Utama Bilik (123) Tafsir, Tadabbur dan Tazakkur Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-92 hingga Ke-94

Tafsir Surah Al-Baqarah: Tafsir Ayat Ke-92 hingga Ke-94

764
0
Iklan

Tafsir Surah Al-Baqarah

Tafsir Ayat Ke-92 hingga Ke-94

Tafsir Ayat Ke-92

وَلَقَد جاءَكُم موسىٰ بِالبَيِّناتِ ثُمَّ اتَّخَذتُمُ العِجلَ مِن بَعدِهِ وَأَنتُم ظالِمونَ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.

وَلَقَدْ جَاءَكُمْ مُوسَىٰ

Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa

Nabi Musa عليه السلام telah datang menyampaikan dakwah kepada Bani Israil.

بِالْبَيِّنَاتِ

dengan bawa dalil bukti kukuh

Bukanlah Nabi Musa عليه السلام dengan tangan kosong tetapi baginda telah membawakan banyak bukti kukuh tentang kekuasaan Allah ‎ﷻ. Baginda juga telah banyak menunjukkan mukjizat dan juga kejadian-kejadian pelik kepada Bani Israil yang mereka boleh nampak sendiri.

ثُمَّ اتَّخَذْتُمُ الْعِجْلَ مِنْ بَعْدِهِ

Kemudian kamu ambil juga anak lembu sebagai pujaan kamu selepas perginya

Iaitu selepas perginya Nabi Musa عليه السلام ke Bukit Thursina. Dalam ayat sebelum ayat ini, mereka berkata mereka beriman. Tetapi kalau betul mereka beriman, kenapa mereka puja pula patung anak lembu?

Mereka sebenarnya bercakap ‘tidak serupa bikin’. Padahal, dalam sejarah mereka, Nabi Musa عليه السلام adalah Nabi utama mereka. Dan mereka kata umat yang hidup dengan Nabi Musa عليه السلام itulah umat yang terbaik. Kalau Nabi mereka yang utama dan umat mereka yang terbaik pun boleh berbuat syirik dengan memuja patung, bagaimana pula dengan mereka?

وَأَنْتُمْ ظَالِمُونَ

Dan kamu pada ketika itu menzalimi diri sendiri;

Mereka berbuat zalim dengan buat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Makna ‘zalim’ dalam ayat ini adalah berbuat syirik kepada Allah ‎ﷻ. Bukan zalim seperti yang kita biasa faham itu.

Jadi ini adalah tempelak kepada Bani Israil: “Kalau dulu pun kamu sudah tidak ikuti apa yang ada dalam kitab kamu sendiri, apa sebab kamu boleh kata kamu tidak boleh ikut Al-Qur’an dan Nabi Muhammad ﷺ kerana kamu kata kamu kena ikut Taurat?”

Mereka gunakan alasan tidak boleh mengikut Al-Qur’an kerana mereka kata mereka kena ikut Taurat, tetapi Taurat pun mereka sebenarnya tidak ikut. Jadi alasan yang mereka berikan itu adalah amat rapuh sekali. Itu cuma sebagai alasan mereka sahaja.

Tafsir Ayat Ke-93

Allah ‎ﷻ memberitahu sebab kenapa mereka tidak patut menolak wahyu dan kenapa mereka ada masalah dengan wahyu Al-Qur’an:

  1. Kerana wahyu itu adalah yang haq daripada Allah ‎ﷻ.
  2. Membenarkan akidah seperti apa yang ada dalam kitab mereka (Taurat).
  3. Mereka sentiasa ingin membunuh Nabi yang ajar wahyu. Nabi Muhammad ﷺ pun mereka cuba bunuh kerana mereka telah pernah racun Nabi yang menyebabkan kematian baginda.
  4. Mereka lihat sendiri bagaimana mereka diselamatkan oleh Nabi Musa عليه السلام.
  5. Setelah Taurat datang pun mereka tolak juga. Lepas gunung diletakkan tepi sahaja (setelah diangkat ke atas mereka) mereka telah tolak. Ini kerana mereka amat kasih kepada patung anak lembu sebab ia nampak pelik pada mereka. Mereka ada perasaan itu kerana mereka ada sifat kekufuran mereka yang lama.

