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

وَلَنْ يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا

Dan tidak akan sekali-kali mereka itu akan meminta mati selama-lamanya

Nescaya dia tidak akan berdoa begitu kerana mereka paling takut untuk mati. Kalau berperang pun mereka tidak mahu berperang di barisan hadapan kerana mereka itu memang jenis penakut.

بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ

Dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan dengan tangan-tangan mereka;

Bukan dosa-dosa tangan mereka sahaja tetapi termasuk jugalah segala dosa yang dilakukan oleh anggota mereka yang lain. Mereka tahu bahawa mereka tidak banyak amal yang baik yang mereka lakukan. Dan mereka tahu bahawa mereka melebihkan dunia dari akhirat. Dan sebab mereka tahu yang amalan yang mereka buat itu tidak sesuai dengan syurga. Mereka tahu yang mereka banyak dosa.

 

Macam kita juga, kita sudah boleh agak kita banyak amalan dunia atau amalan akhirat. Kita sendiri pun takut kalau kita tiba-tiba mati, bukan? Sebab kita tahu banyak lagi dosa kita tidak minta ampun. Kita tahu amalan ibadat kita tidak banyak. Kita tahu yang banyak lagi perubahan yang kita tidak buat lagi.

وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ

Dan Allah Maha Mengetahui sifat-sifat jelek orang-orang yang zalim.

Allah ‎ﷻ maha tahu apa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Allah ‎ﷻ tahu siapa yang berbuat zalim di atas dunia ini. Ini memberi isyarat yang Yahudi itu telah berbuat zalim. Mereka zalim dalam hal agama, akidah dan juga hal keduniaan.

Tafsir Ayat Ke-96:

وَلَتَجِدَنَّهُم أَحرَصَ النّاسِ عَلىٰ حَياةٍ وَمِنَ الَّذينَ أَشرَكوا ۚ يَوَدُّ أَحَدُهُم لَو يُعَمَّرُ أَلفَ سَنَةٍ وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِما يَعمَلونَ

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ

Kamu akan dapati mereka manusia yang paling tamak

Allah ‎ﷻ beritahu sifat orang Yahudi. Mereka itu manusia yang paling tamak dalam dunia.

عَلَىٰ حَيَاةٍ

dalam kehidupan dunia;

Mereka memang manusia yang mementingkan keduniaan. Apabila berdoa, mereka akan minta panjang umur. Mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat kelebihan di dunia. Mereka mahu membolot semua sekali harta dalam dunia ini.

وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُوا

lebih teruk lagi daripada orang-orang musyrik;

Mereka lebih teruk lagi daripada orang Musyrikin Mekah yang membuat syirik itu. Mereka kutuk Musyrikin Mekah itu, tetapi mereka sebenarnya lebih teruk. Sedangkan orang musyrik pun mengharap supaya mereka mati dalam peperangan yang boleh menaikkan nama mereka dan disebut-sebut orang. Dan orang musyirikin Mekah tidak percaya kepada kehidupan selepas mati, jadi mereka tidak takut mati.

Tetapi orang Yahudi memang takut hendak berperang kerana mereka takut mati. Untuk mengelak berperang, mereka akan beri alasan mereka menunggu Rasul akhir zaman turun supaya mereka boleh mengalahkan orang-orang kafir dengan mudah. Dan kalau mereka berperang, mereka tidak akan duduk di barisan hadapan kerana mereka jenis takut mati.

يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ

Setiap orang dari mereka amat berkeinginan kalau diberikan umur seribu tahun;

Begitulah mereka. Mereka berharap sangat supaya mereka dapat hidup lama. Ini kerana mereka lebih selesa dengan dunia yang indah bagi mereka. Begitulah, puak yang sesat memang hendak hidup lama.

