Utama Talbis Iblis Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 2)

Talbis Iblis: Iblis Menggalakkan Pertengkaran (Bahagian 2)

210
0
Iklan

Sambungan Cara Komunikasi Anjuran Al-Qur’an

Cara komunikasi Kedua: Qawlan Sadeedan


Sebelum ini kita telah lihat Qawlan Ma’roofan, hari kita Qawlan Sadeedan seperti yang disebut dalam [Nisa: 9]

وَلْيَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا

dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul

Kalimah قَوْلًا سَدِيدًا bermaksud ucapan baik yang menepati syariat. Berkatalah dengan baik kepada manusia lain.

Kata سَدِيدًا berasal daripada katadasar yang bermaksud ‘dinding’. Kalau dinding rumah kita, kita akan jaga dan kalau ada lubang, kita akan tampal supaya tidak retak. Jadi قَوْلًا سَدِيدًا telah menjadi satu makna yang membawa maksud kata-kata yang jelas, tepat, tidak bengkang bengkok, tidak retak dan tidak ada lubang padanya.

Maknanya, cakap biar terang dan jelas, jangan bengkang bengkok macam ahli politik.

Ini penting kerana nanti orang lain salah faham dan boleh menyebabkan marah nanti.

 

Cara Komunikasi Ketiga: Qawlan Baleeghan


Qawlan ketiga dalam Qur’an adalah Qawlan Baleeghan. Ini disebut dalam [Nisa: 63]

أُولٰئِكَ الَّذينَ يَعلَمُ اللَّهُ ما في قُلوبِهِم فَأَعرِض عَنهُم وَعِظهُم وَقُل لَهُم في أَنفُسِهِم قَولًا بَليغًا

Mereka itu adalah orang-orang yang Allah ketahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.

Baligh maksudnya ‘sampai’. Bila bercakap, biar apa yang kita maksudkan sampai kepada penerima. Biar masuk ke dalam jiwanya.

Contoh perbuatan Nabi ﷺ, Ibn Kathir رحمه الله mengemukakan satu riwayat daripada Imam Ahmad رحمه الله dalam Musnadnya tentang peristiwa datangnya seorang pemuda kepada Nabi ﷺ dan meminta daripada Nabi ﷺ keizinan untuk melakukan zina.

Perbuatan yang mengundang kemarahan para sahabat itu, dihadapi dengan tenang oleh Nabi ﷺ. Baginda memanggil pemuda itu mendekatinya lantas bertanyakan kepadanya beberapa soalan yang telah menyebabkan berlaku perubahan paradigma pada pemuda ini.

Soalan Nabi ﷺ yang pertama : Adakah beliau menyukai perbuatan itu dilakukan terhadap ibunya?

Naluri fitrah menyebabkannya menolak kemungkinan manusia boleh redha kekejian sedemikian berlaku terhadap ibunya. Demikian pula soalan Nabi ﷺ bertalu-talu kepadanya tentang perlakuan itu jika dikerjakan terhadap anak perempuannya, saudara perempuannya atau ibu-ibu saudaranya. Semuanya dijawab dengan penuh keyakinan oleh pemuda tersebut: “Tiada siapa merelakan golongan perempuannya diperlakukan begitu!”

Nabi ﷺ akhirnya bersabda yang bermaksud: “Jika kamu tidak menyukai dilakukan kepada wanita-wanitamu, maka janganlah engkau melakukannya kepada mana-mana wanita lain kerana mereka itu tidak lain dan tidak bukan adalah salah seorang daripada kategori itu.”

Dengan sifat penyayangnya akhirnya Nabi ﷺ mendoakan buat pemuda ini dengan doa Nabi ﷺ yang mustajab, tanda mukjizat baginda: “Ya Allah ampunkanlah dosanya, bersihkanlah hatinya dan sucikanlah kemaluannya!”

Pemuda ini akhirnya didapati oleh Abu Umamah رضي الله عنه selaku perawi hadith tidak lagi terpedaya dengan ajakan-ajakan maksiat dan syahwat yang merosakkan.

Maka, kita kena pandai cakap, pilihlah cara dan perkataan untuk bercakap kerana bukan ‘apa‘ yang kita cakap, tetapi ‘cara‘ kita cakap juga memainkan peranan.

Sebagai contoh, hendak menasihatkan anak, cakap baik-baik dengan dia, dan sambil pegang badan dia kerana sentuhan itu bermakna dan memberi kesan kepadanya.

Seperti yang disebut dalam [Nisa: 63]. Ia bermaksud kata-kata nasihat yang memberi kesan. Nasihatilah manusia biar nasihat itu sampai ke dalam hati mereka. Bercakaplah dengan baik supaya nasihat itu memberi bekas pada jiwa.

Dalam ayat itu, Allah ‎ﷻ suruh Nabi ﷺ beri nasihat kepada golongan munafik secara khusus. Panggil mereka dan nasihat mereka secara terus. Jangan bagi isyarat-isyarat sahaja.

Kalimah بَليغًا bermaksud ‘sampai’. Maksudnya, beri nasihat biar sampai dalam hati mereka. Beri nasihat yang memberi bekas pada jiwa. Beritahu mereka yang sifat munafik yang ada pada mereka itu akan memakan diri mereka sendiri nanti. Mereka kena ubah perangai mereka.

Syaitan sentiasa sahaja menggalakkan permusuhan di kalangan manusia. Salah satu cara adalah dengan menghasut manusia untuk menggunakan kata-kata yang tidak baik, buruk dan menyakitkan hati.

Maka kena belajar cara-cara untuk bercakap dan berkomunikasi. Menasihati janganlah dengan cara maki, perli dan menghina.

Ini orang sunnah pun ada masalah. Bila sudah belajar sunnah, maka dipandang hina golongan yang belum sunnah lagi. Padahal dia dahulu pun mengamalkan syirik dan bid’ah juga.

Maka dia benci kepada orang yang belum sunnah. Maka bahasa yang digunakan adalah dalam nada marah, hina dan perli.

Ini bukan qawlan baleeghan. Tidak sampai apa yang kita ingin sampaikan.

Macam kata pepatah orang kampung saya: “What you shout in my ear, I cannot hear”. (Apa yang anda pekik di telinga saya, saya tak boleh dengar)

Komen dan Soalan