وَإِذ أَخَذنا ميثاقَكُم وَرَفَعنا فَوقَكُمُ الطّورَ خُذوا ما آتَيناكُم بِقُوَّةٍ وَاسمَعوا ۖ قالوا سَمِعنا وَعَصَينا وَأُشرِبوا في قُلوبِهِمُ العِجلَ بِكُفرِهِم ۚ قُل بِئسَما يَأمُرُكُم بِهِ إيمانُكُم إِن كُنتُم مُؤمِنينَ

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil Kami berfirman): “Ambillah (dan amalkanlah ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):” Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ

Dan ingatlah ketika Kami mengambil perjanjian dengan kamu;

Ini adalah kisah bagaimana Nabi Musa عليه السلام telah membawa 70 orang wakil puak Yahudi mengikutinya ke atas Bukit Thursina. Mereka naik mengikut Nabi Musa عليه السلام itu adalah untuk melihat cara Kitab Taurat diturunkan.

Mereka kemudian dimatikan kerana mereka minta hendak lihat Allah ‎ﷻ secara nyata. Kemudian mereka telah dihidupkan semula selepas Nabi Musa عليه السلام berdoa kepada Allah ‎ﷻ untuk menghidupkan mereka semula. Ini telah diceritakan dalam Surah Baqarah ini juga.

Apabila mereka mati dan telah dihidupkan semula, tentulah mereka percaya dan beriman dengan Nabi Musa عليه السلام. Apabila mereka beriman, maka mereka telah menceritakan apa yang terjadi kepada orang-orang yang tidak naik sekali dengan mereka. Orang-orang Yahudi yang di bawah bukit tidak mahu percaya kepada mereka. Ini kerana mereka kata wakil-wakil itu telah berpakat dengan Nabi Musa عليه السلام untuk menipu mereka. Oleh kerana itu mereka tidak mahu percaya.

وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ

dan Kami angkat Bukit Thur atas kepala kamu;

Apabila mereka tidak mahu percaya, Allah ‎ﷻ telah angkat Bukit Thursina ke atas mereka. Kalau mereka tetap tidak beriman, Allah ‎ﷻ akan hempapkan bukit itu ke atas mereka. Setelah diangkat Bukit Thur ke atas kepala mereka dan diancam, barulah mereka berjanji untuk taat.

Maka, Allah ‎ﷻ mengingatkan dalam ayat ini tentang kejadian itu. Apabila mereka hendak beriman, maka dikatakan kepada mereka:

خُذُوا مَا آتَيْنَاكُمْ بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا

Peganglah dengan bersungguh apa yang Kami berikan kepada kamu dan kamu dengarlah;

‘Dengar’ ini bermaksud dengarlah kepada guru yang mengajar Kitab Taurat. Dengarlah nasihat yang disampaikan kepada mereka. Dan kepada mereka yang datang setelah Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi Rasul, hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan.

قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا

Jawapan mereka: “Kami dengar tetapi kami engkar”;

Engkar di sini adalah engkar dengan hati. Tentulah mereka tidak berani untuk bercakap secara nyata. Oleh itu, Allah ‎ﷻ memberitahu kita bahawa mereka dengar tetapi mereka tidak mahu ikut. Hati mereka sendiri tidak mahu ikut apa yang mereka telah janji dengan mulut mereka sendiri.

Atau memang mereka cakap begitu secara nyata. Mereka memperolokkan arahan Allah ‎ﷻ sampai mereka cakap: “Kami dengar tetapi kami engkar”.

وَأُشْرِبُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ

Kerana mereka telah diresapi dalam hati hati mereka sayang kepada anak lembu;

Mereka engkar dengan perjanjian dengan Allah ‎ﷻ itu kerana hati mereka dipenuhi dengan perasaan sayang terhadap patung anak lembu itu.