وَما هُوَ بِمُزَحزِحِهِ مِنَ العَذابِ أَن يُعَمَّرَ

Dan tidaklah umur yang panjang itu boleh melepaskan mereka dari azab Sekiranya Allah panjangkan umur mereka seribu tahun pun

Kalau doa mereka supaya umur mereka dipanjangkan itu dimakbulkan Allah ‎ﷻ, ia tidak dapat melepaskan mereka daripada azab Allah ‎ﷻ. Tidak ada kebaikan kalau umur panjang beribu-ribu tahun pun. Ini kerana mereka akan gunakan masa itu untuk membuat keburukan dan kezaliman.

Memang ia tidak akan terjadi, tetapi Allah ‎ﷻ hendak beritahu, kalau ia terjadi sekalipun, ia tidak bermanfaat untuk mereka.

وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ

Dan Allah Maha Melihat terhadap apa yang mereka lakukan.

Allah ‎ﷻ tetap memerhatikan sahaja apa yang mereka perbuat dan Allah ‎ﷻ akan membalas segala perbuatan mereka itu.

Yang menjadikan kita susah hendak lupakan dunia ini adalah kerana kita sayang sangat kepadanya. Padahal, kita semua akan pergi jua meninggalkannya. Ini semua orang tahu, termasuklah orang musyrik. Maka, kalau kita sudah tahu yang kita akan mati juga akhirnya, janganlah terpaut sangat kepada dunia.

Ingatlah yang tempat tinggal kita yang sebenarnya adalah di syurga nanti. Ke situlah kita hendak kembali. Maka sebagai seorang Islam, kita hendaklah mempersiapkan diri kita untuk sampai ke sana iaitu dengan mengikut arahan Allah ‎ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya.

Tafsir Ayat Ke-97

Allah ‎ﷻ menceritakan kesamaran-kesamaran yang ada pada Yahudi yang menghalang mereka mendekati ajaran dan arahan Al-Qur’an. Kalau hilang kesamaran-kesamaran itu, mungkin mereka boleh masuk Islam.

Macam juga orang kita yang tidak datang belajar ilmu secara sunnah sebab telah dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’. Sudah masyhur dalam masyarakat Islam kita tentang Wahabi ini. Puak-puak bid’ah telah memberikan peringatan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan ‘ajaran Wahabi’ – diberikan dengan berbagai-bagai fakta yang tidak benar tentang beliau.

Ini telah menyebabkan masyarakat takut untuk belajar sunnah kerana takut menjadi sesat (atau menjadi Wahabi). Tetapi, bila diperjelaskan dengan baik kepada mereka, baru mereka membuka hati dan mahu datang belajar. Maka dalam ayat-ayat ini Allah ‎ﷻ menceritakan apa yang puak Yahudi terkilan tentang Islam. Ada tiga perkara syubhat yang akan disebutkan.

Yang pertama, mereka kenal malaikat tetapi mereka suka Mikail sahaja dan mereka benci Jibrail. Sebab pada mereka Jibrail عليه السلام adalah malaikat yang membawa bala. Ini mereka dapat maklumat daripada kitab-kitab yang ditulis oleh pendita-pendita mereka. Jadi apabila Nabi Muhammad ﷺ datang, mereka tanya siapakah yang membawa wahyu kepada baginda. Apabila dikatakan Jibrail عليه السلام, mereka kata yang Jibrail عليه السلام adalah musuh mereka. Jadi mereka tolak segala apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ.

Memang ada orang Yahudi dan Kristian yang tidak suka kepada Jibrail ﷺ. Mereka hanya suka kepada Mikhail. Sebab itu ada mereka buat dalam filem mereka, peperangan antara “Angel Michael” dan “Angel Gabriel”. Sebab itu juga mereka tidak namakan anak mereka Gabriel tetapi mereka banyak menamakan anak mereka Michael. Mari kita lihat apakah jawapan Allah ‎ﷻ kepada kebencian mereka itu.