Jangan kita lupa, kita umat Islam sekarang pun ada perjanjian juga dengan Allah ‎ﷻ iaitu apabila kita mengucapkan dua kalimah syahadah apabila kita masuk Islam dan setiap hari kita lafazkan syahadah itu. Kalau kita mungkir dengan janji itu, maka kita pun boleh juga melakukan perkara syirik.

Dan memang banyak daripada amalan masyarakat kita yang sudah syirik kepada Allah ‎ﷻ. Tetapi oleh kerana ramai yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka telah melakukan syirik tanpa sedar.

Kalau puak Yahudi itu telah sayang kepada patung anak lembu itu, masyarakat kita pun ada benda selain Allah ‎ﷻ yang kita sayang. Macam masyarakat kita sekarang, mereka sayangkan pulut kuning. Itu adalah sebagai contoh salah satu perbuatan syirik yang banyak lagi masyarakat kita amalkan. Sampaikan kalau tidak buat pulut kuning dalam majlis mereka, mereka rasa tidak lengkap majlis itu.

Begitu juga kepada mereka yang sayang kepada adat bersanding, pelamin dan sebagainya. Mereka sudah tidak kisah sama ada perkara itu boleh dilakukan dalam Islam ataupun tidak. Ini kerana perbuatan itu sudah lama sebati di dalam jiwa mereka. Memang susah sangat untuk mereka tinggalkannya. Sampaikan kalau kita tegur mereka, mereka akan kata macam-macam tentang kita.

بِكُفْرِهِمْ

Dengan kekufuran mereka yang telah lalu;

Mereka timbul perasaan sayang itu kerana kekufuran mereka yang telah ada sebelum itu. Mereka telah menutup iman yang ada dalam hati mereka.

Begitu juga dengan golongan Yahudi zaman Nabi Muhammad ﷺ itu, mereka merasakan apa yang datuk nenek mereka buat dahulu adalah betul belaka. Sebab itulah mereka mengikut perangai datuk nenek mereka itu.

قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ

Katakan kepada mereka: buruk sungguh kepercayaan kamu yang menyuruh kamu buat perkara yang mungkar ini;

Pada mula ayat ini, Allah ‎ﷻ masih lagi bercakap terus kepada mereka. Tetapi selepas mereka kurang ajar dengan Allah ‎ﷻ, maka Allah ‎ﷻ terlalu murka kepada mereka sampaikan Allah ‎ﷻ tidak mahu lagi bercakap dengan mereka. Maka Nabi yang diarahkan untuk bercakap dengan mereka.

Kata kepada mereka: “Kamu kata kamu beriman, tetapi kalau inilah iman kamu suruh kamu buat, sembah patung sapi, teruk sangat iman kamu itu. Sebenarnya, kamu tidak beriman pun kerana kalau beriman, tidak akan buat apa yang kamu buat ini”.

Bermula dari ayat ini, Allah ‎ﷻ hanya bercakap dengan mereka melalui Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Perbuatan ini dinamakan ‘tab’eed’, iaitu menjauhkan diri dari seseorang kerana marahkan orang itu.

إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ

Sekiranya kamu beriman;

Sekiranya kamu beriman, maka berhentilah dari buat perkara-perkara ini. Kembalilah kepada ajaran yang benar. Masih ada harapan lagi untuk beriman sebelum mati.

Ayat-ayat selepas ini Allah ‎ﷻ terus menerangkan tentang perbuatan Bani Israil dan bagaimana Nabi Muhammad ﷺ perlu menghadapi mereka.

Tafsir Ayat Ke-94

Ayat ini adalah satu bentuk mubahalah. Ia berasal dari kata “bahlah” atau “buhlah” yang bermakna kutukan atau melaknat. Mubahalah menurut istilah adalah dua pihak yang saling memohon dan berdoa kepada Allah ‎ﷻ supaya Allah ‎ﷻ melaknat dan membinasakan pihak yang batil atau menyalahi pihak kebenaran.

Bani Israil perasan kaum mereka sahaja layak untuk memasuki syurga. Mereka berasa begitu sebab mereka ramai yang daripada keturunan Nabi. Memang beginilah sifat manusia. Selalu sebut keturunan mereka yang baik-baik. Kalau keturunan mereka orang-orang baik dan alim ulama’, maka mereka sangka mereka sudah pasti selamat.

Ini tidak benar sama sekali. Sedangkan ada ahli keluarga Nabi pun masuk neraka. Lihatlah kisah anak Nabi Nuh  عليه السلام. Lihatlah juga bagaimana Musa Samiri telah dibela oleh Jibrail pun membesar menjadi orang jahat. Jadi keturunan tidak ada nilai kalau jauh daripada agama.

Ini kita ingatkan juga kepada kumpulan-kumpulan Habib yang sangka keturunan Nabi Muhammad ﷺ itu telah selamat dan benar. Belum tentu lagi – kita kena lihat sama ada apa yang mereka bawakan itu adalah sunnah ataupun tidak. Kalau tidak sunnah, kalau benar mereka keturunan Nabi pun, mereka tidak akan selamat.

Dan kalau kita tidak terima ajaran mereka itu, bukanlah kita menghina keturunan Nabi dan menghina Nabi sendiri – nauzubillah min zalik, sungguh jauh sekali daripada sangkaan mereka. Kita sayangkan Nabi, tetapi tidaklah kita terus percaya kepada keturunan baginda membabi buta.

Satu lagi, Bani Israil merasakan mereka itu keturunan yang disayangi dan terpilih oleh Allah ‎ﷻ. Ini kerana memang mereka itu keturunan yang cantik dan cerdik-cerdik belaka – ini tidak dapat dinafikan sama sekali, sampai sekarang pun. Dan kalau mereka masuk Islam, memang mereka akan jadi seorang Muslim yang amat baik sekali kerana mereka memang orang yang bijak-bijak.

Dan kalau mereka lawan Islam, merekalah yang jadi ketua. Oleh itu kita kena berhati-hati dengan mereka. Kita pun telah baca dengan banyak sekali perangai buruk mereka. Mereka akan sentiasa hendak menjatuhkan orang Islam dari luar atau dari dalam.

Dan kalau mereka memberi nasihat, ditakuti nasihat mereka itu untuk menjatuhkan kita. Maka kenalah berhati-hati dengan mereka. Malangnya, kerajaan kita pun pernah ambil penasihat dalam kalangan mereka. Ditakuti kita telah tertipu dengan propaganda mereka.

Kepada Yahudi, agama Yahudi sahaja yang benar. Sampaikan mereka sanggup tolak orang lain. Macam kita juga, kita sangka puak kita sahaja yang betul, puak lain semua salah. Sampaikan ada masyarakat Islam kita yang tidak mahu berimamkan kepada imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka kata imam-imam itu tidak tahu baca Fatihah.

Padahal, mereka orang Arab dan kita bukan orang Arab. Itu dinamakan ‘perasan’. Ada pula yang kata tidak boleh mengikut imam Masjid Nabawi dan Masjidilharam kerana mereka itu sesat kerana mengikut Wahabi. Subhanallah! Begitulah juga orang Yahudi dalam ayat ini yang sangka mereka sahaja yang akan masuk syurga dan puak-puak lain adalah sesat.

قُل إِن كانَت لَكُمُ الدّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خالِصَةً مِن دونِ النّاسِ فَتَمَنَّوُا المَوتَ إِن كُنتُم صادِقينَ

Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.

قُلْ إِنْ كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الْآخِرَةُ عِنْدَ اللَّهِ خَالِصَةً

Katakan kepada mereka: Sekiranya negara akhirat itu hanya khas untuk kamu sahaja di sisi Allah;

Inilah mubahalah yang dimaksudkan. Lafaz ini dikatakan kepada mereka kerana mereka sangka mereka sahaja yang dapat memasuki syurga. Yang yakin mereka akan masuk syurga antaranya adalah Orang Yahudi, Kristian dan juga Islam.