قُل مَن كانَ عَدُوًّا لِجِبريلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلىٰ قَلبِكَ بِإِذنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِما بَينَ يَدَيهِ وَهُدًى وَبُشرىٰ لِلمُؤمِنينَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

قُلْ مَنْ كَانَ عَدُوًّا لِجِبْرِيلَ

Katakanlah: dan sesiapa yang memusuhi Jibrail;

Membenci mana-mana malaikat adalah kesalahan yang amat besar. Kita tidak boleh memusuhi mana-mana malaikat. Memang sia-sia kalau membenci para malaikat. Namun itulah yang ada di dalam fikiran orang Yahudi.

Antara sebab lain yang mereka marah dengan Jibrail عليه السلام itu adalah kerana pada mereka, wahyu sepatutnya hanya sampai kepada Nabi dalam kalangan Bani Israil sahaja. Orang lain tidak boleh menerima wahyu, lebih-lebih lagi orang Arab. Mereka tahu bahawa yang menurunkan wahyu adalah Jibrail عليه السلام. Jadi, mereka berkata Jibrail عليه السلام telah salah bagi wahyu. Sepatutnya bagi kepada orang lain, tetapi Jibrail عليه السلام telah bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ daripada bangsa Arab.

Macam sekarang, kita ada orang Syiah yang juga berkata yang Jibrail ﷺ telah salah bagi wahyu. Mereka berkata sepatutnya wahyu itu disampaikan kepada Ali رضي الله عنه tetapi Jibrail عليه السلام telah silap bagi kepada Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana semasa mencari-cari Ali رضي الله عنه semasa beliau sedang tidur di rumah, Jibrail عليه السلام telah terberi wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ yang juga sedang tidur di rumah yang sama.

فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَىٰ قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ

sesungguhnya dia menurunkan Al-Qur’an itu ke atas hati kamu dengan izin Allah;

Maknanya, dengan izin Allah ‎ﷻlah, masuknya Al-Qur’an ke dalam hati Nabi Muhammad ﷺ dengan perantaraan Jibrail عليه السلام. Bukannya Jibrail عليه السلام pandai-pandai pilih sendiri siapa yang patut mendapat wahyu. Ia bukan keputusan dari Jibrail عليه السلام, tetapi dari Allah ‎ﷻ sendiri.

Dengan izin Allah ‎ﷻ sahaja Al-Qur’an itu sampai kepada Nabi Muhammad ﷺ. Sebagaimana sekarang, apabila Al-Qur’an dibacakan kepada kita, yang boleh melekat apa yang diajar itu ke dalam hati dan akal kita, adalah kerana izin Allah ‎ﷻ jua. Oleh itu kenalah kita berdoa supaya Allah ‎ﷻ memberikan kita faham ajaran Al-Qur’an itu.

Kalau tidak, kita hanya dapat mendengar tetapi tidak faham apa yang hendak disampaikan. Berapa ramai yang sudah pergi ke kelas Tafsir, tetapi mereka tidak faham apa yang disampaikan. Atau, mereka salah faham maksud yang disampaikan oleh guru yang mengajar.

Orang Yahudi, apabila mereka mendengar bahawa Nabi Muhammad ﷺ telah mendapat wahyu daripada Jibrail عليه السلام, mereka kata: “Jibrail عليه السلام yang itukah yang sampaikan wahyu kepada Nabi kamu? Sebenarnya kami ada banyak masalah dengan Jibrail عليه السلام itu.” Mereka hendak menjatuhkan kredibiliti Jibrail عليه السلام. Mereka juga tahu bahawa Jibrail عليه السلامlah yang telah menurunkan bala kepada umat-umat dahulu yang menentang ajaran Allah ‎ﷻ. Maka, mereka kata Jibrail عليه السلام adalah seorang yang jahat.

Mereka kata, kalau Mikhail ‎عليه السلام yang membawakan wahyu itu turun, mereka akan terima Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana mereka sukakan Mikhail ‎عليه السلام sebab mereka tahu Mikhail عليه السلام‎ turun membawa rahmat dan rezeki kepada manusia. Itu semua hanya sebagai alasan mereka sahaja untuk menolak kebenaran kerana kedegilan mereka.