Orang Yahudi sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Kristian pula sangka merekalah sahaja yang akan memasuki syurga. Orang Islam pun sangka orang Islam sahajalah yang akan memasuki syurga.

Dalam ayat ini, ia adalah tentang orang Yahudi yang memang yakin benar bahawa apabila mereka mati nanti, mereka pasti akan memasuki syurga. Begitu juga dengan Orang Kristian, mereka sangka mereka akan memasuki syurga kerana mereka telah menerima Nabi Isa عليه السلام sebagai Tuhan.

مِنْ دُونِ النَّاسِ

orang lain tidak dapat masuk.

Mereka sangka mereka yang terpilih. Mereka sahaja yang masuk syurga, tidak dikongsi dengan orang daripada agama lain.

فَتَمَنَّوُا الْمَوْتَ

Maka kamu mintalah mati;

Inilah cabaran yang diberikan kepada mereka: “Mintalah mati sekarang juga”. Cabaran ini logik, sebab kalau mereka kata mereka akan terus memasuki syurga, mintalah mati segera supaya mereka boleh terus memasuki syurga itu.

Sebab, bukankah kalau mereka mati sekarang, mereka kata mereka boleh terus masuk syurga? Maknanya, penghalang mereka dan syurga adalah kehidupan sahaja, bukan? Dan bukankah syurga itu lebih baik lagi dari dunia ini? Buat apa lagi mereka tinggal di dunia lagi kalau sudah pasti mereka akan masuk syurga? Sudah tentu kehidupan di syurga lebih baik daripada kehidupan dunia, bukan?

Orang Islam juga rasa mereka akan masuk syurga. Jadi, mungkin ada yang berkata, ayat ini boleh ditujukan kepada orang Islam juga. Tetapi, sebenarnya, orang Islam yang sebenar, tidak berfahaman seperti orang Yahudi itu. Kita sebenarnya ‘mengharap’ untuk masuk syurga, tetapi dalam masa yang sama, kita ‘takut’ yang kita tidak dapat masuk syurga.

Kita tidak boleh pasti sama ada kita secara individu adalah ahli syurga ataupun ahli neraka. Cuma kita tahu bahawa kalau Muslim yang sebenar – iaitu orang mukmin dan bertaqwa, orang itu pasti akan masuk syurga. Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh kata mereka ahli syurga lagi. Kita cuma boleh tahu di akhirat nanti – selepas pengadilan dijalankan di Mahsyar kelak.

Kita sekarang sedang berusaha untuk berbuat kebaikan seperti yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Semoga dengan amalan kita itu, kita dapat masuk syurga. Namun kita kena sentiasa ada imbangan antara ‘takut’ dan ‘harap’. Takut masuk neraka dan mengharap untuk masuk syurga.

Tetapi lain sekali dengan Orang Yahudi. Mereka sudah ada fahaman yang mereka itu adalah umat terpilih. Mereka yakin mereka akan masuk syurga. Macam syurga itu mereka yang punya. Jadi, mereka itu perasan yang bangsa mereka itu sahaja yang akan masuk syurga.

Maka dengan orang yang jenis macam ini, memang susah untuk dakwah kepada mereka. Sebab mereka sudah yakin ahli syurga, jadi untuk apa perlu dakwah lagi? Maka kalau mereka berdegil juga, maka kita mubahalah dengan mereka seperti dalam ayat ini. Cabar dia untuk mati cepat. Ajak dia berdoa sekali.

إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Sekiranya kamu benar dalam dakwaan kamu itu.

Ayat jenis ini dinamakan sebagai ayat Mubahalah. Sekiranya mereka berasa mereka betul, maka kita cabar kepada mereka untuk mintalah mati dengan segera. Ayat Mubahalah ini akan diterangkan dalam Surah Ali Imran nanti.

Semoga dengan ini mereka akan terfikir dan tersentap: “Benarkah aku pasti masuk syurga?”

 

Allahu a’lam.

Komen dan Soalan