Dalam kitab mereka, mereka ada meletakkan kisah bagaimana malaikat-malaikat adalah ‘anak-anak Tuhan’ yang ‎berlawan sesama mereka untuk mendapatkan kuasa. Jadi, kita boleh tahu bahawa pemahaman mereka tentang para malaikat bukanlah pemahaman yang benar. Ilmu agama tentang perkara ghaib telah ditukar sampai mereka menjadikan malaikat ada nafsu pula untuk mendapatkan kuasa. Padahal, malaikat itu hanya menurut perintah Allah ‎ﷻ sahaja.

Dalam ayat ini, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ jawab bahawa Al-Qur’an itu walaupun dibawa oleh Jibrail عليه السلام, tetapi dia turun dengan izin Allah ‎ﷻ. Bukanlah dia turun membawakan sendiri dan pilih kepada siapa dia hendak berikan wahyu itu.

مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ

Yang membenarkan kitab yang ada dihadapan mereka;

Dan bukanlah wahyu itu menyampaikan ajaran baru tentang tauhid, tetapi ia adalah sama seperti yang ada dalam kitab-kitab yang terdahulu. Jadi, apa bezanya sampaikan mereka tidak suka dengan apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu?

Kalau ia perkara yang lain dan salah, barulah ada sebab untuk melawan dan membenci, tetapi ia adalah benda yang sama sahaja dengan apa yang mereka ada. Tidak lain dan tidak bukan, itu adalah alasan-alasan mereka dan kesamaran yang ada dalam hati mereka sahaja.

وَهُدًى

Dan ianya adalah kitab yang memberi pimpinan;

Apa salah wahyu itu sedangkan wahyu yang disampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu memberi petunjuk. Maka kalau manusia mahukan petunjuk, kena dapatkan daripada Al-Qur’an, bukan dari sumber lain.

وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

dan berita gembira kepada orang mukmin;

Sesiapa yang mengikut ajaran yang disampaikan dalam Al-Qur’an, akan mendapat petunjuk. Dan sesiapa yang mendapat petunjuk, akan mendapat berita gembira. Dia akan dibalas dengan syurga.

Oleh itu hendaklah kita belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini. Sesiapa yang berniat untuk belajar isi Al-Qur’an sepenuhnya sebanyak 30 juzuk, dia telah menempah tempatnya di syurga. Barulah ada peluang untuk masuk ke dalam syurga. Bukanlah tentu masuk syurga lagi kalau sudah belajar tafsir.

Masih ada syarat iaitu kenalah istiqamah dalam belajar tafsir Al-Qur’an. Kalau dia mati dan tidak sempat habis belajar, dia pun in sha Allah akan memasuki syurga juga kerana Allah ‎ﷻ akan memasukkan dia di dalam golongan orang yang telah belajar Al-Qur’an kerana dia telah berniat. Walaupun tidak sempat habis, tetapi Allah ‎ﷻ akan melengkapkan niatnya itu. Apabila sudah berniat sahaja, Allah ‎ﷻ sudah suruh malaikat tulis dengan lengkap perbuatannya itu.

Tetapi belajar sahaja pun belum tentu lagi, jika tidak mengamalkan apa yang dipelajari itu. Ini kerana kalau belajar tetapi tidak mengamalkan apa yang dia belajar, maka tidak ada harapan untuk memasuki syurga.  Kenalah jadi orang mukmin terlebih dahulu. Jadi, berita baik itu adalah kepada orang yang mukmin sahaja. Kalau bukan mukmin, mereka tidak dapat terima berita baik itu. Oleh itu, berusahalah kita supaya kita termasuk dalam golongan mukmin.

Allahu a’lam. 

Komen dan Soalan